Oleh Dr Norhafezah Yusof
BERITA HARIAN, 23 FEBRUARI 2011
Penyelidikan adalah usaha mengenal pasti permasalahan sesuatu fenomena. Selaras dengan kehendak masyarakat, penyelidikan perlu dilihat mampu menghasilkan sesuatu penambahbaikan terhadap pembentukan dasar dari aspek akademik dan permasalahan praktikal. Ia mendasari keperluan pembentukan sesuatu polisi terutama yang berimpak tinggi dalam masyarakat dan negara. Bertepatan dengan idea itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, dalam Amanat Tahun Baru 2011 baru-baru ini di Putrajaya menekankan perihal pentingnya peranan penyelidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dengan menggariskan beberapa isu berkenaan dengan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan peranan universiti dalam menggembleng tenaga untuk kemajuan penyelidikan. Masyarakat Malaysia yang peka dengan perkembangan institusi pengajian tinggi mungkin memahami dengan jelas mengenai klasifikasi universiti di negara ini.
Perkara yang ingin disentuh di sini ialah mengenai keghairahan universiti dalam mencapai status Universiti Penyelidikan. Umum mengetahui mengenai perkembangan terkini yang mana Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf beberapa IPTA sebagai Universiti Penyelidikan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan yang terkini Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Universiti APEX. Perkara pokok mendasari perkembangan kesemua IPT ini ialah budaya penyelidikan yang menjadi antara tunjang yang perlu diperhebatkan pihak pengurusan tertinggi IPT berkenaan. Justeru, mengapa pembudayaan dan perkembangan penyelidikan dilihat sebagai aspek penting dalam pembangunan sesebuah IPT? Berteraskan kepada falsafah ‘Pengajian Tinggi ke arah Transformasi Negara’, penyelidikan yang dijadikan agenda keempat dalam Dasar Pengajian Tinggi dianggap mampu menyumbang kepada kesinambungan cabaran global yang mendepani masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.
Berbalik kepada persoalan yang dinyatakan sebelum ini apakah impak penyelidikan di IPT terhadap kesejahteraan hidup masyarakat negara ini? Ada tiga pemeringkatan yang dapat ditangani sesuatu penyelidikan untuk konteks penyelidikan di Malaysia. Pertamanya, penyelidikan yang cuba menangani permasalahan yang telah berlaku. Contohnya, seperti isu banjir di Kedah baru-baru ini. Kedua, permasalahan yang sedang berlaku, contohnya, masalah sosial remaja di Malaysia yang saban hari menjadi isu hangat seperti dipaparkan dalam media perdana. Ketiga, permasalahan yang akan berlaku. Contohnya, isu pembinaan loji nuklear di Malaysia dan bagaimana cara terbaik menangani sisa nuklear itu jika negara perlu mewujudkan pusat nuklear bagi mengatasi krisis keperluan tenaga elektrik untuk jangka masa yang panjang. Rangkaian penyelidik perlu diperkemas dan diperkasa untuk menyahut cabaran ini.
Tidak ketinggalan juga IPT lain yang juga berhasrat menjadi Universiti Penyeli-dikan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan lain-lain perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan melihat penyelidikan sebagai agenda pembangunan masyarakat. Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf enam HICoE yang diberikan dana lumayan menerajui penyelidikan bercorak kritikal dan kreatif yang bersifat ‘multidisciplinary’ dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang kukuh. Umumnya, pusat kecemerlangan perlu memenuhi tujuh kriteria yang digariskan oleh pihak kementerian iaitu kualiti dan kuantiti penyelidik, kualiti dan kuantiti penyelidikan, kualiti dan kuantiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah/pemberian, rangkaian dan perhubungan, akhir sekali sistem dan sumber fizikal. Mari kita meneliti keenam-enam pusat kecemerlangan yang berjaya memperoleh pengiktirafan dari Kementerian Pengajian Tinggi.
Berdasarkan keunikan tersendiri, kesemua pusat kecemerlangan menerajui bidang kepakaran yang mempunyai impak tinggi terhadap masyarakat. Senarai pusat kecemerlangan adalah seperti berikut; UM Centre of Research for Power Electronics, Drives, Automation & Control (UMPEDAC), UKM medical molecular biology institute (UMBI), Institute for Research in Molecular Medicine (INFORMM) USM, Institute of Bioscience (IBS) UPM, Centre for Drug Research (CDR) USM dan Accounting Research Institute (ARI), UiTM. Bidang penyelidikan yang diterajui semua Pusat Kecemerlangan ini adalah bersifat cross-disciplinary yang mana pemberatan falsafah ilmu sains dan sains sosial adalah saling bergantungan. Contohnya, untuk mengkaji mengenai permasalahan krisis tenaga, antara perkara pokok yang perlu diambil kira penyelidik ialah impak harga tenaga elektrik terhadap cara hidup masyarakat kini.
Semua pusat kecemerlangan ini dituntut memperhebatkan kajian dan penghasilan produk/modul untuk melestarikan pembangunan masyarakat dalam mendepani masa depan yang mencabar. Bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan penyelidikan dan mentransformasikan pengajian tinggi, pihak pengurusan IPT disaran lebih proaktif dalam mencungkil idea penyelidikan kreatif setanding dengan penyelidikan antarabangsa. Bagaimanapun penyelidik juga perlu peka kepada etika penyelidikan kerana kita tidak mahu menghasilkan penyelidikan yang hebat tetapi impaknya terhadap masyarakat kurang bermakna seperti penghasilan bom atom atau virus komputer. Kini adalah masa untuk bekerjasama dan bukan melihat siapa jaguh dalam arena penyelidikan kerana impak yang dihasilkan akan dikongsi bersama demi masyarakat.
Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan