30 Ogos 2011

ISU UMUM : MENANG ATAU KALAH DAN PILIHANRAYA, SPR BUKAN PENENTUNYA

DATUK WAN AHMAD WAN OMAR,
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)


Sejak  penubuhannya pada 4 September 1957, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan 12 pilihan raya umum (PRU) dan lebih 150 pilihan raya kecil (PRK). PRU yang terakhir adalah yang Ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008, di mana daripada 222 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan, 140 dimenangi calon-calon Barisan Nasional (BN), manakala 82 kerusi lain dimenangi calon-calon Pas/PKR/DAP, iaitu 31 Parti Keadilan Rakyat (PKR), 28 Democratic Action Party (DAP), dan 23 Parti Islam Se-Malaysia (Pas). Bagi Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada 505 kerusi yang dipertandingkan (tidak termasuk DUN Sarawak), BN memperoleh 307 , manakala 196 kerusi lain di menangi Pas (83), DAP (73) dan PKR (40). Dua kerusi dimenangi calon Bebas. Bagi DUN Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, pakatan Pas/DAP/PKR mendapat jumlah kerusi melebihi BN dan menubuhkan kerajaan di negeri-negeri berkenaan. Bagi DUN Perak, BN bagaimana pun telah mengambil alih pemerintahan apabila tiga ADUN (2 PKR dan 1 DAP) keluar dari parti masing-masing dan menyokong BN.

Tiga tahun pertama selepas PRU Ke-12, SPR telah menjalankan 16 PRK ekoran kekosongan luar jangka yang berlaku di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan. Daripada 16 PRK tersebut, 8 dimenangi calon-calon BN manakala 8 yang lain dimenangi calon-calon Pas/PKR/DAP. Keputusan setiap pilihan raya berkenaan (dari PRU Ke-12 hingga kepada PRK terakhir N. 27 Merlimau dan N. 28 Kerdau pada 6 Mac 2011, jelas mencerminkan proses pilihan raya di negara ini adil dan saksama. Sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya, SPR terbukti telah menjalankan tanggungjawabnya secara berkecuali. Setiap peringkat proses pilihan raya dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Apabila menjalankan sesuatu pilihan raya, SPR menyediakan gelanggang pertandingan dengan kelengkapan logistik, menyediakan tenaga pegawai dan petugas dan pelbagai peralatan lain yang diperlukan. Pada hari pengundian, hak rakyat selaku pengundi dijamin di bawah Perlembagaan. Rakyat bebas membuat pilihan dan pilihan rakyat melalui peti undi akan dikira secara telus dan adil.

Proses pengundian dan pengiraan juga dipantau dan diteliti oleh ejen-ejen yang mewakili calon masing-masing. Dakyah pihak tertentu yang menuduh SPR memanipulasikan proses pengundian dan pengiraan undi adalah satu fitnah dan pembohongan. Pernah semasa PRK N.29 Batang Air, Sarawak, ada pihak tertentu yang mendakwa kononnya "terdapat peti undi yang diangkut melalui helikopter telah dibuang ke dalam laut dan digantikan dengan peti undi lain". Pihak yang membuat pembohongan tersebut 'terlalu bijak' hinggakan tidak menyedari bahawa pembohongannya itu tidak berasas kerana SPR tidak menggunakan pengangkutan helikopter dalam PRK tersebut. Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu, tohmahan dibuat mengatakan berlaku di beberapa kawasan penipuan dan perbuatan menukar kertas-kertas undi di tempat mengundi. SPR menyiasat dakwaan tersebut melalui pegawai-pegawai SPR dan anggota-anggota polis yang bertugas di tempat-tempat yang berkenaan, terbukti semuanya pembohongan dan cerita rekaan sebagai alasan kekalahan mereka yang terbabit.

Pihak yang membuat tuduhan tersebut telah terlupa bahawa setiap tempat mengundi dipantau dari awal hingga tamat pengiraan oleh ejen-ejen calon yang hadir. Manakala di tempat-tempat lain ada pihak yang kalah mendakwa berlaku rasuah 'membeli undi' dengan sogokan wang dan sebagainya. Yang peliknya mengapa mereka berkenaan tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM untuk disiasat dakwaan tersebut. Untuk pembaharuan dan penambahbaikan, SPR terdiri daripada tujuh anggota panel dilantik di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Untuk melaksanakan fungsi-fungsinya, SPR melantik sebuah urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha selaku ketua pentadbir. Pada masa ini, Urus Setia SPR mengandungi pegawai-pegawai dan kumpulan staf yang berpengalaman sama ada di ibu pejabat atau pun di pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara. Dalam urusan pilihan raya, SPR sentiasa berusaha membuat penambahbaikan. Pelbagai inovasi dan pembaharuan telah diperkenalkan di peringkat proses pelaksanaan sama ada urusan pengundian atau pendaftaran pemilih.

Dalam konteks ini, apa-apa cadangan ke arah penambahbaikan sistem atau proses yang dikemukakan oleh parti-parti politik dan pihak-pihak lain, SPR perlu mengkajinya secara teliti dari setiap sudut dan implikasinya. SPR perlu berhati-hati dan perlu mendapat pandangan dari pihak-pihak lain yang berkaitan. Jika perkara-perkara yang dicadangkan itu melibatkan pindaan Perlembagaan atau Akta-Akta berkaitan, maka SPR perlu mendapat nasihat pihak Jabatan Peguam Negara. Dalam bidang urusan pilihan raya, semua pihak harus faham bahawa sesuatu perkara yang difikirkan baik oleh satu pihak itu mungkin tidak dipersetujui oleh pihak lain. Kadang-kala, terdapat cadangan yang dianggap baik untuk dilaksanakan, tetapi jika dihalusi dari sudut-sudut lain ia mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini. Apa-apa perkara berkaitan urusan pilihan raya, semua pihak yang berkepentingan perlu positif dan berfikiran terbuka serta bersedia menerima penjelasan dan keputusan SPR. Lazimnya, parti-parti politik membuat penilaian dan keputusan berasaskan kepada kepentingan masing-masing yang selalunya pendirian yang berbeza-beza antara satu dengan lain.

Ini yang menyebabkan kedudukan SPR menjadi sukar dalam usaha untuk membuat sesuatu keputusan yang akan memberi kepuasan kepada semua pihak. Selain parti-parti politik, SPR juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat selaku pengundi dalam pilihan raya. Justeru, apa- apa isu yang berbangkit atau cadangan-cadangan yang dikemukakan, demi untuk menjaga kepentingan semua pihak supaya keputusan yang dibuat itu adil dan saksama, SPR perlu melihat semua isu yang dicadangkan itu secara berkecuali supaya apa- apa keputusan yang diambil akan diterima baik dan memberi kepentingan semua pihak yang terbabit. Ada pihak yang bersikap prasangka dengan menuduh SPR mengamalkan double-standard dalam hubungannya dengan parti-parti politik di negara ini. Tanggapan pihak-pihak berkenaan yang menuduh SPR berpihak kepada parti pemerintah adalah tidak benar. Dalam menjalankan tanggungjawabnya, fokus utama SPR ialah untuk mengadakan suatu pilihan raya yang bebas, telus dan adil. Menang atau kalah dalam pilihan raya di negara ini bukan ditentukan oleh SPR tetapi rakyat selaku pengundi yang membuat pilihan.

SPR menguruskan pilihan raya bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan serta prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Misinya adalah untuk menguruskan suatu pilihan raya yang terbaik, lancar dan terkawal. Pilihan raya ialah proses demokrasi politik (political democracy) untuk memilih perwakilan dan menentukan kerajaan. Justeru, sesuatu pilihan raya itu perlu berjaya dan mencapai tujuannya iaitu rakyat membuat keputusan dalam memilih perwakilan dan parti politik untuk menubuh kerajaan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 OGOS 2011

ISU KENEGARAAN : TATANEGARA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

DATUK RUHANIE AHMAD
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor


Perlembagaan  Persekutuan mengandungi pelbagai peruntukan mengenai susunan sosial, atau adat-susila dan amalan ketatanegaraan, untuk menjamin keharmonian, perpaduan, kemakmuran, keselamatan serta kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk. Susunan ini merangkumi aneka cabang kehidupan, termasuk mengenai Islam dan lain- lain agama; kesamarataan; kebebasan; kewarganegaraan; keselamatan negara, keistimewaan bangsa Melayu dan bumiputera, serta kepentingan-kepentingan sah rakyat bukan Melayu. Peruntukan ketatanegaraan ini penting untuk dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana warganegara Malaysia berbilang bangsa, daripada lingkungan sosio- budaya dan agama yang berlainan, dan memiliki warisan serta sejarah yang berbeza. Ia juga penting kerana menurut Martin Marger (2003:6), konflik etnik adalah ciri-ciri asas dalam sesuatu negara majmuk; dan menurut Stuart Kaufman (2008:201), konflik inilah yang menyebabkan keadaan tidak selamat atau insecurity sejak berzaman lamanya. Menyedari hakikat inilah maka antara aspek penting yang dititikberatkan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perlindungan kepada kedudukan istimewa bangsa Melayu dan bumiputera serta perlindungan kepada kepentingan-kepentingan sah bukan Melayu.

Perlindungan ini, menurut Zelman Cowen (1958:52), adalah kesinambungan kepada peruntukan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang telah dipersetujui oleh wakil seluruh bangsa di era sebelum merdeka. Pemberian perlindungan ini mencerminkan keprihatinan Raja-Raja Melayu dan kepimpinan Perikatan (mutakhir ini Barisan Nasional) terhadap perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival negara. Oleh sebab itulah Tunku Abdul Rahman Putra (1987:18) menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai lambang semangat muhibah dan kebijaksanaan yang dimeteraikan secara erat dan penuh takzim oleh semua bangsa di Malaysia. Datuk Prof. Shad Saleem Faruqi (22 September 2010) menegaskan, perlembagaan ini mencerminkan kesederhanaan, keikhlasan serta persefahaman yang berlandaskan semangat tolak-ansur orang Melayu dan bukan Melayu terhadap keistimewaan serta kepentingan masing-masing. Tan Chee Beng (1987:245) pula berpendapat, perlembagaan tersebut memaktubkan pelbagai elemen yang menseimbangkan kepentingan-kepentingan pelbagai etnik sebagai panduan kepada proses pembangunan negara.

Berasaskan keseimbangan kepentingan inilah majoriti warganegara Malaysia memilih hidup penuh muafakat, rukun dan damai, walaupun di era penjajah mereka diasingkan secara terancang oleh pihak British. Tindakan positif ini selaras dengan pendapat Birte Siim dan Judith Squires (2008:2) bahawa kewarganegaraan adalah status yang dianugerahkan dengan hak-hak dan tanggungjawab seseorang untuk menyuburkan perasaan cintakan negara. Bagaimanapun, permuafakatan, kedamaian dan keharmonian ini terjejas apabila mulai 1964 muncul seorang individu yang meniupkan propaganda Malaysian Malaysia yang kemudiannya diumumkan secara rasmi di Singapura pada 6 Jun 1965 oleh enam parti politik, lima daripadanya penentang pembentukan Malaysia. Intipati propaganda ini, kata Ghazali Ismail (1990:11), ialah "seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperolehi layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang-orang Melayu." Sama ada disengajakan atau sebaliknya, propaganda ini menggugat susunan sosio- ekonomi, agama dan siasah yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1957.

Menurut Ooi Kee Beng (2006:157), propaganda ini menyebabkan hubungan kaum di Singapura jadi tegang. Patrick Keith (2005: 187) pula menegaskan, Tunku Abdul Rahman pun mengeluarkan kata dua bahawa Singapura mesti disingkirkan daripada Malaysia. Singapura dipisahkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 untuk mengelakkan susunan sosio-ekonomi, agama dan siasah dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dihuraikan di atas terus terancam. Tetapi, ancaman ini terus menyemarak apabila sebuah parti baru yang diwujudkan pada ketika itu mewarisi propaganda Malaysia Malaysia setelah pemisahan Singapura. Deklarasi Setapak 29 Julai 1967 membuktikan hakikat ini. Maka, inilah sebabnya Majlis Gerakan Negara (1969:xi) menegaskan, tindakan mempolitikkan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera, menjadi salah satu punca tragedi 13 Mei 1969. Tetapi, walaupun tragedi ini adalah titik hitam dalam sejarah yang perlu dijadikan iktibar ke arah pengukuhan survival negara, mutakhir ini wujud warganegara yang bertindak menggugat susunan sosial Malaysia.

Mereka mencabar susunan ketatanegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi tuntutan dan tindakan yang berasaskan prinsip kebebasan dan kesamarataan sejagat - termasuk atas tajaan asing - serta dengan mengenepikan kemajmukan negara. Antara contoh mutakhir termasuklah sokongan kepada kes murtad Lina Joy, perbuatan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan kononnya sebagai undang-undang menindas kaum tertentu, dan mengeksploitasikan kebebasan berpersatuan untuk menggugat kerajaan dan ketenteraman awam. Segolongan rakyat Malaysia yang tidak memahami hakikat susunan sosial dalam Perlembagaan Persekutuan dikelirukan untuk menyokong gerakan dan tindakan seperti ini. Perkembangan ini berbahaya dan perlu diatasi segera. Rumusannya, Perlembagaan Persekutuan adalah sumber susunan sosial bagi menjamin keharmonian, perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival Malaysia sebagai negara majmuk. Peruntukan ketatanegaraan dalam perlembagaan ini boleh mencetuskan konflik jika dipolitikkan dan ditakrifkan berasaskan konsep kebebasan dan kesamarataan sejagat tanpa mengira kemajmukan negara. Namun Malaysia boleh jadi negara mantap, kukuh, harmoni, selamat dan maju jika peruntukan ketatanegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan ini diterima sepenuhnya sebagai realiti di negara majmuk sejak 1957.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 OGOS 2011

29 Ogos 2011

ISU SOSIAL : ADILFITRI IALAH MASA UNTUK MEMPERERAT PERPADUAN UMMAH

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID


Ramadan sudah berakhir dan Syawal pula menjelma. 1 Syawal adalah hari umat Islam menyambut Aidilfitri ('Idul Fitri'). Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya. Kedudukan ini boleh dicapai sekiranya ibadah puasa itu dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan kesedaran. Bagi mereka yang benar-benar berjaya menjadikan Ramadan sebagai 'madrasah rohaniah' maka sudah tentu ia akan mencapai islah al-basyar atau transformasi kemanusiaan ('human reform'). Dari sudut tasawuf, bermujahadah melawan hawa nafsu sepanjang melakukan ibadah puasa di bulan Ramadan itu menyebabkan berlakunya proses pembersihan diri ('takhali') di mana sifat-sifat keji yang ada dalam hati dibuang dan diisikan ('tajali') pula dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat mulia).

Sebagai tanda meraikan kejayaan itu maka kita dianugerahkan Hari Raya Aidilfiri. Pada asasanya Aidilfitri adalah hari untuk kita menzahirkan kegembiraan. Namun, kegembiraan itu perlu dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan yang kita kecapai di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya Aidilfitri bukan hari untuk kita melempiaskan hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah). Bertakbir pada 1 Syawal adalah amalan yang disyariatkan dan ia bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah iman selesai berkhutubah shalat Aidilfitri. Lafaz asas takbir raya berbunyi "Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar Walillahil Hamd". Umat Islam juga dianjurkan menghidup malam raya dengan dengan amal ibadat supaya hatinya menjadi hidup seperti maksud hadis yang diriwayatkan Imam Tabrani r.a. bermaksud: "Barangsiapa menghidupkan malam Aidilfitri dan malam Aidiladha dengan amal ibadat semata-mata mengharap keredaan Allah maka hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir".

Pada pagi hari raya kita disunatkan menunaikan solat Aidilfitri. Selepas sholat Aidifitri kita disunatkan pula mendengar khutbah, namun tidak menjadi halangan jika kita memilih untuk beredar. Ini berdasarkan maksud hadis diriwayatkan Abu Daud, Abdullah bin al-Sai'ib r.a. berkata, "Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama nabi SAW. Setelah selesai solat baginda bersabda, "Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar dia boleh duduk. Sesiapa ingig pergi, dia boleh beredar'. Di samping menceriakan hari raya dengan amal ibadat dan takbir raya, umat Islam juga dituntut melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah. Amalan-amalan tersebut adalah seperti bermaaf-maafan, memohon kemaafan ibu-bapa, ziarah-menziarahi, menyambung kembali silaturahim yang telah terputus sesama kaum keluarga dan sahabat handai serta menziarahi pusara (kubur) ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Ketika bertemu dan berjabat tangan dengan saudara seagama kita maka ucapkan 'taqabbalullah minna waminka' yang bermaksud semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.

Kita juga dianjurkan menceriakan suasana hari raya dengan membersihkan rumah, mengantung langsir, menyediakan juadah, mandi sunat raya, berpakaian yang indah-indah serta memakai wagi-wangian. Tidak menjadi kesalahan memberikan sampul duit raya kepada kanak-kanak semata-mata untuk tujuan mengembirakan mereka. Apa yang penting semuanya itu dilakukan secara tidak membazir serta terhindar dari perasaan menunjuk-nunjuk, riak dan sombong. Sifat kesederhanaan hendaklah diutamakan. Demikian juga wajib kita memelihara batas-batas berpakaian dan pergaulan supaya tidak melanggar syariat. Pada 1 Syawal kita diharamkan berpuasa.Hikamahnya adalah supaya semua umat Islam dapat berkongsi kegembiraan dan keceriaan pada hari kemenangan tersebut. Selepas 1 Syawal barulah kita dianjurkan untuk berpuasa sunat iaitu puasa enam hari dalam bulan Syawal. Di hari mulia inilah kita sepatutnya menunjukkan sikap prihatin terhadap anak-anak yatim, orang miskin dan mereka yang memerlukan bantuan. Sikap ini jangan dihadkan ketika bulan Ramadan sahaja tetapi di bulan-bulan yang lain juga.

Walaupun kita telah mengeluarkan zakat fitrah sebelum berhari raya tetapi kita tetap digalakkan membantu golongan tersebut dengan pelbagai pemberian atau sedekah yang boleh memberikan kegembiraan kepada mereka. Tamu yang datang ke rumah wajib dilayan dan dihormati dengan penuh kemesraan walaupun tamu itu berlainana agama dengan kita. Ini penting supaya mereka dapat melihat dan menikmati keindahan Islam. Semua amalan tersebut dapat memupuk kasih sayang, silaturahim, tolong menolong dan rasa persaudaraan sesama insan. Ia sekali gus dapat mewujudkan suasana keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti yang wujud di negara kita. Kesimpulan, Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 OGOS 2011

ISU PENDIDIKAN : JANGAN SIA-SIAKAN PELUANG BERJAYA MASUK KE UNIVERSITI


Bermula 3 September ini, seramai 41,267 pelajar menjadi kumpulan pertama memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan mengikuti kalendar akademik baru bagi sesi pengajian 2011/2012 setelah 14 tahun sesi pengajian sistem semester Julai diguna pakai. Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bermula dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2015. Dalam Fasa Pengukuhan PSPTN ini, kementerian akan melaksanakan transformasi pengajian tinggi negara bagi memacu dan melonjakkan pengantarabangsaan industri pengajian tinggi di persada dunia. Justeru, penyelarasan kalendar akademik IPTA merupakan satu strategi bagi merangsang kecemerlangan pengajian tinggi. Di samping itu juga, ia dapat mempertingkatkan lagi proses pengembangan ilmu di kalangan pelajar dan pensyarah melalui program pengantarabangsaan serta mempertingkatkan lagi daya saing dan pengkongsian ilmu dalam memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Pembangunan dan Penyelidikan (R&D), inovasi dan kecemerlangan IPT tempatan.

Dalam proses globalisasi dan liberalisasi pengajian tinggi pula, proses mobiliti pelajar di peringkat domestik dan antarabangsa dapat dipertingkatkan sejajar dengan amalan terbaik kalendar akademik IPT di dunia. Keputusan kementerian untuk melakukan perubahan kalendar akademik ini mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga timbul kontroversi. Boleh Datuk Seri ulas? Kontroversi ini timbul kerana proses perubahan kalendar baru tidak dibuat secara berperingkat. Tahun lepas kemasukan adalah pada Julai. Maknanya daripada Julai terus lompat ke September. Jadi, pelajar yang tamat pengajian lebih awal terpaksa tunggu lagi dua bulan untuk kemasukan ke universiti. Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan pada tahun ini Ramadan jatuh pada Ogos. Kita tidak mahu pelajar akan kepenatan untuk menghadapi program orientasi semasa Ramadan. Program orientasi ini sangat penting untuk menyesuaikan pelajar dengan rumah kedua mereka kerana sistem belajar di universiti jauh lebih berbeza dengan sekolah. Penyelarasan kalendar akademik ini memudahkan program mobiliti di kalangan pelajar dan pensyarah serta program pertukaran kredit dengan pelajar universiti antarabangsa yang mana hanya boleh dilaksanakan jika waktu pembelajaran dan cuti yang sama berlaku.

Selain itu, ia turut menyelesaikan masalah sampingan lain termasuk memberi lebih banyak masa persediaan kepada pelajar sebelum memasuki universiti selain mengelak berlaku kekosongan tempat sekiranya pelajar menerima tawaran universiti lain di negara luar. Jika sebelum ini kemasukan pada Julai, pelajar hanya ada beberapa minggu membuat persediaan dan pilihan kemasukan ke universiti kerana tempoh pengumuman keputusan peperiksaan adalah sangat singkat untuk kemasukan Julai. Di samping itu, oleh kerana sistem kalendar akademik berbeza dengan universiti luar negara iaitu kemasukan lebih awal dua bulan, maka kita berhadapan dengan keadaan di mana kekosongan tempat berlaku apabila pelajar menerima tawaran universiti luar dan meninggalkan universiti kita. Bagi sesi pengajian 2011/2012, sejumlah 64,703 calon lepasan STPM/Matrikulasi/ Asasi telah memohon untuk Program Ijazah Pertama. Daripada bilangan tersebut, seramai 53,216 calon telah mencapai kelayakan minimum bagi mengisi sebanyak 41,267 tempat yang ditawarkan.

Jumlah tawaran tempat sebanyak 41,267 ini menunjukkan peningkatan 1.9 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya. Sesi lalu hanya 40,506 sahaja tempat ditawarkan. Pada sesi kali ini, seramai 29,838 daripada 39,998 pemohon bumiputera atau 74.6% peratus berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, manakala 9,457 (daripada 10,677) atau 88.6% adalah pelajar berketurunan Cina dan 1,972 (daripada 2,541) atau 77.6% bagi pelajar kaum India dan lain-lain. Setiap tahun, menjelang kemasukan pelajar baru ke IPTA, pasti timbul pelajar yang tidak ditawarkan kursus yang dipohon seperti kursus kritikal, sebaliknya diberikan kursus yang lain. Disebabkan itu, ada pelajar tidak mahu mendaftar. Sebenarnya, proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira komponen akademik 90% dan kokurikulum 10%. Kejayaan seseorang calon memperolehi tempat pengajian di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian yang dipohon.

Sekiranya merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan pilihan dalam program pengajian kompetitif, kebarangkalian mereka tidak mendapat tawaran program pengajian sebagaimana yang dipohon adalah tinggi. Calon-calon ini akan ditawarkan program pengajian di luar pilihan tetapi mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan. Bagaimanapun sekiranya terdapat kes di mana seseorang calon ditawarkan program pengajian yang sangat berlainan daripada bidang pengajian yang dipohon, rayuan pelajar akan diteliti dan ditimbang tertakluk kepada kekosongan tempat di IPTA. Prestasi kemasukan bagi tahun ini pula menyaksikan sejumlah 25.6% pelajar mendapat tawaran Pilihan Pertama mereka dan 81% pelajar pula mendapat tawaran dalam pilihan iaitu Pilihan 1 hingga Pilihan 8. Sementera itu, hanya 19% sahaja yang mendapat tawaran di luar pilihan calon. Bagi calon yang mendapat tawaran di luar pilihan mereka, proses pemilihan mengguna pakai indikator persetujuan terima calon mendapat tawaran selain 8 pilihan mereka. Namun begitu, Unit Pusat Universiti (UPU) akan menawarkan program pengajian yang ada kekosongan serta bidang yang mirip dengan 8 pilihan calon. Sebenarnya kejayaan mendapat tempat di universiti bergantung apa yang dipohon dan universiti mana yang dia pohon.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 OGOS 2011

ISU EKONOMI : FELDA CERMIN KEJAYAAN MALAYSIA

Oleh AZMAN ANUAR


Sambutan  Hari Merdeka ke-54 dan Hari Raya Aidilfitri 1423H pada tahun ini amat bermakna kepada warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana 112,635 penerokanya mendapat 'duit raya' berjumlah RM42.6 juta. Sebagai mana bapa, ibu, pak cik dan mak cik mereka mengusahakan tanah yang diteroka lebih 50 tahun lalu, maka generasi kedua dan ketiga Felda membesar dan melihat bagaimana skim tanah rancangan itu membangun seiring dengan kemajuan negara. Daripada belantara dan bukit-bukau di kawasan penempatan tanah rancangan Lurah Bilut, Pahang kini banyak kawasan lain dibuka hingga menjadi kawasan pembangunan yang diidam-idamkan. Warga dari segenap pelosok negara dikumpulkan untuk menjalani satu cara penghidupan yang bersistem dan menjadikan mereka masyarakat Felda yang berjiwa maju. Penubuhan Felda lebih 50 tahun lalu memang tepat pada masanya memandangkan negara berada di ambang kemerdekaan. Rakyat yang merdeka dijanjikan kebebasan dan kemakmuran. Sebelum merdeka, pembukaan tanah secara besar-besaran dipelopori ladang swasta yang kebanyakannya dimiliki warga asing atau syarikat dari England.

Syarikat asing itu pula menguasai 70 peratus ladang berkenaan, diikuti 23 peratus milik peniaga Cina seperti Lee Rubber Estare Ltd dan tujuh peratus milik usahawan India. Kini Felda adalah pemilik dan pengurus estet terbesar dunia dengan tanah seluas 880,000 hektar kebanyakannya di Malaysia. Daripada skim pembangunan masyarakat, dari semasa ke semasa Felda mengorak langkah menceburi bidang perniagaan. Daripada satu perniagaan ke satu yang lain, memperlihatkan satu demi satu kejayaan dicapai. Misi 50 tahun pertama penubuhan Felda sudah mencapai objektifnya, kini agensi itu menggalas tugas untuk memajukan kawasan pertanian secara produktif dan sempurna, menggerakkan masyarakat peneroka supaya maju, produktif dan berdisiplin serta meningkatkan taraf hidup mereka lebih sempurna. Selain daripada syarikat minyak nasional Petronas, Malaysia tidak ada nama syarikat multinasional yang begitu gah namanya di serata dunia. Sebab itu kita mengalu-alukan daya usaha Felda Global Ventures Holdings yang ditubuhkan pada 2007, sebagai sayap pelaburan Felda untuk berkembang ke luar negara.

Kumpulan Felda kini mempunyai 80 syarikat yang aktif. Sebagai sebuah entiti bebas dan tidak lagi bergantung pada bantuan atau dana daripada kerajaan, apa sahaja pendapatan dan keuntungan dijana oleh Kumpulan Felda, para peneroka juga akan menikmatinya secara bersama. Ia boleh diterima dalam bentuk pembangunan komuniti, infrastruktur, tanggungjawab sosial korporat, biasiswa, pendidikan, tanaman semula, bantuan kewangan dan sebagainya. Perubahan-perubahan yang dilakukan Felda semenjak beberapa tahun lalu adalah bagi memenuhi keperluan komuniti Felda sendiri yang juga berubah mengikut peredaran semasa. Misalnya pada 1996, Felda telah diperbadankan sebagai Felda Holdings dengan objektif merancakkan aktiviti komersial melalui beberapa anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai perniagaan. Ketika peneroka sibuk mengusahakan tanah-tanah mereka, Felda Holdings dan Felda Global pula memperluaskan operasinya yang majoritinya berkaitan dengan kepakarannya dalam urusan peladangan. Tidak ketinggalan dalam membantu meningkatkan pendapatan peneroka dalam pemberian dividen yang tinggi setiap tahun ialah Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Pada tahun lalu sahaja KPF dilaporkan membayar dividen 15 peratus dan purata tahunan 14 peratus sejak 10 tahun lalu kepada ahlinya yang terdiri daripada peneroka dan kakitangan Felda. Bayaran dividen ini lebih tinggi daripada yang diberi oleh saham-saham amanah Permodalan Nasional Berhad. Kejayaan ini menjadi jasa perjuangan kerajaan selama ini kepada keluarga peneroka Felda di seluruh negara, menyebabkan ada pihak tidak senang hati. Berikutan itu, sengaja ditimbulkan cerita kononnya Felda bankrap dan cuba menyerang agensi ini kerana melihat kawasan tanah rancangan menjadi kubu kuat kerajaan Barisan Nasional (BN). Felda sebenarnya tidak lagi menerima geran dan bantuan kewangan daripada kerajaan sejak 1996 selepas menyelesaikan hutang Bank Dunia dan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM400 juta setahun. Jadi ia menunjukkan Felda mampu mengurus kewangannya dan cerita Felda bangkrap adalah karut. Baru-baru ini Felda Global menyenaraikan syarikat gulanya MSM di Bursa Malaysia - yang pertama sebuah syarikat Felda disenaraikan - berjaya memberi keuntungan hampir RM300 juta kepada Koperasi Permodalan Felda yang memiliki pegangan saham 20 peratus dalam MSM.

Berikutan kejayaan itu, timbul spekulasi penyenaraian Kumpulan Felda di Bursa malaysia sebagaimana dicetuskan daripada idea Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2003 dahulu. Para peneroka kini mahu melihat kaedah meningkatkan pendapatan mereka melalui cara yang berbeza. Kalau dahulu dengan tangan dan cangkul, tetapi dengan terbukti penyenaraian MSM, mereka juga mengharapkan mendapat laba jika Kumpulan Felda turut disenaraikan. Di alaf fasa kedua 50 tahun pertumbuhan Felda, punca pendapatan peneroka bukan hanya akan datang daripada hasil tanah yang diusahakan tetapi akan juga melalui pelaburan di dalam KPF. Salah satu kelebihan apabila Felda disenaraikan - modal yang diperolehi boleh dimanfaatkan untuk dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), meningkatkan produk dan tekonologi untuk memudahkan kerja-kerja peneroka. KPF dimiliki oleh peneroka dan kakitangan Felda. Hanya mereka sahaja layak melabur dalam KPF. Jadi jika Felda disenaraikan, keuntungan akan disalurkan semula kepada KPF. Jika purata dividen KPF ialah 15 peratus, bayangkan berapa jumlah diperolehinya jika Kumpulan Felda disenaraikan? Jangan kita lupa, Felda adalah cermin kejayaan konglomerat Malaysia yang mempunyai kekuatan dan nama yang gah. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-54.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 OGOS 2011

28 Ogos 2011

ISU UMUM : USAHA MELAGA-LAGAKAN ISLAM DAN DUNIA BARAT


Disiarkan dalam majalah Time, Amerika baru-baru ini ialah makalah yang mendedahkan tindak-tanduk pihak-pihak tertentu supaya Islamfobia lebih marak. Dua nama disebut: Geert Wilders dan Robert Spencer. Tajuk utamanya When Slogans Beget Slaughter - manakala cogan-cogan kata mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai. Wilders ialah aktivis politik Belanda yang berulangkali mendesak supaya diharamkan imigrasi orang-orang Islam ke Belanda. Beliau ikut hadir dalam rapat umum di New York pada 11 September tahun lalu yang membantah cadangan membina sebuah pusat antara agama yang dianjurkan oleh pihak Islam. Rapat umum itu diatur oleh Spencer, seorang warga Amerika yang terkenal sebagai penulis polemik anti-Islam. Pelbagai kata-katanya diulangi hingga 64 kali dalam manifesto Anders Behring Breivik yang membunuh 69 belia kulit putih di sebuah pulau dan lapan orang lagi di luar bangunan pejabat Perdana Menteri Norway. Seperti dijelaskan oleh Wikipedia, Ensaiklopedia bebas, Spencer (lahir 1962) seorang “penulis dan blogger yang terkenal kerana pelbagai kritik terhadap Islam”.

Beliau juga telah menulis 10 buah buku, termasuk dua yang laris sekali jualannya. Beliau telah dikritik oleh Karen Armstrong kerana meminda ayat-ayat suci al-Quran. Menurutnya, Spencer “tidak pernah pun mencatat kecaman al-Quran terhadap segala jenis peperangan dan melarang tindakan menceroboh”. Di samping itu Allahyarham Benazir Bhutto, bekas Perdana Menteri Pakistan menuduh Spencer sengaja “melaga-lagakan Islam dan dunia Barat”. Pada 20 Disember, 2006 kerajaan Pakistan telah mengharamkan buku Spencer bertajuk The Truth About Muhammad. Spencer telah menulis lebih dari 300 makalah anti-Islam dipelbagai universiti serta menulis untuk program-program televisyen dan radio. Kerana semuanya itu beliau dianggap pembicara anti-Islam yang ternama sekali di Amerika. Wilders pula terkenal di Eropah, antara lain kerana kempen menentang “Islamisasi Negara Barat”. Beliau juga berkempen supaya a-l-Quran diharamkan di negeri Belanda. Menurut catatan Wikipedia lagi, akhbar-akhbar Wall Street Journal, New York Times (kedua-duanya di Amerika) dan Guardian (Britain) kemudian menyifatkan Wilders sebagai hipokrit.

Menurut mereka beliau bersungguh-sungguh mahu mengharamkan jualan kitab al-Quran, tetapi mahu kebebasan sepenuhnya bagi diri sendiri. Juga disebut, betapa ia tinggal di Israel selama dua tahun dan mengunjunginya hingga 40 kali. Mengulas mengenai kian ramai orang Islam di negeri Belanda, beliau pernah menulis: “Berjalanlah di mana jua jalan raya dan lihat apa yang berlaku. Anda tidak merasa berada dalam negara sendiri. Pada satu masa nanti lebih banyak masjid dari gereja”. Menurut statistik tahun 2000, bilangan warga Islam di negeri Belanda ialah seramai 850,000 orang termasuk dari Maluku, Selatan Indonesia dulu. Jumlah penduduk Belanda 16,491,852 orang pada tahun 2009. Turut membuat laporan ialah majalah Economist, London. Lalu disebut mengenai kebanyakan para pengkritik Islam ialah di Britain dan Amerika. Nama-nama mereka dicatat dalam manifesto 1,500 muka yang disebarkan oleh Anders Breivik. Juga disebut bahawa disetiap negara demokrasi Barat terdapat parti-parti politik yang anti-Islam dan anti-imigrasi orang-orang warna kulit.

Antara yang menjadi sasaran kritik anti-Islam ialah Profesor John Esposito dari Universiti Georgetown, Amerika yang terus berusaha memupuk hubungan baik antara Kristian dan Islam. Seperti telah terbukti ada pihak-pihak yang meminda ayat-ayat al-Quran dalam polemik mereka dan pelbagai aspek amalan agama Islam. Bagi umat Islam ialah ayat dan surah al-Haqqah: 49-50: “Dan sesungguhnya Kami benar-benar mengetahui bahawa di antara kamu ada orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar menjadi penyesalan bagi orang kafir di akhirat”. Di samping itu dari pihak-pihak lain beri peringatan berkaitan interaksi dengan sahabat handai dan musuh seperti disiarkan dalam bahasa Inggeris: Keep you friends close, but keep your enemies closer. Kerana, buruk padanya manakala nama-nama dan sifat-sifat musuh tidak diketahui.

Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
28 OGOS 2011

ISU ANTARABANGSA : PASCA MUAMMAR GADDAFI JADI TANDA TANYA

Ku Seman Ku Hussain


Rakyat Libya bersorak riang selepas pemberontak berjaya menawan Tripoli beberapa hari lalu. Tripoli adalah benteng terakhir Presiden Muammar Gaddafi dan ini bermakna Libya telah jatuh ke tangan pemberontak yang menuntut demokrasi. Tetapi, jangan gembira dulu. Kejatuhan Gaddafi bukanlah kunci mutlak demokrasi akan bertunas dan subur di Libya. Kalau rakyat bermimpi akan wujud demokrasi, mereka sebenarnya terperangkap dalam permainan Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya Perancis dan Britain yang mengemudi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Demokrasi masih jauh di Libya. Pemberontak yang terdiri daripada pelbagai puak dan fahaman hanya bersatu untuk menumbangkan Gaddafi. Mereka semua dendam kepada sifat diktator Gaddafi yang mengaut kekayaan hasil bumi untuk keluarga. Tetapi dendam sahaja tidak cukup untuk menzahirkan seorang pemimpin di negara yang mempunyai banyak puak. Mereka tidak ada wibawa bersatu untuk memimpin Libya. Menumbangkan Gaddafi dengan memacu Libya sebagai negara maju dari hasil minyak adalah dua perkara berbeza. Maka kejayaan pemberontak hanya melepasi fasa pertama. Tetapi fasa seterusnya untuk menyuburkan kembali demokrasi adalah sangat sukar.

Maka dalam isu Libya, pasca Gaddafi adalah bab paling penting sekaligus penuh tanya tanya. Kejatuhan Gaddafi bukan lagi menjadi isu kerana dia sewajarnya sudah lama jatuh. Malah kebangkitan rakyat juga memang kena pada masanya dengan menumpang semangat kebangkitan dari Mesir, Syria, Yemen dan Tunisia. Tetapi kenyataannya rakyat berdepan era pasca Gaddafi yang semua orang tahu kejayaan pemberontak itu hasil bantuan AS menerusi NATO dan Majlis Keselamatan PBB. Gaddafi mungkin belum tumbang kalau tanpa sokongan Barat yang kononnya mahu mengembalikan kuasa ke tangan rakyat. AS mempunyai kepentingan tersendiri dalam isu Libya. Bagi AS, Gaddafi adalah “budak nakal” yang menganggu kelicinan campur tangan mereka terhadap negara-negara lain yang merdeka dan berdaulat. Dua dekad pertama kepimpinannya, Gaddafi disanjungi kerana jasa besar kepada Libya. Rakyat tidak boleh melupakan jasa Gaddafi menutup pangkalan tentera udara AS tahun 1970 yang kemudiannya menebus maruah selepas menjadi negara berpengaruh dan bangun menguasai sendiri minyak di perut buminya. Gaddafi juga menjadi pemain utama yang mengubah dasar Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) sekaligus mencabar Barat yang menguasai industri minyak.

PENGHALANG

Pasca Gaddafi adalah saat yang sangat mencabar kerana kalangan pemberontak tidak mempunyai pemimpin yang berwibawa. Konflik antara puak ini menjadi penghalang utama kestabilan politik Libya pasca Gaddafi. Semua ini membuka pintu kepada pertelagahan sesama sendiri seperti yang berlaku di Iraq pasca Saddam Hussein. Ketika ini Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) bertindak sebagai kerajaan sementara. Majlis ini dianggotai oleh 33 ahli terdiri daripada wakil puak-puak yang memberontak menumbangkan Gaddafi. Kerajaan sementara ini adalah mainan AS dan sekutunya. Negara-negara ini awal-awal lagi sudah mengiktiraf NTC sebagai kerajaan sementara padahal Libya masih mempunyai Presiden dan masih belum tumpas sepenuhnya. Tetapi inilah kerajaan yang mendapat sokongan Barat. Kebebasan, ketelusan serta demokratiknya NTC boleh dipersoalkan apabila dikaitkan dengan agenda Barat. NTC berpangkalan di Benghazi, tempat tercetusnya pemberontakan menentang Gaddafi. Benghazi menjadi satu mercu tanda. Puak di Benghazi tidak sama dengan puak yang menguasai Tripoli dan sekiranya pemimpin dari Benghazi dipilih mengetuai NTC, puak lain pasti akan menentang. Penganalisis politik Afrika Selatan di Universiti Cambridge, George Joffe percaya pemberontak dari barat Libya yang menawan Tripoli tidak akan menerima pemimpin dari Benghazi.

Pertelagahan antara puak akan mengisi pasca Gaddafi dan demokrasi yang mimpikan bertukar menjadi gelanggang meruntuhkan sesama sendiri. Sementara itu campur tangan AS yang membawa kepada kejayaan pemberontak adalah pendekatan Barat era neokolonialisme. Hal yang sama berlaku di Iraq ketika kononnya kejatuhan Saddam akan mengembalikan demokrasi. Tetapi lihatlah sejak 2003 hingga sekarang, Iraq menjadi lebih sengsara berbanding era Saddam. Kegagalan AS memberi demokrasi seharusnya menjadi pengajaran kepada pemberontak yang bersekongkol dengan tentera NATO menumbangkan Gaddafi. Kerana itu tumpasnya Gaddafi membuka era baru yang menjerumuskan Libya, negara yang kaya dengan hasil minyak ke kancah perebutan kuasa. Setakat ini hanya 60 peratus sahaja hasil minyak Libya yang diterokai. Walaupun AS bukan berada di barisan depan seperti di Iraq tetapi tetap mahu menguasai kekayaan negara itu. Barack Obama mengambil pendekatan berhati-hati setelah Bush membuat banyak kesilapan semasa menyerang Iraq. Buktinya kali ini AS berselindung di sebalik NATO tetapi AS secara tidak langsung menyediakan khidmat sokongan untuk menjatuhkan Gaddafi. Maka yang kelihatan di depan dalam serangan atas Libya adalah Perancis dan Britain.

PERCATURAN

Melihat kepada percaturan dan pertembungan antara puak-puak dan juga sekutu AS di Libya, harapan rakyat untuk melihat perubahan pasca Gaddafi tidak mungkin berlaku. Perebutan kuasa antara puak dijangka berlaku dan pertempuran akan berterusan. NTC bukanlah sebuah kerajaan sementara yang mantap dan tentunya tidak mampu meredakan babak kedua; bertempur sesama sendiri kerana berebut kuasa. Apabila ini berlaku, demokrasi menjadi suatu yang sangat abstrak untuk dizahirkan. Semua ini kerana rakyat telah membuat kesilapan menukar pemimpin dengan bantuan kuasa asing. Gaddafi pula yang seharusnya berkorban dengan mengadakan peralihan kuasa secara aman tidak berbuat demikian. Kedegilan Gaddafi membuka pintu kepada campur tangan kuasa yang memang mengidam hasil bumi negara itu. Akhirnya apabila semua penat lelah, darah dan nyawa dipertaruhkan untuk menumbangkan Gaddafi dibalas dengan kekacauan yang lebih besar, apakah ini boleh dianggap kejayaan? Maka pasca Gaddafi menjadi kayu pengukur berjaya atau tidak kerajaan sementara mengadakan pilihan raya dan mendapat pemimpin yang diterima oleh semua puak. Kalau ini tidak berlaku, Libya menjadi medan kedua sesi ujian senjata moden tentera NATO yang mengorbankan orang awam dan harta benda. Siapa yang dipilih memimpin Libya akan menjadi penanggung hutang kerana belanja mengorban orang awam dan harta benda itu perlu dibayar dengan minyak di perut bumi Libya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
28 OGOS 2011

ISU UMUM : MAUT BELUM LAGI MENJEMPUT


Kejadian seorang lelaki yang ditikam sebanyak lapan kali sebelum dicampakkan ke dalam hutan di Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah tetapi ditemui masih hidup pada Ahad lepas boleh diumpamakan sebagai kisah mati hidup semula. Lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Arman Shah dikatakan sedar dari pengsan tidak lama selepas kejadian itu. Malangnya dia terpaksa berjalan kaki selama satu hari setengah untuk keluar dari hutan tersebut. Kisah yang dihadapi lelaki berkenaan merupakan antara himpunan kejadian 'bernasib baik' yang berlaku walaupun pada kebiasaannya dengan kejadian buruk yang berlaku adalah sukar untuk kita menerima hakikat mereka masih hidup.

KETENTUAN

Memang benar bahawa hanya Tuhan yang maha berkuasa untuk menentukan takdir dan masa depan seseorang. Jika sudah tiba ajal seseorang, hanya dengan gigitan nyamuk pun sudah cukup untuk kita pergi meninggalkan semua yang ada di dunia buat selama-lamanya. Tetapi jika belum sampai waktunya, hatta jika pesawat terhempas sekalipun seseorang itu masih tetap bernyawa kerana qada dan qadar masih belum menetapkannya begitu. Kisah umpama mati hidup semula ini sering saja menjadi perhatian kerana kejadian yang menimpa mereka ini adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku. Malah terdapat beberapa kajian mengenainya yang dilakukan oleh penyelidik Barat terutama dalam mengenal pasti bagaimana mereka yang melalui kisah yang menggerunkan serta hampir mencabut nyawa mereka ini mampu untuk terus hidup seperti manusia lain.

TRAUMA

Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh American Psychological Association di Washington, kebanyakan wanita lebih mudah untuk selamat atau hanya mengalami kecederaan ringan apabila terlibat dalam kemalangan sebegini. Bagaimanapun mereka ini lebih cenderung untuk mengalami trauma yang teruk akibat kesan dari kejadian buruk yang berlaku. Menurut Profesor Dr. Richard G. Tedeschi, dari Jabatan Psikologi University of North Carolina antara kesan utama yang berlaku selepas kemalangan yang nyaris mencabut nyawa mereka adalah kesan kecederaan atau penyakit kekal, trauma akibat kehilangan nyawa mereka yang tersayang seperti anak atau suami serta apa yang dipanggil post-traumatic stress disorder (PTSD).

HILANG FOKUS

PTSD ini merupakan kesan stres yang melampau yang mana ia mampu mengakibatkan seseorang hilang fokus dalam hidup, bertindak di luar kawalan sehingga menggugat perhubungan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan selain bersikap defensif dan menyalahkan orang lain. Malah adakalanya mereka ini sanggup bertindak membunuh diri kerana tidak sanggup menerima 'pergolakan dalaman' yang menjadi punca kenapa ada masanya mereka berkelakuan aneh. Bagaimanapun setelah menjalani rawatan atau akhirnya pulih dengan sendiri, kesemua mereka akan berasa bersyukur dan menjalani kehidupan dengan azam yang lebih baik untuk menghargai kehidupan.

PSIKOLOGI

Menjadi sebab utama kenapa ramai wanita yang lebih banyak terlibat dalam PTSD bersandarkan laporan yang dikeluarkan oleh Dr. David F. Tolin, yang juga Pengarah di Anxiety Disorders Center, hospital psikiatri Hartford di Connecticut, AS. Menurut beliau, jika mereka yang pernah melalui pengalaman ngeri dalam kemalangan di dedahkan dengan rakaman atau bunyi kemalangan yang mereka lalui, golongan wanita akan memberi respons psikologi yang keterlaluan selain degupan jantung akan bertambah kencang. Ini kemungkinan besar berkait rapat dengan hormon di otak mereka yang menjadikan mereka lebih mudah untuk berasa trauma dengan kejadian buruk yang pernah dilalui. Berbeza daripada lelaki, kebanyakan mereka sudah terbiasa malah sejak kecil lagi berpandangan bahawa berasa takut dan bimbang adalah sesuatu yang cuba dielakkan. Waima apa pun fakta mengenai kisah mati hidup semula ini kita tidak boleh menyifatkan apa yang telah berlaku terhadap mereka ini sebagai sesuatu yang mudah. Ia bukan umpama kemalangan biasa yang hanya mengakibatkan luka-luka kecil tetapi kisah mereka ini diibaratkan hanya selangkah lagi malaikat maut akan mencabut nyawa mereka. Namun Tuhan masih memberi peluang kedua pada mereka untuk menjalani hidup yang lebih baik berbanding sebelumnya.

APOLO NSIBAMBI


PERDANA Menteri Uganda ini pernah melalui detik mencemaskan apabila helikopter yang dinaikinya bersama enam orang pegawai terhempas. Bagaimanapun kesemua mereka terselamat setelah helikopter tersebut yang didakwa mengalami masalah teknikal sempat terjatuh di atas rimbunan pokok sebelum pesawat itu terhempas. Kejadian itu berlaku di bandar Bugiri, selatan Uganda pada Mac 2010. Perdana Menteri sebelumnya, John Garang juga terbunuh dalam satu kemalangan helikopter pada Julai 2005.

GEORGE LUCAS


PENGARAH filem terkenal ini antaranya Star Wars merupakan seorang lelaki yang dilihat sebagai gagal, lemah dan tidak mampu pergi jauh ketika zaman remajanya. Namun beberapa hari sebelum menamatkan zaman persekolahannya pada tahun 1962, Lucas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ngeri mengakibatkannya koma selama tiga hari. Mengulas mengenai kejadian itu, Lucas menyatakan bahawa seseorang yang terlibat dengan pengalaman sebegitu pasti akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku atau kenapa berada di situ ketika kejadian. Lucas sendiri masih tertanya-tanya mengenainya sehingga kini dan ia sedikit sebanyak membantunya dalam berimaginasi mengenai banyak perkara.

OZZY OSBOURNE 


LEGENDA rock ini pernah mengalami kemalangan ngeri apabila terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi. Namun beliau diselamatkan oleh pembantunya yang terpaksa memberi pernafasan mulut ke mulut apabila jantungnya berhenti berdegup sebanyak dua kali sebelum di bawa ke hospital. Osbourne yang koma selama lapan hari menggambarkan pertama kali beliau membuka matanya sebagai sesuatu yang asing dan langsung tidak mengenali orang disekelilingnya. Namun akibat kemalangan itu telah membuatkan dirinya semakin menghargai kehidupan dengan menyatakan adalah sesuatu yang mengagumkan bagaimana kejadian beberapa saat itu telah mengubah keseluruhan hidupnya.

ROY C. SULLIVAN 


MANUSIA seorang ini mencatat sejarah tersendiri sebagai satu-satunya orang yang terselamat daripada panahan kilat bukan setakat sekali tetapi tujuh kali sepanjang hidupnya. Pertama kali beliau dipanah petir adalah pada tahun 1942 ketika berada di menara peninjau namun Sullivan hanya kehilangan salah satu kuku kakinya. Kejadian seterusnya berlaku pada tahun 1969, 1970, 1972, 1973, 1974 dan 1977. Bagaimanapun dalam setiap kejadian itu beliau hanya cedera ringan dan langsung tidak menghadapi sebarang kecederaan kekal. Antara kecederaan yang berlaku padanya akibat panahan petir adalah terbakar bulu kening, dua kali rambutnya terbakar, sedikit kesan terbakar di bahu kiri dan terbakar di buku lali. Panahan petir terakhir yang berlaku ketika beliau sedang memancing adalah paling teruk pernah berlaku kepadanya. Ini kerana Sullivan telah dimasukkan ke hospital kerana terbakar di bahagian perut dan dadanya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
28 OGOS 2011