19 November 2011

ISU PENDIDIKAN : PUNCA PELAJAR UPSR TIDAK PEROLEH GRED A PATUT DISELIDIKI



Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan kelmarin disifatkan oleh Kementerian Pelajaran sebagai yang terbaik sejak 2008, berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN). Kejayaan itu tentunya suatu pencapaian yang boleh dibanggakan semua. Penghargaan bukan saja patut diberikan kepada pelajar, malah komitmen guru dan ibu bapa juga tidak harus dilupakan. Keputusan yang terus meningkat dari setahun ke setahun juga membuktikan sistem pendidikan kebangsaan kita berkesan melahirkan pelajar cemerlang, bukan saja dari segi akademik malah bukan akademik. Seperti diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud kelmarin secara keseluruhan jumlah calon memperoleh pencapaian terbaik iaitu Gred A, B dan C tahun ini meningkat 55.45 peratus iaitu 269,021 calon berbanding 262,278 tahun lalu.

Bagaimanapun, calon yang mendapat keputusan cemerlang semua A tahun ini menurun sedikit, 46,012 pelajar berbanding 48,327 pelajar tahun lalu. Apa yang lebih membanggakan, keputusan UPSR tahun ini juga menunjukkan jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar bukan saja berjaya dipertahankan daripada terus menjarak, malah ia dapat dikurangkan 0.01 peratus berbanding tahun lalu. Dengan kejayaan itu, kita mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang lulus cemerlang tetapi mereka mesti ingat bahawa kejayaan itu baru permulaan sebuah perjuangan yang masih panjang kerana UPSR ialah ujian pertama bagi menilai prestasi akademik mereka sebelum berdepan alam persekolahan lebih mencabar. Namun, itu bukan bermakna UPSR tidak penting kerana ia bakal mencorakkan hala tuju pendidikan mereka pada masa depan.

Analisis keputusan mendapati peratusan calon mendapat keputusan A bagi mata pelajaran Matematik dan Sains mengalami penurunan berbanding 2010. Sementara bagi subjek Bahasa Melayu Pemahaman pula meningkat, tetapi menurun bagi Bahasa Melayu Penulisan, walaupun prestasi keseluruhan A, B dan C meningkat. Prestasi dan gred purata Bahasa Inggeris juga stabil sama seperti tahun lalu, walaupun ada sedikit pengurangan murid yang mendapat Gred A. Bagaimanapun kita tidak sepatutnya berpuas hati dengan hanya melihat bilangan pelajar lulus cemerlang memperoleh Gred A, tetapi perlu mengkaji punca kenapa kualiti calon lain tidak menyerlah. Keputusan tahun ini menunjukkan hampir separuh daripada kira-kira 500,000 calon UPSR gagal mencapai sekurang-kurangnya Gred C. Jumlah ini masih tinggi dan boleh disifatkan sebagai kegagalan yang tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu diberikan perhatian serius agar pencapaian mereka dapat diperbaiki.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
19 NOVEMBER 2011


ISU UMUM : ASEAN DI AMBANG PERALIHAN KUASA GLOBAL


Berikut ialah rencana yang ditulis PERDANA MENTERI, DATUK SERI NAJIB RAZAK yang disiarkan dalam akhbar Jakarta Post, Indonesia, kelmarin, sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang berlangsung di Bali


Ketika ketua negara Asia Tenggara dan rantau lain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 di Bali, krisis ekonomi yang melanda zon Eropah tidak terlepas daripada pengamatan mereka. Ketika setiap hari kita dihidangkan dengan berita kurang enak – usaha menyelamat, jatuhnya sebuah pemerintahan – pemimpin dan ahli ekonomi di seluruh Eropah serta seluruh dunia, melihatnya dengan penuh kebimbangan dan berharap dapat mengelakkan nasib yang serupa. Memang mudah untuk melihat masalah yang berlaku di Eropah dan mengambil iktibar serta berusaha mengatasinya supaya dapat keluar daripada kemelut itu. Bagaimanapun, dasar pengasingan bukanlah satu langkah ke depan.  Ekonomi global bermaksud menyeluruh. Ia milik seluruh dunia. Perdagangan dan industri saling berkaitan dan saling bergantungan dalam apa jua keadaan dan menafikan hakikat itu bukanlah satu pilihan. Jadi, kita perlu menerima realiti ini – cara terbaik bagi anggota ASEAN untuk menghadapi krisis itu ialah dengan meletakkan diri kita dalam kedudukan yang paling kukuh untuk tahun-tahun akan datang.

Kita tidak boleh berpecah, sebaliknya perlu bekerjasama lebih erat. Hampir setengah abad, perang dingin mengunci dunia di dalam dua kumpulan, sama ada anda bersama Amerika Syarikat atau Soviet. Kini, dalam abad ke-21, ekonomi kita saling bergantung antara satu sama lain dan proses pengeluaran tersebar merentasi sempadan dan lautan, manakala kepentingan ekonomi sesebuah negara menjadi lebih bertumpu kepada kepentingan bersama. Itulah sebabnya di Malaysia, kita menolak idea ketinggalan zaman, iaitu menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya memilih konsep menjalinkan hubungan pelbagai hala yang akan memberi manfaat kepada Malaysia dan rakan kongsi luar negara. Sepanjang 50 tahun lalu, Malaysia dianggap sebuah negara kecil di pentas antarabangsa, tetapi hari ini kami menjadi hab – kami berhubung dengan AS, kami juga berhubung dengan China, Eropah, Asia Barat dan Afrika. Penganalisis hubungan luar, Parag Khann memanggilnya kepelbagaian penjajaran – menjalin pelbagai rangkaian kerjasama merentas sempadan yang mencerminkan realiti geopolitik yang kita hadapi hari ini.

Di tengah-tengah jaringan ini ialah ASEAN. Malaysia seperti Indonesia, sudah menjadi ahli kesatuan ini sejak ditubuhkan hampir setengah abad lalu dan beberapa tahun kebelakangan ini, saya dapat melihat dengan penuh kepuasan kerana kami sudah berkembang daripada ikatan longgar lima negara menjadi satu kesatuan kuat dianggotai 10 negara berdaulat. Sekarang pada akhir 2011, kita semakin menghampiri tahap yang begitu penting, terutama dalam hubungan serantau – Komuniti ASEAN. Ia bukan satu langkah mencontohi apa yang dilakukan Kesatuan Eropah (EU). Kami tidak memikirkan mengenai kewujudan sistem mata wang yang tunggal atau sempadan terbuka atau bank pusat. Malah, kami membentuk ASEAN yang lebih bersatu, sebuah kesatuan lebih kukuh berdasarkan tiga tonggak – keselamatan bersama, ekonomi yang bersepadu dan hubungan sosiobudaya. Mengapa ia begitu penting? Minggu lalu, Hillary Clinton berkata, masa depan yang mendatang akan menjadi ‘Abad Pasifik’ bagi AS yang mana AS memandang ke arah Asia dan bukannya kepada pakatan Atlantik seperti sebelum ini.

Saya mahu menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai perkara ini. Jika abad ke-19 menjadi milik empayar British dan abad ke-20 milik Amerika Syarikat, abad ke-21 bakal menjadi milik Asia. Jika trend semasa berterusan, China akan menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia tidak lama lagi. Bersama-sama dengan kekukuhan Jepun dan peningkatan pesat India, negara berkenaan akan menjadikan Asia sebagai satu kuasa baru disegani, sekali gus akan mewujudkan keseimbangan kuasa di antara benua utara dan barat. Sebagai negara yang berasingan, dunia mungkin melihat Asia Tenggara sekadar koleksi pulau yang berbeza dan satu semenanjung yang menghubungkan antara China dan Australia: Satu tempat menarik untuk bercuti, bukan tempat penting di pentas global. Apabila kita bersatu, mereka tidak boleh melakukan kesilapan. ASEAN adalah negara kepada lebih 600 juta penduduk – dua kali ganda lebih ramai daripada penduduk AS dan 100 juta lebih ramai daripada EU. Kedudukan geografi kita mempunyai kepentingan yang besar dari sudut strategik, politik dan ketenteraan.

Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita hampir AS$2 trilion dan ekonomi kita terus berkembang walaupun Eropah masih berkira-kira sama ada mampu menyediakan satu lagi usaha menyelamatkan ekonomi dan ahli politik Amerika Syarikat saling berdebat mengenai kedudukan hutang mereka yang terus meningkat. Sebagai blok 10 negara, kami membawa lebih ke meja perundingan antarabangsa, membenarkan kami mendapatkan syarat yang sebaik mungkin bagi triti dan perjanjian perdagangan. Tetapi, jangan salah sangka atau berfikir bahawa Komuniti ASEAN hanya akan melakukan perkara yang mudah bagi kerajaan dan perniagaan besar. Membina satu komuniti yang rukun dari pelbagai negara juga memberi kesan langsung kepada kehidupan setiap rakyat biasa di seluruh rantau ini. Hubungan erat akan membawa kepada lebih banyak perdagangan, dan perdagangan yang banyak bermakna lebih banyak peluang pekerjaan dan harga yang lebih rendah dan lebih banyak peluang pekerjaan ditambah pula dengan harga yang lebih rendah, sekali gus meningkatkan taraf hidup.

Dalam tempoh beberapa hari lagi, saya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan pengerusi dan tuan rumah kita, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang pandangan dan pengetahuannya akan membantu memastikan Sidang Kemuncak ASEAN menjadi satu forum berkesan yang mana pemimpin boleh membentuk masa depan lebih kukuh bukan hanya untuk Malaysia dan Indonesia, tetapi untuk semua negara. Manfaat yang diraih menerusi hubungan lebih erat dan bahayanya peningkatan pengasingan, yang mana kedua-duanya sangat penting dalam usaha mengatasi ketegangan dan perpecahan antara kita. Kita perlu menjadi satu komuniti jika mahu maju, bukan sekadar selamat – dan sekarang inilah masanya untuk bekerja bersama-sama bagi menjadikan Komuniti ASEAN satu kenyataan.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 NOVEMBER 2011



ISU PENDIDIKAN : PERBETUL KESILAPAN DASAR PPSMI ELAK PELAJAR TERUS JADI MANGSA


Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my


GUNUNG FIJI DI JEPUN

Ketika calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertungkus lumus mentelaah pelajaran, masih ada yang berdegil mempertahankan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Terbaru mereka berkumpul di Melaka pada 12 November lalu dengan alasan ‘mempertahan kepentingan dan masa depan pelajar berbahasa Inggeris’.  Perhimpunan yang bermula pada jam 8 pagi itu diadakan di pekarangan Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit, Melaka, diketuai oleh Mak Chee Kin. “Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menangguhkan pelaksanaan (pengajaran Sains dan Matematik) dalam Bahasa Malaysia untuk beberapa tahun lagi,” tuturnya sambil berharap kerajaan menarik balik keputusan yang dibuat sebelum ini. Hampir 1,000 orang menghadiri perhimpunan secara aman itu. Ada yang kononnya bersimpati kepada masa depan kanak-kanak jika tidak mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam bahasa penjajah.

Ada juga yang dengan lantang mengugut kerajaan jika tidak meneruskan PPSMI.  Semuanya membuktikan kesilapan mereka menanggapi keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang wujud ribuan tahun di wilayah nusantara ini.  Beberapa pertubuhan lain pula mula mengadakan kempen secara terbuka mempertahankan PPSMI. Ada yang mengirim memorandum kepada pembesar negara tanpa melihat masalah sebenar yang dihadapi di sekolah.  Seorang pendidik mengadu banyak masalah ketika pelaksanaan PPSMI. Kekurangan tenaga mahir mengajar dua subjek penting dalam bahasa Inggeris begitu ketara. “Masalah murid dari latar belakang berbeza juga menjadi penghalang.  Sepatutnya pengajaran subjek bahasa Inggeris dipertingkatkan, bukan mencabul Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” tegasnya.  Kajian pula menunjukkan PPSMI memberi kesan buruk kepada pelajar di luar bandar sejak 2003.

Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan pelajar Malaysia dalam subjek Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003, sementara mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007.  Kajian sebuah universiti tempatan pula menyatakan murid senang mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di SJK Cina dan SJK Tamil.  Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi subjek Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pada Februari 2009 terhadap 553 guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli, banyak mendedahkan sesuatu yang terselindung sebelum ini. Ramai guru belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, apabila 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Kelancaran Bahasa Inggeris. Apakah guru yang tidak mahir berbahasa Inggeris mampu menggunakan bahasa itu ketika mengajar dua subjek penting?  Bayangkan betapa silapnya dasar yang diperkenalkan sebelum ini!  Jika masalah dan halangan sudah begitu ketara, amat nyata PPSMI tidak perlu wujud dan wajar dijadikan sejarah hitam sistem pendidikan negara. Malangnya ada kalangan Melayu sendiri yang masih jahil mempertahankan dasar memudaratkan generasi muda kita.  Sepatutnya isu pendidikan dibincang dan dikaji menerusi saluran akademik, sarjana bahasa dan ilmuwan.

PPSMI sudah menjadi titik hitam dalam sejarah pendidikan negara. Kesilapan yang dilakukan oleh pembuat dasar negara sebelum ini sewajarnya diperbetulkan, bukan meneruskan kesilapan dengan kesilapan yang lain. Jika negara maju seperti China, Jepun, Korea dan Russia boleh berbangga dengan pencapaian subjek Sains dan Matematik menerusi bahasa mereka sendiri, kita perlu mencontohi mereka dan bukannya dengan sinis menyatakan bahasa Inggeris diperlukan untuk sebuah dunia tanpa sempadan. Sebagai bangsa yang sudah setengah abad merdeka, kita sepatutnya mempunyai kemerdekaan untuk berfikir dan bertindak supaya memberi kesan positif kepada generasi masa depan. Meminggirkan bahasa Melayu bukan saja kesannya dari segi pendidikan, malahan sejarah kewujudan bangsa Melayu di rantau ini. Mahukah kita seperti Red Indian yang bahasa ibundanya diperlekehkan oleh bangsa sendiri?

SUMBER
BERITA HARIAN
19 NOVEMBER 2011



KARANGAN STPM : GEJALA BULI DI SEKOLAH


FOKUS UTAMA : Kesan-kesan dan langkah-langkah mengatasi masalah buli.


Gejala buli semakin di sekolah semakin membimbangkan masyarakat terutamanya ibu bapa. Pada asasnya, gejala buli ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu buli mental dan buli fizikal. Buli mental ialah aktiviti buli yang melibatkan kutuk-mengutuk, ejek-mengejak, dan menyindir seseorang. Buli fizikal pula melibatkan pukul-memukul dan sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa buli. Memang tidak dapat dinafikan, gejala buli mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya kepada pelajar sekolah. Oleh itu, langkah-langkah yang sesuai perlu dilakukan untuk mengatasi masalah buli di sekolah.

Pada pendapat saya, kesan utama gejala buli di sekolah ialah pelajar-pelajar yang dibuli akan berasa takut datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika dibandingkan dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan kerana takut dengan pembuli.  Pembuli biasanya akan menyuruh mereka melakukan sesuatu untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah, mereka akan dipukul dan didera. Terdapat sesetengah pembuli yang membawa kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang dibuli. Bagi pelajar-pelajar perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama sendiri. Perbuatan ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi. Jelaslah bahawa kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli akan meningkat disebabkan mereka takut datang ke sekolah.

Selain itu, kesan lain yang tidak boleh dikesampingkan ialah mangsa buli tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli secara tidak langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana  mereka sentiasa memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan dan sentiasa memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri mereka. Mereka akan menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka menyendiri sambil memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian kerana mereka telah diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli kepada ibu bapa dan guru. Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan melakukan sesuatu yang lebih buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka selalu ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli.  Ini menyebabkan prestasi akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam peperiksaan.

Selanjutnya, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Sudah terang lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma dan ketakutan sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang diperoleh, terdapat kes-kes yang tragik di mana mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri sendiri. Sebagai contohnya, Vijah Singh yang berumur 13 tahun telah membunuh diri di dalam rumahnya di Manchester, England. Di dalam diarinya dia telah mendedahkan kesengsaraannya akibat dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa wangnya dirampas pada hari Isnin, hari Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula baju uniform dikoyakkan, hari Khamis badannya disimbah dengan darah, dan, hari Jumaat semuanya telah berakhir. Hari Sabtu dia telah mendapat kebebasan. Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tergamak untuk menamatkan nyawa mereka sendiri.

Gejala buli tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah yang pragmatik dan sistematik untuk mengatasi masalah ini hendaklah dilakukan. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi gejala buli di sekolah adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. Ibu bapa hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka mengamalkan sikap saling menghormati dan bertolenransi pada setiap masa. Kasih sayang dan perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar dengan sempurna. Anak yang berkeperibadian terpuji merupakan anak-anak yang membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia. Mereka tidak akan tergamak untuk menyakiti dan membuli orang lain kerana ibu bapa telah menyemai ajaran-ajaran yang baik dan berguna di jiwa mereka sejak kecil, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Seterusnya, peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah diperhebat. Hal ini demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk membuat kerja lain daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk menyelesaikan masalah mereka. Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru kaunseling kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru tersebut. Oleh itu, guru bimbingan dan kaunseling harus memainkan peranan lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan dan memberikan kaunseling motivasi kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya, mangsa buli tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan orang lain kerana takut. Dengan ini, guru bimbingan dan kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli. Mereka juga akan lebih yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang terlibat.

Selanjutnya, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah dikaji dan dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan ke atas mereka pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan perlakuan buli. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani masalah ini. Pembuli yang ditangkap mungkin boleh dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama beberapa tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk menakutkan pembuli yang lain. Setiap pembuli sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal seperti hantar pembuli ke pusat pemulihan akhlak  atau digantung persekolahan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelaku dan orang ramai. Hal ini demikian kerana terdapat kes buli yang berakhir dengan kematian. Ini menggambarkan betapa kes buli amat serius jika dibiarkan tanpa tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan terus bermaharajalela mencari mangsanya. Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih muda dan tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim berbunga.

Kesimpulannya, masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini.


KARANGAN SPM : KEPENTINGAN AKTIVITI KOKURIKULUM


FOKUS UTAMA : kepentingan menyertai kokurikulum dan strategi-strategi untuk menarik minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum.


Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita sering kali memaparkan pelbagai isi yang berlingkar dalam kalangan masyarakat sewarjagat. Antara isu yang semakin popular dalam kalangan masyarakat kita ialah isu kepentingan kegiatan kokurikulum. Secara konseptualnya, kokurikulum diinterprestasikan sebagai pelbagai aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan, dan sukan dan permainan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai taraf negara maju, kegiatan kokurikulum di sekolah haruslah dipergiatkan. Oleh itu, pelbagai kepentingan kegiatan kokurikulum dan strategi yang sesuai untuk menarik minat pelajar menyertainya akan dibincangkan.

Pada pendapat saya, kepentingan utama aktiviti kokurikulum yang perlu dibincangkan ialah dapat membentuk kecergasan mental dan fizikal para pelajar. Umum mengetahui bahawa para pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu pelajar sentiasa aktif dan cergas sepanjang masa. Dalam hal ini, para pelajar seharusnya tahu bahawa tindakan mereka bergiat aktif dalam bidang kokurikulum akan menjadikan meraka seorang pelajar yang cergas dan cerdas. Biar kita ambil contoh, aktiviti sukan seperti olah raga memerlukan seseorang pelajar berlatih pada setiap hari untuk menjadi seorang atlit yang baik dan merangkul banyak anugerah. Kesemua ini membuktikan bahawa aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar yang sihat mental dan fizikal.

Sudah terang lagi bersuluh, kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang boleh dihuraikan ialah kita dapat membenteras gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar. Sesungguhnya, masalah ini berpunca daripada para pelajar yang tidak tahu mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah. Fenomena ini berlaku lantaran mereka mudah terpengaruh dengan pujukan rakan sebaya. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menyertai kegiatan kokurikulum kerana banyak aktiviti yang berfaedah dan menyeronokkan telah disediakan oleh guru penasihat untuk mereka. Mari kita mengambil contoh, dalam kegiatan pengakap pelajar akan melakukan aktiviti masakan rimba, kawat kaki, merentas hutan, unggun api dan sebagainya. Jelaslah terbukti bahawa aktiviti kokurikulum dapat membenteras masalah sosial dalam kalangan pelajar.

Sudah jelas lagi nyata, kepentingan aktiviti kokurikulum yang perlu diteliti ialah kita dapat memupuk perpaduan kaum dalam kalangan pelajar. Kita sedia maklum bahawa pelajar yang terlibat dengan aktiviti kokurikulum terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, dan kepercayaan. Sebab itulah jika dilihat pelajar-pelajar yang menyertai kegiatan kokurikulum dapat menjalinkan muhibah dan perasaan kekitaan sesama mereka. Menyedari perkara ini, para guru penasihat biasanya menerapkan budaya bekerjasama, bertolenransi dan tolong-menolong dalam semua aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah. Sebagai contohnya, elemen kebudayaan, kesenian, dan keagamaan setiap suku kaum sentiasa dipersembahkan semasa pelajar-pelajar berkumpul menjalankan aktiviti kokurikulum. Memang tidak dapat dipertikaikan bahawa aktiviti kokurikulum mampu melahirkan generasi 1Malaysia yang bersatu padu.

Hakikatnya, terdapat beberapa strategi untuk menarik minat pelajar menyertai aktiviti kokurikulum. Memang tidak dapat dinafikan, strategi yang perlu diberikan perhatian ialah kita harus memperkasakan lagi peranan sekolah. Kita sedia maklum bahawa sekolah merupakan institusi formal yang membentuk pelajar menjadi generasi yang berguna. Hal ini demikian kerana sekolah diamanahkan untuk mendidik, mengasuh, melatih dan memperkembang bakat pelajar dalam semua aspek. Keadaan ini sekali gus memerlukan pihak sekolah sentiasa proaktif dalam membangkitkan minat pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Biar kita lihat, sekolah perlu mengadakan karnival badan beruniform, karnival sukan dan permainan, minggu bahasa, minggu sains dan matematik, minggu kemanusiaan dan sebagainya supaya pelajar terlibat dengan aktif. Jelaslah kepada kita bahawa peranan sekolah amatlah penting dalam menggalakkan pelajar menyertai kokurikulum.

Di samping itu, strategi yang tidak boleh dikesampingkan ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menerapkan elemen kerjaya dalam aktiviti kokurikulum yang dirancang di sekolah. Umum mengetahui bahawa ibu bapa mengharapkan kegiatan kokurikulum mampu mendatangkan manfaat kepada masa depan anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana persaingan untuk mendapatkan pekerjaan semakin sengit. Oleh sebab itu, para pelajar hendaklah menyertai kegiatan kokurikulum yang membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang baik pada masa depan mereka kelak. Biar kita ambil contoh,  pelajar yang aktif dalam Kadet Polis boleh memohon menjadi polis selepas menamatkan alam persekolahan. Jelaslah bahawa penerapan elemen kerjaya dalam setiap kegiatan kokurikulum merupakan strategi yang berkesan dalam usaha ini.    
                                                                            
Berdasarkan huraian yang telah diberikan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kegiatan kokurikulum amatlah penting kepada para pelajar. Dengan ini masyarakat harus mempunyai kesedaran untuk menggalakkan anak-anak mereka terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolah. Dalam hal ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah menyediakan ruang dan peluang yang cukup luas kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum selepas mereka menamatkan alam persekolahan. Dengan ini kita berharap para pelajar tidak memandang remeh usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang, dan terbilang akan menjadi kenyataan.


18 November 2011

KARANGAN STPM : KES KERACUNAN MAKANAN

FOKUS UTAMA : Punca dan Usaha untuk Menangani Keracunan Makanan dalam kalangan Murid Sekolah.


Sejak kebelakangan ini, kes keracunan makanan kerap berlaku di sekolah-sekolah. Isu ini bukanlah isi baharu kerana sebelum ini kes yang sama juga telah sering dilaporkan. Oleh itu, sebagai manusia yang dijadikan sebagai khalifah oleh Allah di dunia ini, kita perlu prihatin dengan kes keracunan makanan yang hangat dibincangkan ini. Malangnya, masyarakat kita kurang faham akan masalah ini sehinggakan pelbagai usaha untuk membendungnya masih kurang berhasil. Persoalannya di sini, apakah punca-punca yang menyebabkan belakunya masalah ini? Oleh itu, pelbagai pihak harus bekerjasama memikirkan punca-punca dan usaha-usaha untuk menangani kes keracunan makanan ini.           

Kes keracunan makanan yang sering berlaku di kebanyakan sekolah pada hari ini disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya ialah kaedah penyediaan dan penyimpanan makanan yang tidak bersih. Pihak pengusaha kantin tidak memastikan bahan-bahan mentah yang hendak dimasak, dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu. Akibatnya, sayur-sayuran yang dimasak masih lagi mengandungi sisa-sisa racun perosak, manakala bahan-bahan seperti ikan, daging dan ayam pula dicemari oleh bakteria yang berbahaya. Tempat penyediaan makanan yang tidak bersih seperti tempat memasak yang kotor dan udara yang tercemar oleh habuk juga boleh menyebabkan keracunan makanan. Selain itu, minuman dalam tin atau kotak yang mudah basi juga menjadi penyebab berlakunya permasalahan ini jika minuman ini dibiarkan terdedah tanpa disimpan di tempat yang sewajarnya. Pendek kata, penyediaan makanan secara tidak bersih akan menyebabkan kes keracunan makanan berlaku.

Di samping itu, keadaan persekitaran kantin yang kotor menjadi punca kepada keracunan makanan. Lantai kantin tidak pernah dibasuh dan terlalu kotor, terutamanya di bahagian tempat memasak. Meja makan tidak pernah dilap dan masih terdapat tumpahan makanan yang melekat di atas meja. Makanan yang disediakan pula jarang sekali ditutup atau disimpan di tempat yang lebih sesuai dan bersih. Kawasan longkang dan persekitaran kantin yang kotor pula menjadi tempat pembiakan serangga pembawa penyakit seperti lalat, lipas, dan tikus. Tanpa diketahui oleh sesiapa, serangga dan haiwan pembawa penyakit ini kemudian akan mensasarkan bahan mentah yang belum dimasak, malah makanan yang telah disediakan sebagai makanan. Sikap pengusaha kantin yang lalai dan tidak mementingkan kebersihan ini akan menyebabkan kes keracunan makanan dalam kalangan pelajar sekolah semakin meningkat.          

Keracunan makanan di sekolah amat berbahaya dan boleh membawa maut kepada murid-murid. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk menangani masalah ini. Pengusaha-pengusaha kantin perlu mematuhi syarat-syarat penyediaan makanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan arahan supaya semua penjual makanan memakai apron dan menggunakan peralatan yang bersih untuk menyediakan makanan, tetapi arahan ini sering diabaikan oleh pengusaha dan pekerja di kantin sekolah. Pengusaha-pengusaha kantin harus memastikan makanan dan minuman disimpan dalam keadaan yang bersih. Mereka harus menutup makanan agar tidak terdedah kepada habuk dan lalat. Selain itu, pihak kantin harus memastikan dan menjaga kebersihan kantin. Pihak kantin perlu sentiasa membersihkan kawasan kantin, terutamanya di bahagian tempat memasak. Tindakan yang tegas tanpa kompromi harus dikenakan kepada pengusaha-pengusaha kantin yang ingkar kepada arahan tersebut.

Selain itu, murid-murid juga disarankan agar mengutamakan kebersihan diri semasa makan di kantin. Murid-murid sepatutnya mencuci tangan terlebih sebelum makan supaya makanan yang dimakan tidak tercemar. Pihak sekolah juga boleh mengalakkan pelajar menjaga kebersihan diri melalui kempen atau ceramah tentang kepentingan kesihatan diri. Melalui kempen dan ceramah ini, pelajar boleh dididik tentang cara pemakanan yang bersih. Mereka juga dapat dididik untuk memilih makanan yang bersih serta berkhasiat demi kesihatan diri. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan kes keracunan makanan, malah dapat memupuk generasi muda tentang kepentingan menjaga kebersihan pemakanan yang berkhasiat.

Selanjutnya, pihak sekolah hendaklah memastikan kawasan sekolah terutamanya kantin sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran, di samping memastikan pengusaha kantin mengutamakan mengikut pertauran pada setiap masa. Pihak sekolah perlu mengarahkan pengusaha kantin membersihkan kawasan persekitaran kantin sekiranya kotor. Meja, kerusi dan peralatan yang lain yang digunakan oleh pelajar untuk makan juga mestilah bersih. Kualiti makanan yang disediakan kepada murid juga perlulah dipantau selalu oleh pihak sekolah agar tiada makanan yang basi atau tercemar dijual kepada murid. Pihak sekolah harus memastikan pelajar-pelajar juga mempunyai tanggungjawab agar tidak membuang sisa-sisa makanan di merata-rata kawasan sekolah terutamanya kantin.

Kesimpulannya, keracunan makanan yang berlaku di sekolah hendaklah dipandang serius oleh pelbagai pihak. Hal ini demikian kerana kantin sekolah merupakan tempat yang menjual makanan kepada murid sekolah dan murid pula tiada pilihan lain untuk mendapatkan makanan. Kesihatan murid yang datang bersekolah untuk menimba ilmu wajib dijaga. Maka, sewajarnya kantin sekolah dipersalah apabila berlakunya kes keracunan makanan. Pihak sekolah pula perlu memantau kantin sekolah dari semasa ke semasa agar kes keracunan makanan tidak berulang lagi. Janganlah apabila sudah berlaku barulah hendak beringat peribahasa “sudah terantuk baru tengadah”.


KLIK GAMBAR UNTUK LEBIH JELAS

KARANGAN SPM DASAR 1 MURID 1 SUKAN

Fokus Utama : Manfaat Dasar 1 Murid 1 Sukan


Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.

Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.

Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi “ulat buku” kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik seperti mereka. Oleh itu, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan.

Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.

Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, “sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’

(998 patah perkataan)



KARANGAN SPM : USAHA MENANGANI PENYAKIT BERJANGKIT

Fokus : Usaha-usaha mengatasi masalah penyakit berjangkit.



Sejak akhir-akhir ini, wabak penyakit berjangkit seperti denggi dan chikung. unya semakin berleluasa di negara kita. Jangkitan penyakit biasanya berlaku apabila bakteria, virus, atau protozoa masuk ke dalam tubuh manusia lalu menyebabkan tindak balas dalam badan. Jika daya tahan badan kita terhadap penyakit adalah lemah, kita akan jatuh sakit. Keadaan ini mungkin membawa maut kepada pesakit jika lewat mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital. Pada umumnya, penyakit berjangkit dapat dikawal dengan cara-cara yang tertentu. Oleh itu, cara-cara untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, kemajuan perubatan dapat mengatasi masalah penyakit berjangkit yang semakin berleluasa di negara kita. Kita boleh mendapatkan suntikan atau imunisasi penyakit berjangkit untuk menjamin kesihatan kita. Dengan ini, kita akan lali terhadap penyakit tertentu melalui suntikan imunisasi ini. Sebagai contohnya, suntikan imunisasi seperti suntikan B.C.G. dapat mencegah penyakit tibi. Suntikan imunisasi hepatitis membolehkan kita menjauhi penyakit hepatitis yang disebabkan oleh makanan, khususnya makanan laut yang tercemar. Di samping itu, pencegahan penyakit berjangkit dapat dilakukan dengan pengambilan antibiotik seperti streptomaisin, penisilin, dan kloromaisin. Tambahan lagi, kita wajar menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Tindakan ini dapat mengelakkan diri kita daripada dijangkiti penyakit berjangkit, bak kata pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

Seterusnya, kita mestilah menjaga kebersihan dan kesihatan diri untuk mengelakkan diri daripada diserang wabak penyakit berjangkit. Penyakit kulit seperti kurap dan panau mudah merebak jika seseorang tidak mementingkan kebersihan tubuh badan. Amalan mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi barang peribadi dengan orang lain seperti tuala dan pakaian dapat mengelakkan penyakit kulit merebak kepada seseorang. Dalam pada itu, kawasan tempat tinggal kita hendaklah sentiasa bersih. Rumah yang bersih dapat mengelakkan penghuninya daripada penyakit deman denggi, chikugunya dan malaria. Di samping itu, senaman yang secukupnya dapat menguatkan daya tahan badan seseorang terhadap penyakit. Kita hendaklah bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan kiraan masa sekurang-kurangnya 30 minit pada setiap sesi. Kita harus sedar bahawa kebersihan merupakan cermin diri kita dan tiada yang lebih baik daripada kesihatan.

Selanjutnya, wabak penyakit berjangkit dapat dicegah melalui amalan mementingkan kebersihan alam sekitar. Pencemaran sungai yang biasanya berlaku di kawasan setinggan menyebabkan sumber air akan tercemar. Penduduk di kawasan itu pula akan menggunakan sumber air dari sungai yang berhampiran untuk kegunaan harian. Pada masa yang sama, mereka turut membuang sampah secara merata-rata di kawasan setempat dan sungai tersebut. Akibatnya, kes-kes taun mudah berlaku. Persekitaran yang kotor pula akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Sebagai contohnya, kawasan penternakan khinzir yang kotor mendorong pembiakan virus Nipah. Virus tersebut telah menyebabkan banyak nyawa terkorban pada tahun 1999. Oleh itu, kita haruslah menjadi masyarakat bertanggungjawab melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan hidup kita.

Wabak penyakit berjangkit juga dapat dihindari melalui amalan pemakanan yang sihat. Aspek utama yang perlu diberikan perhatian ialah kebersihan makanan yang kita makan. Makanan yang bersih dapat mengelakkan pemakannya daripada keracunan makanan dan menghidap penyakit hepatitis. Dalam pada itu, makanan dan air mesti dimasak dan hendaklan sentiasa ditudung untuk mengelakkan kes keracunan makanan. Sebagai contohnya, sayur-sayuran dan buah-buahan hendaklah dibasuh dengan betul untuk menyingkirkan racun perosak atau bahan-bahan kimia padanya. Sekiranya makan diluar, pilihlah gerai makan yang terjamin kebersihannya. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana kesihatan lebih berharga daripada segala-galanya.

Selain itu, wabak penyakit berjangkit seperti selsema burung, H1N1, dapat dilakukan dengan mengkuarantinkan dan mengasingkan pengidap penyakit tersebut daripada  orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain. Sekirannya tindakan ini diambil, pastinya penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-negara lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan industri pelancongan juga tidak terjejas. Selanjutnya, pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengesan haba 'thermoscan' perlu diletakkan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa seperti di KLIA. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut. Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan dan juga dikuarantin.

Kesimpulannya, kesihatan merupakan aset penting bagi setiap insan yang bernafas di bumi Allah ini. Kekayaan tidak dapat membeli kesihatan. Malangnya, kes-kes wabak berjangkit masih berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, kempen haruslah diadakan untuk menggalakkan amalan hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat. Kita tidak boleh memandang sebelah mata sahaja terhadap masalah ini kerana penyakit berjangkit boleh mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. Mudah-mudahan, kesedaran dan keinsafan akan bersemarak dalam jiwa  setiap warga untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

(736 patah perkataan)


ISU SOSIAL : AMAH : KEPUTUSAN TIDAK MENYUSAHKAN

Oleh Hassan Mohd. Noor


METEORA, GREECE

Dianggarkan kira-kira 50,000 majikan di Malaysia berasa lega apabila Indonesia bersetuju menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah yang bermula sejak 26 Jun 2009. Langkah itu tentunya menamatkan banyak masalah yang dihadapi terutama mereka yang sangat-sangat memerlukan khidmat pembantu rumah. Paling terasa tentulah pasangan muda suami isteri yang bekerja dan baru mendapat anak. Di samping kelegaan di pihak majikan, pada masa yang sama juga kira-kira 50,000 pembantu rumah Indonesia bersiap sedia untuk memasuki Malaysia. Walaupun pembekuan itu ditarik balik mulai 1 Disember ini tetapi kemasukan dijangka berlaku selewat-lewatnya pertengahan bulan Januari 2012 selepas selesai mengikuti kursus yang ditetapkan. Penarikan balik pembekuan itu menjadi kenyataan setelah berlangsung mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Nusa Dua, Bali pada Rabu lalu. Pertemuan itu diadakan sejurus Najib tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang bermula 17 November 2011.

Bertempat di Hotel Ayodya, Susilo menanti kedatangan Najib serta rombongan. Sejurus ternampak kehadiran Najib di luar ballroom tempat berlangsungnya pertemuan itu, dari jauh, Susilo mengucapkan: ‘‘Assalamualaikum, selamat datang kembali. Apa khabar?" Mereka kemudiannya berjabat tangan. Sebelum ini, pastinya mereka bertemu sebagai pemimpin di Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii baru-baru ini. Pada Oktober lalu, mereka bertemu di Lombok, Nusa Tenggara Barat,dalam Perundingan Tahunan Ke-8. Pertemuan di Lombok antara lain turut membincangkan isu pembekuan pembantu rumah. Dan hasil pertemuan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan bagi mengkaji beberapa isu berkaitan yang kemudiannya perlu dibawa dalam pertemuan berikutnya di Bali. Kini semuanya sudah berakhir. Pertemuan mesra petang kelmarin menamatkan penantian ribuan majikan Malaysia. Begitu juga dengan ribuan tenaga kerja Indonesia (TKI) yang ingin mencari rezeki di Malaysia.

Kata Najib, persetujuan itu menggambarkan keikhlasan Susilo yang bersedia menyelesaikan segala permasalahan yang timbul untuk kepentingan bersama. Baginya keputusan itu tidak menyusahkan mana-mana pihak sama ada di pihak majikan atau pembantu rumah. Malahan ia boleh dianggap sebagai situasi menang-menang. Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah berikutan beberapa kes penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah dari negara itu. Turut ditimbulkan isu berkaitan majikan tidak membayar gaji atau meminta pembantu rumah melakukan kerja lebih masa. Ketika pembekuan dibuat, dianggarkan terdapat lebih 300,000 wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah dengan 3,000 dihantar setiap bulan. Berikutan itu, ramai majikan yang terpaksa mengambil pembantu rumah dari negara lain termasuk Kemboja dan Filipina. Kini terserah kepada agensi pekerjaan, majikan dan pembantu rumah untuk ‘menghargai’ keputusan yang telah dibuat oleh kedua-dua pemimpin berjiran ini. Mereka janganlah ‘mengkhianati’ apa yang telah dipersetujui.

Bagi majikan, jangan melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati pembantu rumah. Seperti yang pernah diingatkan Najib sebelum ini, supaya bakal majikan tidak melakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati. ‘‘Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga’'. Majikan perlu menjadi majikan yang baik. Peraturan baru menetapkan mereka hanya boleh membuat potongan sebanyak RM1,800 daripada kos yang mereka dahulukan kepada pekerja dengan memotong gaji tidak lebih daripada 50 peratus sebulan. Majikan juga berhak mendapat semula wang mereka yang dikeluarkan sekiranya pembantu rumah melarikan diri dalam tempoh enam bulan. Bagaimanapun agensi pekerjaan boleh mengganti dengan pembantu rumah yang baru. Kos pengambilan pembantu rumah pula ditetapkan RM4,511. Diharapkan peraturan ini dapat memastikan agensi pekerjaan lebih berhati-hati mengambil pekerja mereka supaya tidak timbul masalah mengembalikan semula wang atau mencari pekerja baru.

Ketika ini majikan di Malaysia perlu melunaskan bayaran agensi antara RM7,500 hingga RM8,000 menyebabkan gaji pembantu rumah dibayar lebih rendah antara RM350 hingga RM450 sahaja. Mengikut kajian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), majikan bersedia membayar RM700 sebulan asalkan kos untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dapat dikurangkan. Di pihak pekerja pula, mereka layak mendapat cuti sehari dalam seminggu atau mendapat bayaran yang ditetapkan mengikut akta pekerjaan jika dipanggil bekerja pada hari berkenaan. Mereka juga dibenarkan memegang sendiri pasport. Seperkara lagi, setiap bakal pembantu rumah perlu menjalani kursus selama 200 jam atau 21 hari. Diharapkan kursus ini dapat memberi pelbagai pendedahan bukan sekadar mengenai bidang tugas semata-mata. Ini bagi melahirkan pembantu rumah yang lebih memahami kehendak dan budaya majikan mereka. Kepada pembantu rumah, bekerjalah dengan jujur dan ikhlas. Jangan menimbulkan kebimbangan di kalangan majikan. Apa yang penting, wujudkan keharmonian majikan dan pembantu rumah dengan sikap saling hormat menghormati.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 NOVEMBER 2011