Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
Sekali terjebak, sukar untuk berpatah balik! Itulah kata-kata mangsa yang dijadikan keldai dadah oleh sindiket untuk membawa dadah ke luar negara apabila setiap kali diajukan dengan persoalan kenapa terlalu mudah terperangkap dengan janji manis, sedangkan mereka sudah tahu risiko dan bahayanya? Kebanyakan mangsa mendakwa hanya menyedari ‘kerja’ yang dijanjikan dengan upah lumayan itu sebenarnya membawa dadah ke beberapa negara selepas tidak berdaya untuk menolak akibat diugut bunuh, tambahan pula mereka sendirian jauh beribu-ribu kilometer di negara orang. Tidak kurang juga yang mengakui tarikan wang dan peluang melancong ke luar negara seperti Amerika Latin, Asia Barat dan Eropah menjadi ‘umpan’ paling mudah, apatah lagi tiket penerbangan termasuk hotel ditaja sepenuhnya menyebabkan ramai tidak berfikir panjang sebelum menerimanya. Dadah yang dibawa pula bukan semata-mata serbuk putih yang biasa kita lihat di kaca televisyen mahupun di dalam akhbar atau filem tetapi ditukar kepada pelbagai bentuk yang mungkin tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun termasuk mangsa.
Berdasarkan pengalaman yang diceritakan sesama banduan di Penjara Santa Monica, mereka membawa dadah dalam pelbagai bentuk seperti kertas A4, syampu, sabun, baju yang direndam dengan cecair dadah, benang, selimut, dadah yang diletakkan di dalam tali beg galas malah air di dalam botol minuman mineral! Dewi, 36, rakyat negara ini yang dipenjarakan di Penjara Wanita Santa Monica di Lima, Peru kerana membawa lebih dua kilogram dadah mengakui berasa tidak sedap hati apabila dipaksa oleh ejen sindiket untuk membawa sebuah beg galas yang kosong untuk dihantar ke Amsterdam melalui Lima. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez, Lima, dia yang cuba memeriksa beg berkenaan berasa lega selepas mendapatinya kosong. Bagaimanapun, kelegaannya tidak lama apabila polis tiba-tiba memotong tali beg selepas tidak menjumpai apa-apa dalam beg berkenaan. Dewi yang hamil empat bulan terperanjat dan terus pengsan sebaik melihat serbuk putih tersembul dari dalam tali beg yang dipotong polis berkenaan. Sebaik sedar, dia sudah berada dalam lokap.
Walaupun cuba mempertahankan diri dengan mendakwa tidak bersalah, polis tidak mengendahkannya dan Dewi dipenjarakan di Penjara Wanita Santa Monica di Lima. Lina, 36, yang ditahan di Penjara Santa Monica kerana membawa 2.83 kilogram kokain menceritakan diminta oleh teman lelakinya yang berasal dari Nigeria yang dikenali sejak lapan tahun lalu untuk mengambil ‘sesuatu’ di Peru dengan upah AS$8,000. Dia diterbangkan ke Istanbul dan menunggu lapan hari sebelum ke Lima. Selama di Lima, dia dibawa oleh seorang lelaki tempatan ke sebuah restoran dan tiba-tiba diminta untuk berjalan seperti model dengan jarak 50 meter di dalam restoran berkenaan. Tidak dibenarkan banyak bertanya, Lina hanya menurut arahan. Tanpa disedarinya, ada ‘mata’ mengukur tubuhnya dari jauh. Keesokan harinya, dua lelaki Peru datang membawa korset (bengkung) yang padan dengan saiz badannya. Korset yang dijahit khas itu sudah berisi dua paket dadah di kiri dan kanan dadanya, manakala enam paket lagi di bahagian pinggang. Dia tahu itu dadah tetapi mendakwa terpaksa membawanya demi memenuhi janji dengan teman lelakinya sebelum ini.
Lina berkata, kakinya menggeletar sebaik melihat pemeriksaan ketat polis ke atas semua penumpang sehingga timbul rasa untuk membuang baju yang dipakainya tetapi apabila mengingatkan ugutan maut sindiket, dia terpaksa menyudahkan tugasan itu. Malah, ejen sindiket yang menghubunginya meyakinkannya tidak akan ditangkap kerana mereka sudah merasuah semua polis di situ. Sebaik melepasi dua polis dan pintu imbasan, Lina lega kerana tidak ditahan. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila tiba-tiba paket dadah yang di bahagian dadanya tersembul keluar di depan seorang polis wanita menyebabkan dia ditahan dan dikenakan hukuman penjara enam tahun lapan bulan di Penjara Wanita Santa Monica. Sindiket dadah turut bijak memilih mangsa yang kebanyakan mempunyai latar belakang keluarga berpecah-belah, ibu tunggal yang kesempitan hidup, wanita yang mengalami krisis rumah tangga dan sesetengahnya mengalami trauma yang secara tidak langsung menyebabkan jati diri begitu rapuh dan mudah dipengaruhi. Tidak hairan jika mereka berani berdepan sebarang risiko atau melakukan sesuatu yang membahayakan diri.
Penulis sempat berjumpa seorang ibu mangsa yang menceritakan trauma dialami mangsa sejak kecil. Mangsa termasuk enam adik beradik bersama ibu dihalau ayah kandungnya sehelai sepinggang sehingga terpaksa hidup merempat. Mangsa turut diberhentikan sekolah sejak Tahun Enam walaupun dia pelajar pintar di sekolah. Ibunya berkata, mangsa turut menjadi tempat ayahnya melepaskan marah dengan memukul dan menendang mangsa setiap hari. Pernah sekali ayahnya membawa mangsa menaiki motosikal ke tempat lapang dan tanpa sebab membelasahnya sebelum membawanya balik ke rumah dalam keadaan lembik. Memang mudah untuk melemparkan seribu tuduhan berbanding mendalami apa yang dilalui golongan ini. Hakikatnya, tekanan dan trauma dialami sejak kecil menyebabkan golongan ini seakan-akan tidak takut dengan risiko malah tidak dapat membuat keputusan waras sehingga sanggup melakukan apa saja untuk mengubah nasib mereka.
SUMBER
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan