Oleh Fauziah Arof
Kira-kira pukul 10.30 malam di depan sebuah kedai serbaneka di Shah Alam, seorang budak lelaki berkopiah, datang kepada saya meminta sumbangan wang untuk didermakan kepada rumah anak- anak yatim. Di tangannya, ada beberapa gelung kalendar dan beberapa kotak buah kismis. Wajah kanak-kanak yang belajar dalam Tahun 5 itu, nampak keletihan, entah dari pukul berapa dia terpaksa berbuat begitu. Memang sebak, melihat kanak-kanak sebaya anak saya itu, berada di jalanan pada waktu begini. Kanak-kanak yang kononnya hendak diajar ‘cara berniaga’ dan berdikari oleh rumah anak-anak yatim itu riak wajahnya ‘takut-takut’ dan sedih, mungkin pernah diherdik orang ramai, atau mungkin juga bimbang belum mendapatkan sebarang kutipan sekali gus menghampakan ‘guru-gurunya’. Lantas saya menghulurkan wang bukan untuk rumah anak yatim itu, tetapi untuk dia sendiri dan memberikannya coklat yang dipesan oleh anak saya dari kedai serbaneka itu.
Tiadakah cara lain yang lebih baik untuk rumah anak-anak yatim ini, pusat tahfiz atau madrasah mengutip dana menggerakkan operasi mereka? Apakah cara ini ‘direstui’ oleh pihak berkuasa? Apakah mereka memerlukan permit untuk mengutip derma ini dan pihak mana yang memberikan kelulusan? Malah dalam Seksyen 32, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Di Jalan 1947 jelas melarang sebarang bentuk mengerah tenaga kanak-kanak, sama ada untuk mengutip derma atau berniaga secara terus. Sedangkan, anak-anak yatim ini wajib dilindungi, bukannya dianiaya dengan menyuruh mereka berpanas terik atau berembun, mengutip derma sebegitu. Itu belum lagi disentuh mengenai soal keselamatan. Kita pun risau kes culik, rogol dan bunuh di kalangan kanak-kanak yang semakin meningkat. Ketika anak-anak lain tidur atau berehat di rumah, anak-anak yatim ini pula dikerah mendapatkan hasil sumbangan.
Bila pula masanya mereka belajar, berehat? Bila mahu menghafal al-Quran? Jika sumber kewangan terhad, apa kata jika ustaz-ustaz di pusat tahfiz atau madrasah itu pula yang mengutip derma? Rasakan sendiri kepayahan anak-anak yatim ini. Sememangnya, pemandangan seperti ini sudah biasa dilihat di stesen- stesen minyak dan kedai makan. Sudah tiba masanya, kegiatan yang menyiksa dan menganiaya anak-anak yatim ini dihentikan. Carilah pendekatan yang lebih berperikemanusiaan. Saya percaya pihak swasta akan membantu sekiranya bantuan diminta dengan saluran yang betul. Dan pihak swasta pula, janganlah hanya memberi tumpuan kepada golongan ini pada bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa. Bantulah mereka tanpa mengikut musim. Marilah kita berdoa agar perjalanan hidup anak-anak yatim ini dipermudahkan dan kudrat mereka yang tidak seberapa itu tidak disalah guna oleh pihak-pihak tertentu.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan