26 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI PEMANGKIN AGENDA KRITIKAL NEGARA


Usaha dan tanggungjawab Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu diberikan penghargaan dan pujian kerana disenaraikan antara kementerian yang paling kritikal dalam menjana kemajuan dan pemangkin negara. Pendekatan yang diambil oleh pihak KPT dalam segala perkara yang melibatkan kemapanan kepada kesinambungan pengajian tinggi negara dalam melahirkan masyarakat yang berilmu tinggi, progresif, berdaya saing, inovatif tinggi serta modal insan yang ulung adalah amanah yang amat berat perlu dipikul sepanjang zaman. Namun begitu, suasana institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa diciptakan sebagai sebuah persekitaran yang sarat dengan kedinamikan serta setanding dengan negara lain supaya penuntut akan berlumba-lumba menimba ilmu di Malaysia, begitu juga di peringkat antarabangsa. Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, matlamat ini akan tercapai oleh kerana terdapat tujuh teras yang lebih jitu bagi memastikan ia berjaya.

Antara teras yang dijadikan pendekatan di bawah pelan ini adalah meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti; menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran; memperteguh penyelidikan dan inovasi; memperkasakan IPT; mempergiat pengantarabangsaan; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; dan memperkukuh sistem penyampaian KPT. Ternyata pendekatan yang digariskan seperti di atas akan memastikan KPT ditransformasi demi masa depan semua rakyat Malaysia yang bakal menerajui kepimpinan negara Malaysia yang tergolong daripada komuniti yang berilmu, berpendidikan tinggi dan berwawasan jauh pada masa akan datang. Kedudukan KPT sebagai salah sebuah kementerian yang kritikal bukan hanya terletak kepada pelan-pelan yang diperkenalkan oleh KPT tetapi turut melibatkan pembangunan modal insan kelas pertama. Dengan pasukan yang sentiasa bekerja keras dalam KPT, setiap IPT tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap perkara tersebut.

Kepentingan melahirkan modal insan yang bergred tinggi amat mencabar tetapi mampu dilakukan oleh setiap IPT negara ini. Sokongan padu yang sentiasa diberikan oleh KPT kepada semua pihak universiti, kolej, ahli akademik, para pelajar serta kakitangan pentadbiran dapat menyuntik semangat setiap yang terlibat di dalam program tersebut untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan holistik dalam segala hal. Kemampuan KPT bukan sahaja diukur daripada bilangan universiti yang berstatus APEX, pemilihan jawatan naib canselor, kualiti ahli akademik mahupun para graduan yang dihasilkan. KPT juga berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat bagi memastikan setiap graduan yang tamat belajar mempunyai masa depan yang menjamin serta mencapai taraf kualiti antarabangsa dari segi kemahiran, pengetahuan, keintelektualan dan berdaya saing. Dalam erti kata yang lebih mudah, ia lain daripada yang lain sepertimana yang ada dalam pasaran kerja pada hari ini memandangkan persaingan sangat hebat untuk mendapatkan pekerjaan yang terbaik.

Sehubungan itu, usaha yang dilakukan oleh semua pihak terutamanya KPT perlu digarap dengan baik kerana para ilmuwan yang lahir dan para akademik yang berusaha gigih siang dan malam untuk memastikan anak bangsa mereka berjaya patut diutamakan. Bakal pemimpin negara yang akan dibentuk perlu mencerminkan label Malaysia yang kita miliki walaupun mereka menuntut dan diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di negara-negara luar. Peluang sebegini sememangnya tidak pernah dipersiakan oleh KPT, sebaliknya sentiasa memberi peluang kepada mereka yang layak untuk terus menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. KPT memandang positif peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara dan bakal graduan inilah yang akan bekerjasama dengan KPT untuk menjana generasi dan negara yang lebih cemerlang. Sepertimana yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia pada 2 Februari 2011, UTM bakal mengambil langkah membantu mahasiswa peringkat sarjana muda bermula tahun 2020 melalui Tabung Endowmen UTM dan mereka tidak perlu bergantung kepada PTPTN lagi.

Ini adalah suatu usaha yang amat positif dan perlu disahut oleh universiti-universiti yang lain. Usaha yang dilakukan oleh UTM ini diperakui oleh Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyambut baik perkara ini apabila UTM bersetuju mahu menganugerahkan biasiswa kepada para pelajar tersebut. Di samping mengurangkan bebanan kerajaan untuk menanggung kos pengajian tinggi negara, UTM bakal menjadi sebuah IPT yang berupaya menarik lebih ramai mahasiswa terbaik untuk melanjutkan pengajian di UTM nanti. Sehubungan itu, pihak universiti merupakan peneraju utama yang sentiasa bekerjasama dengan KPT bagi memastikan segala program berjalan lancar demi perkembangan IPT di Malaysia. Sekelumit kata yang boleh menggambarkan ketangkasan KPT apabila negara dikejutkan dengan peristiwa di Mesir adalah KPT bertindak pantas dengan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pulang para pelajar Malaysia ke tanah air bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara daripada konflik antarabangsa.

Sehingga kini, KPT dan pihak yang terlibat dalam hal ini sedang giat berusaha untuk membincangkan proses pengajian pelajar-pelajar tersebut. Sebagai sebuah kementerian yang sentiasa mengambil berat terhadap ilmu yang diperjuangkan, KPT tidak segan silu mengambil langkah yang drastik dalam perkara yang melibatkan anak bangsa Malaysia. Malah, pujian juga diberikan kepada kerajaan negeri, syarikat-syarikat swasta dan individu-individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kesemua pihak terlibat wajar diberikan ucapan terima kasih kerana sanggup menggembleng usaha untuk bekerjasama dengan KPT dalam menerajui ketinggian ilmu anak bangsa Malaysia pada hari ini.

Noor Sulastry Yurni Ahmad
Pensyarah Kanan
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya

UTUSAN MALAYSIA
26 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : ENAM LANGKAH PENYELESAIAN MASALAH


Kes pembuangan bayi nampaknya tidak ada kesudahan. Baru-baru ini seorang pemancing menemui satu bungkusan beg plastik yang mengandungi mayat bayi lelaki di tebing Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor. Pihak polis Petaling Jaya mempercayai bayi berkenaan telah dibuang agak lama kerana sudah berbau. Kes seperti itu termasuk kes-kes lain sebelum ini jelas membuktikan bahawa kes pembuangan bayi tidak ada kesudahannya walaupun banyak mesej telah disampaikan kepada masyarakat terutama remaja agar tidak terlibat dalam gejala sosial ini. Banyak pihak termasuk Utusan Malaysia telah mendedahkan masalah ini dengan harapan anggota masyarakat menghindari daripada terlibat dalam gejala sosial yang amat jijik ini. Beberapa agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan pandangan masing-masing dalam isu tersebut. Ada di antara mereka mencadangkan supaya kerajaan mengenakan hukuman berat seperti hukuman mati kepada pesalah yang telah terbukti mempunyai niat untuk membunuh seorang bayi.

Komen dan pandangan daripada beberapa NG0 dan individu yang mempunyai kepakaran serta pengalaman juga perlu diambil kira yang mana ramai bersetuju bahawa pendekatan hukuman berat (capital punishment) tidak menghalang kes-kes yang serupa berulang. Malah ia tidak mengurangkan jenayah tersebut jika kita melihat kes-kes pengedaran dadah yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati. Justeru, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) ingin menekankan betapa perlunya disediakan pilihan bagi menyelesaikan beberapa peringkat permasalahan yang berbeza dan bukan sekadar merangkumkan segalanya sebagai satu masalah sahaja. Penyelesaian kepada masalah ini perlu menitikberatkan beberapa langkah seperti berikut: Langkah pertama: Sistem pendidikan perlu menekankan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup di sekolah.  Kesedaran terhadap pembentukan sifat dan sahsiah diri seperti elemen tolong menolong, nasihat menasihati, prihatin, bertanggungjawab, kepercayaan kepada agama, beretika, dan berintegriti adalah amat perlu.

Langkah kedua: Pendidikan kepada ibu bapa tentang gejala ini dan kebertanggungjawaban mereka terhadap gejala ini. Institusi keluarga boleh memainkan peranan membanteras gejala ini yang mana fokus yang lebih besar perlu dititikberatkan dalam peranan keluarga atau ahli keluarga bagi membendungnya di peringkat awal. Langkah ketiga: Memberi penerangan secara meluas tentang salah laku sosial ini bagi menjelaskan kepada golongan sasar iaitu remaja dan belia bahawa setiap keputusan yang diambil akan memberi kesan yang mendalam di dalam kehidupan hari esok. Keputusan yang salah dengan membuang bayi atau membunuh bayi atas dasar menyelesaikan satu masalah akan mengundang masalah yang lebih besar dan serius.  Langkah keempat: Menyediakan platform bagi mereka yang tersalah langkah untuk dipandu kembali ke jalan yang benar. Pusat pemulihan sosial perlu diwujudkan segera bagi remaja yang antisosial dan buat masa sekarang boleh difokuskan kepada remaja mengandung bagi membantu mereka dan mengenal pasti punca gejala ini berlaku.

Langkah kelima: Menumpukan kepada remaja lelaki yang jika dilihat mungkin menjadi penyebab utama gejala ini berlaku. Golongan remaja lelaki ini mungkin terdiri daripada teman lelaki mangsa atau penjenayah seksual. Pendidikan dan hukuman perlu juga ditimbang daripada aspek ini dan penyelesaian masalah golongan ini akan membantu mengurangkan gejala pembuangan bayi. Langkah terakhir: Memberi penekanan hukuman berat sebagai langkah terakhir setelah semua langkah-langkah ini diambil dan perlu ditekankan pendekatan pembetulan dan pemulihan. MCPF percaya bahawa pencegahan awal melalui pendidikan masih perlu diutamakan terutama pendidikan tentang kebertanggungjawaban seseorang insan terhadap perbuatan yang dilakukan. Nilai-nilai murni perlu menjadi keutamaan sebagai benteng pertahanan kepada perilaku antisosial. Penekanan pendidikan nilai murni akan membendung segala bentuk ancaman sosial kepada masyarakat kita terutamanya kepada golongan muda dan belia yang akan mengambil alih teraju kepimpinan negara satu hari kelak.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

UTUSAN MALAYSIA
24 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : ADAKAH PLKN BERBALOI?

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Tidak hidup seseorang itu jika tidak pernah menghadapi masalah dan bukan manusia namanya jika tidak pernah melakukan kesilapan. Lazimnya manusia cuba mengelak daripada masalah tetapi sebaliknya bagi Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil yang menegaskan pihaknya memang sentiasa mencari masalah di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). "Kalau tak perlu cari masalah maka tidak perlu ada PLKN," katanya. Namun, apa yang dimaksudkannya bukan mencari masalah untuk bergaduh dan bermusuhan, sebaliknya sebagai persediaan menghadapi masalah yang mungkin timbul kelak. Menurut Abdul Hadi, masalah tetap akan datang walaupun tidak dicari dan JLKN mengambil langkah proaktif mencari masalah supaya dapat diselesaikan sebelum ia menjadi realiti. "Kita menempatkan pelatih berbilang bangsa, agama, budaya dan pemahaman. Mesti akan ada masalah!

Jika masalah dapat diselesaikan, kita dapat membuat penambahbaikan, seterusnya membantu menyelesaikan masalah lebih besar iaitu kurangnya tahap patriotisme dan perpaduan dalam negara kita," ujarnya kepada Utusan Malaysia. PLKN sebenarnya tidak lari dan tidak asing dengan gagasan 1Malaysia melalui pelaksanaan konsep 1Hasrat, 1Semangat, 1Tekad pada program tersebut. Kumpulan remaja yang mengikuti PLKN perlu mempunyai semangat bersatu dengan hala tuju yang sama dan tidak membenarkan hasrat berbeza-beza yang boleh memecah-belahkan negara. "Komposisi PLKN mengikut kaum di negara ini dan situasi di dalam kem-kem turut menggambarkan perjalanan yang selamat bagi Malaysia menuju ke ambang 2020 kelak. "Semua pelatih duduk bersama, bekerjasama dan tiada jurang dalam menzahirkan komitmen terhadap latihan untuk meningkatkan kemampuan diri mereka," jelas Abdul Hadi.

Beliau berkata, kewujudan PLKN sebenarnya bagi menangani dua isu besar yang dihadapi negara iaitu patriotisme dan perpaduan. Abdul Hadi menjelaskan, patriotisme merupakan satu isu besar yang mudah diperkatakan tetapi amat sukar untuk dinilai tahapnya dalam kalangan generasi rakyat Malaysia kini. "Perpaduan juga tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh 'meletup' pada bila-bila masa jika tidak dijaga dan dipupuk. "Kita berhadapan dengan dua isu besar ini yang mungkin tidak nyata bagi orang lain tetapi amat jelas di mata mereka yang melihat peristiwa 13 Mei dahulu," tegasnya. Beliau berpendapat, masalah yang dihadapi PLKN tidak begitu besar jika dibandingkan dengan masalah negara tetapi dengan menyelesaikan masalah 'kecil', maka program tersebut dapat membantu mengawal masalah besar daripada merebak. "Jangan sekadar tengok pada pokok tetapi kepada hutannya.

Memang PLKN ada masalah tertentu tetapi besar lagi isu negara yang menjadi asas penubuhan program ini. "Kita tidak pernah berhenti menyelesaikan masalah dan membuat penambahbaikan dalam PLKN. Namun, masalah patriotisme dan perpaduan tidak boleh dibiar menjadi realiti untuk kita," tegasnya. Jelas Abdul Hadi, penambahbaikan PLKN mudah dilihat melalui peningkatan modul, kemudahan, dan penyediaan kakitangan tetapi patriotisme dan perpaduan negara masih menjadi tanda tanya. PLKN bertujuan melahirkan remaja dan negara yang patriotik, individu yang memiliki ketahanan diri serta boleh menyumbang kepada masyarakat. Namun, bagaimana untuk mengukur tahap perpaduan yang subjektif serta patriotisme iaitu sayangkan dan sanggup mempertahankan negara? Menjawab persoalan itu, Abdul Hadi berkata, satu kajian persepsi telah dijalankan dalam kalangan pelatih semasa menjalani latihan dan selepas mereka tamat latihan bagi menilai tahap perpaduan dan patriotisme.

"Kajian di dalam kem dan selepas pelatih pulang menunjukkan lebih 80 peratus daripada 60,000 responden yang terlibat bersetuju program ini berjaya mencapai objektifnya. "Tetapi kami tetap tidak berhenti mencari masalah kerana kerajaan, masyarakat dan pembayar cukai sering bertanya adakah RM4 bilion yang dibelanjakan PLKN berbaloi dengan hasilnya," ujarnya. Jika dikira melalui pembangunan fizikal, jumlah perbelanjaan PLKN itu mampu membina 4,000 jambatan bernilai RM100,000 setiap satu ataupun lapan buah hospital bernilai RM500 juta setiap satu. "Kita tidak boleh mengukur pembangunan manusia melalui nilai fizikal (kuantitatif) dan perubahan tidak berlaku dengan pantas kerana ia berlaku secara berterusan serta mengambil masa yang panjang. "Bagaimanapun, pada pandangan saya, setiap pelatih akan memberi kesan berganda sebanyak lima kali kerana mereka akan berkongsi apa yang dipelajari dengan sekurang-kurangnya lima individu lain," katanya.

Tambah Abdul Hadi, jika kira-kira 500,000 peserta berjaya dilatih, maka sebanyak 2.5 juta rakyat di luar akan turut mendapat tempias program tersebut. "Kerana itu, saya tegaskan kita tidak boleh melihat masalah kecil sahaja tetapi perlu melihat gambaran besar bahawa para pelatih inilah yang akan memperkasa dan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara kita kelak," tegasnya. Dalam pada itu, keistimewaan yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemudahan pelatih PLKN memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula menjadi isu sebilangan ibu bapa jika anak mereka terpilih mengikuti program tersebut. "Dahulu timbul isu anak terpilih ke PLKN, kini isu lain timbul kerana tidak terpilih ke PLKN pula. Ibu bapa berfikir rugi jika anak mereka tidak menyertai program tersebut kerana keistimewaan dan kemudahan membuat permohonan memasuki UPNM.

"Kemasukan ke UPNM tetap terbuka kepada semua pelatih, sementara bekas pelatih PLKN masih perlu mematuhi kelayakan yang dikehendaki seperti calon-calon lain," jelas Abdul Hadi. Antara tarikan utama kemasukan ke UPNM adalah yuran dan tempat tinggal percuma, di samping elaun bulanan sebanyak RM1,380 untuk tahun pertama dan dijangka semakin meningkat kelak. Pelatih PLKN yang dipilih terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan dan perlu ditemuduga. Namun mereka mempunyai kelebihan jika mencatat markah yang sama dengan pemohon dari luar. "Selepas tiga bulan latihan, pelatih PLKN sudah mempunyai asas tentera beserta ketahanan mental dan fizikal yang memudahkan mereka meneruskan pengajian tanpa memerlukan tempoh penyesuaian yang panjang di UPNM. "Lagipun, UPNM tidak boleh lepaskan pelatih yang berkebolehan selepas mereka tamat PLKN.

UPNM akan cari yang terbaik dan 'sapu' dulu sebelum disambar IPT lain," kata Abdul Hadi. Selain UPNM, pelatih juga mendapat kemudahan memohon terus ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta pilihan kerana setiap kem akan mengumpulkan semua wakil IPT pada satu hari khusus untuk kemudahan pelatih mendapatkan maklumat mengenai IPT berkenaan. Selain itu, sebarang bentuk latihan memerlukan penggunaan akal fikiran serta melibatkan bebanan mental dan fizikal. Justeru, menjadi cabaran JLKN apabila pelatih perlu didorong ke tahap maksimum, sedangkan setiap individu dan bangsa mempunyai tahap kemampuan yang berbeza. "Kita memahami remaja berumur 18 tahun belum keluar dari payung keluarga, jadi kita mahu latih dan 'pisahkan' mereka supaya tahu konsep berdikari. "Ada yang tidak pernah bangun pagi, tidur awal, tiada pendingin hawa dan tinggal beramai-ramai.

Ini menjadi tekanan kepada mereka dan apabila tidak tahan dengan suasana baru ini, mereka mula merasakan diri mereka diseksa," jelas Abdul Hadi. Beliau menyatakan, JLKN juga tidak menafikan kebimbangan ibu bapa melepaskan anak mereka menghadapi cabaran sedemikian dan kerana itu, pihaknya membuka pintu kem setiap minggu untuk membolehkan keluarga melawat pelatih. "Kita sudah agak masalah ini (keresahan) akan timbul dan kerana itu kami beri peluang keluarga melihat sendiri anak mereka serta suasana di dalam kem untuk membuktikan pelatih tidak didera seperti persepsi sebahagian kecil masyarakat. "Dahulu orang berfikir kerajaan tidak serius dalam PLKN tetapi selepas beberapa tahun, baru masyarakat mula nampak agenda besar program ini," ujarnya. Selain persepsi, JLKN juga dalam perancangan menyelesaikan isu kemudahan infrastruktur di 80 kem PLKN yang bakal mengikut standard Jadual Pematuhan (SOC) yang sama dan terkini, di samping mencapai status ISO menjelang hujung 2012.

JLKN juga bercadang menubuhkan akademi latihannya sendiri dalam tempoh satu tahun lagi bagi melatih jurulatih PLKN bertauliah dan mengeluarkan sijil kelayakan yang diperakui semua pihak. Cabaran berikutnya bagi JLKN adalah mengumpul semula kesemua bekas pelatih di bawah sekretariat alumni PLKN dan memastikan matlamat program tersebut berjaya dicapai. Menurut Abdul Hadi, satu kad pintar untuk pelatih dan bekas pelatih PLKN juga telah disediakan dan boleh dipohon melalui laman web www.1hasrat.com.my dengan pelbagai kemudahan dan manfaat. "Kita berharap dapat mengumpul semula kira-kira 608,000 bekas pelatih untuk menyertai 33,000 pelatih semasa PLKN di bawah satu payung supaya dapat bergerak bersama kelak," katanya.

UTUSAN MALAYSIA
26 FEBRUARI 2011

23 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : PEMANGKIN LONJAK PRESTASI

Oleh Ruhaiza Rusmin


Pengumuman pemberian insentif kepada guru besar dan guru cemerlang yang mencapai sasaran kecemerlangan ditetapkan Kementerian Pelajaran dianggap hadiah kepada golongan itu. Ia mampu menyuntik pembaharuan kepada dunia pendidikan negara. Bagaimanapun, pemberian itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang turut menggembleng usaha namun tidak terpilih.  Ini menyebabkan timbul tanggapan bahawa pemilihan oleh Jemaah Nazir yang berdasarkan prestasi memimpin sekolah, tidak telus. Walaupun insentif itu berniat baik, timbulnya konflik hingga mencetuskan kekecewaan di kalangan segelintir guru yang boleh menjejaskan kredibiliti serta integriti mereka. Jika tidak ditangani, sekolah dan pelajar mungkin menjadi mangsa. Persoalannya, perlukah pemberian itu dijadikan landasan untuk mencetuskan konflik? Tidak bolehkah mereka yang tidak terpilih menerimanya secara positif dengan memperbaiki prestasi demi mencipta kecemerlangan serupa?

Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Datuk Azam Md Atan, berkata biarpun intensif itu memberi penghargaan kepada guru cemerlang yang mencapai tahap piawaian, konflik tidak dapat dielakkan. Beliau berkata, pemberian insentif itu baik tetapi mungkin segelintir guru yang tidak mendapat pengiktirafan mempertikaikan mengapa mereka tidak terpilih sedangkan turut memberi sumbangan kepada sekolah. "Cetusan pertikaian ini bukan saja akan menimbulkan konflik malah perasaan tidak puas hati. Lebih ditakuti akan mewujudkan kelompok baru hingga mengganggu pentadbiran sekolah. "Ia perlu dilihat dengan teliti supaya semua pihak menerima dengan hati terbuka. Lebih penting, insentif ini tidak menjejas pelajar dan sekolah," katanya. Menurutnya, bagi mengelak konflik, insentif berkenaan boleh diberikan kepada sekolah sebagai penghargaan kepada semua, bukan individu tertentu.

Menerusi pemberian itu, katanya, sekolah boleh memanfaatkannya untuk kebaikan bersama selain merancang pelbagai bentuk pembangunan. "Pemberian insentif kepada sekolah untuk dinikmati semua adalah lebih baik dan mengelak salah faham. Ini juga sebagai simbolik setiap pencapaian itu adalah usaha bersama dan dinikmati bersama. "Pembangunan jangka masa pendek atau panjang juga boleh dilaksanakan menerusi insentif itu kerana sekolah ada peruntukan sendiri. "Manakala, konsep 'kekitaan', kerjasama dan bersatu hati boleh diperteguhkan kerana saling menyokong tanpa perasaan iri hati," katanya. Beliau berkata, insentif itu boleh dijadikan lonjakan semangat kepada guru lain memperbaiki prestasi diri asalkan mereka melihatnya dari sudut positif. "Jika dilihat dari sudut itu, insentif berkenaan boleh dijadikan pemangkin melonjakkan prestasi diri ke tahap lebih cemerlang.

"Ia juga bagi membalas jasa mereka yang benar-benar menyumbang bakti meningkatkan lagi kualiti pencapaian sekolah. "Golongan guru yang berusaha keras meletak dan memartabatkan dunia pendidikan hingga tahap terbaik wajar dihargai tetapi lebih manis jika dinikmati bersama," katanya. Konsultan pendidikan, Chiam Tah Wen, berkata pemberian insentif itu wajar dinilai dari sudut positif. Menurutnya, pemilihan ketat pasti dilaksanakan bagi memastikan mereka yang layak menerima insentif itu. "Jika gagal jangan mengeluh atau menuduh pihak tertentu tidak adil sebaliknya bermuhasabah mencari kekurangan diri. "Tidak perlu mempertikaikan pemberian ini, siapa yang layak dan berusaha keras, dia patut dihargai. Mengapa perlu mencetuskan konflik, sepatutnya menerima dengan hati terbuka. "Wang ringgit penting namun kepuasan dalam memberi pendidikan tidak boleh dibayar, ia mesti dilaksanakan dengan telus, tulus serta dari hati yang ikhlas. "Janganlah dikorbankan maruah diri serta profesionalisme kerjaya guru semata-mata mengejar pangkat atau imbuhan. Itu bukan budaya ikhlas dalam memartabatkan ilmu," katanya.

INFO

Kementerian Pelajaran baru-baru ini mengumumkan pemberian RM7,500 seorang kepada 924 guru besar di seluruh negara yang meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Ba'iah). Tawaran Baru itu adalah satu inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang menawarkan ganjaran kewangan kepada guru besar dan guru yang meningkatkan prestasi sekolah melepasi sasaran ditetapkan kementerian iaitu seramai 12.1 peratus, pertambahan 600 peratus daripada jangkaan asal dua peratus. Sejumlah RM6.9 juta diperuntukkan untuk menyempurnakan insentif itu dan mereka bakal menerima ganjaran itu pada pertengahan tahun ini atau selewat-lewatnya selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Penilaian terhadap guru cemerlang dibuat Jemaah Nazir berdasarkan prestasi mereka memimpin sekolah, khususnya dalam Gred Purata Sekolah (GPS) bagi mengukur pencapaian peperiksaan dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) adalah instrumen penarafan yang mengukur visi dan misi, pengurusan organisasi, pengurusan program pendidikan dan pencapaian murid.  Tawaran Baru adalah antara Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) yang perlu dilaksanakan Kementerian Pelajaran seperti terkandung dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP)

HARIAN METRO
23 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : IPT PERLU PROAKTIF CUNGKIL IDEA PENYELIDIKAN

Oleh Dr Norhafezah Yusof
BERITA HARIAN, 23 FEBRUARI 2011


Penyelidikan adalah usaha mengenal pasti permasalahan sesuatu fenomena. Selaras dengan kehendak masyarakat, penyelidikan perlu dilihat mampu menghasilkan sesuatu penambahbaikan terhadap pembentukan dasar dari aspek akademik dan permasalahan praktikal. Ia mendasari keperluan pembentukan sesuatu polisi terutama yang berimpak tinggi dalam masyarakat dan negara.  Bertepatan dengan idea itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, dalam Amanat Tahun Baru 2011 baru-baru ini di Putrajaya menekankan perihal pentingnya peranan penyelidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dengan menggariskan beberapa isu berkenaan dengan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan peranan universiti dalam menggembleng tenaga untuk kemajuan penyelidikan. Masyarakat Malaysia yang peka dengan perkembangan institusi pengajian tinggi mungkin memahami dengan jelas mengenai klasifikasi universiti di negara ini.

Perkara yang ingin disentuh di sini ialah mengenai keghairahan universiti dalam mencapai status Universiti Penyelidikan. Umum mengetahui mengenai perkembangan terkini yang mana Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf beberapa IPTA sebagai Universiti Penyelidikan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan yang terkini Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Universiti APEX.  Perkara pokok mendasari perkembangan kesemua IPT ini ialah budaya penyelidikan yang menjadi antara tunjang yang perlu diperhebatkan pihak pengurusan tertinggi IPT berkenaan. Justeru, mengapa pembudayaan dan perkembangan penyelidikan dilihat sebagai aspek penting dalam pembangunan sesebuah IPT? Berteraskan kepada falsafah ‘Pengajian Tinggi ke arah Transformasi Negara’, penyelidikan yang dijadikan agenda keempat dalam Dasar Pengajian Tinggi dianggap mampu menyumbang kepada kesinambungan cabaran global yang mendepani masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Berbalik kepada persoalan yang dinyatakan sebelum ini apakah impak penyelidikan di IPT terhadap kesejahteraan hidup masyarakat negara ini? Ada tiga pemeringkatan yang dapat ditangani sesuatu penyelidikan untuk konteks penyelidikan di Malaysia. Pertamanya, penyelidikan yang cuba menangani permasalahan yang telah berlaku. Contohnya, seperti isu banjir di Kedah baru-baru ini. Kedua, permasalahan yang sedang berlaku, contohnya, masalah sosial remaja di Malaysia yang saban hari menjadi isu hangat seperti dipaparkan dalam media perdana. Ketiga, permasalahan yang akan berlaku. Contohnya, isu pembinaan loji nuklear di Malaysia dan bagaimana cara terbaik menangani sisa nuklear itu jika negara perlu mewujudkan pusat nuklear bagi mengatasi krisis keperluan tenaga elektrik untuk jangka masa yang panjang.  Rangkaian penyelidik perlu diperkemas dan diperkasa untuk menyahut cabaran ini.

Tidak ketinggalan juga IPT lain yang juga berhasrat menjadi Universiti Penyeli-dikan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan lain-lain perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan melihat penyelidikan sebagai agenda pembangunan masyarakat.  Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf enam HICoE yang diberikan dana lumayan menerajui penyelidikan bercorak kritikal dan kreatif yang bersifat ‘multidisciplinary’ dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang kukuh.  Umumnya, pusat kecemerlangan perlu memenuhi tujuh kriteria yang digariskan oleh pihak kementerian iaitu kualiti dan kuantiti penyelidik, kualiti dan kuantiti penyelidikan, kualiti dan kuantiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah/pemberian, rangkaian dan perhubungan, akhir sekali sistem dan sumber fizikal.  Mari kita meneliti keenam-enam pusat kecemerlangan yang berjaya memperoleh pengiktirafan dari Kementerian Pengajian Tinggi.

Berdasarkan keunikan tersendiri, kesemua pusat kecemerlangan menerajui bidang kepakaran yang mempunyai impak tinggi terhadap masyarakat.  Senarai pusat kecemerlangan adalah seperti berikut; UM Centre of Research for Power Electronics, Drives, Automation & Control (UMPEDAC), UKM medical molecular biology institute (UMBI), Institute for Research in Molecular Medicine (INFORMM) USM, Institute of Bioscience (IBS) UPM, Centre for Drug Research (CDR) USM dan Accounting Research Institute (ARI), UiTM.  Bidang penyelidikan yang diterajui semua Pusat Kecemerlangan ini adalah bersifat cross-disciplinary yang mana pemberatan falsafah ilmu sains dan sains sosial adalah saling bergantungan. Contohnya, untuk mengkaji mengenai permasalahan krisis tenaga, antara perkara pokok yang perlu diambil kira penyelidik ialah impak harga tenaga elektrik terhadap cara hidup masyarakat kini.  

Semua pusat kecemerlangan ini dituntut memperhebatkan kajian dan penghasilan produk/modul untuk melestarikan pembangunan masyarakat dalam mendepani masa depan yang mencabar. Bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan penyelidikan dan mentransformasikan pengajian tinggi, pihak pengurusan IPT disaran lebih proaktif dalam mencungkil idea penyelidikan kreatif setanding dengan penyelidikan antarabangsa.  Bagaimanapun penyelidik juga perlu peka kepada etika penyelidikan kerana kita tidak mahu menghasilkan penyelidikan yang hebat tetapi impaknya terhadap masyarakat kurang bermakna seperti penghasilan bom atom atau virus komputer.  Kini adalah masa untuk bekerjasama dan bukan melihat siapa jaguh dalam arena penyelidikan kerana impak yang dihasilkan akan dikongsi bersama demi masyarakat.

Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi

ISU LUAR NEGARA : MENGHAPUSKAN LANUN DI TELUK ADEN

Oleh NAZERY KHALID


Serangan lanun ke atas sebuah kapal yang disewa oleh MISC Bhd. di Teluk Aden baru-baru ini serta tindakan tangkas dan berani oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia menyelamatkan anak-anak kapal tersebut menarik perhatian dunia terhadap situasi keselamatan di kawasan maritim yang strategik itu. Kebelakangan ini, serangan lanun ke atas kapal-kapal dagang yang melalui perairan penting yang menjadi nadi kepada pengangkutan minyak dan gas dari Asia Barat itu semakin nekad. Walaupun tentera laut dari pelbagai negara telah dihantar untuk memantau perairan ini dan memberikan perlindungan kepada kapal-kapal dagang, namun bilangan serangan lanun tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan. Mengikut perangkaan Biro Maritim Antarabangsa (IMB), lanun dari Somalia melancarkan 445 serangan ke atas kapal-kapal dagang dan menawan 1,181 anak kapal pada tahun 2010.

Majoriti daripada serangan ini berlaku ke atas kapal-kapal yang belayar melalui Teluk Aden berdekatan Somalia. Kehadiran tentera laut antarabangsa yang mendapat mandat dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menumpaskan kegiatan lanun di Teluk Aden telah mengurangkan jumlah serangan. Namun, lanun masih aktif di sana dan terus menggugat aktiviti perkapalan yang menjadi nadi kepada perdagangan antarabangsa yang sejumlah besarnya diangkut menggunakan laluan maritim. Terbaru dilaporkan tentera laut India menangkap 28 lanun yang beroperasi di Lautan Hindi. Ini menggambarkan bahawa lanun di Teluk Aden mula 'rimas' dengan kehadiran tentera-tentera laut antarabangsa di kawasan perairan yang dekat dengan 'Tanduk Afrika' terutama yang bersempadan dengan Somalia yang selama ini menjadi lubuk kegiatan jenayah mereka.

Di sebalik kegembiraan kita terhadap tindakan tegas serta kemahuan politik yang ditunjukkan oleh negara-negara yang mempunyai kepentingan di Teluk Aden dalam menangani isu lanun di situ, masih banyak persoalan yang harus dijawab dalam perkara ini. Negara-negara seperti Malaysia, Korea Selatan dan India yang telah menawan lanun dan membawa mereka ke muka pengadilan akan menjadi fokus masyarakat antarabangsa apabila perbicaraan bermula. Seperti yang kita maklum, Malaysia tidak mempunyai undang-undang anti-lanun khas. Cabaran besar menanti sistem perundangan kita untuk menangani kes ini secara tegas, cekap dan saksama berdasarkan perundangan tempatan yang sedia ada serta lunas-lunas perundangan antarabangsa. Kegiatan 'penyangak lautan' ini tidak akan terhenti hanya dengan penahanan beberapa orang daripada mereka.

Peperangan terhadap lanun harus merangkumi usaha mengenal pasti apakah sebabnya mereka turun ke laut untuk mengganas dan siapakah dalang di sebalik aktiviti mereka. Perhatian harus ditumpukan terhadap bukan sahaja menumpaskan mereka di laut tetapi mengatasi permasalahan dan mengenal pasti faktor di darat yang mendorong mereka ke arah kegiatan tidak bermoral itu. Somalia sering disebut sebagai sebuah failed state di mana institusi perundangan, kehakiman serta keselamatan boleh dikatakan tidak wujud, manakala peluang pekerjaan pula terhad ekoran ekonomi yang runtuh akibat peperangan saudara yang berlanjutan dan campur tangan kuasa asing. Modus operandi lanun Teluk Aden menunjukkan yang mereka bukanlah oportunis semata-mata, dan bertindak tanpa berfikir. Kaedah serangan, kecekapan serta sasaran mereka menunjukkan mereka merupakan penjenayah terlatih dan mempunyai sokongan jitu daripada 'penaja' yang mempunyai sumber yang bukan sedikit.

Ternyata lanun di Teluk Aden mendapat sokongan daripada ketua gerombolan yang berkuasa di Somalia. Ini terbukti melalui cara lanun melancarkan serangan ke atas kapal-kapal dagang di kawasan yang jauh dari pesisir pantai dan pangkalan kapal induk. Juga, kebolehan lanun menyerang kapal-kapal dagang yang besar mencadangkan bahawa mereka cukup terlatih. Senjata yang digunakan dalam serangan seperti bazooka, RPG dan AK-47 juga menunjukkan jenis latihan dan sokongan yang diterima daripada 'penaja' mereka. Mungkin ramai terkejut dengan fakta ini iaitu tidak semua rakyat Somalia melihat lanun di Teluk Aden sebagai penjahat, malah ada yang mempunyai persepsi positif terhadap mereka. Ada yang melihat lanun-lanun ini sebagai pejuang nasional dan pengawal yang memelihara kedaulatan kawasan maritim Somalia dari kapal-kapal menangkap ikan antarabangsa yang beroperasi secara haram di perairan negara tersebut dan menidakkan peluang nelayan-nelayan kecil untuk mencari rezeki.

Mereka juga percaya ada kapal-kapal antarabangsa membuang sisa toksik di perairan Somalia yang mendatangkan pencemaran serta masalah kesihatan kepada komuniti pesisir. Lanun Somalia dilihat 'menghukum' kapal-kapal dari negara-negara yang mengamalkan double standard dalam isu pembuangan sisa toksik dan menggunakan perairan Somalia sebagai tapak pelupusan. Lanun-lanun Somalia juga diberitakan menggunakan wang tebusan yang diperoleh untuk membangunkan kawasan-kawasan berdekatan di mana mereka beroperasi dan membantu penduduk tempatan. Dengan ini, tidak hairanlah mereka dilihat sebagai hero serta mempunyai pengaruh yang meluas di kalangan 'orang kampung' mereka. Andaian mereka sebagai Robin Hood yang mencuri daripada si kaya dan memberi habuan kepada si miskin meningkatkan imej mereka di mata komuniti tempatan.

Sesetengah penganalisis berpendapat syarikat-syarikat perkapalan serta kerajaan tidak sepatutnya membayar tebusan yang besar kepada lanun secara tergesa-gesa bagi membebaskan kapal, anak kapal serta kargo. Tindakan itu dilihat mendorong lanun untuk menawan lebih banyak kapal-kapal dagang. Perlu diingat bahawa motivasi lanun dijana oleh antara lainnya faktor ekonomi dan mereka melihat peluang meraih tebusan dari tawanan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang. Pulangan yang boleh mereka peroleh dari wang tebusan adakalanya mencecah puluhan juta ringgit, jauh lebih lumayan daripada bekerja di negara seperti Somalia yang ekonominya sangat tenat. Masanya sudah tiba untuk masyarakat antarabangsa mengambil langkah lebih tegas bagi mengatasi masalah lanun di Teluk Aden dan seterusnya 'mengubati' isu yang menjadi sumber kepada permasalahan ini.

Tindakan di laut seperti yang ditunjukkan oleh Malaysia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat berhadapan lanun dengan menahan serta mendakwa mereka belum menjamin masalah lanun boleh diselesaikan. Keruntuhan institusi politik dan kerajaan, kekurangan peluang pekerjaan serta rungutan rakyat Somalia terhadap pencerobohan kapal-kapal asing di perairan mereka harus dihadapi dan diatasi melalui kemahuan politik yang tidak berbelah bagi. Masyarakat antarabangsa yang mempunyai kepentingan di Teluk Aden mempunyai tanggungjawab untuk membantu proses membina negara di Somalia. Dengan memperbaiki keadaan sosial, politik dan ekonomi di negara itu, maka ancaman lanun dapat ditumpulkan dengan lebih berkesan.

Contoh yang ditunjukkan oleh Malaysia, Korea Selatan, India dan Amerika Syarikat untuk menumpaskan lanun melalui tindakan ketenteraan di laut perlu disokong dengan penyelesaian politik, perundangan, sosial dan ekonomi di darat. Cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa untuk menyahkan perairan strategik daripada ancaman lanun bukanlah kecil. Namun, demi keselamatan perkapalan dan kebebasan pelayaran yang penting bagi dagangan dunia serta kesejahteraan ekonomi global, lanun di Teluk Aden harus ditewaskan. Ini bakal menuntut komitmen yang tidak berbelah bagi serta sumber yang besar dan juga kerjasama yang jitu di kalangan masyarakat antarabangsa.

Penulis ialah Fellow Kanan di Institut Maritim Malaysia (MIMA).
Utusan Malaysia, 23 Februari 2011

ISU SOSIAL : BUNUH DIRI DAN GANGGUAN MENTAL

Oleh KHAIRUL AZHAR IDRIS


Gejala bunuh diri yang berlaku dalam masyarakat negara ini semakin berleluasa pada masa kini. Ia seperti satu fenomena yang sudah biasa berlaku, sama seperti kejadian bunuh diri yang berlaku di negara-negara luar, di mana masyarakatnya sudah biasa, lali atau masak dengan kejadian seperti itu. Umpamanya, di negara China yang merupakan sebuah negara di mana rakyatnya paling ramai membunuh diri. Dianggarkan setiap tahun, lebih daripada 300,000 penduduk China membunuh diri, lebih 10 kali ganda dari jumlah bunuh diri tahunan di Amerika Syarikat. Negara-negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri yang tinggi termasuklah Jepun dan Venezuela. Gejala yang sama turut menunjukkan trend yang mengejutkan di negara ini. Data dari Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan.

Ia satu trend yang didapati menyamai trend bunuh diri di negara Amerika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati setiap tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari. Peningkatan gejala bunuh diri yang berlaku di negara ini menimbulkan banyak persoalan yang memerlukan kajian mendalam dan agresif dilakukan, di samping merangka pelan pencegahan dan pemulihan yang komprehensif. Berdasarkan trend yang ada, ia seperti menggambarkan wujudnya satu penularan dalam kejadian seperti ini. Gejala yang berlaku di negara-negara luar didapati sudah merebak dan menjangkiti pemikiran dan tingkahlaku rakyat negara ini untuk melakukan perbuatan yang sama. Ini bukan sesuatu yang menghairankan.

Memang gejala ini berjangkit dalam masyarakat, tidak kira di mana mereka berada, terutamanya dari segi kaedah dan cara bunuh diri itu dilakukan. Malah gejala bunuh diri lebih mudah berjangkit atau berlaku di kalangan mereka yang tidak stabil tahap kesihatan mentalnya, berbanding dengan individu yang sihat dan mempunyai tahap pemikiran yang waras. Apakah bunuh diri? Secara umumnya, bunuh diri merupakan satu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dan secara sedar dengan tujuan memusnahkan diri sendiri atau bagi mengakhiri kehidupan sendiri sehingga menemui kematian. Dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat ketidakmampuan seseorang individu itu menghadapi tekanan dalam kehidupan yang dialami. Mereka berasa bahawa langkah untuk meneruskan kehidupan bukan satu idea yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan.

Terdapat juga mereka yang terlibat itu merasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta berasa kecewa dan dihantui masalah kemurungan. Gejala bunuh diri juga sering berlaku dalam kalangan pesakit mental kronik seperti skizofrenia, kecelaruan personaliti, dan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Individu yang pernah mengalami trauma sebagai mangsa buli dan keganasan juga didapati berisiko tinggi untuk membunuh diri akibat tidak mahu berterusan dibuli atau dipermainkan serta dikasari. Walaupun gejala bunuh diri sering dikaitkan dengan penyakit mental kronik seperti kemurungan dan ketagihan dadah, namun trend seperti ini mula dipertikaikan. Pendekatan teori psikiatri Barat mendapati kemurungan merupakan punca utama gejala bunuh diri, walaupun ia juga boleh berlaku akibat daripada faktor ketagihan dadah dan gangguan mental yang lain.

Di Amerika, kadar bunuh diri yang tinggi berpunca daripada kesan penyakit kemurungan dan ketagihan dadah serta alkohol yang sememangnya tinggi. Namun dalam konteks negara China, perkara ini tidak sedemikian. Fakta yang wujud apabila mengambil kira terhadap situasi yang berlaku di negara China ialah apabila kajian mendapati peningkatan kes bunuh diri yang berlaku secara luar biasa, menandingi kadar di negara Amerika khususnya, sedangkan kadar penyakit kemurungan kronik dan ketagihan dadah adalah lebih rendah daripada kadar yang berlaku di Amerika. Ini menunjukkan ada perkara atau faktor lain di sebalik penyakit-penyakit mental tersebut yang dikatakan berperanan terhadap kejadian bunuh diri yang tinggi di China. Ada kemungkinan ia terjadi akibat daripada kesan kadar pengangguran yang tinggi, tahap sistem sokongan sosial dalam masyarakat yang rendah dan bersikap individualistik, kurang kepintaran dalam menyelesaikan masalah atau tekanan budaya dari luar.

Pokoknya, ia tidak lari dari faktor sosio-psikologikal dalam menyumbang kepada kes bunuh diri. Berdasarkan penelitian terhadap fenomena ini, suatu perkara yang jelas ialah kes bunuh diri sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada tekanan atau stres dan juga kestabilan pemikiran individu dalam menjalani kehidupan yang banyak cabaran. Dari segi fakta, tiada mana-mana individu yang sihat dan berasa seronok menjalani kehidupan mereka sanggup membunuh diri sendiri, melainkan apabila keadaan menjadi sebaliknya, atau sistem sokongan dalam masyarakat bagi mencegahnya tidak wujud atau lemah fungsinya. Namun apabila situasi menjadi lebih buruk, membunuh diri dilihat sebagai satu-satunya cara yang ada bagi menyelamatkan keadaan, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena pada diri individu terbabit, khususnya berkaitan dengan cara mereka berfikir atau menyelesaikan masalah yang ada.

Secara tidak langsung, ia berkaitan dengan cara pemikiran mereka yang terjejas, mungkin akibat daripada sindrom kegagalan fungsi otak psikogenik. Pemikiran yang terjejas pula merupakan ciri-ciri kesihatan mental individu yang tidak stabil yang akhirnya membawa kepada pelbagai gejala gangguan mental dan tingkahlaku, termasuklah bunuh diri. Selain gejala bunuh diri, terdapat satu lagi kategori yang berkaitan iaitu cubaan membunuh diri. Cubaan bunuh diri difahami sebagai satu tindakan bagi membunuh diri, atau cubaan untuk mendatangkan kematian bagi diri sendiri tetapi tidak semestinya berjaya. Dalam peringkat ini, individu terbabit berkemungkinan akan terus berusaha mencapai hasratnya sehinggalah kematian itu diperoleh, atau mereka akan berpatah balik untuk menjalani kehidupan seterusnya secara normal. Bagi keadaan ini, rawatan awal dan tindakan pencegahan mesti diberikan. Walau apapun keadaan dan alasan, bunuh diri tetap satu perbuatan yang dilarang keras dalam Islam dan merupakan satu dosa yang amat besar.

PENULIS ialah Fellow IKIM

ISU PENDIDIKAN : KEMEROSOTAN STPM 2010 AKAN DIKAJI


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengkaji punca kemerosotan peratusan lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 di seluruh negara yang diumumkan semalam. Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan menyediakan analisis bagi mengenal pasti punca penurunan peratusan lulus penuh itu sebelum tindakan seterusnya diambil. Selain itu, kata beliau, tindakan menempatkan guru berpengalaman dan berkualiti di luar bandar tidak semestinya langkah tepat untuk merapatkan jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar. "Kebanyakan sekolah di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman mempunyai guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan bukanlah hanya dipenuhi dengan guru baru lepasan maktab sahaja. "Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil tindakan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memastikan keputusan lulus penuh dapat ditingkatkan semula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu dan hanya 46,780 atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan penurunan iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu. Selain itu, 11 lagi mata pelajaran turut menunjukkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab. Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh meskipun terdapat sesetengah pihak beranggapan ia tidak serius.

Katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani segera, dibimbangi pelajar lepasan STPM tidak mampu bersaing dengan penuntut program matrikulasi mahupun diploma. Tegasnya, lebih serius peratus lulus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia turut menunjukkan penurunan pada tahun lalu. "Penurunan tersebut perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan itu masih rendah dan tidak menonjol. "Kesan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik juga perlu dikaji sama ada turut menjadi punca penurunan bagi mata pelajaran tersebut," katanya. Jelas Mohamad Ali, kementerian perlu mengesan penurunan keputusan STPM 2010 dan mencari langkah terbaik mengatasinya yang juga merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang.

Utusan Malaysia
23 Februari 2011