20 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : KAPAL SELAM DADAH DI COLOMBIA


Jika selama ini rakyat Colombia menyangka mereka telah didedahkan segalanya tentang kegiatan dadah yang sememangnya sesuatu yang sinonim di negara itu, dikejutkan dengan teknik terbaru pengedarannya iaitu melalui kapal selam yang lebih besar. Setelah pihak berkuasa meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap kapal terbang dan bot laju bagi menghentikan aktiviti pengeksportan dari negara pengeluar dadah terbesar dunia itu, penyeludup semakin bertindak berani dengan menggunakan pengangkutan bawah air bagi meneruskan aktiviti mereka. Tentera Colombia buat kali pertama merampas sebuah kapal selam penyeludup dadah berhawa dingin yang mampu menyelam sedalam tiga meter dan melakukan perjalanan jauh sehingga ke perairan Mexico. Sebelum ini, kapal selam penyeludupan dadah yang ditemui di Colombia tidak boleh melakukan selaman ke dalam laut.

Seorang pegawai tentera Colombia, Kolonel Manuel Hurtado berkata, kapal selam itu sepanjang 30 meter dan diperbuat daripada gentian kaca serta boleh membawa enam krew. Menurutnya, ia yang ditemui di Sungai Timgiqui, sekitar 440 kilometer ke barat daya Bogota, pada Ahad lepas boleh membawa sehingga lapan tan dadah. Kapal selam ini yang dilengkapi enjin diesel dikatakan mengambil masa di antara enam hingga lapan bulan untuk dibina dengan melibatkan kos sebanyak AS$2 juta (RM6.10 juta). Ia ditemui berdasarkan maklumat risikan namun ia didapati kosong semasa ditemui. Dari pangkalan mereka di bandar pelabuhan Buenaventura berhampiran Lautan Pasifik, pihak berkuasa Colombia mengetuai usaha menumpaskan aktiviti terbaru penyeludupan dadah menggunakan teknik ini. Namun pengedar dadah ini hanya boleh dikesan oleh petugas pengawal pantai dan kapal selam tentera yang berupaya mengesan bunyi melalui kemudahan sonar.

Pihak tentera laut menganggarkan tempoh perjalanan mengambil masa selama dua minggu sebelum sampai ke destinasi dan setiap perjalanan mampu membawa 10 tan kokain. Perjalanan seumpama ini sememangnya lebih mudah bagi penyeludup bagi mengelakkan penyiasatan dan pertanyaan dari pihak berkuasa. Kos setiap perjalanan dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$600,000 (RM1.92 juta), dan dilengkapi satu atau dua kipas yang mampu menggerakkan kapal selam tersebut pada kelajuan 10 hingga 12 batu nautika sejam. Kebanyakan kapal selam ini dipercayai dibina oleh kumpulan penyeludup dengan bantuan Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia (FARC) yang mengumpul dana perjuangan mereka selama empat dekad melalui perdagangan dadah. Colombia telah mengeksport sejumlah 600 tan kokain setahun berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu per tiga darinya adalah melalui perairan Pasifik.

Kapal berkenaan dibina di atas darat dipercayai di kawasan hutan bakau di perairan Pasifik. Hutan tebal membantu menyembunyikan kawasan pembuatan kapal selam berkenaan dari pihak berkuasa ketika mereka melakukan rondaan dan tinjauan dari udara. Adalah sukar untuk membina dan menyembunyikan kapal selam ini di kawasan perairan Caribbean yang kini semakin menjadi tumpuan ramai dan lebih selamat hasil dari kegiatan pelancongan yang semakin meriah dengan dibantu kawalan keselamatan tentera AS. Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu pihak mereka sedang meningkatkan kawalan di sepanjang perairan bagi mencari kapal selam langkah menyekat usaha pengedaran najis dadah. Mereka kini semakin maju dalam hal berkaitan teknologi dan malah makin berkembang maju dan pantas serta turut dilengkapi peralatan canggih seperti sistem kemudi GPS dan telefon satelit.

OLEH : HAFIZAHRIL HAMID
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 20 FEBRUARI 2011

17 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : NKRA DAN GTP BERJAYA MENAIKKAN MARTABAT PROFESION PENDIDIKAN DI PERSADA GLOBAL


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP) Pendidikan 2010 berjaya memartabatkan profesion pendidikan negara dengan memperoleh ranking kelapan dunia seperti dilaporkan majalah Newsweek.  Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, antara kejayaan NKRA Pendidikan adalah melepasi sasaran 70 peratus kadar enrolmen murid prasekolah dengan mencapai 72.42 peratus di 315 prasekolah. Beliau berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan 1,500 prasekolah Kementerian Pelajaran (KPM) manakala sembilan prasekolah di rumah panjang di Sarawak serta pusat komuniti di Sabah yang beroperasi pertengahan Jun tahun 2010. Pada masa sama, 24,179 murid belajar di sekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran RM150 sebulan.  Ini menggalakkan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun di kawasan tiada prasekolah KPM, Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengikuti pendidikan di prasekolah swasta.

Tahun ini 715 prasekolah KPM dijangka memulakan operasi, selain 1,000 prasekolah KEMAS, JPNIN (50) dan prasekolah swasta (1,000).  Aspirasi NKRA pendidikan katanya, memberi penekanan kepada peningkatan pencapaian pelajar secara menyeluruh meliputi intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang melonjakkan imej sistem pendidikan negara. Beliau berkata, peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat penting dalam membangunkan modal insan cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya hasrat menjadi negara membangun menjelang 2020 tercapai.  Inspirasi NKRA turut memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dikecapi semua pihak bagi meningkatkan taraf hidup secara menyeluruh. NKRA Pendidikan menetapkan dua fokus utama dijadikan asas kepada transformasi iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan asas berkualiti dan membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan.

Sehubungan itu katanya, pendidikan prasekolah, penguasaan literasi dan numerasi pada Tahap Satu, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan memperkenalkan tawaran baru kepada Pengetua dan Guru Besar mampu meningkatkan kecemerlangan taksiran berasaskan pencapaian dijadikan sub bidang NKRA. Beliau berkata, selain dua fokus berkenaan, empat sub bidang NKRA meliputi peningkatan kadar enrolmen kanak-kanak berusia empat dan lima tahun menyertai pendidikan prasekolah.  Pelaksanaan itu kata Abdul Ghafar, bagi memastikan setiap kanak-kanak normal menguasai asas literasi dan numerasi selepas mengikuti tiga tahun pendidikan rendah.  Usaha diteruskan dengan membangunkan SBT dan menyediakan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar berdasarkan penilaian berasaskan pencapaian.  Selain empat sub bidang NKRA ini, bidang utama lain juga dipertingkat bagi memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan pencapaian seperti disasarkan.

KPM sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan negara untuk mencapai negara maju menjelang 2020.  Transformasi kurikulum memberi penekanan kepada aspek penguasaan bahasa khususnya bahasa Malaysia dan Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing. Abdul Ghafar berkata, daripada aspek Literasi dan Numerasi (LINUS) pula, pihaknya menyasarkan 90 peratus pada 2010.  Saringan ketiga pula katanya, menunjukkan prestasi murid meningkat 85 peratus berbanding 64 peratus pada saringan kedua, manakala kadar numerasi pula meningkat 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua.  Biarpun sasaran murid menguasai literasi gagal mencapai sasaran, pencapaian setakat ini menjadi penanda aras menunjukkan sasaran pada 2012 mampu dicapai.  Mengulas sasaran SBT iaitu 20 pada 2010, Abdul Ghafar berkata, 20 sekolah diberi pengiktirafan sebagai SBT berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar.

Sejak memperoleh pengiktirafan itu, beliau berkata, banyak kejayaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dicatatkan. Kolej Tunku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan muncul naib juara kategori khas pada Pameran Kejuruteraan dan Sains Antarabangsa Intel (ISEF) di San Jose, Amerika Syarikat.  Beliau berkata, Sekolah Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru pula memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Mathematics Olympiad.  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pula kata Abdul Ghafar, memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa termasuk dua perak pada temasya renang Sukan Sekolah ASEAN Kedua.  Satu emas diperoleh sekolah itu dan perak pada Sukan Pelajar Asia Tenggara. Pasukan sekolah turut mendapat emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya renang Terbuka Malaysia.  

Pelajar sekolah itu turut mewakili negara pada temasya renang Kejuaraan Renang Antarabangsa Jepun ke-51, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Abdul Ghafar berkata, selain pencapaian sekolah, guru besar yang layak menerima ganjaran perlu memenuhi kriteria seperti Laporan Nilaian Prestasi tahunan cemerlang, bebas sebarang tindakan tatatertib serta tiada audit bersyarat.  KPM memperkenalkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah bagi membantu sekolah berprestasi rendah dalam Band Enam dan Tujuh.  Biarpun ia bukan sub NKRA utama dalam NKRA Pendidikan tetapi berjaya dilaksanakan bagi memastikan sekolah terbabit dapat meningkatkan prestasi masing-masing.

SUMBER : BERITA HARIAN, 17 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : SUBJEK PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA MULAI 2012


Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bercadang memperkenalkan subjek pendidikan keselamatan jalan raya kepada para pelajar sekolah menengah mulai tahun 2012. Ketua Pengarahnya, Datuk Suret Singh berkata, subjek itu sebagai langkah terbaru mendidik golongan tersebut mengenai kepentingan keselamatan di jalan raya. Menurutnya, JKJR dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kurikulum yang sesuai untuk diajar kepada golongan sasar terbabit. Cadangan dilakukan supaya kurikulum tersebut diajar kepada para pelajar di tingkatan satu, dua dan empat selama 40 minit dan sekali dalam tempoh seminggu.

SUMBER : HARIAN KOSMO ONLINE, 17 FEBRUARI 2011

16 Februari 2011

ISU BAHASA : SIKAP ORANG MELAYU TERHADAP BAHASA IBUNDA


Adakah masyarakat Melayu bersedia menyediakan pendedahan yang dikehendaki atau masih kurang yakin terhadap bahasa sendiri? Menurut ahli falsafah Yunani Purba, Plato, sikap boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu komponen kognitif, afektif dan kesediaan untuk bertindak. Komponen kognitif berkait rapat dengan persepsi dan pemikiran manakala komponen afektif pula bersangkut paut dengan perasaan dan emosi seseorang terhadap sesuatu perkara. Kedua-dua komponen kognitif dan afektif tidak semestinya sealiran dalam diri seseorang individu itu. Misalnya, seseorang itu mungkin berasa cinta terhadap bahasanya tetapi berpendapat bahawa bahasanya itu tidak relevan dalam zaman sekarang. Ketidakharmonian kedua-dua komponen inilah yang membentuk sikap negatif sesebuah masyarakat (termasuk ibu bapa, pelajar, guru) boleh kita tinjau dan membuktikan hakikat ini.

SIKAP IBU BAPA

Terdapat dua kumpulan ibu bapa Melayu: pertama, yang menuturkan bahasa Melayu di rumah; dan kedua, ibu bapa yang berbahasa Inggeris. Bagi keluarga yang tidak menuturkan bahasa Melayu di rumah, sikap pesimis terhadap bahasa Melayu begitu jelas sekali. Komponen kognitif lebih memainkan peranan di sini berbanding komponen afektif. Walaupun terdapat juga perasaan cinta terhadap bahasa Melayu, suasana dalam dunia pekerjaan yang dialami ibu bapa membentuk tanggapan bahawa bahasa Inggeris lebih dititikberatkan daripada bahasa Melayu. Di Singapura, bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa kerja (working language). Ibu bapa percaya penakatan hidup di Singapura memerlukan penguasaan bahasa Inggeris. Justeru ibu bapa akan menggalakkan pertuturan bahasa Inggeris di rumah untuk menyesuaikan dan melengkapkan diri anak- anak mereka dalam menghadapi arus kemodenan yang semakin mencabar.

Bagi sesetengah ibu bapa yang masih berbahasa Melayu di rumah pula, mereka mengganggap mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang mudah atas alasan bahasa itu memang diamalkan seharian. Walhal, ibu bapa sedemikian tidak sedar bahawa bahasa di rumah berbeza dengan bahasa baku di sekolah. Tiada latihan disediakan di rumah untuk membolehkan pelajar menerapkan ilmu yang diperolehinya. Tumpuan dan penekanan hanya diberikan kepada mata pelajaran yang dianggap lebih mencabar seperti sains dan matematik. Golongan yang dituding untuk menerapkan semangat cintakan bahasa Melayu tidak lain tidak bukan ialah golongan guru.

SIKAP GURU

Guru bahasa Melayu seringkali dilihat sebagai tunggak kedaulatan bahasa Melayu. Merekalah pendidik dan mereka jugalah pejuang bahasa. Namun, adakah kesemua guru bahasa Melayu berkongsi matlamat yang sama ke arah memartabatkan bahasa Melayu? Sayangnya, tidak begitu hakikatnya. Ada sesetengah guru itu melihat tanggungjawab mengajar bahasa Melayu sebagai kerjaya semata-mata, bukan kerana cinta dan minat yang mendalam terhadap bahasa itu. Kerjaya guru yang sememangnya agak lumayan itu menarik minat golongan ini untuk menceburi bidang tersebut. Lebih-lebih lagi mata pelajaran bahasa Melayu lebih mudah diajar berbanding mata pelajaran yang lain. Apa yang diajarnya merupakan kandungan dalam buku-buku teks sematamata. Sikap sedemikian boleh menghambat penyampaian nilai-nilai murni yang kaya dalam bahasa Melayu. Pengajaran bahasa Melayu memerlukan golongan pendidik yang tinggi ilmunya tentang budaya Melayu kerana bahasa adalah lantunan budaya masyarakat tersebut.

SIKAP MURID

Golongan pelajar merupakan golongan yang paling penting kerana pada golongan inilah yang diukur tahap kecekapannya. Kejayaan atau kegagalan kurikulum bahasa ibunda bergantung pada prestasi golongan ini. Prestasi yang cemerlang tidak boleh diperolehi tanpa sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Kebanyakan pelajar merasakan bahawa bahasa Melayu hanya diperlukan sewaktu mata pelajaran bahasa Melayu dan ketika berbual dengan guru bahasa Melayu sahaja. Di luar mandala itu, bahasa Melayu sudah tiada ruang dalam kehidupan mereka. Pergaulan mereka dengan rakanrakan berbilang bangsa lain memungkinkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih kerap. Sementelahan bahasa pengantar bagi mata pelajaran di sekolah yang merupakan bahasa Inggeris telah membuat murid-murid lebih terdedah kepada bahasa tersebut. Hasilnya, perolehan kosa kata bahasa Inggeris lebih banyak berbanding kosa kata bahasa Melayunya. Apabila berbual, lebih terpacul kekata Inggeris daripada pelajar Melayu.

Situasi di atas merupakan salah satu contoh bagi komponen sikap yang ketiga iaitu tindak balas terhadap keadaan sekeliling. Mereka merasakan memadai untuk menggunakan satu bahasa sahaja tanpa mengambil kira penutur yang diajak berbual. Apa yang menyedihkan ialah ada segelintir pelajar Melayu yang menaruh perasaan jelek terhadap bahasa ibundanya. Masalah sosial yang menghantui masyarakat Melayu sekali gus mencerminkan martabat bahasa Melayu. Hanya orang Melayu yang tidak berpendidikan tinggi atau yang terlibat dalam samseng jalanan akan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahasa itu boleh melambangkan identiti penuturnya. Dengan berbahasa Inggeris, golongan terpelajar ini menyangka diri mereka berada di tahap yang lebih tinggi dan berprestij. Lagi menghairankan, ada pelajar 'elit' bahasa Melayu berasa canggung dan malu untuk berbahasa Melayu. Sayangnya, harapan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu yang disandarkan pada golongan sedemikian bak indah khabar dari rupa sahaja.

SIKAP MASYARAKAT

Gerakan badan Melayu seperti mesyuarat di masjid, pertubuhan sehinggalah kalangan elit Melayu seperti doktor sehinggalah usahawan perlulah menonjolkan penggunaan bahasa Melayu yang elok. Kelak ini akan menjadi penyedar dan petunjuk kepada anak muda kita, termasuk pelajar, agar berasa bangga akan bahasa ibundanya. Kesimpulannya, apa pun sikap yang terbuku dalam jiwa masyarakat kita, masih belum terlambat bagi setiap individu untuk sedar akan kepentingan bahasa ibundanya. Bahasa sebagai identiti bangsa bukanlah 'alat' semata-mata seperti mana yang ramai sangkakan. Di dalam bahasa ibunda tersirat nilai-nilai moral dan adab yang harus ada dalam sahsiah setiap individu. Weltanschauung atau pandangan masyarakat yang menyeluruh dapat ditelusuri melalui bahasanya. Janganlah Bulan Bahasa sekadar kempen saja, sedang bangsa kita hanya tinggal pada nama sahaja.

Oleh : Muhd Firdaus Rahmat
Sumber : KL Pos. com http://www.klpos.com
Nota: Penulis kini mengikuti program Sarjana Muda Pengajian Melayu, 
Universiti Malaya.

ISU SOSIAL : SEMUA PIHAK PERLU ADA TANGGUNGJAWAB PUPUK PERPADUAN KAUM


Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, sekali lagi diingatkan pentingnya perpaduan kaum dipupuk sepanjang masa demi memelihara keharmonian hidup di negara ini. Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1Malaysia 1Ummah, yang disambut semalam, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah, setiap rakyat harus mengikis sikap curiga-mencurigai, bukan saja sesama umat Islam malahan di kalangan masyarakat berbilang kaum. Baginda mahu sentimen perkauman sempit dibanteras daripada awal sebelum membarah dalam masyarakat. Meneruskan dasar perpaduan diperjuangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui lima Perdana Menteri lalu, kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak terus mendukung falsafah perpaduan dalam pentadbirannya. Dengan cabaran dan lingkungan sangat berbeza, beliau memperkukuhkan teras perpaduan nasional dengan mengetengahkan gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri dalam perutusan sempena Maulidur Rasul menerusi blognya www.1malaysia.com.my, kelmarin, yang turut menyentuh isu sama berkata, perpaduan adalah rencah utama proses transformasi umat Islam secara menyeluruh dalam semua bidang bagi melahirkan kekuatan umat progresif. Justeru, beliau mahu umat Islam mengutamakan perpaduan kaum dan agama seperti mana dilakukan Nabi Muhammad SAW yang berjaya menyatukan umat pelbagai kaum serta agama di Madinah. Mesej perpaduan bersifat sejagat itu perlu disebar luaskan kepada seluruh umat Islam serta setiap warga yang berpayung di bawah kedaulatan di negara ini. Menilai manfaat perpaduan sebagai teras kemajuan sosioekonomi negara, kita harus menginsafi jika perpecahan berlaku dalam ukhuwah umat Islam, nescaya generasi akan datang menanggung padahnya.

Perpecahan dalam mana-mana masyarakat boleh mengundang keruntuhan, walaupun sekian lama perpaduan dibina serta diperkukuhkan. Hari ini, negara diancam puak yang mempunyai agenda ketika kepemimpinan Najib berusaha memperkukuhkan perpaduan kaum. Rakyat semakin jelas bahawa perpaduan bermakna mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan. Rakyat majmuk negara ini bukan saja berbeza warna kulit, sebutan bahasa, anutan agama dan amalan budaya malah sangat sensitif terhadap semua aspek berkenaan. Namun sensitiviti itu berjaya kita urus dengan perimbangan toleransi, penerimaan dan persefahaman, sekali gus sikap itu memperkukuhkan perpaduan sedia ada. Kita berupaya menyerap kelebihan dan kekurangan, sensitiviti serta toleransi kerana sudah diajar bahawa perbezaan antara kaum mampu digembleng menjadi kekuatan dan menjadikan hidup kita lebih sempurna.

Perpaduan kaum turut menuntut rakyat mengamalkan sikap bersederhana, menolak ekstrem, memilih jalan tengah serta tidak bersangka buruk dalam semua tindakan dan keputusan. Sebagai komponen pembangunan dan kemajuan, kita berharap semua pihak akan terus mempromosikan perpaduan dalam segenap bidang serta urusan. Bermula daripada institusi keluarga, institusi sekolah, kejiranan dan komuniti sehingga ke pejabat serta lapangan kerja, ciri perpaduan mesti diterap dan disuburkan. Jangan benarkan bibit ekstrem dan agenda yang memecah-belahkan perpaduan sesama ummah dan antara kaum yang sering dicetuskan parti politik dan organisasi tidak bertanggungjawab, bertapak dalam masyarakat. Kita tidak mahu perpaduan yang terbina sekian lama, musnah sekelip mata dek kerana tiada persefahaman, toleransi dan perasaan saling menghormati.

SUMBER : RUANGAN MINDA PENGARANG, BERITA HARIAN, 16 FEBRUARI 2011

ISU WARISAN : BATIK MALAYSIA BERKELAS DUNIA, TAMBAT HATI ORANG LUAR



Batik Malaysia bukan sahaja berjaya mengekalkan ciri-ciri keasliannya walaupun berhadapan dengan peredaran zaman, malah ia berupaya menambat hati masyarakat luar sehingga mendapat tempat di persada antarabangsa. Budayawan, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, industri batik Malaysia berjaya dimajukan selepas dikomersialkan dan kini ia menjadi antara kebanggaan rakyat. Beliau yakin dalam tempoh seabad akan datang batik tetap tidak akan ditelan zaman terutama apabila corak yang dihasilkan adalah berunsurkan alam. Unsur alam sememangnya berkekalan sepanjang zaman dan ia tidak membosankan. Jika 100 tahun lagi kita buat kajian, anak cucu pasti turut berasa bangga dengan kreativiti yang tinggi di kalangan masyarakat kita. Antara contoh seni pada batik ialah unsur ombak, rumpun padi yang dihembus angin, aliran-aliran alur sungai. Itu semua indah dan ia menonjolkan keperibadian dan jati diri budaya Melayu yang lembut dan sopan. Swee Tin berkata, beliau yang berasal dari Kelantan dan antara individu yang mengikuti perkembangan industri itu sejak batik cop sehingga lukisan tangan tidak menafikan bahawa batik Malaysia adalah berkelas dunia. 

Berhubung dakwaan Indonesia bahawa batik Malaysia jelik jelasnya, penafian itu adalah subjektif kerana ia hanya luahan berdasarkan cita rasa seseorang atau masyarakat di sesebuah negara. Itu dari kaca mata mereka. Bangsa bertamadun tidak akan berkata begitu. Seharusnya setiap bangsa perlu saling menghormati karya-karya orang lain. Perkara seperti ini adalah bergantung pada apresiasi pihak-pihak tertentu. Kalau kita nak memperkatakan tentang batik mereka, pasti mereka juga tidak suka kerana daripada pandangan kita batik mereka itu seninya kasar. Semua orang ada jiwa berlainan, pandangan mereka lain, begitu juga dengan kita. Beliau menambah, sekiranya benar batik Malaysia jelik atau buruk, sudah lama ia tidak boleh bertahan di pasaran, namun dakwaan itu sememangnya meleset ekoran tekstil itu semakin hebat terutama apabila pembuat batik berupaya mengekalkan ciri-ciri keaslian budaya Melayu. 

Sementara itu, Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr. Ramlah Adam menasihatkan rakyat Malaysia supaya jangan mudah terpengaruh dengan kenyataan pihak luar mengenai batik Malaysia. Kata beliau, sepatutnya sebagai rakyat Malaysia harus mempertahankan budaya bangsa serta bangga terhadap produk tempatan yang mendapat pengiktirafan dunia. Sebagai rakyat Malaysia kita mesti hormat dan sayang dengan batik Malaysia kerana ia produk terkenal dan merupakan identiti kita. Indonesia kutuk batik kita kerana mereka mahu melariskan batik mereka.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 16 FEBRUARI 2011

15 Februari 2011

ISU SOSIAL : SEMANGAT PERUBAHAN SEMPENA MAULIDUR RASUL


Sambutan Maulidur Rasul, memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w setiap 12 Rabiulawwal adalah peristiwa besar bukan sahaja untuk umat Islam tetapi dalam sejarah tamadun manusia. Ini jelas terkandung di dalam surah Al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam." Justeru Maulidur Rasul seharusnya disambut dengan pengertian dan penghayatan yang lebih mendalam bukan setakat perarakan mahu pun perhimpunan yang dilihat lebih sebagai satu amalan tradisi atau kebiasaan. "Jangan juga kita hanya mendengar ceramah dan berselawat kepada Rasulullah pada hari itu sahaja. Sebaliknya kita perlu mendapat cetusan baru iaitu hendak mengkaji dan menghayati ajaran yang dibawa oleh Nabi," demikian menurut Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

PERINGATAN BERTERUSAN

Beliau memberitahu Bernama dalam wawancara sempena sambutan Maulidur Rasul 1432, bahawa memperingati kembali hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w biarlah menjadi peringatan yang berterusan dan bukannya setakat pada 12 Rabiul awwal sahaja. Peringatan kepada Rasulullah s.a.w itu, katanya bermaksud pengajaran yang dibawa oleh Nabi yang datangnya daripada Al Quran. "Nabi Muhammad s.a.w yang menghayati kehidupannya menurut semangat Al Quran, justeru itu kita perlu mengkaji Al Quran melalui hadis-hadis Nabi s.a.w. "Sebab itu apabila Aishah, isteri Rasululullah ketika ditanya apakah akhlak Nabi, Aisyah berkata Al Quran. Apa yang tercatit di dalam Al Quran itu adalah akhlak Nabi. "Maknanya Nabi menterjemah Al Quran dalam kehidupannya. Sebagai contoh, Nabi menghormati pandangan orang meskipun apabila kanak-kanak berbicara dengannya, Nabi akan memberi sepenuh perhatian. Nabi juga melayani isteri dan anak-anaknya dengan adil dan saksama. Ini antara yang perlu kita hayati dan warisi," jelasnya.

PENERAPAN NILAI

Sambutan Maulidur Rasul dalam konteks semasa di mana tamaddun manusia berada di ambang keruntuhan seharusnya juga mencetus keinsafan terutamanya dalam kalangan umat Islam. Menurut Nik Mustapha, umat Islam perlu melihat Islam itu sebagai satu agama yang serius, agama yang tinggi dan agama yang membina kemajuan manusia baik di peringkat individu mahu pun masyarakat. Jelasnya pembinaan diri di peringkat individu memerlukan seseorang itu mempunyai pandangan hidup yang sempurna antaranya mahu maju dan berjaya dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan kekuatan kerohanian. "Kita mahu kemuliaan di dunia dan akhirat itu adalah natijah daripada kehidupan di sini. Seseorang individu itu juga perlu mempunyai akhlak yang mulia seperti jujur dan ikhlas serta kasih sayang bukan sahaja sesama umat Islam tetapi juga umat manusia yang lain di samping memiliki kemahiran serta kepakaran hidup. "Sebagai orang Islam, kita dianggap sebagai khalifah dan sepatutnya berperanan membimbing masyarakat atas dasar ajaran Nabi yang bersandarkan Al Quran," katanya. Di peringkat masyarakat, Nik Mustapha berkata Nabi Muhammad s.a.w menekankan tiga prinsip utama. "Tiga mesej penting yang dianjur oleh Nabi ialah kebenaran, keadilan dan kasih sayang. Itu mesej Al Quran yang Nabi bawa dan nilai-nilai itu yang perlu dipupuk. Persoalannya ada tak ketiga-tiga nilai ini diterapkan dalam kehidupan umat Islam? "Nilai-nilai ini bukan sesuatu yang lapuk tetapi yang berkekalan dan saya berharap peristiwa Maulud tahun ini biarlah membuka mata kita. Kita juga mesti merenung kepada apa yang berlaku dalam masyarakat Barat yang kini berada di ambang keruntuhan," tegasnya.

KERUNTUHAN PERADABAN

Nik Mustapha mengaitkan keruntuhan peradaban dengan kepincangan institusi keluarga. Di Barat, katanya perkahwinan semakin tidak dianggap penting kerana sebahagian besar menganggap ia sebagai satu kontrak sosial yang dibebani tanggungjawab. Ketua Pengarah Ikim itu juga bercakap mengenai gejala perkahwinan sesama jantina yang semakin menular dan menjadi ikutan di samping mendapat pengiktirafan undang-undang di sesetengah negara. "Bukankah ini satu perkara yang berbahaya yang akan menjuruskan kita kepada keruntuhan. Ia hanya menunggu masa sahaja. Ini tidak bermakna berlaku tahun depan, mungkin dalam jarak masa yang terdekat sekiranya keadaan sekarang berterusan," kata Nik Mustapha dengan nada penuh kebimbangan. Beliau juga berkongsi pandangan yang dilontarkan Joseph E. Stiglitz, ahli ekonomi Amerika yang terkemuka yang antara lain berkata bahawa "krisis ekonomi mendedahkan kemuflisan moral orang kita" dan "kita telah mewujudkan sebuah masyarakat di mana aspek kebendaan mengatasi komitmen moral."

AWASI PUNCA

Nik Mustapha berkata keruntuhan peradaban perlu dilihat daripada sudut punca keruntuhan dan bukan kepada gejala atau petanda keruntuhan. Dengan menjadikan kes pembuangan bayi yang banyak berlaku di negara ini sebagai contoh, beliau kurang bersetuju dengan pandangan setengah pihak yang menuding jari kepada ketiadaan pelaksanaan undang-undang Islam sebagai penyebab. "Yang perlu kita soal apa punca pembuangan bayi ini berlaku? Bagi saya mungkin keutuhan rumah tangga. Ibu bapa terpaksa bekerja kerana kos sara hidup yang tinggi sehingga kurang masa dengan anak-anak juga dengan saudara-mara yang lain. "Kemudian timbul pula pornografi dengan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT). Anak-anak disogokkan dengan benda macam ini dan bebas pula pergaulannya sebab pengawasan ibu bapa tidak ada, kasih sayang tidak ada. "Inilah antara punca yang perlu kita lihat, jangan kita tengok kepada tanda atau gejala dan pantas mahu menjatuhkan hukuman. "Kalau pun anak-anak tinggal di asrama, ibu bapa perlu melawat anak mereka. Betul ada cukup makan dan guru tetapi perkembangan psikologi antara anak dan ibu bapa juga penting dan perlu ada," jelas Nik Mustapha.

AKHLAK YANG BAIK

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menunjukkan contoh akhlak yang baik kerana anak-anak sentiasa memerhatikan kelakuan dan gelagat ibu bapa dan banyak mempengaruhi pembentukan sikap mereka. Menurut beliau ada sesetengah ibu bapa yang lebih mampu memberi wang atau kad kredit kepada anak-anak mereka daripada perhatian atau kasih sayang. "Ini yang menimbulkan huru-hara. Kasih sayang sebenarnya tidak boleh ditukar dengan wang ringgit. "Kasih sayang ini tanda kita bersama dengan anak-anak, ada komunikasi dengan mereka dan berkawan dengan mereka. Bila bekerja kita buat kerja yang terbaik dan selepas itu kita balik dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga termasuk aktiviti riadah bersama anak-anak. "Institusi keluarga amat penting seperti mana Nabi menguruskan keluarganya, turut beriadah menunggang kuda dan lain-lain di samping sama-sama membantu melakukan kerja rumah. Inilah yang perlu kita imbau akhlak dan cara hidup Rasulullah dalam kita memperingati hari kelahirannya," tambah beliau.

PENUNJUK NUBUWWAH

Nik Mustapha turut memberitahu bahawa sama ada suka atau tidak, semua masyarakat dunia termasuk masyarakat Islam dipengaruhi sistem yang dianjur oleh Barat iaitu sistem kapitalis. "Sistem yang bersandarkan kepada kekayaan ekonomi tetapi sistem ini juga menimbulkan kemusnahan ekonomi walhal itulah matlamatnya. "Pada 2008, 40 peratus daripada 6.7 bilion penduduk dunia berada di bawah garis kemiskinan. Macam mana ini boleh terjadi? Pada 2008 juga sekitar 1.2 bilion rakyat di dunia memperoleh pendapatan kurang daripada USD2 sehari. Macam mana nak hidup? "Di Malaysia juga ada jurang antara yang kaya dan miskin. Golongan kaya dengan kemewahan yang kadang kala melampau dengan pembaziran. Mereka perlu ada lebih rasa tanggung jawab kepada masyarakat. Lihatlah kehidupan Rasulullah yang penuh kesederhanaan," tambahnya. Beliau turut mempersoal sistem sekular, sistem yang menggunakan akal manusia yang menolak Ilahi, wahyu dan kenabian.

Maka manusia menggunakan akal, rasional, logik tanpa dipandu oleh ajaran Ilahi, sedangkan kemampuan akal itu terhad. Pandangan hidup manusia, jelasnya dan cara manusia berfikir tidak sesempurna pemikiran yang datang daripada Ilahi. "Itu sebabnya Allah mengutuskan Nabi untuk menyampaikan ajaranNya dan tanggungjawab Nabi ketika itu adalah untuk merubah sistem kehidupan di Mekah yang dibelenggu sistem jahiliyyah yang menindas rakyat jelata," tambah beliau. Dalam konteks semasa, keruntuhan peradaban yang bersandarkan kepada ideologi sekular, Nik Mustapa berkata perlu dibina peradaban yang berpaksikan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, keadilan dan kasih sayang. "Justeru masyarakat memerlukan kepada penunjuk nubuwwah atau kenabian. Bila kata nubuwwah, kata kenabian, kita merujuk kepada prinsip-prinsip yang dibawa oleh Nabi. Dalam setiap tindak-tanduk Nabi itu banyak yang boleh kita pelajari. Ini yang perlu ditekankan apabila kita menyambut Maulidur Rasul. Perkara inilah yang mesti menjadi panduan kita sepanjang hayat," katanya.

SEMANGAT TRANSFORMASI

Perayaan Maulud juga akan menjadi lebih bererti sekiranya umat Islam membuat perubahan dan rombakan di dalam kehidupan mereka dan menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh ikutan sepanjang hayat. Di samping itu, pentingnya juga untuk umat Islam membaca sirah atau sejarah Rasulullah untuk lebih mendekati dan mengenali Nabi Allah yang terakhir ini. "Sirah adalah tulisan yang lebih berbentuk analisis. Sebagai contoh Perjanjian Hudaibiyah. Kita bukan setakat tahu tarikh perjanjian ini ditandatangani iaitu pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah (Mac 628 M) antara pihak Musyrikin Mekah dengan Rasulullah. "Walaupun tidak dapat masuk ke kota Mekah pada tahun perjanjian itu ditandatangani tetapi Nabi dan rombongannya berjaya masuk ke Mekah pada tahun berikutnya tanpa setitis darah pun yang tumpah. Ini kerana pihak Musyrikin sudah berasa gerun melihat Nabi datang dengan rombongan yang besar sebelum itu. "Inilah strategi hebat politik Nabi yang turut menunjukkan sifat sabar Nabi.

Banyak lagi tindak-tanduk Nabi yang boleh dijadikan pengajaran dan panduan termasuk khutbah widak (terakhir) Rasulullah yang memberi peringatan kepada sifat-sifat keangkuhan dan juga peringatan untuk menjaga kebajikan kaum wanita," kata Nik Mustapha. Ketua Pengarah Ikim itu juga berharap sambutan Maulud kali ini bukanlah sekadar menganjurkan amalan-amalan yang sering dibuat tetapi lebih menekankan kepada kecintaan dan keyakinan kepada ajaran Nabi dan menjadikannya sesuatu yang sebati dalam kehidupan. "Hendaknya Maulidur Rasul menjadi pencetus kepada penghayatan nilai-nilai yang luhur yang dianjurkan Al Quran dan pendekatan kita ke arah penyusunan masyarakat. "Dengan ini barulah saya rasa perayaan Maulud itu memberi erti yang sangat bermakna dan inilah yang menjaminkan kepada kebahagian, kesejahteraan dan kejayaan dalam hidup kita. "Jangan Maulidur Rasul tinggal hanya sebagai satu acara agama. Tahun depan buat lagi sedangkan impaknya tidak seperti yang diharapkan," tegas Nik Mustapha.

SUMBER : BERNAMA, 15 FEBRUARI 2011.

ISU ICT : KUASA INTERNET LEBIH HEBAT DARIPADA SENJATA


Seluruh dunia mengikuti perkembangan tunjuk perasaan di Mesir dan kagum melihat keberanian rakyat negara itu bangkit menentang Presiden Hosni Mubarak sehingga berjaya menumbangkan pemimpin itu, yang telah memerintah Mesir selama lebih tiga dekad. Namun, ramai yang tidak tahu di belakang kejayaan revolusi rakyat itu ada 'kuasa luar' memainkan peranan penting membakar semangat penduduk Mesir untuk bangkit memberontak menentang sebuah kerajaan autokartik yang telah mencengkam penduduk Mesir selama tiga dekad. Itulah kuasa Internet, yang tiada siapa menduga, teknologi yang diperkenalkan sekitar suku ketiga abad lalu itu kini dilihat mampu menjadi kuasa yang lebih hebat daripada kuasa tentera dan kelengkapan senjata. Teknologi maklumat dengan gabungan kemudahan Internet yang merupakan gedung ilmu pengetahuan terbesar di dunia pada masa ini telah bertukar menjadi medium berkesan bukan sahaja untuk menyebarkan maklumat tetapi juga medium perhubungan yang mampu menjadi senjata bagi menumbangkan kerajaan.

Dan itulah yang berlaku di Mesir apabila golongan aktivis muda di Mesir menggunakan rangkaian sembang sosial facebook yang menggunakan kemudahan perantaraan Internet bagi membakar semangat rakyat Mesir untuk bangkit memberontak menentang kerajaan. Golongan muda ini telah memulakan kempen ini sejak setahun yang lalu membakar semangat rakyat Mesir dan menunggu masa untuk bangkit secara bersama dan tersusun untuk melancarkan 'revolusi' menentang kerajaan. Masa yang ditunggu-tunggu itu akhirnya tiba, apabila mereka mendapat inspirasi daripada revolusi rakyat di Tunisia, dan Revolusi Jasmine itu memberi mereka kekuatan dan keberanian untuk bangkit menggerakkan tunjuk perasaan yang kemudian merebak menjadi pemberontakan menumbangkan kerajaan Mubarak. Internet telah membuktikan bahawa ia merupakan satu teknologi yang sangat berguna dan pada masa yang sama dilihat sangat berbahaya kerana ia boleh digunakan sebagai senjata untuk tujuan-tujuan tertentu.

Oleh kerana itu China cukup takut dengan Internet dan menggunakan apa sahaja untuk mengawal penggunaan teknologi itu kerana Beijing sedar isu kepelbagaian etnik di negara itu boleh dimanipuslasi melalui Internet oleh pihak tertentu untuk mempengaruhi rakyatnya bangkit memberontak. Kekuatan dan pengaruh Internet telah terbukti boleh memberi ancaman sebelum ini lagi, apabila pendedahan WikiLeaks telah menggemparkan dunia dan mencalarkan imej Amerika Syarikat (AS) apabila beratus-ratus ribu dokumen dan maklumat diplomatik AS didedahkan oleh WikiLeaks melalui Internet. Ketika Internet dilihat begitu penting sebagai gedung ilmu, pada masa yang sama Internet juga boleh digunakan sebagai senjata berbahaya oleh pihak-pihak tertentu untuk menjayakan sesuatu matlamat dan mencapai kepentingan tertentu atau boleh digunakan untuk menabur fitnah bagi demi menjayakan sesuatu agenda sama ada untuk menyerang individu, atau malahan sebuah kerajaan. Namun, sebagai medium penyebaran maklumat dan perhubungan, Internet seharusnya dimanfaat untuk kepentingan masyarakat, ummah dan sejagat.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 15 FEBRUARI 2011

ISU BAHASA : MEDIA BERPERANAN PENTING ANGKAT MARTABAT BAHASA MELAYU


Media elektronik dan cetak berperanan penting dalam mengangkat martabat bahasa Melayu serta pematuhan kepada dasar penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Universiti Beijing, China, Prof. Dr. Awang Sariyan berkata, media merupakan tunjang utama dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Menurutnya, peranan itu boleh dilakukan dengan memastikan bahasa yang digunakan dalam penerbitan dan penyiaran berita adalah tepat dan sempurna serta mengambil kira kesantunan. Usaha peneguhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pengamal media kerana secara amnya golongan ini menggunakannya secara meluas sebagai alat berkomunikasi dengan masyarakat. Komitmen ini perlu ketika penggunaan bahasa rojak atau bahasa pasar semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia sehingga menyebabkan bahasa kebangsaan itu terus dipinggirkan.

Beliau berucap pada Wacana Ilmu: Santun Berbahasa di Dewan Cendekiawan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pada 14 Februari 2011.  Majlis itu bertemakan 'Isu-isu keterampilan bahasa dalam komunikasi rasmi' dengan memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai perkembangan bahasa terutama yang melibatkan aspek hukum, nahu dan tata bahasa dalam situasi rasmi serta tidak rasmi. Awang berkata, peranan tersebut seharusnya dipikul oleh semua pihak, termasuk media kerajaan dan swasta kerana ia menjadi tanggungjawab bersama dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Pihak media tidak harus menjadikan cabaran-cabaran di peringkat global dan komersial sebagai alasan untuk menggunakan bahasa Melayu secara betul. Ini kerana, bahasa lain termasuk bahasa Inggeris digunakan dengan betul sama ada dalam berita mahupun tajuk, jadi pematuhan kepada hukum bahasa Melayu itu sepatutnya diamalkan. Jelasnya, penggunaan aspek kesantunan dalam bahasa kebangsaan harus dijadikan budaya bagi masyarakat di Malaysia.

SUMBER : BERITA HARIAN, 15 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : EKSTREMISME BOLEH BAWA PADAH


Malaysia berjaya membuktikan kepada dunia bahawa punca ketegangan kaum di sesebuah negara bukan disebabkan oleh perbezaan agama sebaliknya fahaman dan pemikiran yang berbentuk ekstrem. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  jika ada fahaman ekstrem dan bersikap keterlaluan tanpa mengira seseorang itu beragama Islam, Kristian, Buddha atau lain-lain agama, ia akan membawa padah buruk kepada negara dan manusia sejagat. Oleh itu, beliau berharap agar satu Pergerakan Kesederhanaan Dunia dibentuk kerana inilah krisis yang merupakan jalan ke hadapan yang boleh menyelamatkan dunia. Bukan sahaja negara kita tetapi ketegangan di banyak tempat bukan kerana perbezaan agama, sebab Malaysia telah menunjukkan perbezaan agama tidak semestinya membawa kepada permasalahan besar dalam sesebuah negara. 

Sebaliknya, yang menjadi kekangan dan tambatan kepada punca ketegangan ialah fahaman yang ekstrem. Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, jika setiap etnik di negara ini dicampurkan secara kolektif, semua pihak akan bertindak secara kolektif di bawah satu payung. Maka satu persefahaman dan pemikiran dicapai bahawa kita rakyat Malaysia yang cinta kepada negara dan kita akan menjadi lebih kuat lagi berbanding jika bertindak dalam satu kelompok. Kalau hendak berjaya kita mestilah berfikir sedemikian. Justeru, ujar beliau, keindahan Islam dalam konteks kesederhanaan ialah Allah SWT menyuruh umatnya berlaku adil bukan sahaja kepada Islam tetapi kepada semua pihak. Katanya, walaupun berbeza akidah tetapi yang penting ialah ada nilai-nilai persamaan yang boleh membawa kepada kehidupan dan sebuah negara bangsa yang aman dan harmoni.

Kita masih boleh menjalankan program bersama yang tidak berkiblat kepada agama semata-mata seperti menangani isu dadah, mengurangkan masalah sosial seperti jenayah atau pun alam sekitar yang boleh dilaksanakan secara bertindak bersama-sama. Najib turut mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama untuk menyatukan pemimpin-pemimpin agama di bawah satu payung bagi berbincang dan mengupas permasalahan berbangkit secara rasional dan tenang. Isu agama amat sensitif, segala-galanya boleh tersebar dalam sekelip mata dan hangat macam api dalam sekam. Jadi beliau harap ia dibincangkan secara tertutup sebab kalau terbuka, orang ramai akan tumpang dalam isu ini dan lahirlah pemikiran masing-masing. Kita amat memahami setiap sensitiviti antara kaum di negara ini, sebab itulah kita mahu mencari titik persamaan agar semuanya dapat hidup dalam aman dan sejahtera.

SUMBER : BERITA HARIAN, 15 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : DASAR PENDIDIKAN NEGARA UNTUK SEMUA KAUM


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar pendidikan yang diamalkan di negara ini sejak negara merdeka, sentiasa mengutamakan kepentingan dan keperluan semua kaum. Menurutnya, setiap rakyat negara ini, selagi memegang kerakyatan Malaysia dan taat setia kepada negara berhak menikmati pelbagai kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Kerana kita sedar, kalau kita mahu mencapai kemajuan besar dalam negara kita dan mahu menjadi negara maju menjelang 2020 nanti, perkara penting yang harus kita beri tumpuan adalah soal pelajaran. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan tidak membezakan soal pelajaran dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat pelbagai kaum dan keturunan. Dasar kerajaan tidak membezakan soal pelajaran, sesiapa sahaja yang ada anak berhak pergi ke sekolah, tidak kira anak ini datang dari kaum India, Melayu, Cina, Iban atau Orang Asli. Katanya, kerajaan juga tidak ada halangan menyediakan kemudahan pendidikan sempurna kepada mana-mana kaum yang mementingkan penguasaan ilmu bahasa ibunda masing-masing kerana apa yang penting bagi kerajaan ialah menyalurkan pengetahuan sewajarnya untuk semua kaum. Di negara ini, kaum minoriti atau sebaliknya, selagi dia rakyat Malaysia, dia taat setia kepada negara ini maka dia berhak mendapat sokongan dan bantuan kerajaan. Ini kerana, kita mahu melihat negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang menjadi negara maju yang mempunyai rakyat berpengetahuan dan kelayakan kemahiran yang cemerlang.

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE, 15 FEBRUARI 2011