08 Julai 2011

ISU BAHASA : MENGAPA ORANG TIDAK FASIH BAHASA INGGERIS DIPERLEKEH?

Oleh Rejal Arbee

Kita patut lebih malu 
jika tak pandai bahasa Melayu


Sungguh menghairankan apabila terdapat sebahagian daripada rakyat negara ini yang berterusan menghina dan memandang rendah mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Mereka memberi gambaran seolah-olah orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mampu berfikir atau pun tidak mempunyai intelek tinggi. Inilah kesimpulan yang boleh dibuat daripada apa yang dikatakan oleh ahli politik veteran DAP, Karpal Singh dalam Parlimen minggu lalu ketika membahas Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2011.  Beliau memang diakui berpengetahuan dalam selok-belok perundangan negara tetapi dengan angkuhnya telah mengkritik hakim kita yang tidak fasih berbahasa Inggeris.  Sambil memandang rendah kebolehan hakim kita yang didakwanya tidak sebaik rakan mereka di Singapura, negara jiran kita yang amat disanjungi anggota DAP itu, hanya kerana ada antara hakim kita yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.  

Beliau membuat tohmahan kononnya kelemahan berbahasa Inggeris adalah tidak praktikal bagi seorang hakim kerana kebanyakan, kalau pun bukan semua, laporan undang-undang masih ditulis dalam bahasa Inggeris.  Sungguh menghairankan apa kena-mengena kefasihan berbahasa Inggeris dengan corak kehakiman yang dibuat. Apakah seorang hakim yang kurang mahir berbahasa Inggeris tidak boleh memberikan keputusan adil dan terbaik dalam mahkamah?  Karpal mempersoalkan hakim yang dikatakannya tidak fasih berbahasa Inggeris, bukan persoalkan keputusan hakim itu. Apa sebenarnya ada kena-mengena kepetahan berbahasa Inggeris dengan penghakiman yang dibuat? Apakah Karpal tidak sedar dia berada di Malaysia yang mana bahasa rasminya adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.  Apakah jaguh DAP itu hendak memberi gambaran bahawa orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mempunyai tahap pemikiran setanding dengan mereka yang fasih berbahasa Inggeris?

Nampaknya masih wujud segelintir rakyat negara ini yang berterusan dikongkong penjajah. Seorang pegawai dagang dari Jerman hairan kenapa orang Malaysia begitu menyanjungi bahasa Inggeris hingga memperkecilkan bahasa negara sendiri. Hal ini katanya tidak mungkin akan berlaku di Jerman kerana semua rakyatnya berbangga dengan bahasa negara sendiri walau pun mereka juga belajar bahasa Inggeris.  Beliau menganggap orang Malaysia masih terkongkong dengan mentaliti berterusan dijajah British.  Benar kita harus belajar bahasa Inggeris supaya fasih dan memahaminya dengan baik. Tetapi usaha ini tidak seharusnya dengan mengabaikan bahasa Malaysia hingga ada yang tidak menggunakannya langsung malah masih terdapat sebilangan besar rakyat yang tidak faham langsung bahasa Malaysia.  Bahkan ada antara mereka yang berterusan memandang hina bahasa rasmi negara sendiri.

Ini boleh dilihat di kalangan rakan peguam pemimpin DAP itu sendiri yang hingga kini merangkak-rangkak dan kekok bertutur bahasa Malaysia dalam mahkamah. Mereka ini kalau berhijrah ke Perancis misalnya sudah tentu terpaksa belajar bahasa Perancis kerana mereka tidak akan diterima penduduk tempatan kalau berterusan berdegil tidak mahu belajar bahasa negara berkenaan.  Kenapa ada warga kita terlalu mendewakan bahasa Inggeris hingga tergamak mengecilkan rakyat negara ini yang tidak fasih berbahasa Inggeris? Anehnya mereka sedikit pun tidak berasa malu kalau tidak faham dan tidak tahu berbahasa Malaysia.  Sebagai warga negara ini, seharusnya mereka mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan lebih yakin menggunakannya. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga pernah menyatakan kebimbangannya terhadap kemunduran penggunaan bahasa Malaysia di kalangan masyarakat yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris.

Beliau menyorot kepada perlakuan pada majlis kerajaan yang mana penghormatan kepada bahasa asing lebih diutamakan sekiranya tetamu yang hadir terdiri daripada rakyat asing, walaupun bilangannya amat kecil.  “Cuba lihat dalam majlis kerajaan, walaupun pada majlis itu ada dua tiga kerat orang bangsa asing, pihak penganjur akan mengatakan minta maaf kerana terpaksa bercakap dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hanya ada dua tiga ‘mat saleh’ tetapi kita pula nak tukar bahasa kerana nak ikut kerenah mereka.  “Adakah kerana bila kita menggunakan bahasa Malaysia, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan,” kata Muhyiddin baru-baru ini. Beliau juga mengakui kurangnya tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan adalah antara faktor menyebabkan bahasa Malaysia dipinggirkan.

Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri telah menyatakan hal ini, apa lagi yang hendak ditunggukan. Semua yang bertanggungjawab menentukan penggunaan bahasa Malaysia tidak diremehkan termasuk semua pihak berkuasa tempatan harus segera bertindak terhadap semua pesalah laku demikian. Ini termasuk penganjur Festival Georgetown yang tidak menghormati langsung bahasa Malaysia dalam laman webnya, begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan MultiMedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec) yang hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam laman web mereka.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
7 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : GURU PERLU TEKANKAN PEMBANGUNAN PROFESIONALISME


Guru perlu mengenal pasti kekuatan masing-masing dan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan profesionalisme, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurutnya, peningkatan standard kualiti pengajaran menjadi fokus utama kerana ia amat penting dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing bagi memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi. Guru bahasa Inggeris perlu mengetahui keperluan mereka bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika berucap pada majlis pelancaran Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris. Standard pedagogi telah digubal oleh Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kualiti pendidikan mata pelajaran tersebut. Bahasa Inggeris merupakan subjek pertama yang membangunkan standard berkenaan, selaras dengan aspirasi dasar dan strategi Kementerian Pelajaran.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
8 JULAI 2011

07 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : MELESTARI PERANAN PROFESOR SEBAGAI PEMIKIR NEGARA


Sumbangan golongan cendekiawan atau intelektual akademik khususnya golongan profesor dalam pembangunan negara tidak boleh dinafi atau di kesampingkan. Buktinya, sejak kebelakangan ini pelbagai anugerah dimenangi kumpulan-kumpulan penyelidik dari universiti tempatan dalam persaingan penyelidikan atau pertandingan inovasi di luar negara. Karya-karya akademik mereka juga diiktiraf di peringkat antarabangsa. Namun, banyak pihak menganggap peranan profesor masih tertumpu dalam lingkungan akademik atau persekitaran universiti dan tidak banyak saranan atau cetusan idea mereka yang menjadi panduan kepada kerajaan khususnya dalam menggubal dasar pembangunan negara. Tanpa menafikan peranan besar profesor tertentu misalnya Profesor Diraja Ungku Aziz yang mencadangkan penubuhan Tabung Haji, buah fikiran profesor lainnya seolah-olah tidak mendapat tempat, atau mungkin sememangnya tidak diketengahkan.

Sebab itu Kongres Profesor Negara (KPN) anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang berlangsung Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula 6 Julai hingga 7 Julai 2011, diharapkan dapat menjanjikan cahaya baru kepada peranan profesor di negara ini. Sebagai badan pemikir intelektual yang ditubuhkan tahun lalu, MPN mengumpulkan kira-kira 1,700 profesor dari universiti awam dan mereka dibahagikan kepada 14 kluster atau kelompok mengikut disiplin kepakaran masing-masing. Sejurus pelancaran MPN di Putrajaya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 April 2010, rakyat menaruh harapan tinggi agar kemajuan negara bukan hanya dipacu oleh ahli-ahli politik, pegawai dan kakitangan awam, teknokrat serta swasta malah memberi ruang dan peranan lebih besar kepada sumbangan profesor-profesor. Paling utama, dalam pelan dan agenda transformasi kerajaan yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini, seharusnya melibatkan sama golongan profesor supaya mereka membahaskannya melalui pandangan ilmu sejagat.

Melalui 14 kluster yang ditetapkan di bawah MPN, sudah pasti setiap kumpulan kluster dengan disiplin ilmu dan kepakaran berbeza, dapat melontarkan saranan ke arah memastikan agenda transformasi yang dicita-citakan Perdana Menteri, dilaksanakan mengikut acuan yang betul. Ini bermaksud, bukan sekadar membahaskan transformasi pentadbiran awam, sains dan teknologi serta ekonomi, malah buah fikiran golongan profesor sangat diperlukan untuk memastikan transformasi politik, sosial dan keselamatan awam direalisasikan. Kerajaan dan rakyat sudah pun memberi lampu hijau kepada profesor-profesor untuk melibatkan diri secara serius dan aktif dalam input pembentukan dasar dan pengoperasian pentadbiran awam. Kini, dengan keyakinan bahawa semua profesor mempunyai semangat kecintaan yang tinggi terhadap negara, rakyat menantikan sumbangan mereka yang lebih besar seterusnya melestarikan peranan golongan ini dalam rencana pembangunan negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JULAI 2011

ISU UMUM : KESEDERHANAAN TUN ABDUL RAZAK


Berbekalkan sebuah basikal dan tanpa mengira panas serta mendung, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengorak langkah menyelami kehidupan penduduk luar bandar. Sedikit pun beliau tidak rasa kekok mahupun malu untuk mengayuh basikal melintasi kawasan sawah padi, pertanian dan perumahan orang kampung. Malah, dijadikan pula sebagai alternatif bagi anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Hussein Mohd. Taib dan Teh Fatimah Daud ini untuk mendekati rakyat. Biarpun dilahirkan dalam keluarga bangsawan kerana bapanya adalah seorang daripada empat orang besar Diraja Pahang yang mempunyai hubungan erat dengan Istana Pahang, namun apa yang pasti tiada jurang atau unsur elitisme dalam keperibadian Tun Abdul Razak. Justeru, tidak menghairankan apabila beliau yang juga digelar sebagai Bapa Pembangunan amat terkenal dengan sikap kesederhanaan biarpun telah menceburi bidang politik sehingga menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Keperibadian sederhananya itu turut terserlah apabila beliau sanggup menginap di hotel murah serta tidak akan menukar sesuatu perabot di kediaman rasminya, Sri Taman sekiranya masih boleh digunakan lagi.

Begitulah uniknya sikap Tun Abdul Razak yang tidak ada pada pemimpin lain ketika itu dan ini diakui sendiri Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun. "Pengalaman sosialisasi beliau membesar di kampung selama 10 hingga 12 tahun membentuk sifat kesederhanaan dalam dirinya," kata Abdul Ghapa. Dibesarkan di sebuah kawasan perkampungan kecil, Pulau Keladi, Pekan, bersama-sama anak penduduk kampung, akhirnya membentuk sahsiah 'kesederhanaan' yang kuat dalam diri beliau. Malah, status 'anak bangsawan' tidak menghalang beliau bermain dan berkawan dengan anak miskin kampung. Apatah lagi, asas persekolahan Tun Abdul Razak bukanlah digilap di sebuah sekolah berstatus elit, tetapi hanya di Kampung Jambu Langgar yang agak jauh dari rumah datuknya sehingga terpaksa menapak sejauh empat kilometer setiap hari. Melihat kesengsaraan dan kesempitan hidup rakan-rakannya, menyebabkan beliau turut sama tidak memakai kasut dan hanya berkaki ayam ke sekolah seperti mereka kerana tidak mahu adanya perbezaan miskin atau kaya.

"Percakapan, pakaian, pergaulan, pergi mengaji al-Quran dan bermain sawah, langsung tiada perbezaan dengan rakan-rakan sebayanya. Walaupun selepas Tun melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak), Raffles College, Singapura sekejap sahaja kerana Perang Dunia Kedua kemudian England, sikap kesederhanaannya masih utuh dan tidak berubah biarpun sudah bergaul dengan golongan elit. "Jadi apabila Tun menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan kemudian terbabit dalam politik, beliau tidak berasa kekok dan boleh makan sekali serta bergaul dengan orang kampung. Pengalaman Tun ini berbeza dengan pemimpin lain kerana kebanyakan pemimpin ketika itu yang asal daripada golongan elit atau bangsawan membesar dengan ibu bapa, jadi unsur elitisme itu sudah ada. "Berbanding dengan Tun yang membesar di kampung, elemen dan sikap elitisme tidak tumbuh bersama-sama dalam keperibadian beliau," katanya. Pengalaman membesar di kampung, bukan sahaja membentuk sifat kesederhanaan dalam diri beliau, malah mewujudkan sikap prihatin tatkala melihat kesukaran dan kesempitan hidup masyarakat kampung terutama orang Melayu.

Tidak sekadar memandang atau merenung tanpa melakukan apa-apa, Abdul Ghapa berkata, pengalaman itu akhirnya mendorong Tun Abdul Razak komited mengubah kehidupan masyarakat luar bandar sekali gus bermatlamat memodenkan serta meningkatkan pendapatan mereka. "Untuk membolehkan masyarakat luar bandar terbabit secara aktif dalam ekonomi moden, mereka mestilah dihubungkan dengan orang bandar melalui pembangunan infrastruktur. Bagi merealisasikan perkara ini, pemikiran orang kampung mesti diubah sehingga terbinanya 'scientific frame of mind'. Menurut Tun, kalau pemikiran orang kampung tidak diubah, apa pun program yang kerajaan laksanakan tidak akan berjaya. "Semasa tahun 60-an bukan sahaja banyak projek pembangunan tetapi juga program berbentuk pentingnya kesedaran mengubah sikap telah digiatkan untuk mengubah cara-cara mereka berfikir. Menurut Tun Razak, usaha mengintegrasikan sains ke dalam kebudayaan kita semestinya menjadi tugas dan tanggungjawab baru bagi orang Melayu," katanya. Ini kerana Tun Abdul Razak berpendapat hanya menerusi pengintegrasian sains, orang Melayu dapat berubah menjadi 'a new kind of economic man' dan mampu menyusun kegiatan ekonomi mereka secara besar-besaran dan berkesan.

Kesungguhan dan keprihatinan Tun Abdul Razak membantu masyarakat kampung menjana pendapatan lebih baik dapat dilihat sebaik sahaja beliau menggalas jawatan sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama, yang ketika itu Perdana Menteri adalah Tunku Abdul Rahman Putra. Menurut Abdul Ghapa, MCKK yang diketahui umum ketika itu sebagai sebuah platform pengajian untuk golongan bangsawan dan elit, telah direformasikan oleh Tun Abdul Razak dengan membuka lembaran pintunya kepada orang Melayu bukan dari golongan tersebut untuk mendapat pendidikan di situ bagi mengubah kehidupan mereka. Perjuangan beliau mengubah nasib masyarakat kampung semakin dekat apabila memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan seterusnya Perdana Menteri kedua pada tahun 1970. Sikap kesederhanaan Tun Abdul Razak semasa pentadbirannya dari tahun 1970 sehingga 1976, tidak hanya tertumpu membantu masyarakat orang Melayu luar bandar, malah turut merangkumi pelbagai kaum. Ini merujuk kepada segala keputusan dasar yang dibuat, beliau turut menekankan kepentingan kaum lain sehingga digelar sebagai 'Symphatetic Father of Nation' dalam sebuah majalah, 'Asia Yearbook' pada tahun 1974.

"Walaupun beliau membesar di kampung, Tun bukan ekstremis Melayu. Pendidikan di MCKK, luar negara, mempengaruhinya dalam membuat keputusan supaya tidak mementingkan sebelah pihak sahaja. "Beliau juga bukanlah seorang pemimpin yang suka dominate. Ini kerana, beliau amat terkenal dengan kesediaan mendengar pelbagai pandangan daripada semua pihak dan ini dapat dilihat ketika memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). "Ketika itu, sarjana ekonomi daripada pelbagai aliran pemikiran telah dipanggil memberikan pandangan dan beliau membuat keputusan berdasarkan mana lebih praktikal. "Semasa membuat keputusan, beliau menekankan matlamat DEB bukan sahaja membantu orang Melayu memperoleh peluang dalam pembangunan ekonomi tetapi juga memastikan kepentingan kaum bukan Melayu juga turut dilindungi dan ini menyebabkan pemimpin bukan Melayu boleh rapat dengan beliau," katanya. Kesederhanaan Tun Abdul Razak bukan setakat dalam skop negara sahaja, malah merangkumi jalinan hubungan diplomatik dengan negara luar. Tanpa mengira berlainan ideologi, Perdana Menteri kedua menerusi sikap pragmatiknya melihat faedah, sumbangan mahupun hasil yang boleh diperoleh daripada hubungan diplomatik terjalin khususnya dari sudut ekonomi negara untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

Abdul Ghapa berkata, kesederhanaan Tun Abdul Razak menjalinkan hubungan diplomatik, akhirnya mengeratkan hubungan dengan negara komunis di Eropah Timur, Soviet Union dan kemuncaknya dengan China pada tahun 1974 selepas beliau mengadakan lawatan ke China dan disambut mesra oleh Perdana Menteri China, Chou En-Lai. "Sikap pragmatiknya membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada negara komunis dari sudut perdagangan, sains teknologi serta menjamin kedaulatan negara. Ini kerana, China memberi jaminan tidak akan mengganggu urusan dalam negara Malaysia khususnya berhubung dengan kegiatan pengganas komunis. "Macam konfrontasi Indonesia yang berlaku ekoran daripada penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, sikap pragmatik beliau sedikit sebanyak telah membantu kepada usaha pembaikan hubungan persahabatan antara dua negara," katanya. Biarpun negara selepas merdeka mewarisi sebuah jentera pentadbiran yang mantap dan ekonomi memberangsangkan daripada penjajah, namun terdapat dua masalah ketara iaitu agihan kekayaan tidak sama dan kelemahan kerajaan membina satu identiti kebangsaan di kalangan rakyat sehingga berlakunya peristiwa hitam, tragedi 13 Mei.

Ia ditambah menerusi pilihan raya yang diadakan pada 10 Mei 1969 di mana telah memberi satu tamparan kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina apabila MCA yang adalah anggota parti Perikatan kalah teruk dan UMNO meletakkan punca kekalahan Perikatan kepada MCA.Bertitik-tolak dari situ, ada desakan daripada UMNO supaya menubuhkan kerajaan Melayu sahaja. "Perikatan hilang sokongan. Orang Melayu makin ramai tidak menyokong, begitu juga dengan sokongan terhadap parti bukan Melayu, kerajaan hilang majoriti dua pertiga. Biarpun begitu, Tun tidak tunduk kepada desakan menubuhkan kerajaan Melayu sahaja dan ini sudah dilihat kesederhanaan beliau menjaga hubungan antara kaum. "Proses memulihkan sokongan rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah negara stabil telah bermula ketika beliau memegang jawatan sebagai pengarah Mageran (Majlis Gerakan Negara) yang ditubuhkan untuk memulihara keamanan selepas tragedi 13 Mei. Kemudian usaha menarik sokongan dilakukan secara berterusan sehinggalah beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan telah cuba menggabungkan parti politik pembangkang dengan Perikatan.

"Apabila dapat menggabungkan beberapa parti politik ketika itu, beliau menukarkan nama Perikatan kepada Barisan Nasional untuk mewujudkan kerajaan kuat dan stabil," katanya. Menurut Abdul Ghapa, Perdana Menteri kedua itu percaya bahawa pembangunan ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia hanya dapat diwujudkan melalui sebuah kerajaan yang kuat. Bagi memastikan agihan kekayaan dapat diseimbangkan semua kaum, Tun Abdul Razak berpendapat sudah tiba masanya campur tangan kerajaan diperlukan dalam menangani permasalahan tersebut. "Sebelum tahun 1969, kerajaan tidak banyak campur tangan dalam ekonomi dan ketika itu golongan swasta memainkan peranan utama dalam ekonomi negara. Mereka hanya melihat keuntungan dan tidak memberikan perhatian kepada soal pengagihan kekayaan secara adil. "Atas sebab itu, beliau memperkenalkan DEB yang melibatkan penyertaan kerajaan bagi memastikan proses agihan kekayaan secara lebih adil berlaku. Lebih penting lagi, campur tangan kerajaan akan memberi peluang kepada bumiputera dan kaum lain dari sudut meningkatkan penguasaan ekonomi," katanya.

Berkaitan masalah kedua, membina identiti kebangsaan, Abdul Ghapa berkata Tun Abdul Razak telah mengambil langkah tegas menterjemahkan peruntukan dalam perlembagaan ke dalam dasar-dasar yang bersifat kebangsaan seperti membentuk dasar budaya kebangsaan, rukun negara dan dasar pendidikan sebagai teras kepada identiti kebangsaan Malaysia. Melalui langkah itu, Tun Abdul Razak telah membina satu 'baseline' yang jelas dari sudut identiti negara yang terasnya adalah Melayu, seperti mana dimaktubkan dalam perlembagaan. 'Marker of identity' yang sudah ada dalam beberapa fasa Perlembagaan Negara seperti kedudukan Bahasa Melayu, kedudukan orang Melayu dan Raja-raja Melayu telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai unsur penyatu kepada perpaduan rakyat negara ini. "Tun Abdul Razak menegaskan sebagai sebuah negara pelbagai kaum, Malaysia selepas tragedi hitam itu (13 Mei 1969) amat memerlukan dasar yang jelas dan tegas dalam soal identiti," katanya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JULAI 2011

ISU SOSIAL : REMAJA MASIH PERLEKEH UNDANG-UNDANG JALAN RAYA

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)


Baru-baru ini seorang wanita dari Terengganu didenda dan dipenjara kerana memanggil anggota polis "bodoh". Ini adalah kes yang membabitkan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis semasa ditahan kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. Pada hakikatnya masih ada penunggang motosikal menunggang tanpa memakai topi keledar walaupun telah berulang kali diberi peringatan dan teguran oleh pihak berkuasa. Sikap tidak menghormati undang-undang ini amat menyedihkan. Selain menunggang tanpa topi keledar, wujud masalah mereka yang suka melanggar lampu merah bahkan ada ketika semasa polis sedang menjalankan tugas di tempat berhampiran. Sebagai penguna jalan raya, membuat saya tertanya-tanya mengapa begitu banyak penunggang motosikal sanggup memperjudikan nyawa mereka ketika menyeberangi persimpangan jalan dengan melanggar lampu merah.

Ia bukan hanya isu penunggang motosikal individu tetapi juga pasangan ibu bapa yang kadang-kadang meletakkan anak kecil mereka tersepit di antara penunggang dan pembonceng. Berdasarkan pemerhatian saya lebih daripada 50 peratus penunggang melanggar lampu isyarat di persimpangan jalan. Kalau kita menempatkan pegawai penguat kuasa di persimpangan lalu lintas, sudah pasti ramai akan tertangkap. Tetapi itu bukanlah persoalannya, isu di sini mengapa penunggang motosikal tidak menunjukkan rasa hormat terhadap undang-undang bahkan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka dan nyawa orang yang mereka sayangi. Apa yang lebih merunsingkan adalah peningkatan trend remaja dan belia yang tidak menghormati undang-undang. Nilai-nilai murni tidak lagi mencorak perilaku mereka dan perasaan hormat kepada undang-undang dan ketenteraman awam nampaknya semakin pudar.

Remaja semuda 15 tahun terlibat dalam aktiviti lagak ngeri mat rempit, malah mengejek dan mencabar pihak polis di jalan raya. Sindrom perilaku negatif seperti samseng jalanan, buli di sekolah, bertindak ganas, bersikap biadap dan kurang ajar jelas membuktikan bahawa kempen kesopanan kita belum berkesan. Persoalan ketidakpatuhan terhadap undang-undang perlu dikaji dan penyebab dikenal pasti sebelum ia menjadi lebih parah. Adakah pihak sekolah dan ibu bapa telah melakukan secukupnya untuk menerapkan rasa hormat kepada undang-undang di kalangan generasi muda? Adakah tekanan negatif rakan sebaya yang telah membawa remaja kepada situasi yang tidak diingini ini? Adakah perilaku sebilangan pemimpin kita yang tidak menunjukkan teladan yang baik dalam menghormati undang-undang mengakibatkan masalah ini timbul. Semua persoalan ini adalah sangat relevan dan saya ingin mencadangkan supaya satu badan bebas ditubuhkan untuk mengkaji sejauh mana seriusnya trend remaja yang tidak menghormati undang-undang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JULAI 2011

06 Julai 2011

ISU SOSIAL : PERANAN PEMIMPIN ATAU RAKYAT?

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN 
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia


Pemimpin lahir daripada rakyat. Tanpa rakyat, siapalah pemimpin dalam konteks pemerintahan negara ini. Rakyat adalah 'raja' yang menentukan kedudukan seseorang pemimpin dalam konteks politik arus perdana hari ini. Semua pemimpin dalam stratifikasi masyarakat baik dengan apa jawatan sekalipun sama ada di peringkat bawahan mahupun atasan, lahir daripada rakyat. Namakan mereka apa sahaja, pemimpin tetap wajar memiliki penjenamaan rakyat dalam diri mereka. Barulah, kepemimpinan daripada rakyat dan merakyatkan kepimpinan dilihat saling perlu memerlukan. Hari ini nilai hubungan pemimpin dan rakyat sudah jauh berubah. Dalam mempertahankan nilai konvensional dan tradisional, kepimpinan hari ini hakikatnya berpusat kepada karakter atau keperibadiannya beserta gagasan atau agenda pentadbiran walaupun kuasa dan kedudukan meletakkan seseorang pemimpin pada taraf tertentu dalam masyarakat. Kewujudan pemimpin dalam apa jua gelarannya barangkali mempunyai pelbagai kuasa dan kedudukan malahan tanpa kedudukan sekalipun masih berpengaruh untuk memainkan peranan dan fungsi pengukuhan seseorang pemimpin.

Legitimasi politik atau keabsahan pemimpin adalah bagaimana beliau diiktiraf tanpa perlu dipaksa memberi sokongan tetapi dengan sukarela mendapatnya kerana memiliki ciri kepimpinan yang berwibawa. Pemimpin berjiwa rakyat adalah harapan umum, yang jujur dan memenuhi tanggungjawab ke atas rakyat dengan etika dan integriti yang dipersetujui tanpa melahirkan keraguan ke atas hak mereka sebagai warga. Pemimpin juga seperti pengarah syarikat dan rakyat adalah pemegang sahamnya. Sebagaimana keluarga dan syarikat penting bagi empunyanya, begitu juga beban tanggungjawab pemimpin ke atas rakyatnya. Pemegang saham boleh memberontak jika lembaga pengarah syarikat memegang jawatan untuk memperkukuhkan diri sendiri. Bertopengkan jawatan sehingga membelakangkan integriti boleh menyebabkan rakyat marah dan kecewa. Rakyat adalah penentu dan penyuntik hayat seorang pemimpin dalam konteks hari ini yang dipenuhi dengan permainan manipulasi fakta dan sejarah.

Moral menjadi penanda aras martabat seorang pemimpin. Sumbangan pembangunan harus diimbangi dengan keikhlasan pemimpin dalam memanifestasi perjuangannya untuk rakyat. Pemimpin mesti cekal dan tidak mudah terpedaya; tidak gentar pada suruhan nafsu ataupun pujukan rasuah, bergelut nyawa daripada menggadai maruah, serta tidak akan berkompromi untuk mengalah kepada desakan dusta dan nista. Keteguhan pemimpin adalah pada secara konsisten mendahulukan rakyat daripada dirinya. 'Rakyat Dahulu, Saya Kemudian' boleh dirujuk sebagai pemimpin rakyat. Pengorbanan dan kompromi dilakukan untuk rakyat; rakyat menjadi benteng kekuatan dirinya. Jika ada kelemahan, pemimpin mesti berani mengakuinya dan bersifat rendah diri untuk kepentingan rakyat. Pemimpin juga seharusnya dapat memastikan tingkah laku rakyat tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan undang-undang agar rakyat akan sentiasa merasa selamat dari angkara pihak yang mempunyai kepentingan fahaman politik mereka atau terlalu taksub dengan individu sehingga akan menggunakan apa sahaja cara untuk melenyapkan yang terbina melalui amalan demokrasi berperlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menasihatkan pemimpin katanya; "Seseorang yang bergelar pemimpin bukan bermakna berada pada kedudukan tertinggi atau memiliki keistimewaan, tetapi ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Pemimpin perlu memiliki sifat rendah diri dan tawaduk dalam menjalankan tanggungjawab serta sanggup merasai kesusahan yang dialami rakyat.'' Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah juga pernah bertitah bahawa ''adab adalah penentu kepada jatuh bangun seseorang pemimpin, bangsa dan sesebuah negara kerana ia memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan, tetapi oleh pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.'' Wadat Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba dalam teks Sejarah Melayu atas konsep derhaka-setia perlu dihalusi semula kerana politik baru memerlukan pemimpin rakyat yang berfikiran inklusif bersedia melakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat dan bukan kepentingan diri kerana pemimpin adalah penyatu masyarakat.

Pemimpin dan pengikut perlu berubah kerana yang mencorakkan matlamat dan perjuangan adalah pemimpin yang beralaskan tulang belakang yang ampuh iaitu rakyat. Keangkuhan, bongkak dan sombong bukan nilai tambah politik baru tetapi di sebaliknya. Model politik baru merungkai tanggungjawab dalam kalangan pemimpin dan ia akan berjaya jika masing-masing memahami peranan dan fungsi mereka dalam kerangka untuk mentransformasi negara dan rakyat. Rakyat memerlukan pemimpin dan pemimpin juga memerlukan rakyat. Kebangkitan rakyat dan pemimpin beralaskan kepada keunikan demografi dan geografi negara ini akan membolehkan kestabilan, kesejahteraan dan kehidupan berukun terus diperkasakan dan martabat negara bangsa dipertahankan demi generasi akan datang. Dilemanya, adakah keseluruhan masyarakat berfikiran sedemikian rupa apabila landskap politik berubah sejak Mac 2008.

Rakyat menentukan kepimpinan politik melalui amalan yang sudah wujud sekian lamanya; sehingga Terengganu jatuh kepada pembangkang pada 1959 dan 1999; Kelantan di bawah parti pembangkang untuk sekian lamanya; Sabah pada 1990; beberapa negeri juga dimenangi dalam pilihan raya 1969 dan 2008; Wilayah Persekutuan turut dikuasai oleh pemimpin pembangkang; yang terkini lapan dari 16 Pilihan Raya Kecil turut melihat kekalahan parti pemerintah. Apakah politik perlu dijaja dalam apa sahaja acuan seolah-olah mahu mengesahkan bahawa 'politik adalah kotor' dengan membawa mesej bersih secara tersurat. Sedangkan pemimpin jika benar-benar jujur dengan tanggungjawabnya ada saluran untuk menyerah memorandum kepada Institusi Raja negeri yang ditadbir urus mereka sebelum dibawa kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong? Apakah undang-undang hanya akan dihormati jika ia memberikan keselesaan kepada tuntutan sesetengah pihak dan ditolak habis-habisan jika boleh membawa kemudaratan kepada mereka?

Barangkali sentimen populis adalah ayunan akhir untuk mempertahankan pemimpin yang memerhati dan membuat congakan untuk menguasai kepimpinan negara apabila barisan pembesar bukan kerajaan menyedari ada pemimpin yang akan menjadi liabiliti kepada mereka dan boleh kehilangan sokongan yang tidak bersifat tetap daripada pilihan raya lalu. Rakyat yang menentukan kedudukan pemimpin dan sudah tiba masanya menilai apakah benar 'rakyat sudah matang' dalam konteks politik perkauman dan sejauh manakah pemimpin yang akan lahir adalah bukan dari yang tidak matang? Apakah yang kita lihat mutakhir ini dan yang akan datang adalah akibat dari desus-desus pilihan raya akan diadakan tidak berapa lama lagi? Barangkali, tarikh pilihan raya umum perlu diperpanjangkan tempoh masa sehingga mencapai tempoh masa matang agar 'pemimpin dan rakyat' memain peranan memulihkan ekonomi negara, menjana kestabilan dan keadaan yang lebih menentu sebagaimana yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1999?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JULAI 2011

ISU SOSIAL : MEREKA WAJAR DILINDUNGI

Oleh Fauziah Arof


Kira-kira pukul 10.30 malam di depan sebuah kedai serbaneka di Shah Alam, seorang budak lelaki berkopiah, datang kepada saya meminta sumbangan wang untuk didermakan kepada rumah anak- anak yatim. Di tangannya, ada beberapa gelung kalendar dan beberapa kotak buah kismis. Wajah kanak-kanak yang belajar dalam Tahun 5 itu, nampak keletihan, entah dari pukul berapa dia terpaksa berbuat begitu. Memang sebak, melihat kanak-kanak sebaya anak saya itu, berada di jalanan pada waktu begini. Kanak-kanak yang kononnya hendak diajar ‘cara berniaga’ dan berdikari oleh rumah anak-anak yatim itu riak wajahnya ‘takut-takut’ dan sedih, mungkin pernah diherdik orang ramai, atau mungkin juga bimbang belum mendapatkan sebarang kutipan sekali gus menghampakan ‘guru-gurunya’. Lantas saya menghulurkan wang bukan untuk rumah anak yatim itu, tetapi untuk dia sendiri dan memberikannya coklat yang dipesan oleh anak saya dari kedai serbaneka itu.

Tiadakah cara lain yang lebih baik untuk rumah anak-anak yatim ini, pusat tahfiz atau madrasah mengutip dana menggerakkan operasi mereka? Apakah cara ini ‘direstui’ oleh pihak berkuasa? Apakah mereka memerlukan permit untuk mengutip derma ini dan pihak mana yang memberikan kelulusan? Malah dalam Seksyen 32, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Di Jalan 1947 jelas melarang sebarang bentuk mengerah tenaga kanak-kanak, sama ada untuk mengutip derma atau berniaga secara terus. Sedangkan, anak-anak yatim ini wajib dilindungi, bukannya dianiaya dengan menyuruh mereka berpanas terik atau berembun, mengutip derma sebegitu. Itu belum lagi disentuh mengenai soal keselamatan. Kita pun risau kes culik, rogol dan bunuh di kalangan kanak-kanak yang semakin meningkat. Ketika anak-anak lain tidur atau berehat di rumah, anak-anak yatim ini pula dikerah mendapatkan hasil sumbangan.

Bila pula masanya mereka belajar, berehat? Bila mahu menghafal al-Quran? Jika sumber kewangan terhad, apa kata jika ustaz-ustaz di pusat tahfiz atau madrasah itu pula yang mengutip derma? Rasakan sendiri kepayahan anak-anak yatim ini. Sememangnya, pemandangan seperti ini sudah biasa dilihat di stesen- stesen minyak dan kedai makan. Sudah tiba masanya, kegiatan yang menyiksa dan menganiaya anak-anak yatim ini dihentikan. Carilah pendekatan yang lebih berperikemanusiaan. Saya percaya pihak swasta akan membantu sekiranya bantuan diminta dengan saluran yang betul. Dan pihak swasta pula, janganlah hanya memberi tumpuan kepada golongan ini pada bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa. Bantulah mereka tanpa mengikut musim. Marilah kita berdoa agar perjalanan hidup anak-anak yatim ini dipermudahkan dan kudrat mereka yang tidak seberapa itu tidak disalah guna oleh pihak-pihak tertentu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JULAI 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : MASA DEPAN CERAH BIOTEKNOLOGI NEGARA

Oleh WAHID HASHIM
(Di Konvensyen Biologi Antarabangsa 2011 di Washington)


Malaysia  meninggalkan tiga faktor yang penting di Washington baru-baru ini, iaitu nama, reputasi dan janji - sesuai sebagai pemain baru dalam industri bioteknologi di rantau Asia dan lingkaran Pasifik . Sebut apa sahaja - tayar, sarung tangan, pakaian. ubat-ubatan, baja, aksesori, makan dan minum, genetik manusia, pokok, haiwan - semuanya adalah berkaitan bioteknologi. Sebagai rakyat Malaysia, ia memberi harapan kepada satu punca kekayaan baru, atau menambah apa yang sedia ada. Di Washington, buat pertama kali dalam sejarah monopoli Barat dalam industri bioteknologi, muncul Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai warga luar Eropah dan Amerika Syarikat pertama yang merasmikan Konvensyen Biologi Antarabangsa. Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu, diiringi Gabenor Maryland, Martin O'Malley serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BIO, James Greenwood memotong reben merah dan melawat tapak pameran. Bunyi paluan gong sebanyak tiga kali bergema di dalam Pusat Konvensyen Walter E. Washington, apabila Muhyiddin tiba di gerai pameran Bio- XCell Malaysia.

Bukan Singapura, tapi Malaysia yang lebih menyerlah - walau pun Singapura, seperti mana biasa, cuba melancarkan perang dingin menggantung sepanduk besar 'Biopolis Singapore' di pintu masuk Pusat Konvensyen Walter E. Washington, yang dihadiri 15,000 pemain industri bioteknologi daripada 60 negara. Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood menyusul apabila menjadi salah seorang panel 'Scientific American Super Session': Perspektif Gobal Biotechnologi, dengan perantara oleh Hos CNN dan ketua Pengarang Kumpulan Time, Fareed Zakaria. Fareed penulis beberapa buku terlaris New York Times, cuba memprovokasi Iskandar, dan sudah tentu mahu mempromosikan Singapura, mula mengemukakan soalan yang dangkal dan lebih bersifat sosio-politik, seperti kekangan dan cabaran bangsa China, India dan Islam di Malaysia, pada satu majlis bioteknologi! Reputasi Malaysia tampak menyerlah, apabila pelbagai industri dalam bidang bioteknologi mengikat perjanjian mahu melabur di Malaysia, atau sekurang-kurangnya mahu mengintai peluang dan ruang melalui sesi pertemuan dua mata.

Sebanyak 40 buah industri bioteknologi telah membuat komitmen awal, empat lagi bertukar dokumen pada BioWashington 2011. Empat syarikat yang bertukar-tukar dokumen ialah antara Bio-XCell dengan Agila Specialties Sdn. Bhd., Bio-XCell dengan MoX- Linde Gases Sdn. Bhd., Lestari Pacific dengan Arter Biofuel Products Ltd dan Pristine Oil dengan Bio Protein. Malaysia yang tersenarai dalam 10 pempamer emas kerana komitmennya kali ini, terus berjanji akan melaksanakan janji pemberian insentif, dan berpegang kepada janji itu, Malaysia sekali lagi menjadi negara rantau Asia pertama menganjurkan Persidangan Lingkaran Pasifik mengenai Industri Bioteknologi dan Bio-Tenaga pada November ini, bersempena dengan BioMalaysia 2011. Persidangan elitis itu sebelum ini tidak pernah keluar dari Amerika Syarikat. Pengumuman bersama berhubung perkara itu dibuat sendiri oleh Muhyiddin dan James Greenwood, pada sidang akhbar di Washington. Daripada pengamatan sepanjang BioWashington 2011 pada 27 hingga 30 Julai lalu, ternyata industri bioteknologi telah membuka pintu kepada pelaburan asing memasuki Malaysia dengan nilainya ratusan juta ringgit.

Pengurusan sumber biomas dan sumber manusia yang cekap dan efektif akan menjadikan kekayaan itu dapat dinikmati oleh negara. Dasar bioteknologi yang ada sejak 2005 perlu dikemaskinikan supaya industri itu, serta asas-asas yang mendukungnya seperti sumber, pasaran, perlindungan, hak milik intelektual, pajakan, sewaan, serta insentif dapat dijadikan dokumen atau manual prosedur operasi standard. Kepentingan industri huluan dan hiliran juga perlu dijaga dan dikembangkan melalui satu infrastruktur yang memastikan kemapanan bekalan modal sumber asas. Penubuhan Bio-XCell, BioNexus sebagai penggiat industri bioteknologi perlu beroperasi secara cukup bijak kerana pengisian insentif di Nusajaya, Johor telah disambut oleh pelbagai latar belakang syarikat konglomerat antarabangsa yang telah begitu lama berkecimpung dalam industri itu, dengan Malaysia masih terlalu muda dan banyak hendak dipelajari. Sepak terajang dalam bidang bioteknologi itu tidak boleh hanya digembar-gemburkan dengan kejayaan bersifat kekuatan sedia ada, seperti biodiversiti kita, sumber asli yang banyak, sumber modal insan, dan sebagainya, yang masih di peringkat kulit.

Penawaran serta insentif yang boleh menjerat diri sendiri, seperti pelepasan cukai yang keterlaluan sehingga 10 tahun kepada syarikat asing, penggunaan bahan mentah sehingga menyedut habis sumber tempatan serta pulangan yang terlalu lama perlu juga dikaji di bawah mikroskop.Kalau dilihat kepada bentuk pelaburan yang akan dibawa ke Malaysia, kebanyakan mereka terlalu maju berbanding syarikat tempatan di bawah Bionexus tempatan yang berkisar kepada produk tradisional. Sebahagian daripada pelabur ini mempunyai niche sendiri, sehingga sebahagiannya mempunyai demand tersendiri. Industri bioteknologi memang baru dan kita perlu mengetahui secara lebih mendalam tentangnya. Kita belum ada dasar bioteknologi yang jelas, kecuali sembilan inisiatif - ketika pelabur asing bercakap tentang teknologi mereka yang cukup tinggi.Adakah kita sudah bersedia dengan menyediakan segala keperluan bahan mentah dan modal insan berkemahiran kepada semua pelabur berkenaan? Kita sudah cukup gas Nitrogen? Kita sudah cukup sumber asas menghasilkan isoprene? Kita sudah bersedia membangunkan reaktor bioteknologi berkapasiti puluhan ribu liter? - dan banyak lagi.

Kebanyakan produk, teknologi, infrastruktur serta proses telah dipatentkan oleh industri berkenaan. Malaysia menawarkan diri sebagai penyedia infrastruktur perlu patuh kepada apa yang telah disediakan di bawah hak milik intelektual berkenaan. Hal ini perlu kita perhalusi kerana salah satu pelabur secara terus terang berkata, pihaknya memindahkan operasi ke Malaysia kerana apa yang pernah ditawarkan oleh India dahulu tidak dapat dipenuhi sekarang. Apa sahaja janji-janji manis seperti insentif tenaga kerja yang murah dan infrastruktur yang memadai sudah tidak dapat dipenuhi oleh India. Malaysia boleh menggantikan India kerana Bio-Xcell tahu bagaimanakah caranya dan menjanjikan pelbagai insentif. Selain itu, terdapat dua isu yang perlu diberi perhatian iaitu pengurusan sumber dan harga komoditi. Harga komoditi bahan mentah sangat penting, bermula daripada konsep biomas sehingga kepada asas bahan api, rawatan, pengawet, pemangkin dan sebagainya. Satu dasar bioteknologi kebangsaan untuk mengurus bahan biomas sangat penting bagi mengurus kemapanan bahan, keseimbangan ekologi, dan proses keseluruhan. Sesungguhnya bioteknologi mempunyai masa depan yang cerah jika kita tahu bagaimana menguruskannya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : GURU BAHASA INGGERIS "BERGERAK"


Guru Bahasa Inggeris (BI) berkelayakan yang mampu mengajar dengan baik mungkin diserap dalam kumpulan khas 'guru bergerak' yang akan dihantar ke sekolah tertentu yang memerlukan khidmat mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya mengkaji untuk mewujudkan kumpulan ‘guru BI dan guru mentor bergerak’ untuk memperkasakan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kementerian Pelajaran ketika ini dalam proses melaksanakan penempatan semula guru bagi menampung kekurangan guru BI di sekolah berhampiran yang memerlukan khidmat mereka.  MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang akan dimansuhkan tahun depan selepas didapati gagal mencapai matlamat meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar, sebaliknya menjejaskan pencapaian pelajar luar bandar dalam subjek itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada tahun ini juga, penempatan guru BI yang baru akan dilakukan dengan peraturan lebih ketat mengikut tahap keperluan di sekolah seluruh negara.  Bagi memastikan kejayaan dasar MBMMBI, beliau berkata, kementerian juga menawarkan kontrak tiga tahun kepada 600 bekas guru BI bersara dengan 168 daripada mereka sudah mula mengajar.  Katanya, kementerian juga akan membina makmal BI di 700 sekolah selepas melihat keberkesanan projek perintis di 20 sekolah tahun lalu.  Sehingga kini 12,000 guru BI tidak terlatih mengikuti program latihan semula untuk meningkatkan kemahiran, manakala 10,000 guru lagi dijangka mengikuti program itu tahun ini.  Kementeriannya sedang mengkaji kaedah jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan guru menggantikan guru bersalin di banyak sekolah di seluruh negara.  Ini bukan masalah kecil, kita memandang serius perkara ini dan mahu satu kaedah berkesan untuk mengatasinya supaya proses pembelajaran tidak terjejas.  Antara masalah utama dikenal pasti adalah kekurangan peruntukan menempatkan guru ganti dan kita sedang berusaha memohon Kementerian Kewangan menambah peruntukan berkenaan.

SUMBER
BERITA HARIAN
6 JULAI 2011