29 Ogos 2011

ISU EKONOMI : FELDA CERMIN KEJAYAAN MALAYSIA

Oleh AZMAN ANUAR


Sambutan  Hari Merdeka ke-54 dan Hari Raya Aidilfitri 1423H pada tahun ini amat bermakna kepada warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana 112,635 penerokanya mendapat 'duit raya' berjumlah RM42.6 juta. Sebagai mana bapa, ibu, pak cik dan mak cik mereka mengusahakan tanah yang diteroka lebih 50 tahun lalu, maka generasi kedua dan ketiga Felda membesar dan melihat bagaimana skim tanah rancangan itu membangun seiring dengan kemajuan negara. Daripada belantara dan bukit-bukau di kawasan penempatan tanah rancangan Lurah Bilut, Pahang kini banyak kawasan lain dibuka hingga menjadi kawasan pembangunan yang diidam-idamkan. Warga dari segenap pelosok negara dikumpulkan untuk menjalani satu cara penghidupan yang bersistem dan menjadikan mereka masyarakat Felda yang berjiwa maju. Penubuhan Felda lebih 50 tahun lalu memang tepat pada masanya memandangkan negara berada di ambang kemerdekaan. Rakyat yang merdeka dijanjikan kebebasan dan kemakmuran. Sebelum merdeka, pembukaan tanah secara besar-besaran dipelopori ladang swasta yang kebanyakannya dimiliki warga asing atau syarikat dari England.

Syarikat asing itu pula menguasai 70 peratus ladang berkenaan, diikuti 23 peratus milik peniaga Cina seperti Lee Rubber Estare Ltd dan tujuh peratus milik usahawan India. Kini Felda adalah pemilik dan pengurus estet terbesar dunia dengan tanah seluas 880,000 hektar kebanyakannya di Malaysia. Daripada skim pembangunan masyarakat, dari semasa ke semasa Felda mengorak langkah menceburi bidang perniagaan. Daripada satu perniagaan ke satu yang lain, memperlihatkan satu demi satu kejayaan dicapai. Misi 50 tahun pertama penubuhan Felda sudah mencapai objektifnya, kini agensi itu menggalas tugas untuk memajukan kawasan pertanian secara produktif dan sempurna, menggerakkan masyarakat peneroka supaya maju, produktif dan berdisiplin serta meningkatkan taraf hidup mereka lebih sempurna. Selain daripada syarikat minyak nasional Petronas, Malaysia tidak ada nama syarikat multinasional yang begitu gah namanya di serata dunia. Sebab itu kita mengalu-alukan daya usaha Felda Global Ventures Holdings yang ditubuhkan pada 2007, sebagai sayap pelaburan Felda untuk berkembang ke luar negara.

Kumpulan Felda kini mempunyai 80 syarikat yang aktif. Sebagai sebuah entiti bebas dan tidak lagi bergantung pada bantuan atau dana daripada kerajaan, apa sahaja pendapatan dan keuntungan dijana oleh Kumpulan Felda, para peneroka juga akan menikmatinya secara bersama. Ia boleh diterima dalam bentuk pembangunan komuniti, infrastruktur, tanggungjawab sosial korporat, biasiswa, pendidikan, tanaman semula, bantuan kewangan dan sebagainya. Perubahan-perubahan yang dilakukan Felda semenjak beberapa tahun lalu adalah bagi memenuhi keperluan komuniti Felda sendiri yang juga berubah mengikut peredaran semasa. Misalnya pada 1996, Felda telah diperbadankan sebagai Felda Holdings dengan objektif merancakkan aktiviti komersial melalui beberapa anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai perniagaan. Ketika peneroka sibuk mengusahakan tanah-tanah mereka, Felda Holdings dan Felda Global pula memperluaskan operasinya yang majoritinya berkaitan dengan kepakarannya dalam urusan peladangan. Tidak ketinggalan dalam membantu meningkatkan pendapatan peneroka dalam pemberian dividen yang tinggi setiap tahun ialah Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Pada tahun lalu sahaja KPF dilaporkan membayar dividen 15 peratus dan purata tahunan 14 peratus sejak 10 tahun lalu kepada ahlinya yang terdiri daripada peneroka dan kakitangan Felda. Bayaran dividen ini lebih tinggi daripada yang diberi oleh saham-saham amanah Permodalan Nasional Berhad. Kejayaan ini menjadi jasa perjuangan kerajaan selama ini kepada keluarga peneroka Felda di seluruh negara, menyebabkan ada pihak tidak senang hati. Berikutan itu, sengaja ditimbulkan cerita kononnya Felda bankrap dan cuba menyerang agensi ini kerana melihat kawasan tanah rancangan menjadi kubu kuat kerajaan Barisan Nasional (BN). Felda sebenarnya tidak lagi menerima geran dan bantuan kewangan daripada kerajaan sejak 1996 selepas menyelesaikan hutang Bank Dunia dan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM400 juta setahun. Jadi ia menunjukkan Felda mampu mengurus kewangannya dan cerita Felda bangkrap adalah karut. Baru-baru ini Felda Global menyenaraikan syarikat gulanya MSM di Bursa Malaysia - yang pertama sebuah syarikat Felda disenaraikan - berjaya memberi keuntungan hampir RM300 juta kepada Koperasi Permodalan Felda yang memiliki pegangan saham 20 peratus dalam MSM.

Berikutan kejayaan itu, timbul spekulasi penyenaraian Kumpulan Felda di Bursa malaysia sebagaimana dicetuskan daripada idea Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2003 dahulu. Para peneroka kini mahu melihat kaedah meningkatkan pendapatan mereka melalui cara yang berbeza. Kalau dahulu dengan tangan dan cangkul, tetapi dengan terbukti penyenaraian MSM, mereka juga mengharapkan mendapat laba jika Kumpulan Felda turut disenaraikan. Di alaf fasa kedua 50 tahun pertumbuhan Felda, punca pendapatan peneroka bukan hanya akan datang daripada hasil tanah yang diusahakan tetapi akan juga melalui pelaburan di dalam KPF. Salah satu kelebihan apabila Felda disenaraikan - modal yang diperolehi boleh dimanfaatkan untuk dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), meningkatkan produk dan tekonologi untuk memudahkan kerja-kerja peneroka. KPF dimiliki oleh peneroka dan kakitangan Felda. Hanya mereka sahaja layak melabur dalam KPF. Jadi jika Felda disenaraikan, keuntungan akan disalurkan semula kepada KPF. Jika purata dividen KPF ialah 15 peratus, bayangkan berapa jumlah diperolehinya jika Kumpulan Felda disenaraikan? Jangan kita lupa, Felda adalah cermin kejayaan konglomerat Malaysia yang mempunyai kekuatan dan nama yang gah. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-54.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 OGOS 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...