JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : MENGHAPUSKAN LANUN DI TELUK ADEN

Oleh NAZERY KHALID


Serangan lanun ke atas sebuah kapal yang disewa oleh MISC Bhd. di Teluk Aden baru-baru ini serta tindakan tangkas dan berani oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia menyelamatkan anak-anak kapal tersebut menarik perhatian dunia terhadap situasi keselamatan di kawasan maritim yang strategik itu. Kebelakangan ini, serangan lanun ke atas kapal-kapal dagang yang melalui perairan penting yang menjadi nadi kepada pengangkutan minyak dan gas dari Asia Barat itu semakin nekad. Walaupun tentera laut dari pelbagai negara telah dihantar untuk memantau perairan ini dan memberikan perlindungan kepada kapal-kapal dagang, namun bilangan serangan lanun tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan. Mengikut perangkaan Biro Maritim Antarabangsa (IMB), lanun dari Somalia melancarkan 445 serangan ke atas kapal-kapal dagang dan menawan 1,181 anak kapal pada tahun 2010.

Majoriti daripada serangan ini berlaku ke atas kapal-kapal yang belayar melalui Teluk Aden berdekatan Somalia. Kehadiran tentera laut antarabangsa yang mendapat mandat dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menumpaskan kegiatan lanun di Teluk Aden telah mengurangkan jumlah serangan. Namun, lanun masih aktif di sana dan terus menggugat aktiviti perkapalan yang menjadi nadi kepada perdagangan antarabangsa yang sejumlah besarnya diangkut menggunakan laluan maritim. Terbaru dilaporkan tentera laut India menangkap 28 lanun yang beroperasi di Lautan Hindi. Ini menggambarkan bahawa lanun di Teluk Aden mula 'rimas' dengan kehadiran tentera-tentera laut antarabangsa di kawasan perairan yang dekat dengan 'Tanduk Afrika' terutama yang bersempadan dengan Somalia yang selama ini menjadi lubuk kegiatan jenayah mereka.

Di sebalik kegembiraan kita terhadap tindakan tegas serta kemahuan politik yang ditunjukkan oleh negara-negara yang mempunyai kepentingan di Teluk Aden dalam menangani isu lanun di situ, masih banyak persoalan yang harus dijawab dalam perkara ini. Negara-negara seperti Malaysia, Korea Selatan dan India yang telah menawan lanun dan membawa mereka ke muka pengadilan akan menjadi fokus masyarakat antarabangsa apabila perbicaraan bermula. Seperti yang kita maklum, Malaysia tidak mempunyai undang-undang anti-lanun khas. Cabaran besar menanti sistem perundangan kita untuk menangani kes ini secara tegas, cekap dan saksama berdasarkan perundangan tempatan yang sedia ada serta lunas-lunas perundangan antarabangsa. Kegiatan 'penyangak lautan' ini tidak akan terhenti hanya dengan penahanan beberapa orang daripada mereka.

Peperangan terhadap lanun harus merangkumi usaha mengenal pasti apakah sebabnya mereka turun ke laut untuk mengganas dan siapakah dalang di sebalik aktiviti mereka. Perhatian harus ditumpukan terhadap bukan sahaja menumpaskan mereka di laut tetapi mengatasi permasalahan dan mengenal pasti faktor di darat yang mendorong mereka ke arah kegiatan tidak bermoral itu. Somalia sering disebut sebagai sebuah failed state di mana institusi perundangan, kehakiman serta keselamatan boleh dikatakan tidak wujud, manakala peluang pekerjaan pula terhad ekoran ekonomi yang runtuh akibat peperangan saudara yang berlanjutan dan campur tangan kuasa asing. Modus operandi lanun Teluk Aden menunjukkan yang mereka bukanlah oportunis semata-mata, dan bertindak tanpa berfikir. Kaedah serangan, kecekapan serta sasaran mereka menunjukkan mereka merupakan penjenayah terlatih dan mempunyai sokongan jitu daripada 'penaja' yang mempunyai sumber yang bukan sedikit.

Ternyata lanun di Teluk Aden mendapat sokongan daripada ketua gerombolan yang berkuasa di Somalia. Ini terbukti melalui cara lanun melancarkan serangan ke atas kapal-kapal dagang di kawasan yang jauh dari pesisir pantai dan pangkalan kapal induk. Juga, kebolehan lanun menyerang kapal-kapal dagang yang besar mencadangkan bahawa mereka cukup terlatih. Senjata yang digunakan dalam serangan seperti bazooka, RPG dan AK-47 juga menunjukkan jenis latihan dan sokongan yang diterima daripada 'penaja' mereka. Mungkin ramai terkejut dengan fakta ini iaitu tidak semua rakyat Somalia melihat lanun di Teluk Aden sebagai penjahat, malah ada yang mempunyai persepsi positif terhadap mereka. Ada yang melihat lanun-lanun ini sebagai pejuang nasional dan pengawal yang memelihara kedaulatan kawasan maritim Somalia dari kapal-kapal menangkap ikan antarabangsa yang beroperasi secara haram di perairan negara tersebut dan menidakkan peluang nelayan-nelayan kecil untuk mencari rezeki.

Mereka juga percaya ada kapal-kapal antarabangsa membuang sisa toksik di perairan Somalia yang mendatangkan pencemaran serta masalah kesihatan kepada komuniti pesisir. Lanun Somalia dilihat 'menghukum' kapal-kapal dari negara-negara yang mengamalkan double standard dalam isu pembuangan sisa toksik dan menggunakan perairan Somalia sebagai tapak pelupusan. Lanun-lanun Somalia juga diberitakan menggunakan wang tebusan yang diperoleh untuk membangunkan kawasan-kawasan berdekatan di mana mereka beroperasi dan membantu penduduk tempatan. Dengan ini, tidak hairanlah mereka dilihat sebagai hero serta mempunyai pengaruh yang meluas di kalangan 'orang kampung' mereka. Andaian mereka sebagai Robin Hood yang mencuri daripada si kaya dan memberi habuan kepada si miskin meningkatkan imej mereka di mata komuniti tempatan.

Sesetengah penganalisis berpendapat syarikat-syarikat perkapalan serta kerajaan tidak sepatutnya membayar tebusan yang besar kepada lanun secara tergesa-gesa bagi membebaskan kapal, anak kapal serta kargo. Tindakan itu dilihat mendorong lanun untuk menawan lebih banyak kapal-kapal dagang. Perlu diingat bahawa motivasi lanun dijana oleh antara lainnya faktor ekonomi dan mereka melihat peluang meraih tebusan dari tawanan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang. Pulangan yang boleh mereka peroleh dari wang tebusan adakalanya mencecah puluhan juta ringgit, jauh lebih lumayan daripada bekerja di negara seperti Somalia yang ekonominya sangat tenat. Masanya sudah tiba untuk masyarakat antarabangsa mengambil langkah lebih tegas bagi mengatasi masalah lanun di Teluk Aden dan seterusnya 'mengubati' isu yang menjadi sumber kepada permasalahan ini.

Tindakan di laut seperti yang ditunjukkan oleh Malaysia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat berhadapan lanun dengan menahan serta mendakwa mereka belum menjamin masalah lanun boleh diselesaikan. Keruntuhan institusi politik dan kerajaan, kekurangan peluang pekerjaan serta rungutan rakyat Somalia terhadap pencerobohan kapal-kapal asing di perairan mereka harus dihadapi dan diatasi melalui kemahuan politik yang tidak berbelah bagi. Masyarakat antarabangsa yang mempunyai kepentingan di Teluk Aden mempunyai tanggungjawab untuk membantu proses membina negara di Somalia. Dengan memperbaiki keadaan sosial, politik dan ekonomi di negara itu, maka ancaman lanun dapat ditumpulkan dengan lebih berkesan.

Contoh yang ditunjukkan oleh Malaysia, Korea Selatan, India dan Amerika Syarikat untuk menumpaskan lanun melalui tindakan ketenteraan di laut perlu disokong dengan penyelesaian politik, perundangan, sosial dan ekonomi di darat. Cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa untuk menyahkan perairan strategik daripada ancaman lanun bukanlah kecil. Namun, demi keselamatan perkapalan dan kebebasan pelayaran yang penting bagi dagangan dunia serta kesejahteraan ekonomi global, lanun di Teluk Aden harus ditewaskan. Ini bakal menuntut komitmen yang tidak berbelah bagi serta sumber yang besar dan juga kerjasama yang jitu di kalangan masyarakat antarabangsa.

Penulis ialah Fellow Kanan di Institut Maritim Malaysia (MIMA).
Utusan Malaysia, 23 Februari 2011

Tiada ulasan: