JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 November 2011

ISU EKONOMI : MENERUSKAN MOMENTUM ETP

Oleh NURUL ANUAR KARI


PULAU KOH LARN, PATTAYA, THAILAND

Pengumuman sembilan projek baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM2.5 bilion termasuk 12,027 peluang pekerjaan baru di pelbagai sektor oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin membuktikan inisiatif transformasi itu semakin berjaya. Ditambah dengan empat projek yang diumumkan sebelum ini, 13 projek tersebut berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM5.85 bilion ke Malaysia. Dengan perangkaan akan menjana RM8.68 bilion pendapatan negara kasar (GNI), perkembangan terbaru ETP itu juga bakal mewujudkan 16,092 peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Perdana Menteri juga mengumumkan tiga syarikat baru turut serta dalam pelaburan ETP negara iaitu IBM Corp., Toshiba dan Akamai Technologies. IBM akan melabur sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan pusat penyampaian global yang baru di Cyberjaya, Toshiba melabur RM268 juta bagi ibu pejabat operasi serantau dan Akamai Technologies akan bekerjasama dengan Telekom Malaysia bagi projek Netstorage bernilai RM390,000.

Projek-projek baru itu juga akan melibatkan sektor penjagaan kesihatan, perindustrian kimia-oleo, kandungan dan infrastruktur komunikasi, pertanian serta pembangunan teknologi sementara empat projek yang diumumkan sebelum ini melibatkan sektor minyak dan gas, kelapa sawit serta aero angkasa telah memasuki peringkat pelaksanaan. Najib menjelaskan, sesetengah projek permulaan (EPP) mempunyai lebih daripada satu projek dengan keseluruhan 97 projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di bawah ETP. Pengumuman inisiatif terbaru di bawah ETP itu juga telah beberapa kali dibuat dengan setiap satu membawa perkembangan positif pelaburan, sumbangan GNI dan peluang pekerjaan baharu yang semakin meningkat sejak program transformasi tersebut mula diumumkan. Sejak mula diperkenalkan pada Oktober 2010, ETP merekodkan sejumlah RM177.1 bilion nilai pelaburan dengan unjuran RM237.23 bilion pulangan GNI serta 389,263 peluang pekerjaan baru seterusnya menyangkal pendapat golongan tertentu bahawa inisiatif kerajaan itu tidak realistik dan mustahil untuk dicapai.

Semua ini merupakan perkembangan positif bagi mencapai sasaran mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan 97 projek dalam fasa pelaksanaan melibatkan pelaburan bernilai RM10 bilion telah dilaksanakan setakat ini. Jumlah pelaburan itu merangkumi 64 peratus daripada sasaran pelaburan berjumlah RM15 bilion untuk tahun ini. Perdana Menteri juga gembira dengan perkembangan positif selepas hanya 12 bulan pelancaran ETP di samping peningkatan keyakinan sektor swasta terhadap ekonomi negara yang semakin meningkat hasil tumpuan kerajaan kepada 12 bidang pertumbuhan utama. Pelaburan sektor swasta pada separuh pertama 2011 dilaporkan meningkat sebanyak 23.4 peratus kepada RM51.2 bilion dan mengatasi pelaburan awam bagi tempoh yang sama. Bagi pemerhati veteran hal ehwal ekonomi negara, Profesor Dr. Amir Baharuddin, inisiatif kerajaan melalui ETP sewajarnya disokong kerana nyata sekali semuanya demi kebaikan rakyat dan negara.

Walaupun kerajaan telah berjaya membawa masuk pelaburan besar dan peluang pekerjaan yang banyak, beliau menegaskan aspek persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan tidak boleh diabaikan terutamanya jika boleh menjejaskan hasil dan pelaksanaan ETP. "Lihat sahaja banjir di Thailand dan tsunami di Jepun. Kesannya telah 'melimpah' ke dalam ekonomi Malaysia. "Kini harga emas terus naik serta masalah dihadapi matawang Euro dan Dollar Amerika juga mungkin memberi kesan negatif kepada perancangan ekonomi kita," ujarnya. Beliau juga mengingatkan pihak yang terlibat dalam menasihatkan Perdana Menteri menyampaikan maklumat sebenar tanpa sebarang agenda agar keputusan kerajaan adalah yang terbaik untuk rakyat dan negara. "Ekonomi kita terbuka kepada perubahan luar, lebih daripada ekonomi Jepun dan kerana itu kerajaan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. "Gunakan pengalaman untuk menyesuaikan perancangan dan tindakan dengan keadaan semasa dan sudah pasti objektif ETP mampu dicapai dengan jayanya kelak," katanya. Oleh itu, Amir menyarankan beberapa siri perancangan jangka pendek disediakan bagi menghadapi kebarangkalian perubahan peringkat global yang kini dilihat tidak stabil dan boleh memberi kesan negatif kepada ETP.

"Adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kebarangkalian yang berlaku di seluruh dunia? "Pelaksanaan perancangan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa dunia dan dalam perancangan jangka panjang sebegini kita perlu sentiasa bersedia," tegasnya. Beliau juga berharap semua pihak mengambil kira apa yang difikirkan rakyat di peringkat akar umbi dan persoalan yang timbul di minda mereka. "Siapa yang mendapat habuannya? Macam mana orang kecil mendapat manfaatnya? Bagaimana kesannya ke atas hutang negara? "Apa jaminan perancangan tersebut tidak merosakkan ekonomi negara? Ini antara apa yang rakyat fikirkan bila menyebut tentang ekonomi negara, ekonomi rakyat jelata," katanya. Sesungguhnya kerajaan terbukti mampu mencapai sasaran membawa masuk pelaburan dari dalam dan luar negara demi mengejar ekonomi negara maju menjelang 2020. Namun, usaha untuk menjaga pelaburan dan peluang pekerjaan yang berjaya diperolehi kerajaan itu adalah lebih sukar terutama sekali jika berlaku perubahan mendadak di peringkat global. Justeru, momentum dalam pelaksanaan ETP perlu dijaga rapi bukan sahaja dari sudut perolehan malahan dari sudut persediaan negara menghadapi sebarang kemungkinan dan pelaksanaan mengikut kesesuaian keadaan semasa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: