Antara iklan Aidilfitri tahun ini yang amat menyayat hati ialah milik Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Iklan mengisahkan sepasang suami isteri yang sudah tua di kampung menunggu kepulangan anak lelaki mereka pada pagi raya. Ibu terbabit mengalirkan air mata, hampa anaknya belum lagi kelihatan, walaupun pagi Syawal sudah tiba. Ketika sedang dipujuk suaminya, tiba-tiba anak kesayangan muncul di muka pintu. Berpelukanlah anak dan ibu dengan wanita tua itu sambil mengesat air mata kesyukuran. Iklan menusuk kalbu itu membawa mesej betapa besarnya kasih ibu bapa kepada anak. Kasih sayang yang tiada tolok bandingnya ini tidak mengharapkan balasan, tetapi hanyalah agar anak apabila besar kelak tidak lupa untuk mengenang jasa dicurahkan ibu bapa masing-masing. Mesej ini dikuatkan lagi dalam iklan itu dengan dialog si ibu mengingatkan anaknya yang ketika itu masih kecil ‘apabila sudah berjaya, setinggi mana pun pergi, jangan lupa mak dan ayah.’ Begitulah cerita iklan raya ini. Bagi kebanyakan kita, mesej kasih sayang ibu ini sudah tertanam dalam hati sanubari kita melalui cerita lama seperti Si Tanggang, mahupun dengan ingatan bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu.
Tidak ramai daripada kita tergamak membiarkan ibu atau bapa hidup keseorangan di kampung. Jika terpaksa sekali pun hidup berseorangan, kemungkinan kebanyakan kita akan kerap pulang bagi mengubat hati rindu orang tua itu. Inilah nilai dipegang kebanyakan kita. Namun, berdasarkan laporan muka depan akhbar ini semalam, jelas terbukti nilai murni ini semakin terhakis. Laporan eksklusif akhbar ini, semalam melaporkan kira-kira 500,000 ibu bapa yang terdiri daripada warga tua di Malaysia tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing bagi meneruskan kehidupan masa tua mereka. Mengapakah nilai anak sekarang sudah berubah? Mungkin pakar demografi memberi penjelasan fenomena ini adalah kesan jangka hayat yang lebih panjang sekarang. Apabila usia semakin panjang menjangkau 80-an, si anak pun turut tua dan tidak lagi mampu menjaga ibu bapa mereka, selain mereka sendiri perlu dijaga. Alasan ini mungkin ada kebenarannya, tetapi apakah si cucu tidak berasa bertanggungjawab menjaga kedua-duanya. Sebenarnya punca terhakisnya nilai mengenang jasa ibu bapa ini bermula daripada kita sendiri. Apabila kita sebagai ibu bapa tidak menunjukkan contoh baik mengenang jasa ibu bapa kita sendiri, tidak mungkin anak kita akan berbuat demikian kelak.
SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
3 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan