Usaha dan tanggungjawab Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu diberikan penghargaan dan pujian kerana disenaraikan antara kementerian yang paling kritikal dalam menjana kemajuan dan pemangkin negara. Pendekatan yang diambil oleh pihak KPT dalam segala perkara yang melibatkan kemapanan kepada kesinambungan pengajian tinggi negara dalam melahirkan masyarakat yang berilmu tinggi, progresif, berdaya saing, inovatif tinggi serta modal insan yang ulung adalah amanah yang amat berat perlu dipikul sepanjang zaman. Namun begitu, suasana institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa diciptakan sebagai sebuah persekitaran yang sarat dengan kedinamikan serta setanding dengan negara lain supaya penuntut akan berlumba-lumba menimba ilmu di Malaysia, begitu juga di peringkat antarabangsa. Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, matlamat ini akan tercapai oleh kerana terdapat tujuh teras yang lebih jitu bagi memastikan ia berjaya.
Antara teras yang dijadikan pendekatan di bawah pelan ini adalah meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti; menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran; memperteguh penyelidikan dan inovasi; memperkasakan IPT; mempergiat pengantarabangsaan; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; dan memperkukuh sistem penyampaian KPT. Ternyata pendekatan yang digariskan seperti di atas akan memastikan KPT ditransformasi demi masa depan semua rakyat Malaysia yang bakal menerajui kepimpinan negara Malaysia yang tergolong daripada komuniti yang berilmu, berpendidikan tinggi dan berwawasan jauh pada masa akan datang. Kedudukan KPT sebagai salah sebuah kementerian yang kritikal bukan hanya terletak kepada pelan-pelan yang diperkenalkan oleh KPT tetapi turut melibatkan pembangunan modal insan kelas pertama. Dengan pasukan yang sentiasa bekerja keras dalam KPT, setiap IPT tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap perkara tersebut.
Kepentingan melahirkan modal insan yang bergred tinggi amat mencabar tetapi mampu dilakukan oleh setiap IPT negara ini. Sokongan padu yang sentiasa diberikan oleh KPT kepada semua pihak universiti, kolej, ahli akademik, para pelajar serta kakitangan pentadbiran dapat menyuntik semangat setiap yang terlibat di dalam program tersebut untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan holistik dalam segala hal. Kemampuan KPT bukan sahaja diukur daripada bilangan universiti yang berstatus APEX, pemilihan jawatan naib canselor, kualiti ahli akademik mahupun para graduan yang dihasilkan. KPT juga berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat bagi memastikan setiap graduan yang tamat belajar mempunyai masa depan yang menjamin serta mencapai taraf kualiti antarabangsa dari segi kemahiran, pengetahuan, keintelektualan dan berdaya saing. Dalam erti kata yang lebih mudah, ia lain daripada yang lain sepertimana yang ada dalam pasaran kerja pada hari ini memandangkan persaingan sangat hebat untuk mendapatkan pekerjaan yang terbaik.
Sehubungan itu, usaha yang dilakukan oleh semua pihak terutamanya KPT perlu digarap dengan baik kerana para ilmuwan yang lahir dan para akademik yang berusaha gigih siang dan malam untuk memastikan anak bangsa mereka berjaya patut diutamakan. Bakal pemimpin negara yang akan dibentuk perlu mencerminkan label Malaysia yang kita miliki walaupun mereka menuntut dan diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di negara-negara luar. Peluang sebegini sememangnya tidak pernah dipersiakan oleh KPT, sebaliknya sentiasa memberi peluang kepada mereka yang layak untuk terus menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. KPT memandang positif peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara dan bakal graduan inilah yang akan bekerjasama dengan KPT untuk menjana generasi dan negara yang lebih cemerlang. Sepertimana yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia pada 2 Februari 2011, UTM bakal mengambil langkah membantu mahasiswa peringkat sarjana muda bermula tahun 2020 melalui Tabung Endowmen UTM dan mereka tidak perlu bergantung kepada PTPTN lagi.
Ini adalah suatu usaha yang amat positif dan perlu disahut oleh universiti-universiti yang lain. Usaha yang dilakukan oleh UTM ini diperakui oleh Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyambut baik perkara ini apabila UTM bersetuju mahu menganugerahkan biasiswa kepada para pelajar tersebut. Di samping mengurangkan bebanan kerajaan untuk menanggung kos pengajian tinggi negara, UTM bakal menjadi sebuah IPT yang berupaya menarik lebih ramai mahasiswa terbaik untuk melanjutkan pengajian di UTM nanti. Sehubungan itu, pihak universiti merupakan peneraju utama yang sentiasa bekerjasama dengan KPT bagi memastikan segala program berjalan lancar demi perkembangan IPT di Malaysia. Sekelumit kata yang boleh menggambarkan ketangkasan KPT apabila negara dikejutkan dengan peristiwa di Mesir adalah KPT bertindak pantas dengan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pulang para pelajar Malaysia ke tanah air bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara daripada konflik antarabangsa.
Sehingga kini, KPT dan pihak yang terlibat dalam hal ini sedang giat berusaha untuk membincangkan proses pengajian pelajar-pelajar tersebut. Sebagai sebuah kementerian yang sentiasa mengambil berat terhadap ilmu yang diperjuangkan, KPT tidak segan silu mengambil langkah yang drastik dalam perkara yang melibatkan anak bangsa Malaysia. Malah, pujian juga diberikan kepada kerajaan negeri, syarikat-syarikat swasta dan individu-individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kesemua pihak terlibat wajar diberikan ucapan terima kasih kerana sanggup menggembleng usaha untuk bekerjasama dengan KPT dalam menerajui ketinggian ilmu anak bangsa Malaysia pada hari ini.
Noor Sulastry Yurni Ahmad
Pensyarah Kanan
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya
UTUSAN MALAYSIA
26 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan