JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Februari 2011

ISU SOSIAL : ADAKAH PLKN BERBALOI?

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Tidak hidup seseorang itu jika tidak pernah menghadapi masalah dan bukan manusia namanya jika tidak pernah melakukan kesilapan. Lazimnya manusia cuba mengelak daripada masalah tetapi sebaliknya bagi Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil yang menegaskan pihaknya memang sentiasa mencari masalah di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). "Kalau tak perlu cari masalah maka tidak perlu ada PLKN," katanya. Namun, apa yang dimaksudkannya bukan mencari masalah untuk bergaduh dan bermusuhan, sebaliknya sebagai persediaan menghadapi masalah yang mungkin timbul kelak. Menurut Abdul Hadi, masalah tetap akan datang walaupun tidak dicari dan JLKN mengambil langkah proaktif mencari masalah supaya dapat diselesaikan sebelum ia menjadi realiti. "Kita menempatkan pelatih berbilang bangsa, agama, budaya dan pemahaman. Mesti akan ada masalah!

Jika masalah dapat diselesaikan, kita dapat membuat penambahbaikan, seterusnya membantu menyelesaikan masalah lebih besar iaitu kurangnya tahap patriotisme dan perpaduan dalam negara kita," ujarnya kepada Utusan Malaysia. PLKN sebenarnya tidak lari dan tidak asing dengan gagasan 1Malaysia melalui pelaksanaan konsep 1Hasrat, 1Semangat, 1Tekad pada program tersebut. Kumpulan remaja yang mengikuti PLKN perlu mempunyai semangat bersatu dengan hala tuju yang sama dan tidak membenarkan hasrat berbeza-beza yang boleh memecah-belahkan negara. "Komposisi PLKN mengikut kaum di negara ini dan situasi di dalam kem-kem turut menggambarkan perjalanan yang selamat bagi Malaysia menuju ke ambang 2020 kelak. "Semua pelatih duduk bersama, bekerjasama dan tiada jurang dalam menzahirkan komitmen terhadap latihan untuk meningkatkan kemampuan diri mereka," jelas Abdul Hadi.

Beliau berkata, kewujudan PLKN sebenarnya bagi menangani dua isu besar yang dihadapi negara iaitu patriotisme dan perpaduan. Abdul Hadi menjelaskan, patriotisme merupakan satu isu besar yang mudah diperkatakan tetapi amat sukar untuk dinilai tahapnya dalam kalangan generasi rakyat Malaysia kini. "Perpaduan juga tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh 'meletup' pada bila-bila masa jika tidak dijaga dan dipupuk. "Kita berhadapan dengan dua isu besar ini yang mungkin tidak nyata bagi orang lain tetapi amat jelas di mata mereka yang melihat peristiwa 13 Mei dahulu," tegasnya. Beliau berpendapat, masalah yang dihadapi PLKN tidak begitu besar jika dibandingkan dengan masalah negara tetapi dengan menyelesaikan masalah 'kecil', maka program tersebut dapat membantu mengawal masalah besar daripada merebak. "Jangan sekadar tengok pada pokok tetapi kepada hutannya.

Memang PLKN ada masalah tertentu tetapi besar lagi isu negara yang menjadi asas penubuhan program ini. "Kita tidak pernah berhenti menyelesaikan masalah dan membuat penambahbaikan dalam PLKN. Namun, masalah patriotisme dan perpaduan tidak boleh dibiar menjadi realiti untuk kita," tegasnya. Jelas Abdul Hadi, penambahbaikan PLKN mudah dilihat melalui peningkatan modul, kemudahan, dan penyediaan kakitangan tetapi patriotisme dan perpaduan negara masih menjadi tanda tanya. PLKN bertujuan melahirkan remaja dan negara yang patriotik, individu yang memiliki ketahanan diri serta boleh menyumbang kepada masyarakat. Namun, bagaimana untuk mengukur tahap perpaduan yang subjektif serta patriotisme iaitu sayangkan dan sanggup mempertahankan negara? Menjawab persoalan itu, Abdul Hadi berkata, satu kajian persepsi telah dijalankan dalam kalangan pelatih semasa menjalani latihan dan selepas mereka tamat latihan bagi menilai tahap perpaduan dan patriotisme.

"Kajian di dalam kem dan selepas pelatih pulang menunjukkan lebih 80 peratus daripada 60,000 responden yang terlibat bersetuju program ini berjaya mencapai objektifnya. "Tetapi kami tetap tidak berhenti mencari masalah kerana kerajaan, masyarakat dan pembayar cukai sering bertanya adakah RM4 bilion yang dibelanjakan PLKN berbaloi dengan hasilnya," ujarnya. Jika dikira melalui pembangunan fizikal, jumlah perbelanjaan PLKN itu mampu membina 4,000 jambatan bernilai RM100,000 setiap satu ataupun lapan buah hospital bernilai RM500 juta setiap satu. "Kita tidak boleh mengukur pembangunan manusia melalui nilai fizikal (kuantitatif) dan perubahan tidak berlaku dengan pantas kerana ia berlaku secara berterusan serta mengambil masa yang panjang. "Bagaimanapun, pada pandangan saya, setiap pelatih akan memberi kesan berganda sebanyak lima kali kerana mereka akan berkongsi apa yang dipelajari dengan sekurang-kurangnya lima individu lain," katanya.

Tambah Abdul Hadi, jika kira-kira 500,000 peserta berjaya dilatih, maka sebanyak 2.5 juta rakyat di luar akan turut mendapat tempias program tersebut. "Kerana itu, saya tegaskan kita tidak boleh melihat masalah kecil sahaja tetapi perlu melihat gambaran besar bahawa para pelatih inilah yang akan memperkasa dan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara kita kelak," tegasnya. Dalam pada itu, keistimewaan yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemudahan pelatih PLKN memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula menjadi isu sebilangan ibu bapa jika anak mereka terpilih mengikuti program tersebut. "Dahulu timbul isu anak terpilih ke PLKN, kini isu lain timbul kerana tidak terpilih ke PLKN pula. Ibu bapa berfikir rugi jika anak mereka tidak menyertai program tersebut kerana keistimewaan dan kemudahan membuat permohonan memasuki UPNM.

"Kemasukan ke UPNM tetap terbuka kepada semua pelatih, sementara bekas pelatih PLKN masih perlu mematuhi kelayakan yang dikehendaki seperti calon-calon lain," jelas Abdul Hadi. Antara tarikan utama kemasukan ke UPNM adalah yuran dan tempat tinggal percuma, di samping elaun bulanan sebanyak RM1,380 untuk tahun pertama dan dijangka semakin meningkat kelak. Pelatih PLKN yang dipilih terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan dan perlu ditemuduga. Namun mereka mempunyai kelebihan jika mencatat markah yang sama dengan pemohon dari luar. "Selepas tiga bulan latihan, pelatih PLKN sudah mempunyai asas tentera beserta ketahanan mental dan fizikal yang memudahkan mereka meneruskan pengajian tanpa memerlukan tempoh penyesuaian yang panjang di UPNM. "Lagipun, UPNM tidak boleh lepaskan pelatih yang berkebolehan selepas mereka tamat PLKN.

UPNM akan cari yang terbaik dan 'sapu' dulu sebelum disambar IPT lain," kata Abdul Hadi. Selain UPNM, pelatih juga mendapat kemudahan memohon terus ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta pilihan kerana setiap kem akan mengumpulkan semua wakil IPT pada satu hari khusus untuk kemudahan pelatih mendapatkan maklumat mengenai IPT berkenaan. Selain itu, sebarang bentuk latihan memerlukan penggunaan akal fikiran serta melibatkan bebanan mental dan fizikal. Justeru, menjadi cabaran JLKN apabila pelatih perlu didorong ke tahap maksimum, sedangkan setiap individu dan bangsa mempunyai tahap kemampuan yang berbeza. "Kita memahami remaja berumur 18 tahun belum keluar dari payung keluarga, jadi kita mahu latih dan 'pisahkan' mereka supaya tahu konsep berdikari. "Ada yang tidak pernah bangun pagi, tidur awal, tiada pendingin hawa dan tinggal beramai-ramai.

Ini menjadi tekanan kepada mereka dan apabila tidak tahan dengan suasana baru ini, mereka mula merasakan diri mereka diseksa," jelas Abdul Hadi. Beliau menyatakan, JLKN juga tidak menafikan kebimbangan ibu bapa melepaskan anak mereka menghadapi cabaran sedemikian dan kerana itu, pihaknya membuka pintu kem setiap minggu untuk membolehkan keluarga melawat pelatih. "Kita sudah agak masalah ini (keresahan) akan timbul dan kerana itu kami beri peluang keluarga melihat sendiri anak mereka serta suasana di dalam kem untuk membuktikan pelatih tidak didera seperti persepsi sebahagian kecil masyarakat. "Dahulu orang berfikir kerajaan tidak serius dalam PLKN tetapi selepas beberapa tahun, baru masyarakat mula nampak agenda besar program ini," ujarnya. Selain persepsi, JLKN juga dalam perancangan menyelesaikan isu kemudahan infrastruktur di 80 kem PLKN yang bakal mengikut standard Jadual Pematuhan (SOC) yang sama dan terkini, di samping mencapai status ISO menjelang hujung 2012.

JLKN juga bercadang menubuhkan akademi latihannya sendiri dalam tempoh satu tahun lagi bagi melatih jurulatih PLKN bertauliah dan mengeluarkan sijil kelayakan yang diperakui semua pihak. Cabaran berikutnya bagi JLKN adalah mengumpul semula kesemua bekas pelatih di bawah sekretariat alumni PLKN dan memastikan matlamat program tersebut berjaya dicapai. Menurut Abdul Hadi, satu kad pintar untuk pelatih dan bekas pelatih PLKN juga telah disediakan dan boleh dipohon melalui laman web www.1hasrat.com.my dengan pelbagai kemudahan dan manfaat. "Kita berharap dapat mengumpul semula kira-kira 608,000 bekas pelatih untuk menyertai 33,000 pelatih semasa PLKN di bawah satu payung supaya dapat bergerak bersama kelak," katanya.

UTUSAN MALAYSIA
26 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: