Berikut ialah rencana
yang ditulis PERDANA MENTERI, DATUK SERI NAJIB RAZAK yang disiarkan dalam
akhbar Jakarta Post, Indonesia, kelmarin, sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19
yang berlangsung di Bali
Ketika ketua negara Asia Tenggara dan rantau lain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 di Bali, krisis ekonomi yang melanda zon Eropah tidak terlepas daripada pengamatan mereka. Ketika setiap hari kita dihidangkan dengan berita kurang enak – usaha menyelamat, jatuhnya sebuah pemerintahan – pemimpin dan ahli ekonomi di seluruh Eropah serta seluruh dunia, melihatnya dengan penuh kebimbangan dan berharap dapat mengelakkan nasib yang serupa. Memang mudah untuk melihat masalah yang berlaku di Eropah dan mengambil iktibar serta berusaha mengatasinya supaya dapat keluar daripada kemelut itu. Bagaimanapun, dasar pengasingan bukanlah satu langkah ke depan. Ekonomi global bermaksud menyeluruh. Ia milik seluruh dunia. Perdagangan dan industri saling berkaitan dan saling bergantungan dalam apa jua keadaan dan menafikan hakikat itu bukanlah satu pilihan. Jadi, kita perlu menerima realiti ini – cara terbaik bagi anggota ASEAN untuk menghadapi krisis itu ialah dengan meletakkan diri kita dalam kedudukan yang paling kukuh untuk tahun-tahun akan datang.
Kita tidak boleh
berpecah, sebaliknya perlu bekerjasama lebih erat. Hampir setengah abad, perang
dingin mengunci dunia di dalam dua kumpulan, sama ada anda bersama Amerika
Syarikat atau Soviet. Kini, dalam abad ke-21, ekonomi kita saling bergantung
antara satu sama lain dan proses pengeluaran tersebar merentasi sempadan dan
lautan, manakala kepentingan ekonomi sesebuah negara menjadi lebih bertumpu
kepada kepentingan bersama. Itulah sebabnya di Malaysia, kita menolak idea
ketinggalan zaman, iaitu menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya memilih konsep
menjalinkan hubungan pelbagai hala yang akan memberi manfaat kepada Malaysia
dan rakan kongsi luar negara. Sepanjang 50 tahun lalu, Malaysia dianggap sebuah
negara kecil di pentas antarabangsa, tetapi hari ini kami menjadi hab – kami
berhubung dengan AS, kami juga berhubung dengan China, Eropah, Asia Barat dan
Afrika. Penganalisis hubungan luar, Parag Khann memanggilnya kepelbagaian
penjajaran – menjalin pelbagai rangkaian kerjasama merentas sempadan yang
mencerminkan realiti geopolitik yang kita hadapi hari ini.
Di tengah-tengah
jaringan ini ialah ASEAN. Malaysia seperti Indonesia, sudah menjadi ahli
kesatuan ini sejak ditubuhkan hampir setengah abad lalu dan beberapa tahun
kebelakangan ini, saya dapat melihat dengan penuh kepuasan kerana kami sudah
berkembang daripada ikatan longgar lima negara menjadi satu kesatuan kuat
dianggotai 10 negara berdaulat. Sekarang pada akhir 2011, kita semakin
menghampiri tahap yang begitu penting, terutama dalam hubungan serantau –
Komuniti ASEAN. Ia bukan satu langkah mencontohi apa yang dilakukan Kesatuan
Eropah (EU). Kami tidak memikirkan mengenai kewujudan sistem mata wang yang
tunggal atau sempadan terbuka atau bank pusat. Malah, kami membentuk ASEAN yang
lebih bersatu, sebuah kesatuan lebih kukuh berdasarkan tiga tonggak –
keselamatan bersama, ekonomi yang bersepadu dan hubungan sosiobudaya. Mengapa
ia begitu penting? Minggu lalu, Hillary Clinton berkata, masa depan yang mendatang
akan menjadi ‘Abad Pasifik’ bagi AS yang mana AS memandang ke arah Asia dan
bukannya kepada pakatan Atlantik seperti sebelum ini.
Saya mahu menjelaskan
dengan lebih lanjut mengenai perkara ini. Jika abad ke-19 menjadi milik empayar
British dan abad ke-20 milik Amerika Syarikat, abad ke-21 bakal menjadi milik
Asia. Jika trend semasa berterusan, China akan menjadi kuasa ekonomi terbesar
dunia tidak lama lagi. Bersama-sama dengan kekukuhan Jepun dan peningkatan
pesat India, negara berkenaan akan menjadikan Asia sebagai satu kuasa baru
disegani, sekali gus akan mewujudkan keseimbangan kuasa di antara benua utara
dan barat. Sebagai negara yang berasingan, dunia mungkin melihat Asia Tenggara
sekadar koleksi pulau yang berbeza dan satu semenanjung yang menghubungkan
antara China dan Australia: Satu tempat menarik untuk bercuti, bukan tempat
penting di pentas global. Apabila kita bersatu, mereka tidak boleh melakukan
kesilapan. ASEAN adalah negara kepada lebih 600 juta penduduk – dua kali ganda
lebih ramai daripada penduduk AS dan 100 juta lebih ramai daripada EU.
Kedudukan geografi kita mempunyai kepentingan yang besar dari sudut strategik,
politik dan ketenteraan.
Jumlah Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) kita hampir AS$2 trilion dan ekonomi kita terus berkembang
walaupun Eropah masih berkira-kira sama ada mampu menyediakan satu lagi usaha
menyelamatkan ekonomi dan ahli politik Amerika Syarikat saling berdebat
mengenai kedudukan hutang mereka yang terus meningkat. Sebagai blok 10 negara,
kami membawa lebih ke meja perundingan antarabangsa, membenarkan kami
mendapatkan syarat yang sebaik mungkin bagi triti dan perjanjian perdagangan. Tetapi,
jangan salah sangka atau berfikir bahawa Komuniti ASEAN hanya akan melakukan
perkara yang mudah bagi kerajaan dan perniagaan besar. Membina satu komuniti
yang rukun dari pelbagai negara juga memberi kesan langsung kepada kehidupan
setiap rakyat biasa di seluruh rantau ini. Hubungan erat akan membawa kepada
lebih banyak perdagangan, dan perdagangan yang banyak bermakna lebih banyak
peluang pekerjaan dan harga yang lebih rendah dan lebih banyak peluang
pekerjaan ditambah pula dengan harga yang lebih rendah, sekali gus meningkatkan
taraf hidup.
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan