Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Pemimpin lahir daripada rakyat. Tanpa rakyat, siapalah pemimpin dalam konteks pemerintahan negara ini. Rakyat adalah 'raja' yang menentukan kedudukan seseorang pemimpin dalam konteks politik arus perdana hari ini. Semua pemimpin dalam stratifikasi masyarakat baik dengan apa jawatan sekalipun sama ada di peringkat bawahan mahupun atasan, lahir daripada rakyat. Namakan mereka apa sahaja, pemimpin tetap wajar memiliki penjenamaan rakyat dalam diri mereka. Barulah, kepemimpinan daripada rakyat dan merakyatkan kepimpinan dilihat saling perlu memerlukan. Hari ini nilai hubungan pemimpin dan rakyat sudah jauh berubah. Dalam mempertahankan nilai konvensional dan tradisional, kepimpinan hari ini hakikatnya berpusat kepada karakter atau keperibadiannya beserta gagasan atau agenda pentadbiran walaupun kuasa dan kedudukan meletakkan seseorang pemimpin pada taraf tertentu dalam masyarakat. Kewujudan pemimpin dalam apa jua gelarannya barangkali mempunyai pelbagai kuasa dan kedudukan malahan tanpa kedudukan sekalipun masih berpengaruh untuk memainkan peranan dan fungsi pengukuhan seseorang pemimpin.
Legitimasi politik atau keabsahan pemimpin adalah bagaimana beliau diiktiraf tanpa perlu dipaksa memberi sokongan tetapi dengan sukarela mendapatnya kerana memiliki ciri kepimpinan yang berwibawa. Pemimpin berjiwa rakyat adalah harapan umum, yang jujur dan memenuhi tanggungjawab ke atas rakyat dengan etika dan integriti yang dipersetujui tanpa melahirkan keraguan ke atas hak mereka sebagai warga. Pemimpin juga seperti pengarah syarikat dan rakyat adalah pemegang sahamnya. Sebagaimana keluarga dan syarikat penting bagi empunyanya, begitu juga beban tanggungjawab pemimpin ke atas rakyatnya. Pemegang saham boleh memberontak jika lembaga pengarah syarikat memegang jawatan untuk memperkukuhkan diri sendiri. Bertopengkan jawatan sehingga membelakangkan integriti boleh menyebabkan rakyat marah dan kecewa. Rakyat adalah penentu dan penyuntik hayat seorang pemimpin dalam konteks hari ini yang dipenuhi dengan permainan manipulasi fakta dan sejarah.
Moral menjadi penanda aras martabat seorang pemimpin. Sumbangan pembangunan harus diimbangi dengan keikhlasan pemimpin dalam memanifestasi perjuangannya untuk rakyat. Pemimpin mesti cekal dan tidak mudah terpedaya; tidak gentar pada suruhan nafsu ataupun pujukan rasuah, bergelut nyawa daripada menggadai maruah, serta tidak akan berkompromi untuk mengalah kepada desakan dusta dan nista. Keteguhan pemimpin adalah pada secara konsisten mendahulukan rakyat daripada dirinya. 'Rakyat Dahulu, Saya Kemudian' boleh dirujuk sebagai pemimpin rakyat. Pengorbanan dan kompromi dilakukan untuk rakyat; rakyat menjadi benteng kekuatan dirinya. Jika ada kelemahan, pemimpin mesti berani mengakuinya dan bersifat rendah diri untuk kepentingan rakyat. Pemimpin juga seharusnya dapat memastikan tingkah laku rakyat tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan undang-undang agar rakyat akan sentiasa merasa selamat dari angkara pihak yang mempunyai kepentingan fahaman politik mereka atau terlalu taksub dengan individu sehingga akan menggunakan apa sahaja cara untuk melenyapkan yang terbina melalui amalan demokrasi berperlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menasihatkan pemimpin katanya; "Seseorang yang bergelar pemimpin bukan bermakna berada pada kedudukan tertinggi atau memiliki keistimewaan, tetapi ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Pemimpin perlu memiliki sifat rendah diri dan tawaduk dalam menjalankan tanggungjawab serta sanggup merasai kesusahan yang dialami rakyat.'' Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah juga pernah bertitah bahawa ''adab adalah penentu kepada jatuh bangun seseorang pemimpin, bangsa dan sesebuah negara kerana ia memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan, tetapi oleh pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.'' Wadat Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba dalam teks Sejarah Melayu atas konsep derhaka-setia perlu dihalusi semula kerana politik baru memerlukan pemimpin rakyat yang berfikiran inklusif bersedia melakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat dan bukan kepentingan diri kerana pemimpin adalah penyatu masyarakat.
Pemimpin dan pengikut perlu berubah kerana yang mencorakkan matlamat dan perjuangan adalah pemimpin yang beralaskan tulang belakang yang ampuh iaitu rakyat. Keangkuhan, bongkak dan sombong bukan nilai tambah politik baru tetapi di sebaliknya. Model politik baru merungkai tanggungjawab dalam kalangan pemimpin dan ia akan berjaya jika masing-masing memahami peranan dan fungsi mereka dalam kerangka untuk mentransformasi negara dan rakyat. Rakyat memerlukan pemimpin dan pemimpin juga memerlukan rakyat. Kebangkitan rakyat dan pemimpin beralaskan kepada keunikan demografi dan geografi negara ini akan membolehkan kestabilan, kesejahteraan dan kehidupan berukun terus diperkasakan dan martabat negara bangsa dipertahankan demi generasi akan datang. Dilemanya, adakah keseluruhan masyarakat berfikiran sedemikian rupa apabila landskap politik berubah sejak Mac 2008.
Rakyat menentukan kepimpinan politik melalui amalan yang sudah wujud sekian lamanya; sehingga Terengganu jatuh kepada pembangkang pada 1959 dan 1999; Kelantan di bawah parti pembangkang untuk sekian lamanya; Sabah pada 1990; beberapa negeri juga dimenangi dalam pilihan raya 1969 dan 2008; Wilayah Persekutuan turut dikuasai oleh pemimpin pembangkang; yang terkini lapan dari 16 Pilihan Raya Kecil turut melihat kekalahan parti pemerintah. Apakah politik perlu dijaja dalam apa sahaja acuan seolah-olah mahu mengesahkan bahawa 'politik adalah kotor' dengan membawa mesej bersih secara tersurat. Sedangkan pemimpin jika benar-benar jujur dengan tanggungjawabnya ada saluran untuk menyerah memorandum kepada Institusi Raja negeri yang ditadbir urus mereka sebelum dibawa kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong? Apakah undang-undang hanya akan dihormati jika ia memberikan keselesaan kepada tuntutan sesetengah pihak dan ditolak habis-habisan jika boleh membawa kemudaratan kepada mereka?
Barangkali sentimen populis adalah ayunan akhir untuk mempertahankan pemimpin yang memerhati dan membuat congakan untuk menguasai kepimpinan negara apabila barisan pembesar bukan kerajaan menyedari ada pemimpin yang akan menjadi liabiliti kepada mereka dan boleh kehilangan sokongan yang tidak bersifat tetap daripada pilihan raya lalu. Rakyat yang menentukan kedudukan pemimpin dan sudah tiba masanya menilai apakah benar 'rakyat sudah matang' dalam konteks politik perkauman dan sejauh manakah pemimpin yang akan lahir adalah bukan dari yang tidak matang? Apakah yang kita lihat mutakhir ini dan yang akan datang adalah akibat dari desus-desus pilihan raya akan diadakan tidak berapa lama lagi? Barangkali, tarikh pilihan raya umum perlu diperpanjangkan tempoh masa sehingga mencapai tempoh masa matang agar 'pemimpin dan rakyat' memain peranan memulihkan ekonomi negara, menjana kestabilan dan keadaan yang lebih menentu sebagaimana yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1999?
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan