DATUK WAN AHMAD WAN OMAR,
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Sejak penubuhannya pada 4 September 1957, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan 12 pilihan raya umum (PRU) dan lebih 150 pilihan raya kecil (PRK). PRU yang terakhir adalah yang Ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008, di mana daripada 222 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan, 140 dimenangi calon-calon Barisan Nasional (BN), manakala 82 kerusi lain dimenangi calon-calon Pas/PKR/DAP, iaitu 31 Parti Keadilan Rakyat (PKR), 28 Democratic Action Party (DAP), dan 23 Parti Islam Se-Malaysia (Pas). Bagi Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada 505 kerusi yang dipertandingkan (tidak termasuk DUN Sarawak), BN memperoleh 307 , manakala 196 kerusi lain di menangi Pas (83), DAP (73) dan PKR (40). Dua kerusi dimenangi calon Bebas. Bagi DUN Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, pakatan Pas/DAP/PKR mendapat jumlah kerusi melebihi BN dan menubuhkan kerajaan di negeri-negeri berkenaan. Bagi DUN Perak, BN bagaimana pun telah mengambil alih pemerintahan apabila tiga ADUN (2 PKR dan 1 DAP) keluar dari parti masing-masing dan menyokong BN.
Tiga tahun pertama selepas PRU Ke-12, SPR telah menjalankan 16 PRK ekoran kekosongan luar jangka yang berlaku di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan. Daripada 16 PRK tersebut, 8 dimenangi calon-calon BN manakala 8 yang lain dimenangi calon-calon Pas/PKR/DAP. Keputusan setiap pilihan raya berkenaan (dari PRU Ke-12 hingga kepada PRK terakhir N. 27 Merlimau dan N. 28 Kerdau pada 6 Mac 2011, jelas mencerminkan proses pilihan raya di negara ini adil dan saksama. Sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya, SPR terbukti telah menjalankan tanggungjawabnya secara berkecuali. Setiap peringkat proses pilihan raya dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Apabila menjalankan sesuatu pilihan raya, SPR menyediakan gelanggang pertandingan dengan kelengkapan logistik, menyediakan tenaga pegawai dan petugas dan pelbagai peralatan lain yang diperlukan. Pada hari pengundian, hak rakyat selaku pengundi dijamin di bawah Perlembagaan. Rakyat bebas membuat pilihan dan pilihan rakyat melalui peti undi akan dikira secara telus dan adil.
Proses pengundian dan pengiraan juga dipantau dan diteliti oleh ejen-ejen yang mewakili calon masing-masing. Dakyah pihak tertentu yang menuduh SPR memanipulasikan proses pengundian dan pengiraan undi adalah satu fitnah dan pembohongan. Pernah semasa PRK N.29 Batang Air, Sarawak, ada pihak tertentu yang mendakwa kononnya "terdapat peti undi yang diangkut melalui helikopter telah dibuang ke dalam laut dan digantikan dengan peti undi lain". Pihak yang membuat pembohongan tersebut 'terlalu bijak' hinggakan tidak menyedari bahawa pembohongannya itu tidak berasas kerana SPR tidak menggunakan pengangkutan helikopter dalam PRK tersebut. Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu, tohmahan dibuat mengatakan berlaku di beberapa kawasan penipuan dan perbuatan menukar kertas-kertas undi di tempat mengundi. SPR menyiasat dakwaan tersebut melalui pegawai-pegawai SPR dan anggota-anggota polis yang bertugas di tempat-tempat yang berkenaan, terbukti semuanya pembohongan dan cerita rekaan sebagai alasan kekalahan mereka yang terbabit.
Pihak yang membuat tuduhan tersebut telah terlupa bahawa setiap tempat mengundi dipantau dari awal hingga tamat pengiraan oleh ejen-ejen calon yang hadir. Manakala di tempat-tempat lain ada pihak yang kalah mendakwa berlaku rasuah 'membeli undi' dengan sogokan wang dan sebagainya. Yang peliknya mengapa mereka berkenaan tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM untuk disiasat dakwaan tersebut. Untuk pembaharuan dan penambahbaikan, SPR terdiri daripada tujuh anggota panel dilantik di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Untuk melaksanakan fungsi-fungsinya, SPR melantik sebuah urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha selaku ketua pentadbir. Pada masa ini, Urus Setia SPR mengandungi pegawai-pegawai dan kumpulan staf yang berpengalaman sama ada di ibu pejabat atau pun di pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara. Dalam urusan pilihan raya, SPR sentiasa berusaha membuat penambahbaikan. Pelbagai inovasi dan pembaharuan telah diperkenalkan di peringkat proses pelaksanaan sama ada urusan pengundian atau pendaftaran pemilih.
Dalam konteks ini, apa-apa cadangan ke arah penambahbaikan sistem atau proses yang dikemukakan oleh parti-parti politik dan pihak-pihak lain, SPR perlu mengkajinya secara teliti dari setiap sudut dan implikasinya. SPR perlu berhati-hati dan perlu mendapat pandangan dari pihak-pihak lain yang berkaitan. Jika perkara-perkara yang dicadangkan itu melibatkan pindaan Perlembagaan atau Akta-Akta berkaitan, maka SPR perlu mendapat nasihat pihak Jabatan Peguam Negara. Dalam bidang urusan pilihan raya, semua pihak harus faham bahawa sesuatu perkara yang difikirkan baik oleh satu pihak itu mungkin tidak dipersetujui oleh pihak lain. Kadang-kala, terdapat cadangan yang dianggap baik untuk dilaksanakan, tetapi jika dihalusi dari sudut-sudut lain ia mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini. Apa-apa perkara berkaitan urusan pilihan raya, semua pihak yang berkepentingan perlu positif dan berfikiran terbuka serta bersedia menerima penjelasan dan keputusan SPR. Lazimnya, parti-parti politik membuat penilaian dan keputusan berasaskan kepada kepentingan masing-masing yang selalunya pendirian yang berbeza-beza antara satu dengan lain.
Ini yang menyebabkan kedudukan SPR menjadi sukar dalam usaha untuk membuat sesuatu keputusan yang akan memberi kepuasan kepada semua pihak. Selain parti-parti politik, SPR juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat selaku pengundi dalam pilihan raya. Justeru, apa- apa isu yang berbangkit atau cadangan-cadangan yang dikemukakan, demi untuk menjaga kepentingan semua pihak supaya keputusan yang dibuat itu adil dan saksama, SPR perlu melihat semua isu yang dicadangkan itu secara berkecuali supaya apa- apa keputusan yang diambil akan diterima baik dan memberi kepentingan semua pihak yang terbabit. Ada pihak yang bersikap prasangka dengan menuduh SPR mengamalkan double-standard dalam hubungannya dengan parti-parti politik di negara ini. Tanggapan pihak-pihak berkenaan yang menuduh SPR berpihak kepada parti pemerintah adalah tidak benar. Dalam menjalankan tanggungjawabnya, fokus utama SPR ialah untuk mengadakan suatu pilihan raya yang bebas, telus dan adil. Menang atau kalah dalam pilihan raya di negara ini bukan ditentukan oleh SPR tetapi rakyat selaku pengundi yang membuat pilihan.
SPR menguruskan pilihan raya bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan serta prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Misinya adalah untuk menguruskan suatu pilihan raya yang terbaik, lancar dan terkawal. Pilihan raya ialah proses demokrasi politik (political democracy) untuk memilih perwakilan dan menentukan kerajaan. Justeru, sesuatu pilihan raya itu perlu berjaya dan mencapai tujuannya iaitu rakyat membuat keputusan dalam memilih perwakilan dan parti politik untuk menubuh kerajaan.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan