Oleh Rejal Arbee
Kita patut lebih malu
jika tak pandai bahasa Melayu
jika tak pandai bahasa Melayu
Sungguh menghairankan apabila terdapat sebahagian daripada rakyat negara ini yang berterusan menghina dan memandang rendah mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Mereka memberi gambaran seolah-olah orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mampu berfikir atau pun tidak mempunyai intelek tinggi. Inilah kesimpulan yang boleh dibuat daripada apa yang dikatakan oleh ahli politik veteran DAP, Karpal Singh dalam Parlimen minggu lalu ketika membahas Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2011. Beliau memang diakui berpengetahuan dalam selok-belok perundangan negara tetapi dengan angkuhnya telah mengkritik hakim kita yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Sambil memandang rendah kebolehan hakim kita yang didakwanya tidak sebaik rakan mereka di Singapura, negara jiran kita yang amat disanjungi anggota DAP itu, hanya kerana ada antara hakim kita yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
Beliau membuat tohmahan kononnya kelemahan berbahasa Inggeris adalah tidak praktikal bagi seorang hakim kerana kebanyakan, kalau pun bukan semua, laporan undang-undang masih ditulis dalam bahasa Inggeris. Sungguh menghairankan apa kena-mengena kefasihan berbahasa Inggeris dengan corak kehakiman yang dibuat. Apakah seorang hakim yang kurang mahir berbahasa Inggeris tidak boleh memberikan keputusan adil dan terbaik dalam mahkamah? Karpal mempersoalkan hakim yang dikatakannya tidak fasih berbahasa Inggeris, bukan persoalkan keputusan hakim itu. Apa sebenarnya ada kena-mengena kepetahan berbahasa Inggeris dengan penghakiman yang dibuat? Apakah Karpal tidak sedar dia berada di Malaysia yang mana bahasa rasminya adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris. Apakah jaguh DAP itu hendak memberi gambaran bahawa orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mempunyai tahap pemikiran setanding dengan mereka yang fasih berbahasa Inggeris?
Nampaknya masih wujud segelintir rakyat negara ini yang berterusan dikongkong penjajah. Seorang pegawai dagang dari Jerman hairan kenapa orang Malaysia begitu menyanjungi bahasa Inggeris hingga memperkecilkan bahasa negara sendiri. Hal ini katanya tidak mungkin akan berlaku di Jerman kerana semua rakyatnya berbangga dengan bahasa negara sendiri walau pun mereka juga belajar bahasa Inggeris. Beliau menganggap orang Malaysia masih terkongkong dengan mentaliti berterusan dijajah British. Benar kita harus belajar bahasa Inggeris supaya fasih dan memahaminya dengan baik. Tetapi usaha ini tidak seharusnya dengan mengabaikan bahasa Malaysia hingga ada yang tidak menggunakannya langsung malah masih terdapat sebilangan besar rakyat yang tidak faham langsung bahasa Malaysia. Bahkan ada antara mereka yang berterusan memandang hina bahasa rasmi negara sendiri.
Ini boleh dilihat di kalangan rakan peguam pemimpin DAP itu sendiri yang hingga kini merangkak-rangkak dan kekok bertutur bahasa Malaysia dalam mahkamah. Mereka ini kalau berhijrah ke Perancis misalnya sudah tentu terpaksa belajar bahasa Perancis kerana mereka tidak akan diterima penduduk tempatan kalau berterusan berdegil tidak mahu belajar bahasa negara berkenaan. Kenapa ada warga kita terlalu mendewakan bahasa Inggeris hingga tergamak mengecilkan rakyat negara ini yang tidak fasih berbahasa Inggeris? Anehnya mereka sedikit pun tidak berasa malu kalau tidak faham dan tidak tahu berbahasa Malaysia. Sebagai warga negara ini, seharusnya mereka mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan lebih yakin menggunakannya. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga pernah menyatakan kebimbangannya terhadap kemunduran penggunaan bahasa Malaysia di kalangan masyarakat yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris.
Beliau menyorot kepada perlakuan pada majlis kerajaan yang mana penghormatan kepada bahasa asing lebih diutamakan sekiranya tetamu yang hadir terdiri daripada rakyat asing, walaupun bilangannya amat kecil. “Cuba lihat dalam majlis kerajaan, walaupun pada majlis itu ada dua tiga kerat orang bangsa asing, pihak penganjur akan mengatakan minta maaf kerana terpaksa bercakap dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hanya ada dua tiga ‘mat saleh’ tetapi kita pula nak tukar bahasa kerana nak ikut kerenah mereka. “Adakah kerana bila kita menggunakan bahasa Malaysia, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan,” kata Muhyiddin baru-baru ini. Beliau juga mengakui kurangnya tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan adalah antara faktor menyebabkan bahasa Malaysia dipinggirkan.
Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri telah menyatakan hal ini, apa lagi yang hendak ditunggukan. Semua yang bertanggungjawab menentukan penggunaan bahasa Malaysia tidak diremehkan termasuk semua pihak berkuasa tempatan harus segera bertindak terhadap semua pesalah laku demikian. Ini termasuk penganjur Festival Georgetown yang tidak menghormati langsung bahasa Malaysia dalam laman webnya, begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan MultiMedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec) yang hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam laman web mereka.
Penulis ialah Felo Kanan UKM
SUMBER
BERITA HARIAN
7 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan