Sumbangan golongan cendekiawan atau intelektual akademik khususnya golongan profesor dalam pembangunan negara tidak boleh dinafi atau di kesampingkan. Buktinya, sejak kebelakangan ini pelbagai anugerah dimenangi kumpulan-kumpulan penyelidik dari universiti tempatan dalam persaingan penyelidikan atau pertandingan inovasi di luar negara. Karya-karya akademik mereka juga diiktiraf di peringkat antarabangsa. Namun, banyak pihak menganggap peranan profesor masih tertumpu dalam lingkungan akademik atau persekitaran universiti dan tidak banyak saranan atau cetusan idea mereka yang menjadi panduan kepada kerajaan khususnya dalam menggubal dasar pembangunan negara. Tanpa menafikan peranan besar profesor tertentu misalnya Profesor Diraja Ungku Aziz yang mencadangkan penubuhan Tabung Haji, buah fikiran profesor lainnya seolah-olah tidak mendapat tempat, atau mungkin sememangnya tidak diketengahkan.
Sebab itu Kongres Profesor Negara (KPN) anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang berlangsung Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula 6 Julai hingga 7 Julai 2011, diharapkan dapat menjanjikan cahaya baru kepada peranan profesor di negara ini. Sebagai badan pemikir intelektual yang ditubuhkan tahun lalu, MPN mengumpulkan kira-kira 1,700 profesor dari universiti awam dan mereka dibahagikan kepada 14 kluster atau kelompok mengikut disiplin kepakaran masing-masing. Sejurus pelancaran MPN di Putrajaya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 April 2010, rakyat menaruh harapan tinggi agar kemajuan negara bukan hanya dipacu oleh ahli-ahli politik, pegawai dan kakitangan awam, teknokrat serta swasta malah memberi ruang dan peranan lebih besar kepada sumbangan profesor-profesor. Paling utama, dalam pelan dan agenda transformasi kerajaan yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini, seharusnya melibatkan sama golongan profesor supaya mereka membahaskannya melalui pandangan ilmu sejagat.
Melalui 14 kluster yang ditetapkan di bawah MPN, sudah pasti setiap kumpulan kluster dengan disiplin ilmu dan kepakaran berbeza, dapat melontarkan saranan ke arah memastikan agenda transformasi yang dicita-citakan Perdana Menteri, dilaksanakan mengikut acuan yang betul. Ini bermaksud, bukan sekadar membahaskan transformasi pentadbiran awam, sains dan teknologi serta ekonomi, malah buah fikiran golongan profesor sangat diperlukan untuk memastikan transformasi politik, sosial dan keselamatan awam direalisasikan. Kerajaan dan rakyat sudah pun memberi lampu hijau kepada profesor-profesor untuk melibatkan diri secara serius dan aktif dalam input pembentukan dasar dan pengoperasian pentadbiran awam. Kini, dengan keyakinan bahawa semua profesor mempunyai semangat kecintaan yang tinggi terhadap negara, rakyat menantikan sumbangan mereka yang lebih besar seterusnya melestarikan peranan golongan ini dalam rencana pembangunan negara.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan