14 November 2011

ISU EKONOMI : APEC 2011 KE ARAH EKONOMI TANPA SEMPADAN

Oleh Paul W Jones


Ketika pemimpin daripada 21 negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bertemu di Honolulu, Hawaii, untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC tahunan hujung minggu lalu, rantau ini sedang menyaksikan perdagangan dan kerjasama ekonomi yang berkembang yang tidak pernah dilihat sebelum ini.  Mesyuarat tahun ini yang diadakan di Hawaii di tengah-tengah Lautan Pasifik, semuanya ialah mengenai APEC, dan bagaimana Amerika Syarikat menjalankan peranannya iaitu membina jambatan merentasi Lautan Pasifik dan menjadikan APEC (dan Hawaii) sebagai satu titik tumpuan untuk memperluaskan perdagangan di rantau Asia Pasifik. Kali terakhir Amerika Syarikat menjadi tuan rumah mesyuarat APEC ialah 18 tahun lalu di Blake Island, Washington, yang mengumpulkan ketua kerajaan APEC untuk kali pertama. Pada 1993, ekonomi APEC menyumbang 35 peratus daripada perdagangan global barangan dan perkhidmatan.  

Hari ini 21 anggota negara ekonomi APEC membentuk pasaran untuk 2.7 bilion pengguna yang menguasai 44 peratus daripada perdagangan dunia serta 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.  Tujuh daripada 15 rakan dagang paling utama Amerika berada dalam APEC. Di bawah kepemimpinan Presiden Barack Obama, Amerika Syarikat komited untuk menggandakan eksport AS ke rantau Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun.  Kami melihat perluasan perdagangan dan pelaburan sebagai situasi ‘menang-menang’ bagi kesemua ekonomi di rantau ini, dengan kemakmuran yang berkembang ke semua arah.  Menambah pertumbuhan dan mendinamikkan ekonomi Asia adalah penting untuk ekonomi dan pelan strategik Amerika dan ia adalah antara keutamaan pentadbiran Obama. Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan kami bagi membina ekonomi serantau yang tiada sempadan.

Pada mesyuarat tahun ini, Amerika Syarikat memberi tumpuan bagi memastikan keberhasilan dapat dicapai terutama dalam tiga bidang iaitu mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan memperluaskan perdagangan; menggalakkan pertumbuhan ‘hijau’ mesra alam sekitar dan mapan serta memperluaskan kerjasama pengawalseliaan untuk mengurangkan halangan kepada syarikat yang ingin berdagang di rantau ini.  Satu kekuatan unik APEC ialah kerjasama eratnya dengan syarikat swasta, termasuk Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). Ini berdasarkan pemahaman bahawa pemimpin perniagaan mengetahui masalah dan peluang di rantau ini dan dengan itu mereka harus mempunyai suara dalam membentuk dasar yang boleh memberi kesan langsung kepada mereka.  APEC juga dapat melihat masa depan, termasuk pemimpin masa depan. Amerika Syarikat terutamanya mengalu-alukan penyertaan wakil pelajar daripada suara masa depan APEC 2011.

Seperti kebanyakan organisasi, kesinambungan adalah penting. Oleh itu, usahawan dan pemimpin masa depan harus memastikan bahawa APEC akan kekal sebagai forum utama ekonomi di rantau Asia Pasifik dalam abad ke-21.  Ini adalah masa yang menarik untuk menjadi anggota ekonomi APEC, dan menjadi tuan rumah mesyuarat tahun ini membantu Amerika Syarikat untuk memfokus semula keutamaannya dan dapat lebih banyak menyumbang untuk membentuk masa depan Asia-Pasifik. Meluaskan peraturan perdagangan di Asia Pasifik akan memberi manfaat kepada semua pihak di rantau ini, dan Malaysia khususnya memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi serantau yang terbuka, bebas, telus dan adil.  APEC 2011 memberikan peluang kepada semua negara anggota untuk mencapai matlamat ini.

Penulis ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
14 NOVEMBER 2011


ISU PERTANIAN : "TANAM APA YANG DIMAKAN, MAKAN APA YANG DITANAM"

Oleh Hassan Mohd. Noor


Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Di negeri-negeri utara, misalnya di Alor Setar, pengguna amat terasa dengan kenaikan harga sayur-sayuran. Begitu juga dengan harga ikan dan ayam. Semuanya ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususnya dari negara jiran. Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak - banjir, ribut, gempa bumi, kemarau panjang atau terlibat dalam kancah peperangan. Pastinya keadaan lebih buruk dan rakyat pula tidak dapat menerima kenaikan harga itu malahan mungkin menyalahkan kerajaan walaupun mereka sedar punca sebenar yang menyebabkan kenaikan tersebut. Begitulah jadinya jika bekalan yang kita hasilkan di dalam negara untuk disuapkan ke dalam setiap mulut rakyat kita sebanyak 28.6 juta dan 2.3 juta pendatang asing tidak mencukupi. Suasana ini tentu lebih terasa di kawasan bandar. Di kampung, keadaan ini boleh dikurangkan jika tanah yang ada dimanfaatkan dengan tanaman dan ternakan. Namun berapa banyak tanah yang terbiar serta tidak diusahakan? Berapa banyak pula tanah pertanian bertukar menjadi tapak rumah, kilang atau bangunan? Maknanya tanah pertanian semakin berkurangan. 


Maka sesuatu harus dilakukan untuk memanfaatkan tanah yang ada dengan menghasilkan makanan. Sekurang-kurangnya tanam untuk makan. Justeru, cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melancarkan program “Laman Agro” bulan depan amat dialu-alukan. Program ini bagi menggalakkan masyarakat terutama di bandar supaya terlibat dalam kegiatan pertanian walaupun dengan kawasan tanah yang terhad untuk bercucuk tanam. Menurut menterinya, Noh Omar, kementerian mahu orang ramai terlibat sama dalam aktiviti pertanian dengan menggalakkan mereka ‘tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam’ bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan import. Mereka boleh menggunakan kaedah pertanian seperti hidroponik yang pernah popular satu ketika dulu bagi mengatasi masalah bekalan sayuran. Langkah ini kena pada masanya. Masyarakat kita perlu digalakkan semula untuk bercucuk tanam kerana dunia dijangka mengalami krisis makanan pada tahun 2050. Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar Serantau Yayasan Asia-Eropah, Marta Szigeti Bonifert meramalkan satu letusan demografi akan berlaku menjelang 2050 yang mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dan air serta terjadinya ekosistem dan memberi kesan buruk terhadap cuaca.

Katanya, menjelang tahun berkenaan, penduduk bumi akan mengalami masalah besar apabila jumlah mereka bertambah dengan pesat (ketika ini 7 bilion) manakala sumber alam pula sudah kehabisan. ‘‘Jika kita terus mengamalkan cara penggunaan yang ada sekarang, maka menjelang 2050, kita memerlukan sebuah lagi bumi’’, katanya. Malangnya, kita tidak ada bumi lain. Bumi bukan seperti kereta lama yang apabila tidak dapat digunakan lagi boleh dijual sebagai besi buruk dan membeli kereta baru. Bumi hanya satu. Maka bagaimana kita mahu menyelamatkan bumi? Bagi mengurangkan penggantungan kepada makanan import khususnya beras, adakah kita perlu kurangkan makan? Menyelak kembali isu ini, suatu masa dulu, Menteri Pertanian, Sanusi Junid pernah menganjurkan kempen kurang makan nasi bagi mengurangkan import beras yang meningkat setiap tahun. Buat seketika langkah itu menimbulkan polemik kerana ada pihak yang memutarbelitkan niat itu. Kata Sanusi: ‘‘Bukan kurangkan makan nasi untuk lapar, tetapi kurang makan nasi untuk diganti dengan makanan lain.

Banyak makanan lain yang boleh dimakan seperti telur, daging ayam, daging lembu, sayur dan buah-buahan’’. Sanusi juga pernah menimbulkan idea mengenai pertanian bertingkat yang jika tidak silap konsepnya melibatkan tanaman padi, ternakan ayam dan ikan air tawar di satu kawasan bertingkat. Ramai yang memandang sinis cadangan itu kerana masih banyak tanah terbiar di muka bumi ini. Tetapi mungkin pada suatu masa nanti, idea Sanusi itu akan menjadi kenyataan apabila sudah tidak ada lagi tanah untuk pertanian dan ternakan. Bagi menambah pengeluaran padi pula, beliau menyarankan program tanaman berkelompok tanpa perlu menambah keluasan tanah. Dalam erti kata lain mewujudkan estet padi. Kaedah ini akan membantu menjimatkan kos dan menambah hasil padi. Bagi aktiviti pertanian lain yang melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan seperti lembu, kambing dan ikan, kita juga perlu mengurangkan import. Kita harus bersedia menghadapi kekurangan bekalan makanan ini. Harus diingat, hampir semua jenis makanan seharian kita masih diimport.

Menurut Sanusi: ‘‘Kita bercucuk tanam secara tanam main-main; tanam untuk makan sendiri; tanam untuk makan sesama sendiri,’’ Malangnya bagi kebanyakan orang, ketiga-tiga kaedah itu tidak mampu dilaksanakan. Konsep Kebun Masyarakat pula menurut Sanusi menghendaki orang kampung berpakat, rumah ini tanam cili, rumah itu tanam bawang, rumah ini tanam sengkuang, rumah itu tanam keledek, rumah ini tanam bendi, rumah itu tanam petola, rumah ini tanam bayam, rumah itu tanam kacang, di sana tanam timun, kita bahagi-bahagikan tugas, macam kita bahagi-bahagikan kuih antara rumah jiran pada bulan puasa. Sanusi telah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan imej bidang pertanian. Beliau sudah pun menyebut mengeni agriculture dollar (ringgit pertanian). Beliau juga pernah mengingatkan kakitangannya: “Kementerian kita mestilah dipandang sebagai sebuah syarikat, sudah tiba masanya, kita menjadikan bidang pertanian sebagai sesuatu yang boleh mengubah kehidupan petani. Kita tidak mahu apabila disebut bidang pertanian, orang memandang lekeh, pandang miskin, pandang susah, kotor,’’ Kini pertanian sudah berubah. Pertanian adalah perniagaan. Dan mungkin suatu masa nanti, di samping bisnes, setiap orang terpaksa ‘tanam apa yang dimakan dan makan apa yang ditanam’.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 NOVEMBER 2011



13 November 2011

ISU BENCANA ALAM : BANJIR BESAR DI THAILAND ... KUALA LUMPUR HULUR BANTUAN

Oleh Muhammad Nizam Ab Ghani


Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono seperti ada persamaan dalam menempuh tempoh tahun pertama sebagai pemimpin di negara masing-masing. Bagi Susilo, bencana tsunami yang menimpa wilayah Aceh pada akhir 2004 dan beberapa kejadian gempa bumi di Indonesia adalah ujian getir buatnya.  Yingluck pula yang baru mengangkat sumpah awal Ogos lalu kini berdepan dengan krisis banjir di negaranya. Kejadian banjir terburuk dalam tempoh 60 tahun di negara itu dilaporkan sudah meragut lebih 380 jiwa dan menenggelamkan 60 daripada 77 wilayah. Bencana banjir ini turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh di wilayah Rayong yang menempatkan hampir dua pertiga kawasan perindustrian. Yingluck yang memenangi jawatan Perdana Menteri menerusi sokongan yang diberikan 295 Ahli Parlimen sudah menyatakan janjinya kepada seluruh rakyat supaya diberi tempoh enam bulan melaksanakan segala komitmen terkandung dalam manifesto parti yang diwakilinya – Pheu Thai.

Pelbagai usaha untuk melaksanakan pakej pembaharuan ekonomi yang ditawarkan ketika kempen pilihan raya Thailand baru-baru ini nampaknya terencat kerana bencana banjir. Satu senario yang benar-benar memberi kesan besar terhadap ekonomi Thailand ialah kilang multinasional seperti Honda dan Western Digitals turut ditenggelami air bah. Ini menyebabkan operasi pengeluaran kilang syarikat berkenaan tergendala. Ada rungutan beberapa syarikat besar yang menyatakan kurang maklumat dalam bahasa Inggeris mengenai amaran banjir menjadi punca peralatan milik kilang berkenaan tidak dapat diselamatkan dengan segera. Yingluck yang menyatakan komitmennya untuk memantau sendiri perkembangan banjir yang diramalkan akan berlarutan selama beberapa minggu. Sepanjang tempoh krisis banjir ini, Yingluck menerima kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak, terutama daripada parti lawan, Demokrat. Kerajaan Yingluck dikritik kerana gagal membuat jangkaan awal tahap banjir serta tidak berupaya menyediakan maklumat terkini mengenai situasi banjir.

Pada masa sama, berlaku kurang persefahaman di kalangan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengatasi bencana, terutama dari aspek pengemaskinian data keadaan banjir di wilayah terbabit. Bagi menyelaraskan penyaluran bantuan dan pengumuman amaran banjir sebuah agensi dikenali sebagai Pusat Operasi Kecemasan Banjir ditubuhkan dengan penyeliaan sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri Thailand. Selain itu, pasukan tentera turut dikerah bagi mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir dengan dibantu sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dalam perkembangan lain, timbul kes perbalahan di kalangan petani di mukim wilayah Phichit kerana rasa tidak puas hati dengan pemasangan benteng banjir yang hanya memberi manfaat kepada sebahagian kecil penduduk, sedangkan kebanyakan rumah penduduk lain ditenggelami air. Banjir yang melanda Thailand turut memberi impak terhadap bekalan makanan utama penduduk Asia, iaitu beras. Hampir sejuta ekar tanah yang dilanda banjir di utara Thailand ialah kawasan sawah padi dan zon pertanian. Selain memberi kesan kepada permintaan domestik, kekurangan bekalan beras Thailand turut dirasai negara pengimport beras Thailand seperti Malaysia yang mengikat perjanjian bekalan beras sebanyak 307,000 tan setahun.

Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia sudah memberi jaminan bahawa bekalan beras mencukupi dan tiada isu kenaikan harga beras akan timbul. Tambahan pula negara kita mempunyai alternatif bekalan beras dari India, Vietnam, Pakistan dan Argentina. Bagi meringankan beban Thailand, Malaysia sebagai negara jiran yang cukup akrab menghulurkan bantuan AS$1 juta (RM3.12 juta) kepada Kerajaan Thailand. Selain itu, atas dasar semangat setia kawan dalam komuniti ASEAN, Malaysia juga sedia membantu Thailand memulihkan industri automotif yang terjejas teruk akibat banjir seperti penyediaan komponen alat ganti automotif kepada syarikat kenderaan di Thailand. Selepas kejadian gempa bumi di Jepun Mac lalu, Thailand adalah negara kedua Asia yang berdepan dengan krisis bencana alam yang dahsyat. Thailand dianggarkan kerugian bernilai AS$5.1 bilion akibat banjir. Walaupun sudah ada tanda banjir akan surut di kebanyakan wilayah Thailand, Yingluck perlu merencanakan pelan tindakan pemulihan sosioekonomi negaranya dengan segera. Sebaik-baiknya Yingluck perlu membabitkan juga wakil rakyat pembangkang daripada Demokrat agar inisiatif pemulihan yang dirangka lebih bersifat inklusif.

SUMBER
BERITA HARIAN
12 NOVEMBER 2011



ISU UMUM : UFO LEBIH MENCABAR MINDA DARIPADA HANTU

Johardy Ibrahim


Pernahkah anda melalui pengalaman melihat sendiri UFO yang merupakan singkatan kepada Unidentified Flying Object atau objek terbang tidak dapat dikenal pasti? Beberapa laporan pernah tersiar di dada akhbar sebelum ini mengenai penemuan UFO di Malaysia. Tetapi gemparnya tidak berskala besar, apatah lagi bukti gambarnya kurang jelas atau sekadar pengakuan mulut semata-mata. Maka kes itu pun berlalu sepantas kilat UFO hilang dari pandangan. Ia membuktikan UFO memang dilihat di seluruh dunia, walaupun jika UFO lalu di depan saya, perkara pertama terlintas di fikiran ialah ia hanyalah pesawat. Tinggal di Shah Alam yang merupakan laluan terbang pesawat di dua lapangan terbang iaitu di Subang dan Sepang, apa-apa yang di angkasa lazimnya tidak lebih daripada sekadar memandang sekilas cuma. Seorang rakan bercerita, semasa memandu di sebatang jalan raya tidak berlampu (lokasi dirahsiakan), dia perasan ada seakan lampu di sebelah kanan yang bergerak sehala dengannya.  

Tidak dapat dipastikan jaraknya dengan kereta tetapi ia dalam kelajuan yang tinggi kerana ia kekal selari di cermin kereta. ‘‘UFO ke?,” soal hatinya.  Jadi dia pun menstabilkan pemanduan, untuk meninjau lebih jelas. Bila diamat-amati, semakin jelas ia bukan sebarang UFO. Ia rupa-rupanya ‘objek disyaki polong terbang’. Tapi ini cerita lain. Cerita mengenai UFO ini sebenarnya dipopularkan di Amerika Syarikat (AS). Sejarahnya bermula pada 1947 dengan desas-desus mengaitkan sebuah kawasan larangan yang dikawal ketat oleh tentera AS di lebuh raya Nevada Route 375 dipanggil Area 51. Jika anda pernah menonton filem-filem Hollywood, pelbagai gambaran dikemukakan mengenai ‘apa yang ada’ di situ, misalnya The Independence Day lakonan Will Smith yang menggambarkan wujud bilik rahsia bawah tanah di Area 51 yang menyimpan kapal angkasa UFO dan satu makhluk asing. Atau paling syok, The X-File dengan motonya I Want To Believe (Saya Mahu Percaya).

Walaupun ia hanya filem cereka, kebanyakan skrip ditulis berdasarkan pengalaman orang yang mendakwa pernah melihat atau ‘diculik untuk diperiksa’ oleh makhluk asing. Pada 4 November lalu, buat pertama kali dalam sejarah sejak meletusnya kegemparan mengenai UFO, kerajaan AS mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai menjawab dua petisyen secara dalam talian.  Petisyen pertama, dikelolakan oleh ahli fizik dan pengkaji UFO terkemuka, Stephen Bassett yang mengumpul 12,078 tandatangan setakat 7 November lalu, menuntut supaya ‘kerajaan AS secara rasmi memperakui kewujudan makhluk asing yang menjalin hubungan dengan umat manusia’. Presiden Barack Obama telah berjanji untuk memberi maklum balas atas sesuatu petisyen yang meraih sekurang-kurangnya 5,000 tandatangan dalam tempoh 30 hari. Bassett berkata, ia hanya mengambil masa empat hari untuk mencapai sasaran tersebut. Difahamkan, White House kini menaikkan had bagi menjawab rasmi sesuatu petisyen kini ialah 25,000 tandatangan.

WUJUD ATAU TIDAK WUJUD

‘‘Kerajaan AS tidak mempunyai bukti bahawa wujud sebarang kehidupan di luar planet kita, atau wujud makhluk asing yang telah berhubung dengan mana-mana orang,” menurut kenyataan rasmi pentadbiran Obama yang disiarkan di laman web White House dan ditandatangani oleh Phil Larson, penolong penyelidik di Pejabat Dasar Sains dan Teknologi. ‘‘Sebagai tambahan, tidak wujud maklumat sahih untuk mencadangkan bahawa sebarang bukti telah disembunyikan daripada orang ramai. Hakikatnya ialah kami tidak memiliki bukti sahih mengenai kewujudan makhluk asing di atas Bumi ini,” kata Larson. Atas alasan apa pula pentadbiran Obama mahu menafikan bukti gambar dan video seumpamanya dan penculikan manusia untuk dikaji selidik oleh makhluk asing? Penafian White House ini nyata menghampakan harapan sebilangan rakyat AS yang menjangkakan Obama akan lebih bersikap terbuka dalam mendedahkan isu UFO ini. Ada penulis membuat spekulasi Obama mungkin tidak mengetahuinya secara telus dan rahsia sebenarnya terus disimpan oleh pegawai-pegawai tertentu. Ada juga mendakwa fail-fail yang mendokumentasikan laporan penemuan atau penculikan UFO, adalah dalam bilangan yang besar dan dirahsikan lokasinya. Meskipun menafikan kewujudan tersebut, kerajaan AS memberi komitmen untuk terus berusaha mencari bukti kewujudan UFO.

Kerajaan AS pernah mengendalikan program SETI (Search for Extraterrestrial Intelligence) tetapi kini tidak lagi, ekoran langkah berjimat-cermat yang dilaksana oleh Obama. Program SETI dipaparkan dengan menyeluruh dalam filem The Contact lakonan Jodie Foster iaitu menghalakan peralatan mendengar berkuasa tinggi ke angkasa lepas. Ia bertujuan mendapatkan isyarat atau kaedah berhubung dengan UFO. Secara logiknya, semua program angkasa lepas AS selama ini, termasuk Makmal Sains Marikh yang akan dilancarkan, juga bermatlamat untuk mencari petanda kehidupan makhluk di luar planet Bumi. Faktor di atas, secara tidak langsung telah menjadi pendorong minat ramai daripada kita untuk mengikuti laporan-laporan berita berkaitan sains angkasa lepas. NASA iaitu agensi angkasa lepas AS sering melaporkan penemuan-penemuan objek lain di angkasa lepas seperti asteroids atau cakerawala berjarak jutaan masa yang dirakam menerusi kamera berkuasa sangat tinggi. Tentunya NASA ada ‘terserempak’ dengan UFO sepanjang pemantauan mereka itu. Jika ada pun, jelas kini pendirian rasmi kerajaan AS ialah ‘UFO tidak tidak wujud’.

PUSAT PENYELIDIKAN

Area 51, yang sering menjadi agenda utama dalam konspirasi UFO sebenarnya merupakan pusat penyelidikan tentera udara AS di Groom Lake. Orang ramai yang memandu berhampiran kawasan tersebut sering melaporkan terlihat cahaya yang aneh atau objek yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Apabila program itu diluluskan untuk didedahkan kepada umum, bekas ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), T.D. Barnes yang telah bersara menyatakan ia adalah pusat membangunkan pesawat ultra-canggih bagi tujuan perisikan dan serangan, merangkumi pesawat Stealth yang berupaya mengelak daripada dikesan radar dan bergerak dalam kelajuan tinggi. Selain itu, reka bentuknya bukan seperti pesawat pejuang konvensional. Namun ramai yang memilih untuk terus mempercayai bahawa Area 51 tersebut ada menyimpan serpihan piring terbang UFO yang dilaporkan terhempas di pekan Roswell pada 1947. Walaupun saya secara peribadi tidak pernah melihat dengan mata sendiri mana-mana UFO atau makhluk asing, bila menyaksikan gambar dan video yang menunjukkan cahaya atau objek di langit yang bergerak dalam kelajuan tinggi, rasanya cerita UFO ini lebih mengembangkan fikiran berbanding bercerita mengenai hantu polong.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 NOVEMBER 2011


ISU UMUM : NYONYA SOSIALITAS GELAP MATA ANGKARA CINTA DAN ANAK IKAN

Dari Jakarta


Ralit benar mengikuti satu persatu kisah Inong Malinda Dee. Pendedahan media tempatan memperlihatkan Malinda bukan sembarangan wanita. Ketika zaman kegemilangannya, dia punya banyak wang. Harta yang dikumpul Malinda sangat luar biasa. Wanita glamor itu bagaimanapun tidak pula dikategorikan sebagai nyonya sosialitas (gelaran untuk wanita elit dan sofistikated Indonesia) atau sering berselisih bahu dengan golongan kaya dan ternama. Tidak kurang yang mendakwa, dia tidak langsung dikenali di kalangan wanita-wanita kaya dan berpengaruh. Namun, di kalangan pelanggan-pelanggannya, Malinda sangat masyhur kerana disifatkan seorang yang bijak menguruskan kewangan. Malinda merupakan bekas Pengurus Kanan Perhubungan Pelanggan di bank antarabangsa, Citibank dengan gaji bulanan secara purata diraih sebanyak Rupiah 70 juta (RM24,000). Berdasarkan rekod, Malinda bekerja keras mengumpul kekayaan tanpa disedari majikannya. Semuanya hasil daripada ‘kebijaksanaan’ dia menggelapkan wang pelanggan Citibank. Barangkali kerana wang, Malinda kelabu mata.

Dia memilih untuk mencari kekayaan dengan cara mudah menggunakan kuasa yang ada padanya biarpun menyedari kerja yang dilakukan itu boleh membinasakan hidupnya. Namun, itu pilihannya dengan menggelapkan wang pelanggan Citibank berjumlah AS$2.3 juta (RM6.8 juta). Sedikit demi sedikit, wang pelanggan bank antarabangsa itu disalurkan ke akaun bank suami serta adik beradiknya. Bayangkan seorang eksekutif kanan bank antarabangsa boleh memiliki sejumlah kenderaan mewah seperti Hummer H3, Ferrari F430 Scuderia, Ferrari California dan Mercedes Benz E350 jika mahu diukur dengan gaji bulanannya. Khabarnya juga dia memiliki beberapa buah rumah mewah. Itu belum lagi mengambil kira penampilan dirinya yang sentiasa menggoda. Khabarnya, Melinda turut membuat pelaburan yang besar semata-mata untuk memastikan ‘aset’ berharga di dadanya menarik perhatian ramai. Bahkan, Malinda yang berusia 48 tahun juga digambarkan sebagai wanita sofistikated kerana sering membaluti tubuhnya dengan pakaian berjenama mewah.

Dia sudah diberkas pihak berkuasa Indonesia pada Mac lalu selepas laporan ke atasnya dibuat oleh pengurusan atasan Citibank. Sekali gus, hari ini, nama Inong Malinda Dee cukup popular. Malah dia merupakan sumber berita yang boleh mendatangkan hasil lumayan buat penerbit akhbar, majalah dan televisyen. Kes perbicaraan wanita yang pernah digelar dengan usikan sexy bank cheater dan pretty bank breaker itu mendapat liputan meluas media Indonesia. Ia bukan sahaja kerana keberaniannya menggelapkan wang pelanggan, sebaliknya, hal yang melibatkan peribadi wanita itu yang mendorong banyak pihak mahu mengetahui lebih mendalam siapa Malinda yang sebenarnya. Di mahkamah baru-baru ini, plot pendedahan kisah benar bertambah dramatik lagi apabila Malinda mengejutkan khalayak dengan kisah peribadinya. Ia termasuk kisah pernikahannya dengan seorang lelaki muda (lazimnya istilah anak ikan lebih popular di kalangan wanita Malaysia menggantikan lelaki muda) bernama Andhika Gumilang.

BERKAHWIN DENGAN ANAK IKAN


Melinda mendedahkan, dia berkahwin dengan suami keduanya itu secara bersiri pada 15 Ogos 2009. Andhika terlalu muda usianya jika dibandingkan dengan Malinda yang hampir mencapai usia 50 tahun. Membuka rahsianya, Malinda memberitahu, ketika berkahwin dengan Andhika dia masih lagi bergelar isteri orang. “Sudah berpisah dengan suami (pertama) tetapi belum proses di mahkamah. Mengikut hukum kami sudah bercerai,” katanya sewaktu memberi keterangan di mahkamah kelmarin. Dia menjelaskan, suami pertamanya sudah menjatuhkan talak ke atasnya pada 2007. Berdasarkan talak itu, Malinda yakin boleh berkahwin lain tanpa berfikir panjang. Di mahkamah juga, Malinda menggambarkan betapa kasih dan sayangnya pada lelaki muda yang berjaya mencairkan hatinya itu. Selepas pasangan suami isteri itu ditahan pihak berkuasa pada Mac lalu, mereka langsung tidak bertentang mata. Justeru, di kamar perbicaraan Malinda mengambil kesempatan menatap wajah suaminya dengan penuh belas dan sarat kerinduan. “Saya senang sekali bertemu Andhika (di mahkamah),” itu reaksi Malinda sebaik bertemu lelaki yang pernah dibelai dengan kasih sayang dan wang ringgit. Sebelum didakwa, Malinda mengakuibanyak menghabiskan wang buat Andhika termasuk memberikannya wang secara bulanan antara Rupiah 5 juta (RM750) hingga Rupiah 10 juta (RM3,500).

Ada masa tertentu pula, Malinda bermurah hati memberikan suaminya itu wang tambahan seandainya Andhika mahu menghabiskan masa di luar bersama-sama teman selebriti. Kenderaan-kenderaan mewah juga dibelikan Malinda buat Andhika. Semua hadiah berkenaan dianggap sebagai lambang kasih dan sayang tidak berbelah bagi terhadap lelaki itu. Sayang sekali wang dan pucuk muda yang dibelai dengan penuh kasih dan sayang menjerat dirinya ke muka pengadilan. Usia Andhika kini 23 tahun.Dia memiliki hajat yang cukup besar untuk menjadi orang popular dengan melibatkan diri dalam dunia peragaan dan lakonan. Pada masa sama, Andhika juga tentunya terpaksa berputih mata untuk menggapai cita-citanya menjadi model dan pelakon ternama kerana didakwa menerima habuan daripada isterinya. Tidak adil untuk kita meletakkan kesilapan di bahu sesiapa pun kerana kes ini masih lagi dibicarakan. Biarlah Malinda dan Andhika diadili mengikut lunas-lunas perundangan negara Indonesia. Hakikatnya, kisah Inong Malinda Dee memberikan pengajaran yang cukup besar pada kita semua.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 NOVEMBER 2011


ISU UMUM : HUTANG NEGARA-NEGARA KAYA

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM dan SYALMIZI HAMID


ITALI SEDANG SAKIT

Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi merupakan seorang lelaki yang hebat. Dia berjaya menepis beberapa skandal seks dan perbicaraan rasuah melibatkan dirinya. Malah, jutawan media berusia 75 tahun itu boleh berbangga kerana mampu memerintah Itali selama 17 tahun. Namun, pemilik kelab bola sepak AC Milan itu akhirnya terpaksa akur dengan tekanan ekonomi yang memaksanya berundur. Sebenarnya, Itali merupakan antara gergasi ekonomi dunia. Siapa yang tidak mengenali jenama kereta mewah Ferrari, Maserati, Lamborghini dan Pagani. Ia juga merupakan pengeluar motosikal berkuasa tinggi Aprilia, Ducati dan Piaggio. Deruman enjin kenderaan mewah itu sahaja sudah membuatkan ramai orang terpukau, belum lagi memilikinya. Tetapi kini Itali sedang sakit. Hutang hutang luar negara itu mencecah AS$2.6 trilion (RM8.1 trillion). Ini membuatkan Kesatuan Eropah (EU) menuntut reformasi ekonomi bagi menghalang Itali daripada terjerumus lebih jauh ke dalam kancah hutang Eropah. Berlusconi sendiri mengesahkan dia tidak akan bertanding dan akan meletakkan jawatan setelah kehilangan majoriti di Parlimen ekoran anggota partinya belot.

GREECE SEMAKIN NAZAK

Itali adalah negara Eropah terbaharu yang terpaksa menanggung beban hutang selepas Greece, Ireland dan Portugal menghadapi masalah yang sama tahun ini. Menurut Pesuruhjaya Tinggi Republik Cyprus ke Malaysia, Nafsika Krousti, situasi di Eropah kini sememangnya sukar dengan sesetengah negara berhadapan krisis hutang yang teruk. “Greece mempunyai hutang sebanyak 160 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding 60 peratus bagi Cyprus. Greece juga mempunyai defisit 11 peratus, kadar pengangguran 15 peratus dan pertubuhan ekonomi yang negatif,” katanya mengenai negara jirannya itu. Keadaan itu memaksa Perdana Menteri Greece, George Papandreou meletak jawatan berikutan kemelut ekonomi negaranya yang tiada kesudahan. Sebelum ini, pemerintah Greece telah menjual beberapa buah pulau di negara itu untuk membayar balik hutang negara. Turut dijual ialah tanah milik negara di Pulau Mykonos, destinasi pelancongan paling popular di Greece. Hakikatnya, negara-negara kaya merupakan penghutang terbesar di dunia.

NEGARA KAYA DIHAMBAT HUTANG

Sehingga penghujung tahun 2010, Amerika Syarikat (AS) menduduki tangga pertama negara paling banyak hutang iaitu AS$13.9 trilion diikuti Kesatuan Eropah (AS$13.7 trilion), Britain (AS$8.9 trilion), Jerman (AS$4.7 trilion), Perancis (AS$4.6 trilion dan Jepun (AS$2.4 trilion). Beban hutang kerajaan yang kini perlu ditanggung oleh pekerja di negara kaya meningkat dua kali ganda di antara tahun 2007 dan 2015. Perkara tersebut menyebabkan berlaku pengecutan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya sistem kesihatan mereka. Masalah hutang sudah lama dideritai oleh negara-negara mundur seperti Sub-Sahara Afrika yang melibatkan 42 buah negara. Menurut Noreena Hertz, penulis buku The Debt Threat: How Debt is Destroying the World, setiap hari rakyat di benua yang terkenal dengan kemiskinan itu membayar AS$30 juta hutang sedangkan pada masa yang sama 26 juta rakyatnya dijangkiti HIV dan Aids.

Pasca Perang Dunia Kedua, kerajaan di negara-negara maju, bank-bank swasta serta badan kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan pinjaman hutang kepada Negara-Negara Dunia Ketiga untuk membiayai projek infrastruktur mega seperti lebuh raya dan pelabuhan. Malangnya, kegagalan untuk membayar balik pinjaman telah menjerat negara-negara peminjam. Krisis yang sama kini dihadapi oleh negara maju khususnya di Eropah. Pakar ekonomi, Profesor Eswar Prasad dari Universiti Cornell, AS berkata negara kaya yang banyak hutang hakikatnya memberi sumbangan yang kecil dalam membantu pertumbuhan ekonomi global. Menurut beliau, negara kaya seperti Jepun akan menyaksikan hutang kerajaan bagi setiap penduduk meningkat daripada AS$31,700 pada tahun 2007 kepada AS$68,500 pada tahun 2015.

JEPUN PUN TERJERAT JUA

Dengan beban hutang yang bertambah secara automatik ia mempengaruhi pertumbuhan dan kestabilan sesebuah negara. Ia turut menjadi ancaman kepada ekonomi global, ujar Prasad. Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde berpendapat jika krisis ekonomi Eropah bertambah buruk, negara Asia akan menerima tempiasnya. Hakikatnya kini, kuasa ekonomi Asia, Jepun mengalami kadar hutang negara lebih 200 peratus daripada KDNK. Semua ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang perlahan sejak beberapa tahun yang lalu. Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah, berkata kemerosotan ekonomi dan pertambahan hutang di negara Eropah adalah disebabkan oleh kegagalan menguruskan polisi dan sistem kewangan dengan baik. Kerajaan Greece, kata beliau, tidak berjaya melaksanakan penggubalan dasar ekonomi yang baik untuk rakyatnya. “Kejatuhan ekonomi sesebuah negara akan turut mengheret masalah politik dan sosial.  “Tidak hairanlah jika negara yang muflis dan dibelenggu hutang ini menjadi huru-hara kerana rakyat tidak menerima manfaatnya. Beliau bagaimanapun tidak begitu bimbang dengan masalah ekonomi yang dihadapi Greece kerana Malaysia tidak terikat dari segi perdagangan dengan negara Eropah itu. “Tetapi kita perlu bersedia kerana ia juga mampu memberi kesan kepada negara Eropah lain. “Apabila negara yang mempunyai hubungan dagang dengan kita seperti Jerman, Britain dan Perancis terkesan, kita juga akan menerima tempiasnya,” katanya.

SUMBER
HARIAN KOSMO


12 November 2011

ISU PENDIDIKAN : GURU KERJA 9 JAM MULAI TAHUN 2012?

Oleh JAMLIAH ABDULLAH


Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun 2012, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran. Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah. Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu. NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan. Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan. Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini. Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah. Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2011

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL

Hanya guru yang memahami susah payah dan suka duka kehidupan seorang guru. Walau bagaimanapun, pihak yang mencadangkan usul ini harus memahami persekitaran kerja golongan guru berbanding dengan mereka yang berada dalam bidang bukan guru. Sekolah memanglah tempat yang indah yang dibina untuk menjana modal  insan yang bakal menjadi peneraju negara pada masa hadapan. Jika rakan-rakan di jabatan lain, enak bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin, guru pula terpaksa berpeluh-peluh mengajar di dalam kelas yang panas dan merimaskan. Bayangkanlah, suasana dalam kelas sewaktu pukul 1.00 hingga pukul 3.00 petang. Dalam pada itu, guru pula terpaksa turun pada hari Sabtu dan Ahad untuk melakukan kerja-kerja lain yang diarahkan di sekolah dan pelbagai aktiviti kokurikulum. Sebenarnya, pada masa sekarang pun guru terpaksa menyiapkan pelbagai jenis tugas selepas waktu persekolahan. Selepas habis waktu mengajar pada pukul 1.00 petang, guru pula terpaksa mengajar kelas tambahan sehingga pukul 4.30 petang atas arahan pihak sekolah. Pada sebelah malam pula, hampir 90% guru menghabiskan masa untuk menyemak kerja-kerja pelajar sehingga anak dan isteri mengeluh kerana ayah tersayang asyik sibuk dengan kerja sendiri.

Orang yang tidak pernah menjadi guru dan bukan guru sentiasa menafikan fakta bahawa guru merupakan insan yang paling sibuk. Tugas membentuk insan hingga menjadi intelektual, berakal, dan berkeperibadian mulia bukannya semudah yang dipandang dan sesenang yang dilihat. Benarlah kata pepatah, kacang begitu mudah lupakan kulit kerana golongan cerdik pandai yang dilahirkan, ditempa, dan dibentuk oleh gurulah yang meyelar gurunya sendiri lantaran sikap iri hati dan dengki yang tiada penghujung. Mereka terlupa sewaktu mereka bersekolah guru mengajar kelas tambahan siang dan malam, bersengkang mata menyemak dan menanda kertas peperiksaan, mengutip yuran, menanda buku kedatangan, memeriksa dan menjaga sewaktu mereka makan dan perhimpunan, mengajar mereka berkawat kaki pada hari Sabtu, dan beribu-ribu lagi tugas yang terpaksa dilakukan demi memastikan mereka menjadi juara dan berjaya. Apabila melihat perhatian kerajaan lebih tertumpu kepada golongan guru, mereka mulalah bersuara, mengungkit dan membangkit serta mempersoalkan cara guru bekerja tanpa terlebih dahulu menganalisis dan menyelidik. Jika ingin tahu resam hidup seorang guru, jadilah guru atau bertemu jodoh dengan guru. Jangan hanya menuduh melulu bahawa tugas guru ini terlalu senang.

ISU EKONOMI : MENERUSKAN MOMENTUM ETP

Oleh NURUL ANUAR KARI


PULAU KOH LARN, PATTAYA, THAILAND

Pengumuman sembilan projek baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM2.5 bilion termasuk 12,027 peluang pekerjaan baru di pelbagai sektor oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin membuktikan inisiatif transformasi itu semakin berjaya. Ditambah dengan empat projek yang diumumkan sebelum ini, 13 projek tersebut berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM5.85 bilion ke Malaysia. Dengan perangkaan akan menjana RM8.68 bilion pendapatan negara kasar (GNI), perkembangan terbaru ETP itu juga bakal mewujudkan 16,092 peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Perdana Menteri juga mengumumkan tiga syarikat baru turut serta dalam pelaburan ETP negara iaitu IBM Corp., Toshiba dan Akamai Technologies. IBM akan melabur sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan pusat penyampaian global yang baru di Cyberjaya, Toshiba melabur RM268 juta bagi ibu pejabat operasi serantau dan Akamai Technologies akan bekerjasama dengan Telekom Malaysia bagi projek Netstorage bernilai RM390,000.

Projek-projek baru itu juga akan melibatkan sektor penjagaan kesihatan, perindustrian kimia-oleo, kandungan dan infrastruktur komunikasi, pertanian serta pembangunan teknologi sementara empat projek yang diumumkan sebelum ini melibatkan sektor minyak dan gas, kelapa sawit serta aero angkasa telah memasuki peringkat pelaksanaan. Najib menjelaskan, sesetengah projek permulaan (EPP) mempunyai lebih daripada satu projek dengan keseluruhan 97 projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di bawah ETP. Pengumuman inisiatif terbaru di bawah ETP itu juga telah beberapa kali dibuat dengan setiap satu membawa perkembangan positif pelaburan, sumbangan GNI dan peluang pekerjaan baharu yang semakin meningkat sejak program transformasi tersebut mula diumumkan. Sejak mula diperkenalkan pada Oktober 2010, ETP merekodkan sejumlah RM177.1 bilion nilai pelaburan dengan unjuran RM237.23 bilion pulangan GNI serta 389,263 peluang pekerjaan baru seterusnya menyangkal pendapat golongan tertentu bahawa inisiatif kerajaan itu tidak realistik dan mustahil untuk dicapai.

Semua ini merupakan perkembangan positif bagi mencapai sasaran mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan 97 projek dalam fasa pelaksanaan melibatkan pelaburan bernilai RM10 bilion telah dilaksanakan setakat ini. Jumlah pelaburan itu merangkumi 64 peratus daripada sasaran pelaburan berjumlah RM15 bilion untuk tahun ini. Perdana Menteri juga gembira dengan perkembangan positif selepas hanya 12 bulan pelancaran ETP di samping peningkatan keyakinan sektor swasta terhadap ekonomi negara yang semakin meningkat hasil tumpuan kerajaan kepada 12 bidang pertumbuhan utama. Pelaburan sektor swasta pada separuh pertama 2011 dilaporkan meningkat sebanyak 23.4 peratus kepada RM51.2 bilion dan mengatasi pelaburan awam bagi tempoh yang sama. Bagi pemerhati veteran hal ehwal ekonomi negara, Profesor Dr. Amir Baharuddin, inisiatif kerajaan melalui ETP sewajarnya disokong kerana nyata sekali semuanya demi kebaikan rakyat dan negara.

Walaupun kerajaan telah berjaya membawa masuk pelaburan besar dan peluang pekerjaan yang banyak, beliau menegaskan aspek persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan tidak boleh diabaikan terutamanya jika boleh menjejaskan hasil dan pelaksanaan ETP. "Lihat sahaja banjir di Thailand dan tsunami di Jepun. Kesannya telah 'melimpah' ke dalam ekonomi Malaysia. "Kini harga emas terus naik serta masalah dihadapi matawang Euro dan Dollar Amerika juga mungkin memberi kesan negatif kepada perancangan ekonomi kita," ujarnya. Beliau juga mengingatkan pihak yang terlibat dalam menasihatkan Perdana Menteri menyampaikan maklumat sebenar tanpa sebarang agenda agar keputusan kerajaan adalah yang terbaik untuk rakyat dan negara. "Ekonomi kita terbuka kepada perubahan luar, lebih daripada ekonomi Jepun dan kerana itu kerajaan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. "Gunakan pengalaman untuk menyesuaikan perancangan dan tindakan dengan keadaan semasa dan sudah pasti objektif ETP mampu dicapai dengan jayanya kelak," katanya. Oleh itu, Amir menyarankan beberapa siri perancangan jangka pendek disediakan bagi menghadapi kebarangkalian perubahan peringkat global yang kini dilihat tidak stabil dan boleh memberi kesan negatif kepada ETP.

"Adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kebarangkalian yang berlaku di seluruh dunia? "Pelaksanaan perancangan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa dunia dan dalam perancangan jangka panjang sebegini kita perlu sentiasa bersedia," tegasnya. Beliau juga berharap semua pihak mengambil kira apa yang difikirkan rakyat di peringkat akar umbi dan persoalan yang timbul di minda mereka. "Siapa yang mendapat habuannya? Macam mana orang kecil mendapat manfaatnya? Bagaimana kesannya ke atas hutang negara? "Apa jaminan perancangan tersebut tidak merosakkan ekonomi negara? Ini antara apa yang rakyat fikirkan bila menyebut tentang ekonomi negara, ekonomi rakyat jelata," katanya. Sesungguhnya kerajaan terbukti mampu mencapai sasaran membawa masuk pelaburan dari dalam dan luar negara demi mengejar ekonomi negara maju menjelang 2020. Namun, usaha untuk menjaga pelaburan dan peluang pekerjaan yang berjaya diperolehi kerajaan itu adalah lebih sukar terutama sekali jika berlaku perubahan mendadak di peringkat global. Justeru, momentum dalam pelaksanaan ETP perlu dijaga rapi bukan sahaja dari sudut perolehan malahan dari sudut persediaan negara menghadapi sebarang kemungkinan dan pelaksanaan mengikut kesesuaian keadaan semasa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2011


ISU EKONOMI : APABILA HANYA BERSANDARKAN PADA MAKLUMAT BASI ...

Oleh Saranan Salleh


PANTAI SANTUBONG, SARAWAK

Hari ini Bank Dunia menerbitkan Laporan Pantauan Ekonomi untuk November 2011 yang menyentuh tentang kunci kepada kejayaan ekonomi Malaysia adalah keterangkuman (inclusiveness). Tidak ada perkara-perkara baru yang dibentangkan dalam laporan itu. Misalnya untuk memperbaiki kemiskinan dan ketidaksamaan, kita kena mengamalkan dasar-dasar yang memperbaiki modal insan. Ini termasuklah memberi peluang dengan menggalakkan penghijrahan pekerja ke tempat-tempat yang wujudnya peluang pekerjaan dan memberikan kelonggaran perkara berkaitan buruh, menggalakkan pendidikan di kawasan-kawasan yang kurang diberikan perhatian dan memperbaiki sistem latihan vokasional dan memperkukuhkan pembangunan kemahiran yang dipandukan oleh industri dan majikan. Langkah seterusnya disebut adalah memperkukuhkan program keselamatan sosial supaya sampai kepada yang memerlukan. Tidak ada apa yang baru hendak diketengahkan dan di kalangan perkara yang telah dibangkitkan, langkah-langkah sedang diambil untuk melaksanakannya. Bukan boleh dipetik untuk jadi begitu sahaja.

Memang tidak hairan kalau badan-badan seperti Bank Dunia ini gemar menerbitkan laporan-laporan yang sedikit sebanyak menanam bibit-bibit keraguan atas apa jua usaha yang ingin kita lakukan. Laporan mereka selalunya disokong dengan butir-butir yang seolah-olah meneropong setiap helai dan lapisan dalam fabrik ekonomi kita. Di sinilah pihak penggubal dan pelaksana dasar-dasar kita tidak wajar tergugat dengan usaha mereka yang mungkin mempersoalkan satu persatu daripada usaha-usaha yang ingin kita lakukan. Kita semua tahu tentang pelbagai program transformasi kerajaan yang sedang dirancang dan dilaksanakan serta kejayaan yang telah tercapai dan apa yang baik kita lakukan. Badan-badan dunia memang cepat mencari kelemahan-kelemahan untuk dihebahkan. Mereka yang kurang memberikan perhatian teliti tentang apa yang berlaku boleh menghindarkan diri daripada melabur di negara kita ini malahan sektor swasta kita sendiri kalau bergantung kepada laporan-laporan yang melemahkan juga akan terpengaruh.

Kita wajar mempunyai suatu jabatan perhubungan awam (public relation) yang mampu menangkis laporan-laporan yang hanya untuk menimbulkan keraguan, misalnya walaupun kita mencapai 7.4 peratus (%) tetapi itu bersandarkan kepada asas yang lebih rendah dan sebagainya. Jabatan ini wajar bersifat antarabangsa supaya mengumpul maklumat tentang negara kita dan bertindak menangkis perkara yang negatif secepat mungkin. Kita juga wajar memantau ahli politik kita yang gemar menabur fitnah tentang negara kita supaya dapat menangkis fitnah mereka secepat mungkin. Kita mesti sedar tujuan pembangkang adalah menimbulkan keraguan atas setiap usaha yang dilakukan oleh kerajaan, semuanya tak ada yang baik kerana moto mereka pecah dan perintah dan segala institusi yang boleh ditimbulkan keraguan wajar diberikan tentangan. Lihat saja apa yang berlaku sekarang. Justeru jabatan atau badan ini wajar bertindak seperti satu badan perisik supaya pihak tertentu tidak menggunakan maklumat yang sudah basi.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2011