Saranan Salleh
Kita sering mendengar diperkatakan yang arahan masa kini adalah bakat dan merit. Kita juga sedang melalui transformasi pelbagai jenis ekonomi dan politik. Kalau dinilaikan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) hari ini tidak lagi boleh disamakan dengan masa dulu yang mana integriti dan amanah adalah sifat-sifat yang boleh diharapkan oleh rakyat daripada pegawai PTD. Mungkin dari segi kelayakan kita boleh bandingkan dengan pegawai-pegawai hari ini yang memiliki sehingga sarjana dan kedoktoran. Oleh itu, suatu transformasi dalam perkhidmatan kerajaan juga patut dilakukan. Transformasi yang patut dilakukan ini meletakkan bakat dan otak terbaik untuk setiap jawatan penting dalam kerajaan daripada Ketua Setiausaha Negara ke bawah. Tiada siapa berhak mendapatkan sesuatu jawatan hanya disebabkan sudah lama dalam perkhidmatan. Rekod pencapaian seseorang pegawai itu wajar dinilai dahulu sebelum dilantik atau dinaikkan pangkat dan bukan semata-mata giliran seseorang pegawai itu. Bagi jawatan-jawatan penting orang luar juga yang bukan pegawai PTD wajar dilihat sekiranya mempunyai kemahiran, pengalaman dan kelayakan.
Ertinya, kita mendapatkan the best talent untuk jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, tidak kira bangsa. Mereka patut diberi gaji dan kemudahan yang setanding dengan apa diperolehi oleh ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan. Begitu juga hakim-hakim kita. Patut diberi gaji yang tinggi dan kemudahan yang membanggakan seperti kereta Mercedes atau BMW berkuasa tinggi. Barulah mereka tidak terpengaruh dengan rasuah. Kita sedar bahawa rasuah sudah menular sehingga ke jawatan-jawatan tinggi kerajaan dan kalau ia tidak dibanteras negara ini akan hancur. Seorang rakan saya, pengimport barang- barang misalnya menceritakan bagaimana apabila syarikatnya tidak mahu lagi membayar RM800 untuk setiap kontena didatangi oleh pegawai penguat kuasa yang mengenakan denda atas kesalahan yang bukan-bukan. Bayaran yang diminta mula-mula RM200 setiap satu kontena, kemudian naik RM300 sehinggalah ke RM800 satu kontena. Begitu juga mereka yang bertanggungjawab atas pemeriksaan kenderaan seperti bas, lori dan trak. Mudah saja untuk dibuktikan.
Bawa bas yang patut diperiksa dan diberi kebenaran ke tempat pemeriksaan dan usah berikan duit suapan. Bas itu boleh berlapuk di situ berhari-hari. Rasuah ini macam pelacuran. Semua orang tahu berleluasa tetapi tiada siapa yang hendak bercakap tentangnya. Kita dipenuhi dengan perempuan dari macam-macam negara. Sebut saja negara mana, Eropah tengah, China, Asia dan negara-negara yang kita tidak biasa dengar. Kita hairan bagaimana misalnya kita mempunyai penduduk asing begitu ramai dalam negara ini. Ramai juga yang dikatakan belajar tetapi buat kerja lain dan keadaannya kita lihat seperti tidak terkawal lagi. Kita dengar orang dari Iran misalnya ditangkap kerana mengedar dadah bukan sekali tetapi berkali-kali. Kita juga dengar mereka dari negara Afrika melakukan pelbagai jenayah dan gangguan kepada masyarakat tetapi mereka masih ada lagi dalam negara ini. Macam-macam serbuan dilakukan tetapi pelacuran masih menjadi-jadi. Kita juga wajar memikirkan transformasi kepada pelantikan ahli-ahli Kabinet. Menteri sepatutnya terdiri daripada mereka yang terbaik dalam bidang yang perlukan. Latar belakang mereka mestilah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan. Begitu juga kemahiran, pengalaman dan kelayakan mereka.
Ertinya bagi setiap kementerian, menteri kita terdiri yang terpilih daripada “creme de la creme” terbaik bakatnya dalam negara ini. Mereka tidak sepatutnya terdiri daripada ahli politik, jadi tidaklah lagi ada perebutan jawatan atau kompromi yang tidak diingini dalam mana-mana parti pemerintah. Peruntukan berdasarkan parti masih boleh lagi dilaksanakan berdasarkan kemenangan di pilihan raya. Kalau UMNO menang banyak, ia berhak memilih sejumlah menteri, begitu juga lain-lain parti komponen. Menteri kita juga patut dibayar gaji dan kemudahan setimpal dengan mereka di sektor swasta dan tidak campur dengan hal-hal politik supaya dia boleh memberikan tumpuan kepada bidang kementeriannya. Sekali setahun, dibenarkan melancong keluar negara bersama keluarga atas perbelanjaan kerajaan. Sesiapa yang hendak dipilih perlu disaring oleh suatu jawatankuasa yang akan meneliti latar belakang setiap calon untuk sesuatu jawatan dari segi pencapaian, kelayakan, pengalaman, kemahiran dan karektor. Mereka yang tidak begitu bersih dari segi kelakuan dan latarbelakang tidak patut dipertimbangkan langsung. Ahli-ahli jawatankuasa ini terdiri daripada bekas hakim atau mereka yang mempunyai kedudukan dan reputasi yang tidak tercemar.
Kita sering terdengar betapa kita ingin beralih kepada merit dan rekod pencapaian. Inilah masanya kita memikirkan transformasi tersebut patut berlaku dalam pemilihan menteri juga. Walaupun kita kerap terdengar betapa politik wang patut dibanteras tetapi hakikatnya politik wang sudah menjadi darah daging dalam parti. Lihat saja semasa musim pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian. Ada yang tidak segan-silu menceritakan betapa banyak yang diperlukan untuk memenangi sesuatu jawatan dalam parti. Kalau menteri tidak ada kaitan dengan politik, tidak payah risau tentang hendak menjaga atau bela orang-orangnya. Serahkan politik kepada orang politik. Apa yang kita lihat hari ini adalah setiap isu yang penting kepada negara dipolitikkan, jadi masalah sebenar menjadi kabur dalam membuat keputusan kerana kena ambil kira politik. Ahli politik Malaysia telah membawa politik ke suatu dimensi yang belum pernah dilihat di masa-masa dulu. Jarang sekali sesuatu isu tidak dipolitikkan. Lagi pun kita menyaksikan menteri kita terlalu sibuk menangani soal-soal politik kerana sentiasa memikirkan soal tidak mahu menyisih hati pengundi. Mekanisme perubahan ini perlu diteliti sebaik-baiknya tetapi banyak baiknya daripada buruknya.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan