Oleh Ruhaiza Rusmin
Pengumuman pemberian insentif kepada guru besar dan guru cemerlang yang mencapai sasaran kecemerlangan ditetapkan Kementerian Pelajaran dianggap hadiah kepada golongan itu. Ia mampu menyuntik pembaharuan kepada dunia pendidikan negara. Bagaimanapun, pemberian itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang turut menggembleng usaha namun tidak terpilih. Ini menyebabkan timbul tanggapan bahawa pemilihan oleh Jemaah Nazir yang berdasarkan prestasi memimpin sekolah, tidak telus. Walaupun insentif itu berniat baik, timbulnya konflik hingga mencetuskan kekecewaan di kalangan segelintir guru yang boleh menjejaskan kredibiliti serta integriti mereka. Jika tidak ditangani, sekolah dan pelajar mungkin menjadi mangsa. Persoalannya, perlukah pemberian itu dijadikan landasan untuk mencetuskan konflik? Tidak bolehkah mereka yang tidak terpilih menerimanya secara positif dengan memperbaiki prestasi demi mencipta kecemerlangan serupa?
Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Datuk Azam Md Atan, berkata biarpun intensif itu memberi penghargaan kepada guru cemerlang yang mencapai tahap piawaian, konflik tidak dapat dielakkan. Beliau berkata, pemberian insentif itu baik tetapi mungkin segelintir guru yang tidak mendapat pengiktirafan mempertikaikan mengapa mereka tidak terpilih sedangkan turut memberi sumbangan kepada sekolah. "Cetusan pertikaian ini bukan saja akan menimbulkan konflik malah perasaan tidak puas hati. Lebih ditakuti akan mewujudkan kelompok baru hingga mengganggu pentadbiran sekolah. "Ia perlu dilihat dengan teliti supaya semua pihak menerima dengan hati terbuka. Lebih penting, insentif ini tidak menjejas pelajar dan sekolah," katanya. Menurutnya, bagi mengelak konflik, insentif berkenaan boleh diberikan kepada sekolah sebagai penghargaan kepada semua, bukan individu tertentu.
Menerusi pemberian itu, katanya, sekolah boleh memanfaatkannya untuk kebaikan bersama selain merancang pelbagai bentuk pembangunan. "Pemberian insentif kepada sekolah untuk dinikmati semua adalah lebih baik dan mengelak salah faham. Ini juga sebagai simbolik setiap pencapaian itu adalah usaha bersama dan dinikmati bersama. "Pembangunan jangka masa pendek atau panjang juga boleh dilaksanakan menerusi insentif itu kerana sekolah ada peruntukan sendiri. "Manakala, konsep 'kekitaan', kerjasama dan bersatu hati boleh diperteguhkan kerana saling menyokong tanpa perasaan iri hati," katanya. Beliau berkata, insentif itu boleh dijadikan lonjakan semangat kepada guru lain memperbaiki prestasi diri asalkan mereka melihatnya dari sudut positif. "Jika dilihat dari sudut itu, insentif berkenaan boleh dijadikan pemangkin melonjakkan prestasi diri ke tahap lebih cemerlang.
"Ia juga bagi membalas jasa mereka yang benar-benar menyumbang bakti meningkatkan lagi kualiti pencapaian sekolah. "Golongan guru yang berusaha keras meletak dan memartabatkan dunia pendidikan hingga tahap terbaik wajar dihargai tetapi lebih manis jika dinikmati bersama," katanya. Konsultan pendidikan, Chiam Tah Wen, berkata pemberian insentif itu wajar dinilai dari sudut positif. Menurutnya, pemilihan ketat pasti dilaksanakan bagi memastikan mereka yang layak menerima insentif itu. "Jika gagal jangan mengeluh atau menuduh pihak tertentu tidak adil sebaliknya bermuhasabah mencari kekurangan diri. "Tidak perlu mempertikaikan pemberian ini, siapa yang layak dan berusaha keras, dia patut dihargai. Mengapa perlu mencetuskan konflik, sepatutnya menerima dengan hati terbuka. "Wang ringgit penting namun kepuasan dalam memberi pendidikan tidak boleh dibayar, ia mesti dilaksanakan dengan telus, tulus serta dari hati yang ikhlas. "Janganlah dikorbankan maruah diri serta profesionalisme kerjaya guru semata-mata mengejar pangkat atau imbuhan. Itu bukan budaya ikhlas dalam memartabatkan ilmu," katanya.
INFO
Kementerian Pelajaran baru-baru ini mengumumkan pemberian RM7,500 seorang kepada 924 guru besar di seluruh negara yang meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Ba'iah). Tawaran Baru itu adalah satu inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang menawarkan ganjaran kewangan kepada guru besar dan guru yang meningkatkan prestasi sekolah melepasi sasaran ditetapkan kementerian iaitu seramai 12.1 peratus, pertambahan 600 peratus daripada jangkaan asal dua peratus. Sejumlah RM6.9 juta diperuntukkan untuk menyempurnakan insentif itu dan mereka bakal menerima ganjaran itu pada pertengahan tahun ini atau selewat-lewatnya selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Penilaian terhadap guru cemerlang dibuat Jemaah Nazir berdasarkan prestasi mereka memimpin sekolah, khususnya dalam Gred Purata Sekolah (GPS) bagi mengukur pencapaian peperiksaan dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) adalah instrumen penarafan yang mengukur visi dan misi, pengurusan organisasi, pengurusan program pendidikan dan pencapaian murid. Tawaran Baru adalah antara Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) yang perlu dilaksanakan Kementerian Pelajaran seperti terkandung dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP)
HARIAN METRO
23 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan