JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Mac 2012

ISU UMUM : KOPITIAM PUN MILIK MEREKA

Dari Jakarta Saharudin Musthafa
  

Tidak  pasti sama ada mahu ketawa atau marah sebaik mendengar berita seorang pengusaha perniagaan kopitiam tempatan Indonesia, Abdul Alek diberikan hak eksklusif untuk menggunakan perkataan "kopitiam" pada restoran yang diusahakan beliau. Barangkali, kerana menyedari potensi perniagaan kopitiam berkembang luas di Indonesia, Abdul Alek awal-awal lagi membuat keputusan untuk mendaftar perkataan kopitiam pada pihak berwajib pada tahun 1996 sebagai hak miliknya seorang. Tindakan itu sebagai persediaan bahawa jangan ada mana-mana ahli perniagaan lain yang berani menggunakan perkataan kopitiam pada restoran yang diusahakan mereka. Abdul Alek bukan main-main dalam hal itu. Dia berjaya memperoleh hak eksklusif untuk menggunakan perkata kopitiam apabila mahkamah memberi kemenangan kepadanya selepas memfailkan saman ke atas Kopitiam Kok Tong di Medan dua tahun lalu kerana menggunakan kopitiam pada kedainya.

Abdul Alek tentunya boleh meraikan kemenangan itu. Dia berjaya memperoleh apa yang dimahukannya tanpa menyedari tindakan beliau itu bukanlah suatu hal yang bijaksana. Jika diperhalusi dari kaca mata umum, tindakan Abdul Alek mendaftar perkataan kopitiam sebagai harta intelek beliau hanya mengundang rasa kurang senang pengusaha kopitiam bukan sahaja di Indonesia bahkan pengusaha kopitiam di Malaysia dan Singapura juga. Seperti tidak masuk akal sepatah kata yang sudah lama digunapakai oleh masyarakat umum diperjuangkan menjadi hak milik individu. Umum melihat, Abdul Alek terdorong untuk mendaftar kopitiam sebagai hak eksklusifnya kerana enggan perniagaan kedai kopi moden miliknya dibayangi oleh kedai-kedai milik orang lain yang turut menggunakan perkataan kopitiam. Namun, persoalan yang mencetuskan tanda tanya ramai ialah sejak bila pula kopitiam iaitu kata gabungan antara kopi (bahasa Melayu) dan tiam (bahasa Hokkien) diilhamkan oleh Abdul Alek?

Sepengetahuan kita semua, kopitiam sudah lama diguna pakai olah masyarakat serantau baik di Indonesia, Malaysia mahupun Singapura. Justeru, apakah justifikasi yang boleh diguna pakai untuk mendakwa kopitiam milik Abdul Alek seorang? Selepas membaca penerangan di atas, penulis percaya tentu sebilangan besar pembaca artikel ini sudah boleh memahami maksud reaksi bagaimana yang dapat ditunjukkan sebagai respons kepada dakwaan yang kurang berasas ini. Tentu ada yang ketawa dengan berita yang menjadi bahan perdebatan ramai di Indonesia. Tidak kurang pula, ramai yang akan menggeleng kepala memikirkan apa rasional kopitiam didaftar sebagai harta intelek. Secara umumnya, definisi kopitiam membawa maksud kedai kopi yang merupakan kata benda bersifat generik kerana ia membawa pengertian yang meluas seperti juga perkataan restoran atau hotel .

Jenama

Kopitiam bukanlah jenama yang diilhamkan oleh seseorang individu seperti Starbuck, Coffee Bean dan sebagainya. Kopitiam milik masyarakat umum yang mengenalinya sebagai kedai kopi dan tidak ada sebab kenapa ada individu yang boleh mendaftar ia sebagai hak milik peribadi. Sekali lagi ditegaskan, kopitiam bukanlah jenama kerana ia merupakan kata benda yang boleh diguna oleh sesiapa sahaja. Rasa kurang senang dengan tindakan Abdul Alek itu turut mendapat perhatian Persatuan Pengusaha Kopitiam Indonesia (PPKTI) yang berpendapat, kopitiam tidak sewajarnya dimonopoli oleh seseorang atau badan pelaksana undang-undang. "Kopitiam bukan jenama dan bukan juga karakter utama atau faktor dominan sebagai sebuah jenama. Sudah diketahui, definisi kopitiam ialah kedai kopi yang merupakan kata benda," tegas pemimpin PPKTI, Mulyadi Praminta.

Apabila hak eksklusif penggunaan kopitiam diberikan kepada seorang individu di Indonesia, apa yang membimbangkan PPKTI ialah tempias itu turut akan dirasakan oleh pengusaha kopitiam di negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. "Kalau anda ke Malaysia dan Singapura, istilah kopitiam digunakan oleh siapa saja yang memenuhi syarat sebagai tradisional sarapan pagi dan kedai kopi. Kopitiam ialah kedai kopi, ia bukan jenama," sekali lagi Mulyadi memberi penekanan sebagai menyatakan tindakan memberi hak eksklusif penggunaan kopitiam kepada Abdul Alek tidak betul dan wajar diteliti semula. PPKTI tentunya mempunyai sebab untuk berasa bimbang kerana persatuan itu dibentuk oleh sejumlah besar pemilik dan pengendali kopitiam di Indonesia seperti Kiliney's Kopitiam, QQ Kopitiam, Lau's Kopitiam, Bangi Kopitiam, Eastern Kopitiam, Mao Kopitiam dan Kopitiam Oey. Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, situasi ini sangat aneh dan memerlukan penelitian dari segenap aspek bagaimana kuasa undang-undang dengan sewenang-wenangnya memberi kemenangan itu ke atas hal yang sangat umum dan menjadi milik masyarakat sejak berdekad-dekad lamanya.

Mengambil tindakan menjenamakan harta rakyat sebagai milik peribadi hanya akan meruntuhkan moral seseorang sahaja kerana usaha itu boleh disamakan sebagai tamak haloba. Secara tidak langsung juga, kemenangan yang diperoleh Abdul Alek ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada pihak lain untuk meraih untung atas angin dengan mudah. Agak-agaknya bagaimana reaksi pengusaha nasi padang yang masyhur seperti Garuda dan Sederhana seandainya ada seorang individu lain yang secara tiba-tiba mendapat ilham untuk mendaftar nasi padang sebagai hak eksklusifnya? Kalau sudah kopitiam sudah boleh didaftar sebagai harta intelek tentunya tidak mustahil untuk nasi padang juga akan mendapat pembelaan yang serupa. Lalu apa akan jadi dengan nasib restoran Nasi Padang Garuda yang sangat masyhur selepas itu?

Kalau begitu, nampaknya, selepas ini semua orang harus memikirkan apa lagi perkataan yang boleh didaftarkan sebagai hak eksklusif masing-masing. Mana tahu, kalau bisnes yang diusahakan tidak menjadi, sekurang-kurangnya peluang menyaman pesaing yang berdegil menggunakan kata eksklusif kita mampu menawarkan ganjaran yang cukup besar. Sekalipun sudah gulung tikar, sekurang-kurangnya akaun simpanan sudah penuh kerana mendapat pampasan yang besar hasil daripada menyaman orang lain! Soalnya, apakah sampai hati kita untuk berbuat demikian? Oh, satu lagi soalan yang ingin ditanya, kalau kopitiam pun milik orang Indonesia, nampaknya kita di Malaysia dan Singapura hanya mampu berputih mata sahajalah. Apa lagi yang menjadi milik kita kalau semuanya didakwa milik mereka?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012

Tiada ulasan: