05 September 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN MAMPU MERAPATKAN JURANG BUDAYA AKADEMIA DAN PASARAN TEKNOLOGI

Oleh Dr Sharifah Hapsah
bhnews@bharian.com.my


Universiti penyelidikan diharap membantu kerancakan ekonomi dipacu inovasi menerusi pemindahan ilmu dan teknologi yang mampu mentransformasi pengeluaran dan perkhidmatan sedia ada atau melancar syarikat baru berteraskan teknologi. Pemindahan ini melonjak pertumbuhan perniagaan dan dalam proses mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan kehidupan yang lebih berkualiti. Untuk mencapai matlamat berkenaan, universiti penyelidikan semestinya melaksanakan sekurang-kurangnya empat perkara secara berkesan. Yang pertama, kita mesti menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan sumber manusia berkeusahawanan dan berinovasi tinggi, terutama pada peringkat sarjana dan kedoktoran yang arif dalam penyelidikan dan pembangunan (P&P), inovasi, pengurusan teknologi dan memiliki pengalaman dalam keusahawanan.  Yang kedua, kita mesti mencipta laluan yang berjaya membawa P&P kepada inovasi dan pengkomersialan. Pelancaran syarikat terbitan universiti (university start-ups) atau STU sudah dibuktikan memberi pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah pelesenan, melainkan bagi beberapa produk perubatan yang menakjubkan. Ini memerlukan pembangunan usahawan berteknologi (technostarters) daripada kalangan ahli akademik dan penyelidik.

Yang ketiga, kita mesti terbabit sama dengan pihak kerajaan, badan korporat dan industri, institusi akademik lain serta masyarakat pada peringkat lokal dan global kerana inovasi tidak berlangsung dalam keadaan terasing. Nilai kewangan dan manfaat sosial inovasi dinikmati oleh pelbagai pemegang taruh yang merangkai ikatan dalam suatu sistem inovasi yang berkesan. Melalui pembabitan dan kerjasama berkesan kita dapat mengenal pasti kekuatan rakan dan mengumpil segala sumber untuk menambah baik peluang ekonomi berasaskan inovasi.  Contohnya, pihak swasta dan yayasan memainkan peranan utama dalam kerjasama penyelidikan universiti-industri dari segi menaja kursi penyelidikan, membiayai P&P, malah terbabit secara langsung dalam aktiviti keusahawanan dan pembangunan inisiatif berasaskan teknologi.  Yang keempat, kita perlu menyediakan sistem pelaksanaan berkesan dari segi tadbir urus baik dan infrastruktur sokongan mencukupi, kepemimpinan berketrampilan dan pengurusan bakat yang adil dan telus.  Harapan terhadap kemampuan melancar STU dan menghasilkan siswazah berorientasi baru memerlukan perubahan minda dari segi penerimaan inovasi dan keusahawanan (I&E) sebagai nilai utama akademik atau budaya universiti.

Ini bermakna kita menyepadukan I&E dalam P&P dan kurikulum pada peringkat pra dan pascasiswazah.  Dalam budaya I&E, ahli akademik sudah mula memikirkan kebolehpasaran teknologi yang bakal dihasilkan daripada awal penyelidikan lagi. Penyelidik dan pelajar dibantu dalam pembangunan prototaip dan model perniagaan yang boleh menarik pelabur. Kurikulum menghasilkan bukan saja siswazah inovatif, terutama jurutera, saintis dan pakar pembangunan produk, tetapi juga pengurus keusahawanan atau kumpulan bakat ketua pegawai eksekutif (CEO) yang mahir menjana nilai STU.  Syarikat terbitan milik universiti dan pelabur dilancarkan oleh CEO yang memberi pulangan kepada institusi, fakulti dan pelajar. Bagaimanapun, kita sedar bahawa dunia akademia dan pasaran sangat berbeza dari segi sekitaran, nilai dan budaya.  Contohnya, ada isu berkaitan penggunaan masa fakulti untuk mengejar matlamat pengkomersialan daripada hasil penyelidikan universiti. Begitu juga berlaku konflik ketara antara keperluan akademik untuk bebas menerbit dengan kehendak perniagaan bagi kerahsiaan perniagaan.  

Untuk membina budaya I&E kita perlu merapatkan jurang budaya antara akademia dengan pasaran di samping mengukuhkan kekuatan masing-masing. Tapak pertemuan yang dibina subur untuk pelancaran STU demi perkembangan perniagaan dan industri – sama ada perniagaan kecil, sederhana atau besar-besaran. Kita boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kumpulan bakat baru dan menarik pelabur.  Setiap universiti mestilah mempunyai inisiatif membina keupayaan dalam inovasi teknologi dan keusahawanan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, bekerjasama dengan rakan yang mempunyai pengalaman luas dalam I&E. Salah satu rakan ialah Stevens Institute of Technology, di New Jersey, institusi ketiga terbaik dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat yang menjana pendapatan daripada penyelidikan.  Bengkel intensif diadakan bagi membimbing penyelidik UKM bagaimana menilai teknologi mereka dan mendapat bantuan berniaga menerusi khidmat nasihat, kejurulatihan, kajian pasaran dan pengenalan kepada pelabur berpotensi atau rakan industri. Peserta membangunkan pelan perniagaan yang berkemungkinan berjaya di samping membangunkan produk ke arah menubuhkan STU.  

Dalam proses berkenaan, mereka mempelajari banyak kemahiran, seperti rundingan strategik dengan pelanggan, pembiaya, pelabur, rakan kongsi dan pesaing. Mereka juga mempelajari bagaimana merangka strategi melepaskan STU dari segi merancang peluang pelaburan yang dapat mengoptimumkan pendapatan daripada perniagaan menerusi kefahaman perspektif pelabur yang lebih baik. Lebih penting lagi, mereka belajar bagaimana membuat keputusan yang lebih berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai usahawan. Dengan memanfaatkan kekuatan yang dimiliki Stevens, UKM kini menggubal kurikulum yang memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui paduan perniagaan dengan pengurusan teknologi. Bermula dari tahun pertama, sehingga projek STU pada tahun akhir, pelajar akan menempuh pengalaman membawa konsep penyelidikan kepada tahap produk dan penjanaan hasil. Mereka juga berpeluang menyelesaikan masalah sebenar syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenal pasti kehendak pasaran. Pada peringkat pascasiswazah pula, pelajar MBA bekerjasama dengan penyelidik dan teknologi mereka bagi menghasilkan idea perniagaan.

Pada akhirnya pelajar akan keluar dengan keupayaan membangun dan melancarkan syarikat. Jika mereka diambil sebagai pekerja, mereka memiliki keterampilan inovasi untuk meningkatkan produktiviti firma mereka. Inisiatif membina keupayaan harus juga disasarkan kepada kepemimpinan universiti, seperti dekan dan pengarah yang menjadi elemen genting dalam transformasi menjadi universiti penyelidikan yang dipacu inovasi. Mereka perlu memahami kenapa dan bagaimana membina iklim I&E, contohnya melalui kejelasan mengenai kekuatan dan fokus asas penyelidikan, memberi kepemimpinan mantap, dan menyediakan insentif dan ganjaran yang bersesuaian. Mereka mesti memahami perkara berkaitan pembiayaan tahap permulaan dan modal benih, kemudahan makmal dan inkubator, bantuan perundangan, pengurusan sumber pembinaan keupayaan dan peluang jaringan. Universiti harus juga mengukuhkan keperluan prasarana dan dasar harta intelek serta insentif hak milik yang menyokong usaha pemindahan teknologi universiti. Di UKM contohnya, Pusat Inovasi Kolaboratif menerusi Pejabat Pemindahan Teknologi dan UKM Technology Bhd menyediakan bantuan yang sangat diperlukan untuk meniti ‘Lembah Maut’ yang berada di antara hasil penyelidikan universiti dengan pasaran.

Pusat Keusahawanan dan Pembangunan PKS bersama-sama Graduate School of Business ialah tempat menyokong keusahawanan pelajar. Hingga kini, UKM sudah menguruskan 15 lesen dan melancarkan 33 STU, 20 diuruskan UKM Technology Bhd dan 10 di bawah perkongsian pintar UKM-MTDC Symbiosis Graduate Entrepreneurship Programme. Bakinya diusahakan bersama Multimedia Development Corporation dan BiotechCorp. Kerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengenal pasti 15 teknologi yang berpotensi dikomersialkan bersama syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan PKS. Pemindahan teknologi universiti ialah proses yang kompleks. Namun kita sudah memulakan perjalanan membentuk bakat muda menjadi saintis dan teknousahawan serta menubuh STU yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteraskan inovasi. Pastinya kita akan menemui kegagalan tetapi kita beriltizam mempelajari darinya sebagai prinsip asas demi terus membawa inovasi dan keusahawanan melangkah ke hadapan.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU KENEGARAAN : MENCARI 100 NAMA PEJUANG MERDEKA

Ku Seman Ku Hussain


Mencari  seratus nama yang memperjuang kemerdekaan perlu dimulai sekarang. Selepas 54 tahun usia kemerdekaan, sekurang-kurang seratus nama mereka yang berjuang untuk merdeka perlu ditampilkan kepada rakyat. Sebelum ini Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi sama ada Dato’ Onn atau Tunku, mereka tidak boleh berjuang sendiri tanpa gerakan daripada segenap sudut. Kerana itu sebelum sampai era Dato’ Onn dan Tunku, gerakan memperjuangkan kemerdekaan telah bermula. Golongan ulama, sasterawan dan wartawan sudah berkerja untuk merdeka sejak lebih awal lagi. Kalau kita mempunyai senarai seratus nama tokoh pejuang kemerdekaan, kita tentu boleh melihat akar dan sejarah kemerdekaan secara lebih menyeluruh dan adil. Dalam perjuangan kemerdekaan, sumbangan golongan berhaluan kiri misalnya tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini kerana makna kiri ketika itu adalah gerakan penentang kepada penjajahan termasuk penjajah British. Tokoh seperti Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi serta banyak tokoh ulama barangkali boleh disenaraikan dalam seratus nama pejuang merdeka.

Kecenderungan mengangkat tokoh tertentu seolah-olah kita tidak sedar telah memadam sejarah. Sejarah tetap sejarah. Ini membuatkan orang bertanya, apa halnya dengan pejuang yang lain? Adakah mereka tidak menyumbang sesuatu dalam perjuangan kemerdekaan sama ada secara langsung atau tidak langsung? Kita lebih melihat acara pengisytiharan kemerdekaan daripada orang yang menggerakkan kemerdekaan di peringkat rakyat. Tiga tokoh wartawan, Pak Sako, A. Samad Ismail dan Said Zahari hampir tidak pernah disebut pada acara mengenang kemerdekaan. Adakah mereka ini langsung tidak berjasa? Sebenarnya usaha menyenaraikan seratus nama ini adalah langkah supaya tidak wujud kecenderungan memadam sejarah. Ini kerana kita seolah-olah diasuh melupakan perjuangan golongan kiri kerana fahaman politik di luar arus zaman penjajah. Generasi selepas ini perlu tahu sumbangan pejuang kemerdekaan selain Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Sekurang-kurangnya kalau kita mempunyai seratus nama, kita akan melihat secara menyeluruh proses perubahan dari aspek sosial dan politik menuju kemerdekaan.

Tetapi kita hanya perlu mencari seratus nama, tidak kira siapa mereka termasuklah Tunku Abdul Rahman. Dalam kata lain, setiap penglibatan mereka menyumbang kepada satu gerakan perjuangan kemerdekaan. Senarai ini bukanlah bertujuan menafikan sumbangan pihak atau tokoh tertentu tetapi mengingatkan nama-nama yang barang kali asing kerana kealpaan kita. Sejarah kemerdekaan jangan jadi seperti sejarah perfileman Melayu yang banyak nama terpadam kerana memberi laluan kepada P. Ramlee. Dunia perfileman Melayu telah memadamkan banyak tokoh besar dan ini tidak boleh turut berlaku dalam perjuangan kemerdekaan kerana generasi baru mempunyai banyak laluan untuk mengkaji sejarah. Biarlah dunia filem sahaja yang memadamkan nama Hussein Haniff dan Jamil Sulong untuk mengangkat P. Ramlee.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 SEPTEMBER 2011

04 September 2011

ISU UMUM : HARI RAYA, LEBUH RAYA, JALAN RAYA, JEM RAYA ...

Untung Sabut Timbul


Ini cerita lama: kesesakan lalu lintas di semua bandar-bandar dan pekan-pekan kecil semasa menjelang dan ketika hari raya. Juga kesesakan lalu lintas ketika kenderaan keluar dari Lembah Kelang menjelang hari raya. Sama juga dengan kesesakan lalu lintas semasa kenderaan masuk ke dalam Lembah Kelang ketika habis hari raya. Selain itu, kesesakan lalu lintas pada hujung minggu sepanjang bulan Syawal di Lembah Kelang lantaran warga kota mengadakan rumah-rumah terbuka. Cerita barunya: kesesakan lalu lintas bertambah teruk tahun ini berbanding tahun-tahun dahulu. Walaupun kelihatan banyak jalan-jalan baru dan lebuh-lebuh raya baru yang telah siap dibina. Juga boleh dikatakan semua bandar dan pekan-pekan di seluruh negara tidak akan dapat selesaikan masalah kesesakan lalu lintas menjelang dan semasa hari raya. Adakah kesesakan lalu lintas menjelang dan semasa hari raya itu suatu masalah? Kalau kita anggap ia menyusahkan kita, maka ia menjadi masalah. Maka apabila kita berasa susah hati kerana tersangkut sangkut dalam kesesakan lalu lintas, ia benar-benar adalah masalah.

Tetapi jika kita anggap kesesakan lalu lintas itu tidak menyusahkan kita, maka ia tidak menjadi masalah. Umpamanya jika kita mempunyai perasaan sabar yang tinggi dan menganggap bahawa kesesakan lau lintas itu adalah takdir yang wajar kita terima dengan reda, maka ia tidaklah menjadi masalah. Kesesakan lalu lintas itu adalah takdir. Ia merupakan hukum alam yang telah ditetapkan Tuhan. Maka kita akan sabar dengan gejala itu apabila kita terima bahawa ia merupakan hukum Tuhan. Adalah jelas apabila kenderaan banyak menuju satu tempat yang kecil dengan laluan terhad, sudah pasti berlaku kesesakan lalu lintas. Ilmu matematik, fizik, geografi dan kajian perancangan bandar semuanya mematuhi hukum Tuhan bahawa dalam keadaan sedemikian pasti berlaku kesesakan lalu lintas. Dalam kesesakan lalu lintas begini, kalau kita bertafakur, maknanya berfikir, dan kemudian capai tasbih dan berzikir dalam kereta, insya-Allah kesabaran kita boleh ditingkatkan dan kita menjadi reda dengan takdir dan hukum Tuhan. Makanya kesesakan lalu lintas itu tidak menyusahkan dan justeru bukan masalah bagi golongan as-sabirin, atau orang-orang yang sabar.

Tetapi hukum Tuhan juga menunjukkan bahawa tidak semua orang boleh mencapai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kesesakan lalu lintas sebegini. Maka orang kebanyakan ini tentulah merasakan bahawa kesesakan lalu lintas ini adalah suatu masalah. Seringkali apabila disebut masalah, maka difikirkan mengenai penyelesaian. Anggapannya ialah apabila ada masalah, tentulah ada penyelesaiannya. Hakikatnya tidak demikian. Dalam sejarah, banyak masalah tidak ada penyelesaian. Ia terus menjadi masalah walaupun dicuba pelbagai ikhtiar. Ada kalanya masalah itu hilang dengan sendirinya apabila berlaku perubahan keadaan persekitaran menjadikan sesuatu komponen masalah itu tidak relevan lagi. Sementara ada puila masalah yang semakin membesar dan membarah, hingga berkait-kait dan menjalar ke sana sini. Jadi, adakah masalah kesesakan lalu lintas ini boleh diatasi atau tidak? Pertamanya, ia kemungkinan besar tidak boleh diselesaikan. Untuk memahami masalah ini cuba lihat puncanya.

Punca utama ialah orang Melayu yang balik ke kampung pada hari raya setiap tahun semakin bertambah. Sementara jalan ke kampung-kampung walaupun bertambah tetapi tidaklah sepesat dengan bilangan orang yang pulang ke kampung saban tahun. Itu belum lagi dilihat punca kedua dan punca ketiga. Hal punca utama pun tidak dapat diselesaikan. Pertambahan penduduk orang Melayu memang tidak boleh disekat. Kehendak mereka mahu pulang ke kampung setiap hari raya juga tidak boleh disekat. Penambahan jalan juga tidak boleh dibuat lebih pesat lagi. Bukan saja soal belanja tetapi jalan itu tidak ada gunanya di luar musim hari raya. Tetapi menarik juga untuk diteliti mengapa orang perlu balik ke kampung pada hari raya? Ini kerana kebanyakan orang Melayu masih berasal dari kampung. Mereka bermastautin di bandar tetapi ibu bapanya masih ada di kampung. Tentulah mereka perlu balik kampung. Tetapi banyak juga yang ibu bapa mereka sudah meninggal dunia, tetapi mereka tetap mahu balik kampung masa hari raya. Ini kerana mereka masih mempunyai ibu bapa saudara dan adik beradik di kampung.

Ada pula mahu berhari raya di kampung kerana mahu ziarah pusara ibu bapa mereka. Tetapi adakalanya bukannya kerana sanak saudara itu. Mereka membesar di kampung dan mahu terus menikmati hari raya seperti masa mereka kanak-kanak. Pendek kata, mereka berhari raya kerana nostalgia dan cuba kembali pada zaman lalu. Tentulah suatu yang mustahil. Namun andai kata pada satu hari kebanyakan orang Melayu sudah tinggal di bandar-bandar, maka tidak lagi timbul keadaan balik kampung. Atau kampung-kampung sudah tidak wujud. Semuanya sudah menjadi bandar, maka tidaklah ada lagi gejala balik kampung. Tetapi kalau tiada kampung pun, tentulah orang masih bertumpu-tumpu di bandar-bandar asal mereka. Maknanya, bukanlah gejala balik kampung, tetapi balik ke bandar asal. Selagi orang bermastautin di luar dari tempat asal mereka, maka akan berlaku kesesakan lalu lintas juga pada hari raya. Jadi untuk atasi kesesakan lalu lintas masa hari raya, seseorang itu usah tinggal di bandar yang berasingan daripada ibu bapa mereka. Contohnya kalau seseorang itu bermastautin di Lembah Kelang, maka seharusnya dia pindahkan ibu bapanya ke situ.

Bukan itu saja, dia pun wajar pindahkan adik beradiknya ke Lembah Kelang. Tidak cukup dengan itu, mereka pula perlu mencari pasangan di Lembah Kelang. Anak-anaknya pula wajar bersekolah dan belajar universiti di Lembah Kelang juga, dan akhirnya bekerja di situ. Maka tiadalah kesesakan lalu lintas semasa hari raya di bandar dan pekan-pakan kecil di luar Lembah Kerlang. Yang sesak pula ialah Lembah Kelang. Begitu juga sebaliknya di negeri-negeri. Umpamanya orang yang lahir di Johor. Biarlah mereka bersekolah di Johor. Kalau masuk MRSM, biarlah yang ada di negeri itu. Bila masuk universiti pula, biarlah yang berhampiran di rumah. Begitu juga bila bekerja, dapatkanlah pekerjaan yang berhampiran dengan bandar asal. Maka begitu juga apabila berkahwin. Carilah pasangan berhampiran dengan rumah. Jika begini berlaku, maka apabila menyambut hari raya, tidaklah berasa tertekan untuk balik ke bandar lain beratus-ratus batu dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Tetapi tentulah perkara itu mustahil. Manusia bukan pokok, ia ada kaki dan otak. Selain itu, ia juga ada kesabaran,

Dan reda dengan hukum Tuhan.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : APABILA PEREMPUAN GILA TALAK

Kucing Jantan


Kebiasaannya  kaum perempuan selalu menceritakan bagaimana buruknya kaum lelaki bila gila talak, maksudnya masih tergila-gilakan isteri yang diceraikan. Tetapi bagaimana pula kalau perempuan yang gila talak? Minggu ini Bro nak ceritakan mengenai seorang kawan Bro yang berkahwin dengan seorang duda terus diganggu oleh bekas isteri lelaki berkenaan. Pelbagai usaha dilakukan oleh perempuan tersebut termasuklah menuduh kawan Bro tu perampas suami orang sedangkan hakikatnya lelaki itu bertemu dengan kawan Bro selepas beberapa tahun bercerai. Maknanya, perceraian yang berlaku bukan disebabkan kehadiran kawan Bro tetapi kerana kegagalan perempuan berkenaan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sehingga memungkinkan perceraian berlaku. Bro bukan hendak memihak kepada kawan Bro tetapi sebagai manusia kita tidak boleh menafikan fakta kerana yang benar itu benar, yang salah itu salah. Akibat gangguan yang dilakukan oleh bekas isteri tersebut, kawan Bro terpaksa beberapa kali menukar nombor telefonnya, kalau tidak, siang malam SMS yang bukan-bukan diterima olehnya.

Bro hairan kenapa perempuan itu hendak ganggu kawan Bro tersebut sedangkan semasa kahwin dulu tidak mahu layan suami betul-betul, bila dah bercerai mulalah nak jadi ‘hantu raya tak bertuan’ kacau kehidupan orang lain. Mungkin perempuan itu tidak boleh terima hakikat kerana anak-anaknya menerima dengan baik ibu tiri mereka, apatah lagi kawan Bro layan anak-anak tirinya bagaikan anak kandung sendiri. Lanjutan itu tidak wujud sekumit pun perasaan benci anak-anak tiri tersebut kepada emak tiri mereka. Sepatutnya perempuan yang berkenaan bersyukur kerana biar pun dia sudah tidak ada jodoh dengan suaminya tetapi anak-anaknya hidup bahagia. Tetapi malangnya, perempuan berkenaan tidak puas hati dan seperti biasa perasaan benci kaum hawa lebih dahsyat daripada kaum lelaki sebab itulah dia ganggu kehidupan bahagia kawan Bro itu. Sebab itulah Bro hendaklah nasihat kaum perempuan, apabila bergelar isteri jagalah rumah tangga dengan sebaik-baiknya. Berusahalah menjadi isteri yang terbaik di muka bumi Allah SWT ini. Jangan bertindak ikut emosi apabila masalah berlaku sebaliknya selesailah dengan cara sebaik-baiknya.

Bro selalu memperingatkan kawan-kawan perempuan Bro supaya dalam apa juga tindakan jangan sampai suami, tunang atau teman lelaki mereka ‘pejam mata’. Maksud Bro, apabila seseorang lelaki ‘pejam mata’ maka dia boleh melakukan tindakan di luar dugaan termasuklah memutuskan hubungan tanpa mahu fikir apa-apa lagi. Bro sudah saksikan bagaimana kawan-kawan lelaki Bro yang baik, penyabar dan penyayang akhirnya seolah-olah menjadi ‘lelaki paling kejam’, bukan kerana mereka mahu bersikap demikian tetapi akibat terpaksa. Segala-galanya kerana pasangannya mereka bertindak di luar batasan yang menguji kesabaran mereka ke tahap maksimum. Ada kawan Bro yang mempunyai anak lima dah besar-besar belaka pun bercerai, segalanya kerana isteri tidak mahu berubah perangai dan terus melakukan kesalahan yang sama sejak awal perkahwinan lagi. Kaum wanita kena ingat bahawa perkahwinan bukanlah bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja kepada suami mereka, jangan ingat apabila suami mereka baik dan sabar, lelaki tersebut akan terus bersabar dengan kerenah atau perangai buruk mereka.

Perkara paling bahaya apabila si suami membandingkan perangai isteri dengan wanita-wanita yang dia temui sama ada di pejabat atau ketika melaksanakan urusan kerja. Apabila perbandingan itu dilakukan ia permulaan kepada keretakan rumah tangga, apatah lagi apabila si suami merasakan di luar lebih damai berbanding balik ke rumah yang bagaikan berada dalam ‘kandang singa betina’. Justeru kepada perempuan-perempuan yang gila talak atau telah bercerai kerana kesilapan sendiri tak payahlah hendak menganggu gugat kehidupan suami anda, biarlah dia bahagia dengan orang lain. Kalau rasa bekas suami tidak adil dalam pembahagian nafkah biar mahkamah selesaikan, tak usah buat kerja gila dengan menyerang atau menganggu isteri atau pasangan baru bekas suami. Sedarlah perempuan sememangnya kelompok yang paling ramai melupakan pepatah, ‘‘menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.” Sebab itulah, mereka bertindak ikut perasaan seolah-olah merekalah paling hebat termasuk dalam urusan rumahtangga sehinggakan si suami kadang kala tidak dihormati langsung. Ini belum lagi termasuk perempuan yang gunakan ‘ilmu penunduk’ untuk pastikan si suami ikut cakap mereka dan tidak berani menegur kesalahan mereka. Namun kaum perempuan kena ingat, sesuatu perbuatan yang salah dan tidak diredai oleh Allah SWT tidak akan kekal lama, apabila tiba masanya mereka pasti akan tewas dengan kehendak-Nya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 SEPTEMBER 2011

03 September 2011

ISU SOSIAL : PELBAGAI TAKTIK LICIK SINDIKET JERAT KELEDAI DADAH

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my


Sekali  terjebak, sukar untuk berpatah balik! Itulah kata-kata mangsa yang dijadikan keldai dadah oleh sindiket untuk membawa dadah ke luar negara apabila setiap kali diajukan dengan persoalan kenapa terlalu mudah terperangkap dengan janji manis, sedangkan mereka sudah tahu risiko dan bahayanya? Kebanyakan mangsa mendakwa hanya menyedari ‘kerja’ yang dijanjikan dengan upah lumayan itu sebenarnya membawa dadah ke beberapa negara selepas tidak berdaya untuk menolak akibat diugut bunuh, tambahan pula mereka sendirian jauh beribu-ribu kilometer di negara orang. Tidak kurang juga yang mengakui tarikan wang dan peluang melancong ke luar negara seperti Amerika Latin, Asia Barat dan Eropah menjadi ‘umpan’ paling mudah, apatah lagi tiket penerbangan termasuk hotel ditaja sepenuhnya menyebabkan ramai tidak berfikir panjang sebelum menerimanya.  Dadah yang dibawa pula bukan semata-mata serbuk putih yang biasa kita lihat di kaca televisyen mahupun di dalam akhbar atau filem tetapi ditukar kepada pelbagai bentuk yang mungkin tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun termasuk mangsa.  

Berdasarkan pengalaman yang diceritakan sesama banduan di Penjara Santa Monica, mereka membawa dadah dalam pelbagai bentuk seperti kertas A4, syampu, sabun, baju yang direndam dengan cecair dadah, benang, selimut, dadah yang diletakkan di dalam tali beg galas malah air di dalam botol minuman mineral!  Dewi, 36, rakyat negara ini yang dipenjarakan di Penjara Wanita Santa Monica di Lima, Peru kerana membawa lebih dua kilogram dadah mengakui berasa tidak sedap hati apabila dipaksa oleh ejen sindiket untuk membawa sebuah beg galas yang kosong untuk dihantar ke Amsterdam melalui Lima.  Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez, Lima, dia yang cuba memeriksa beg berkenaan berasa lega selepas mendapatinya kosong. Bagaimanapun, kelegaannya tidak lama apabila polis tiba-tiba memotong tali beg selepas tidak menjumpai apa-apa dalam beg berkenaan.  Dewi yang hamil empat bulan terperanjat dan terus pengsan sebaik melihat serbuk putih tersembul dari dalam tali beg yang dipotong polis berkenaan. Sebaik sedar, dia sudah berada dalam lokap.

Walaupun cuba mempertahankan diri dengan mendakwa tidak bersalah, polis tidak mengendahkannya dan Dewi dipenjarakan di Penjara Wanita Santa Monica di Lima.  Lina, 36, yang ditahan di Penjara Santa Monica kerana membawa 2.83 kilogram kokain menceritakan diminta oleh teman lelakinya yang berasal dari Nigeria yang dikenali sejak lapan tahun lalu untuk mengambil ‘sesuatu’ di Peru dengan upah AS$8,000. Dia diterbangkan ke Istanbul dan menunggu lapan hari sebelum ke Lima.  Selama di Lima, dia dibawa oleh seorang lelaki tempatan ke sebuah restoran dan tiba-tiba diminta untuk berjalan seperti model dengan jarak 50 meter di dalam restoran berkenaan.  Tidak dibenarkan banyak bertanya, Lina hanya menurut arahan. Tanpa disedarinya, ada ‘mata’ mengukur tubuhnya dari jauh.  Keesokan harinya, dua lelaki Peru datang membawa korset (bengkung) yang padan dengan saiz badannya. Korset yang dijahit khas itu sudah berisi dua paket dadah di kiri dan kanan dadanya, manakala enam paket lagi di bahagian pinggang. Dia tahu itu dadah tetapi mendakwa terpaksa membawanya demi memenuhi janji dengan teman lelakinya sebelum ini.

Lina berkata, kakinya menggeletar sebaik melihat pemeriksaan ketat polis ke atas semua penumpang sehingga timbul rasa untuk membuang baju yang dipakainya tetapi apabila mengingatkan ugutan maut sindiket, dia terpaksa menyudahkan tugasan itu. Malah, ejen sindiket yang menghubunginya meyakinkannya tidak akan ditangkap kerana mereka sudah merasuah semua polis di situ. Sebaik melepasi dua polis dan pintu imbasan, Lina lega kerana tidak ditahan. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila tiba-tiba paket dadah yang di bahagian dadanya tersembul keluar di depan seorang polis wanita menyebabkan dia ditahan dan dikenakan hukuman penjara enam tahun lapan bulan di Penjara Wanita Santa Monica. Sindiket dadah turut bijak memilih mangsa yang kebanyakan mempunyai latar belakang keluarga berpecah-belah, ibu tunggal yang kesempitan hidup, wanita yang mengalami krisis rumah tangga dan sesetengahnya mengalami trauma yang secara tidak langsung menyebabkan jati diri begitu rapuh dan mudah dipengaruhi. Tidak hairan jika mereka berani berdepan sebarang risiko atau melakukan sesuatu yang membahayakan diri.

Penulis sempat berjumpa seorang ibu mangsa yang menceritakan trauma dialami mangsa sejak kecil. Mangsa termasuk enam adik beradik bersama ibu dihalau ayah kandungnya sehelai sepinggang sehingga terpaksa hidup merempat. Mangsa turut diberhentikan sekolah sejak Tahun Enam walaupun dia pelajar pintar di sekolah. Ibunya berkata, mangsa turut menjadi tempat ayahnya melepaskan marah dengan memukul dan menendang mangsa setiap hari. Pernah sekali ayahnya membawa mangsa menaiki motosikal ke tempat lapang dan tanpa sebab membelasahnya sebelum membawanya balik ke rumah dalam keadaan lembik. Memang mudah untuk melemparkan seribu tuduhan berbanding mendalami apa yang dilalui golongan ini. Hakikatnya, tekanan dan trauma dialami sejak kecil menyebabkan golongan ini seakan-akan tidak takut dengan risiko malah tidak dapat membuat keputusan waras sehingga sanggup melakukan apa saja untuk mengubah nasib mereka.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : BELAJAR DI UNIVERSITI MAMPU MEMBUKA MINDA LEBIH TERBUKA DAN KRITIS

Oleh Mohd Azizuddin Mohd Sani


Bulan September  ini bukan saja menyaksikan seluruh umat Islam menyambut Aidilfitri dan rakyat Malaysia umumnya menyambut Hari Malaysia, malah ia juga hari penting kepada pelajar baru untuk mendaftar di universiti masing-masing. Buat kali pertamanya di Malaysia, pendaftaran kemasukan pelajar dimulakan pada September, berbanding pada Jun atau Julai seperti sebelumnya. Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat menyamatarakan pendaftaran pelajar di Malaysia dengan sesi kemasukan di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Yang pasti, pelajar yang mula mendaftar akan menempuh cabaran baru dalam kehidupan kampus, terutama menimba pelbagai cabang ilmu. Sebagai pelajar baru, saat memasuki universiti adalah yang ditunggu-tunggu. Di universitilah tempat transformasi atau anjakan paradigma bagi pelajar berlaku kerana mereka akan terdedah dengan suasana pembelajaran dan ilmu pengetahuan tinggi yang belum pernah mereka rasai sebelum ini seperti ketika di bangku sekolah.  Oleh itu, persediaan awal adalah penting bagi setiap pelajar baru bagi menghadapi cabaran ilmu dan kehidupan ketika di alam universiti kelak.

Sebagai persediaan, suka dijelaskan di sini bahawa di universiti pelajar akan didedahkan dan juga terdedah kepada beberapa perkara.  Pertama, matlamat pelajar memasuki universiti perlu jelas. Ada ramai pelajar baru yang kecewa kerana tidak mendapat kursus diingini dan dihasratkan oleh ibu bapa dan keluarga. Matlamat universiti bukan hanya membentuk graduan yang berkemahiran di dalam sesuatu ilmu pengetahuan yang seterusnya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara. Malah universiti juga bermatlamat melahirkan pelajar dan graduan yang berminda terbuka dan kritis. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah menjelaskan bahawa kualiti pelajar dan graduan yang ingin dibentuk ialah berdasarkan ukuran 4C iaitu Critical Thinking and Problem Solving (Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah), Effective Communication (Komunikasi yang efektif), Collaboration and Team Building (Kolaborasi dan Gerak Kerja Berkumpulan) dan Creativity and Innovation (Kreativiti dan Inovasi). Belajar ilmu fizik tidak semestinya menjadi seseorang itu ahli fizik.

Begitu juga belajar ilmu politik, tidak semestinya seseorang itu menjadi ahli politik. Jadi pelajar yang tidak mendapat kursus diingini tidaklah perlu risau dan kecewa kerana kecemerlangan di universiti akan dapat menjadikan mereka matang dan terbuka serta dapat bersedia memasuki alam pekerjaan pilihan mereka nanti.  Kedua, pelajar harus berniat untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan tiada tempat yang terbaik untuk melakukannya selain di universiti. Di sekolah, sistem persekolahan tidak menyediakan ruang untuk murid menyoal ilmu yang dipelajari daripada buku teks dan guru yang dipertanggungjawab menyampaikan ilmu berkenaan. Ini menjadikan pelajar lebih mengejar gred dan berorientasikan peperiksaan. Di universiti, pelajar akan didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan malah tiada buku teks yang dikhususkan pada sesuatu kursus.  Sistem pembelajaran di universiti banyak dilaksanakan di dalam bahasa Inggeris dan kehadiran ramai pensyarah dan pelajar asing dari serata dunia akan membantu pelajar kita terdedah kepada interaksi serta pembelajaran dan pengajaran yang global sifatnya.

Malah menerusi interaksi itu juga, bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dapat dipelajari secara meluas oleh warga kampus khususnya oleh pensyarah dan pelajar asing tadi.  Ketiga, pelajar baru juga perlulah berazam dan beriltizam untuk aktif dan beridealisme. Melalui Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008, kerajaan juga lebih terbuka dan menyediakan platform kepada pelajar untuk bergiat secara aktif di dalam bukan saja pembelajaran malah melalui kegiatan berpersatuan. Khaled menjelaskan bahawa pelajar dibenarkan bersuara dalam hal berkaitan akademik dan dibenarkan memberi pendapat dalam seminar dan simposium dengan syarat majlis tidak dianjurkan atau diberi peruntukan kewangan oleh parti politik, pertubuhan menyalahi undang-undang serta pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenal pasti oleh menteri sebagai tidak sesuai.  Universiti Sains Malaysia membuka jalan dengan memperkenalkan projek rintis Parlimen Pelajar dan universiti awam yang lain juga digalakkan supaya mengikuti jejak langkah yang sama. Ia bersesuaian dengan matlamat kerajaan bagi melahirkan modal insan atau graduan yang berkualiti.  

Akhir sekali, pelajar juga perlu mengambil kesempatan dalam mewujudkan budaya keintelektualan di universiti. Budaya keintelektualan tidak akan dapat dibentuk tanpa kehadiran dan pembabitan pelajar yang merencanakannya. Wacana ilmu perlulah dimanfaatkan pelajar. Malah mereka juga boleh menjadi juara kepada wacana ilmu ini.  Pemikiran yang analitikal dan kritis amat diperlukan untuk menjadikan universiti tempatan setanding universiti ternama dunia. Oleh itu, peranan pelajar sangat penting dalam merencanakan kelangsungan budaya keintelektualan dan kecemerlangan universiti.

Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi

SUMBER
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011

ISU KELUARGA : DIDIKAN AWAL MAMPU BAHAGIAKAN KEHIDUPAN HARI TUA IBU BAPA


Antara iklan Aidilfitri tahun ini yang amat menyayat hati ialah milik Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Iklan mengisahkan sepasang suami isteri yang sudah tua di kampung menunggu kepulangan anak lelaki mereka pada pagi raya. Ibu terbabit mengalirkan air mata, hampa anaknya belum lagi kelihatan, walaupun pagi Syawal sudah tiba. Ketika sedang dipujuk suaminya, tiba-tiba anak kesayangan muncul di muka pintu. Berpelukanlah anak dan ibu dengan wanita tua itu sambil mengesat air mata kesyukuran.  Iklan menusuk kalbu itu membawa mesej betapa besarnya kasih ibu bapa kepada anak. Kasih sayang yang tiada tolok bandingnya ini tidak mengharapkan balasan, tetapi hanyalah agar anak apabila besar kelak tidak lupa untuk mengenang jasa dicurahkan ibu bapa masing-masing. Mesej ini dikuatkan lagi dalam iklan itu dengan dialog si ibu mengingatkan anaknya yang ketika itu masih kecil ‘apabila sudah berjaya, setinggi mana pun pergi, jangan lupa mak dan ayah.’ Begitulah cerita iklan raya ini. Bagi kebanyakan kita, mesej kasih sayang ibu ini sudah tertanam dalam hati sanubari kita melalui cerita lama seperti Si Tanggang, mahupun dengan ingatan bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu.

Tidak ramai daripada kita tergamak membiarkan ibu atau bapa hidup keseorangan di kampung. Jika terpaksa sekali pun hidup berseorangan, kemungkinan kebanyakan kita akan kerap pulang bagi mengubat hati rindu orang tua itu. Inilah nilai dipegang kebanyakan kita. Namun, berdasarkan laporan muka depan akhbar ini semalam, jelas terbukti nilai murni ini semakin terhakis. Laporan eksklusif akhbar ini, semalam melaporkan kira-kira 500,000 ibu bapa yang terdiri daripada warga tua di Malaysia tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing bagi meneruskan kehidupan masa tua mereka. Mengapakah nilai anak sekarang sudah berubah? Mungkin pakar demografi memberi penjelasan fenomena ini adalah kesan jangka hayat yang lebih panjang sekarang. Apabila usia semakin panjang menjangkau 80-an, si anak pun turut tua dan tidak lagi mampu menjaga ibu bapa mereka, selain mereka sendiri perlu dijaga. Alasan ini mungkin ada kebenarannya, tetapi apakah si cucu tidak berasa bertanggungjawab menjaga kedua-duanya. Sebenarnya punca terhakisnya nilai mengenang jasa ibu bapa ini bermula daripada kita sendiri. Apabila kita sebagai ibu bapa tidak menunjukkan contoh baik mengenang jasa ibu bapa kita sendiri, tidak mungkin anak kita akan berbuat demikian kelak.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011

ISU POLITIK : TRANSFORMASI DALAM PEMILIHAN MENTERI

Saranan Salleh


Kita  sering mendengar diperkatakan yang arahan masa kini adalah bakat dan merit. Kita juga sedang melalui transformasi pelbagai jenis ekonomi dan politik. Kalau dinilaikan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) hari ini tidak lagi boleh disamakan dengan masa dulu yang mana integriti dan amanah adalah sifat-sifat yang boleh diharapkan oleh rakyat daripada pegawai PTD. Mungkin dari segi kelayakan kita boleh bandingkan dengan pegawai-pegawai hari ini yang memiliki sehingga sarjana dan kedoktoran. Oleh itu, suatu transformasi dalam perkhidmatan kerajaan juga patut dilakukan. Transformasi yang patut dilakukan ini meletakkan bakat dan otak terbaik untuk setiap jawatan penting dalam kerajaan daripada Ketua Setiausaha Negara ke bawah. Tiada siapa berhak mendapatkan sesuatu jawatan hanya disebabkan sudah lama dalam perkhidmatan. Rekod pencapaian seseorang pegawai itu wajar dinilai dahulu sebelum dilantik atau dinaikkan pangkat dan bukan semata-mata giliran seseorang pegawai itu. Bagi jawatan-jawatan penting orang luar juga yang bukan pegawai PTD wajar dilihat sekiranya mempunyai kemahiran, pengalaman dan kelayakan.

Ertinya, kita mendapatkan the best talent untuk jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, tidak kira bangsa. Mereka patut diberi gaji dan kemudahan yang setanding dengan apa diperolehi oleh ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan. Begitu juga hakim-hakim kita. Patut diberi gaji yang tinggi dan kemudahan yang membanggakan seperti kereta Mercedes atau BMW berkuasa tinggi. Barulah mereka tidak terpengaruh dengan rasuah. Kita sedar bahawa rasuah sudah menular sehingga ke jawatan-jawatan tinggi kerajaan dan kalau ia tidak dibanteras negara ini akan hancur. Seorang rakan saya, pengimport barang- barang misalnya menceritakan bagaimana apabila syarikatnya tidak mahu lagi membayar RM800 untuk setiap kontena didatangi oleh pegawai penguat kuasa yang mengenakan denda atas kesalahan yang bukan-bukan. Bayaran yang diminta mula-mula RM200 setiap satu kontena, kemudian naik RM300 sehinggalah ke RM800 satu kontena. Begitu juga mereka yang bertanggungjawab atas pemeriksaan kenderaan seperti bas, lori dan trak. Mudah saja untuk dibuktikan.

Bawa bas yang patut diperiksa dan diberi kebenaran ke tempat pemeriksaan dan usah berikan duit suapan. Bas itu boleh berlapuk di situ berhari-hari. Rasuah ini macam pelacuran. Semua orang tahu berleluasa tetapi tiada siapa yang hendak bercakap tentangnya. Kita dipenuhi dengan perempuan dari macam-macam negara. Sebut saja negara mana, Eropah tengah, China, Asia dan negara-negara yang kita tidak biasa dengar. Kita hairan bagaimana misalnya kita mempunyai penduduk asing begitu ramai dalam negara ini. Ramai juga yang dikatakan belajar tetapi buat kerja lain dan keadaannya kita lihat seperti tidak terkawal lagi. Kita dengar orang dari Iran misalnya ditangkap kerana mengedar dadah bukan sekali tetapi berkali-kali. Kita juga dengar mereka dari negara Afrika melakukan pelbagai jenayah dan gangguan kepada masyarakat tetapi mereka masih ada lagi dalam negara ini. Macam-macam serbuan dilakukan tetapi pelacuran masih menjadi-jadi. Kita juga wajar memikirkan transformasi kepada pelantikan ahli-ahli Kabinet. Menteri sepatutnya terdiri daripada mereka yang terbaik dalam bidang yang perlukan.  Latar belakang mereka mestilah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan. Begitu juga kemahiran, pengalaman dan kelayakan mereka.

Ertinya bagi setiap kementerian, menteri kita terdiri yang terpilih daripada “creme de la creme” terbaik bakatnya dalam negara ini. Mereka tidak sepatutnya terdiri daripada ahli politik, jadi tidaklah lagi ada perebutan jawatan atau kompromi yang tidak diingini dalam mana-mana parti pemerintah. Peruntukan berdasarkan parti masih boleh lagi dilaksanakan berdasarkan kemenangan di pilihan raya. Kalau UMNO menang banyak, ia berhak memilih sejumlah menteri, begitu juga lain-lain parti komponen. Menteri kita juga patut dibayar gaji dan kemudahan setimpal dengan mereka di sektor swasta dan tidak campur dengan hal-hal politik supaya dia boleh memberikan tumpuan kepada bidang kementeriannya. Sekali setahun, dibenarkan melancong keluar negara bersama keluarga atas perbelanjaan kerajaan. Sesiapa yang hendak dipilih perlu disaring oleh suatu jawatankuasa yang akan meneliti latar belakang setiap calon untuk sesuatu jawatan dari segi pencapaian, kelayakan, pengalaman, kemahiran dan karektor.  Mereka yang tidak begitu bersih dari segi kelakuan dan latarbelakang tidak patut dipertimbangkan langsung. Ahli-ahli jawatankuasa ini terdiri daripada bekas hakim atau mereka yang mempunyai kedudukan dan reputasi yang tidak tercemar.

Kita sering terdengar betapa kita ingin beralih kepada merit dan rekod pencapaian. Inilah masanya kita memikirkan transformasi tersebut patut berlaku dalam pemilihan menteri juga. Walaupun kita kerap terdengar betapa politik wang patut dibanteras tetapi hakikatnya politik wang sudah menjadi darah daging dalam parti. Lihat saja semasa musim pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian. Ada yang tidak segan-silu menceritakan betapa banyak yang diperlukan untuk memenangi sesuatu jawatan dalam parti. Kalau menteri tidak ada kaitan dengan politik, tidak payah risau tentang hendak menjaga atau bela orang-orangnya. Serahkan politik kepada orang politik. Apa yang kita lihat hari ini adalah setiap isu yang penting kepada negara dipolitikkan, jadi masalah sebenar menjadi kabur dalam membuat keputusan kerana kena ambil kira politik. Ahli politik Malaysia telah membawa politik ke suatu dimensi yang belum pernah dilihat di masa-masa dulu. Jarang sekali sesuatu isu tidak dipolitikkan. Lagi pun kita menyaksikan menteri kita terlalu sibuk menangani soal-soal politik kerana sentiasa memikirkan soal tidak mahu menyisih hati pengundi. Mekanisme perubahan ini perlu diteliti sebaik-baiknya tetapi banyak baiknya daripada buruknya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011

ISU ALAM SEKITAR : BUANG SAMPAH IKUT KATEGORI

Oleh Mohd. Hazli Hassan


Tidak diketahui sama ada kita sedar atau tidak mengenai penguatkuasaan sistem pengasingan sampah mengikut jenis dan kategori bahan buangan yang dilakukan kerajaan bermula 1 September lepas. Bermula Khamis lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menguatkuasakan sistem pengasingan sampah ini di semua premis kediaman selepas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 diluluskan. Sistem pengasingan ini bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam diurus dengan teratur, bersepadu dan sistematik. Buat permulaan, sistem ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dalam masa dua tahun supaya orang ramai boleh membiasakan diri. Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, selepas dua tahun, denda akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengasingkan buangan mengikut kategori. Saya menyanjung tinggi usaha kerajaan ini dalam membolehkan orang ramai mengamalkan sikap kitar semula. Memang sepatutnya ia bermula dari rumah namun tempat-tempat awam juga perlu dilengkapi dengan tong-tong sampah yang berbeza mengikut kategori.

Ini membolehkan orang ramai membiasakan diri sama ada di kediaman mahupun di tempat awam dalam mengamalkan konsep kitar semula. Jepun merupakan antara negara yang mengamalkan konsep ini di mana-mana. Dan ia berjaya diterapkan kepada rakyat mereka dan kini menjadi amalan. Malah, saya pernah melihat seorang rakyat negara matahari terbit itu menyimpan cawan minuman kertas di dalam poket ketika di dalam komuter dan setibanya di destinasi, dia terus mencari tong sampah yang dikhususkan untuk kertas. Ini merupakan perkara yang baru di Malaysia dan saya percaya dua tahun merupakan masa yang amat cukup untuk mendidik masyarakat. Namun tanpa promosi dan pemberitahuan sepanjang masa, saya pasti ia akan tetap gagal sama seperti kempen kitar semula oleh kerajaan yang dilaungkan sejak bertahun-tahun lalu. Alasannya mudah, segelintir rakyat negara ini masih lagi mempunyai minda dunia ketiga. Ini, bukan saya yang cakap, tetapi pemimpin kita yang menyuarakan kegelisahan tersebut.

(Jom sertai FB Impak Alam di www. facebook.com/impakalam)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011