Oleh Hassan Mohd. Noor
METEORA, GREECE
Dianggarkan kira-kira 50,000 majikan di Malaysia berasa lega apabila Indonesia bersetuju menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah yang bermula sejak 26 Jun 2009. Langkah itu tentunya menamatkan banyak masalah yang dihadapi terutama mereka yang sangat-sangat memerlukan khidmat pembantu rumah. Paling terasa tentulah pasangan muda suami isteri yang bekerja dan baru mendapat anak. Di samping kelegaan di pihak majikan, pada masa yang sama juga kira-kira 50,000 pembantu rumah Indonesia bersiap sedia untuk memasuki Malaysia. Walaupun pembekuan itu ditarik balik mulai 1 Disember ini tetapi kemasukan dijangka berlaku selewat-lewatnya pertengahan bulan Januari 2012 selepas selesai mengikuti kursus yang ditetapkan. Penarikan balik pembekuan itu menjadi kenyataan setelah berlangsung mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Nusa Dua, Bali pada Rabu lalu. Pertemuan itu diadakan sejurus Najib tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang bermula 17 November 2011.
Bertempat di Hotel Ayodya, Susilo menanti kedatangan Najib serta rombongan. Sejurus ternampak kehadiran Najib di luar ballroom tempat berlangsungnya pertemuan itu, dari jauh, Susilo mengucapkan: ‘‘Assalamualaikum, selamat datang kembali. Apa khabar?" Mereka kemudiannya berjabat tangan. Sebelum ini, pastinya mereka bertemu sebagai pemimpin di Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii baru-baru ini. Pada Oktober lalu, mereka bertemu di Lombok, Nusa Tenggara Barat,dalam Perundingan Tahunan Ke-8. Pertemuan di Lombok antara lain turut membincangkan isu pembekuan pembantu rumah. Dan hasil pertemuan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan bagi mengkaji beberapa isu berkaitan yang kemudiannya perlu dibawa dalam pertemuan berikutnya di Bali. Kini semuanya sudah berakhir. Pertemuan mesra petang kelmarin menamatkan penantian ribuan majikan Malaysia. Begitu juga dengan ribuan tenaga kerja Indonesia (TKI) yang ingin mencari rezeki di Malaysia.
Kata Najib, persetujuan itu menggambarkan keikhlasan Susilo yang bersedia menyelesaikan segala permasalahan yang timbul untuk kepentingan bersama. Baginya keputusan itu tidak menyusahkan mana-mana pihak sama ada di pihak majikan atau pembantu rumah. Malahan ia boleh dianggap sebagai situasi menang-menang. Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah berikutan beberapa kes penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah dari negara itu. Turut ditimbulkan isu berkaitan majikan tidak membayar gaji atau meminta pembantu rumah melakukan kerja lebih masa. Ketika pembekuan dibuat, dianggarkan terdapat lebih 300,000 wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah dengan 3,000 dihantar setiap bulan. Berikutan itu, ramai majikan yang terpaksa mengambil pembantu rumah dari negara lain termasuk Kemboja dan Filipina. Kini terserah kepada agensi pekerjaan, majikan dan pembantu rumah untuk ‘menghargai’ keputusan yang telah dibuat oleh kedua-dua pemimpin berjiran ini. Mereka janganlah ‘mengkhianati’ apa yang telah dipersetujui.
Bagi majikan, jangan melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati pembantu rumah. Seperti yang pernah diingatkan Najib sebelum ini, supaya bakal majikan tidak melakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati. ‘‘Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga’'. Majikan perlu menjadi majikan yang baik. Peraturan baru menetapkan mereka hanya boleh membuat potongan sebanyak RM1,800 daripada kos yang mereka dahulukan kepada pekerja dengan memotong gaji tidak lebih daripada 50 peratus sebulan. Majikan juga berhak mendapat semula wang mereka yang dikeluarkan sekiranya pembantu rumah melarikan diri dalam tempoh enam bulan. Bagaimanapun agensi pekerjaan boleh mengganti dengan pembantu rumah yang baru. Kos pengambilan pembantu rumah pula ditetapkan RM4,511. Diharapkan peraturan ini dapat memastikan agensi pekerjaan lebih berhati-hati mengambil pekerja mereka supaya tidak timbul masalah mengembalikan semula wang atau mencari pekerja baru.
Ketika ini majikan di Malaysia perlu melunaskan bayaran agensi antara RM7,500 hingga RM8,000 menyebabkan gaji pembantu rumah dibayar lebih rendah antara RM350 hingga RM450 sahaja. Mengikut kajian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), majikan bersedia membayar RM700 sebulan asalkan kos untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dapat dikurangkan. Di pihak pekerja pula, mereka layak mendapat cuti sehari dalam seminggu atau mendapat bayaran yang ditetapkan mengikut akta pekerjaan jika dipanggil bekerja pada hari berkenaan. Mereka juga dibenarkan memegang sendiri pasport. Seperkara lagi, setiap bakal pembantu rumah perlu menjalani kursus selama 200 jam atau 21 hari. Diharapkan kursus ini dapat memberi pelbagai pendedahan bukan sekadar mengenai bidang tugas semata-mata. Ini bagi melahirkan pembantu rumah yang lebih memahami kehendak dan budaya majikan mereka. Kepada pembantu rumah, bekerjalah dengan jujur dan ikhlas. Jangan menimbulkan kebimbangan di kalangan majikan. Apa yang penting, wujudkan keharmonian majikan dan pembantu rumah dengan sikap saling hormat menghormati.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan