JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Februari 2011

ISU BAHASA : SIKAP ORANG MELAYU TERHADAP BAHASA IBUNDA


Adakah masyarakat Melayu bersedia menyediakan pendedahan yang dikehendaki atau masih kurang yakin terhadap bahasa sendiri? Menurut ahli falsafah Yunani Purba, Plato, sikap boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu komponen kognitif, afektif dan kesediaan untuk bertindak. Komponen kognitif berkait rapat dengan persepsi dan pemikiran manakala komponen afektif pula bersangkut paut dengan perasaan dan emosi seseorang terhadap sesuatu perkara. Kedua-dua komponen kognitif dan afektif tidak semestinya sealiran dalam diri seseorang individu itu. Misalnya, seseorang itu mungkin berasa cinta terhadap bahasanya tetapi berpendapat bahawa bahasanya itu tidak relevan dalam zaman sekarang. Ketidakharmonian kedua-dua komponen inilah yang membentuk sikap negatif sesebuah masyarakat (termasuk ibu bapa, pelajar, guru) boleh kita tinjau dan membuktikan hakikat ini.

SIKAP IBU BAPA

Terdapat dua kumpulan ibu bapa Melayu: pertama, yang menuturkan bahasa Melayu di rumah; dan kedua, ibu bapa yang berbahasa Inggeris. Bagi keluarga yang tidak menuturkan bahasa Melayu di rumah, sikap pesimis terhadap bahasa Melayu begitu jelas sekali. Komponen kognitif lebih memainkan peranan di sini berbanding komponen afektif. Walaupun terdapat juga perasaan cinta terhadap bahasa Melayu, suasana dalam dunia pekerjaan yang dialami ibu bapa membentuk tanggapan bahawa bahasa Inggeris lebih dititikberatkan daripada bahasa Melayu. Di Singapura, bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa kerja (working language). Ibu bapa percaya penakatan hidup di Singapura memerlukan penguasaan bahasa Inggeris. Justeru ibu bapa akan menggalakkan pertuturan bahasa Inggeris di rumah untuk menyesuaikan dan melengkapkan diri anak- anak mereka dalam menghadapi arus kemodenan yang semakin mencabar.

Bagi sesetengah ibu bapa yang masih berbahasa Melayu di rumah pula, mereka mengganggap mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang mudah atas alasan bahasa itu memang diamalkan seharian. Walhal, ibu bapa sedemikian tidak sedar bahawa bahasa di rumah berbeza dengan bahasa baku di sekolah. Tiada latihan disediakan di rumah untuk membolehkan pelajar menerapkan ilmu yang diperolehinya. Tumpuan dan penekanan hanya diberikan kepada mata pelajaran yang dianggap lebih mencabar seperti sains dan matematik. Golongan yang dituding untuk menerapkan semangat cintakan bahasa Melayu tidak lain tidak bukan ialah golongan guru.

SIKAP GURU

Guru bahasa Melayu seringkali dilihat sebagai tunggak kedaulatan bahasa Melayu. Merekalah pendidik dan mereka jugalah pejuang bahasa. Namun, adakah kesemua guru bahasa Melayu berkongsi matlamat yang sama ke arah memartabatkan bahasa Melayu? Sayangnya, tidak begitu hakikatnya. Ada sesetengah guru itu melihat tanggungjawab mengajar bahasa Melayu sebagai kerjaya semata-mata, bukan kerana cinta dan minat yang mendalam terhadap bahasa itu. Kerjaya guru yang sememangnya agak lumayan itu menarik minat golongan ini untuk menceburi bidang tersebut. Lebih-lebih lagi mata pelajaran bahasa Melayu lebih mudah diajar berbanding mata pelajaran yang lain. Apa yang diajarnya merupakan kandungan dalam buku-buku teks sematamata. Sikap sedemikian boleh menghambat penyampaian nilai-nilai murni yang kaya dalam bahasa Melayu. Pengajaran bahasa Melayu memerlukan golongan pendidik yang tinggi ilmunya tentang budaya Melayu kerana bahasa adalah lantunan budaya masyarakat tersebut.

SIKAP MURID

Golongan pelajar merupakan golongan yang paling penting kerana pada golongan inilah yang diukur tahap kecekapannya. Kejayaan atau kegagalan kurikulum bahasa ibunda bergantung pada prestasi golongan ini. Prestasi yang cemerlang tidak boleh diperolehi tanpa sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Kebanyakan pelajar merasakan bahawa bahasa Melayu hanya diperlukan sewaktu mata pelajaran bahasa Melayu dan ketika berbual dengan guru bahasa Melayu sahaja. Di luar mandala itu, bahasa Melayu sudah tiada ruang dalam kehidupan mereka. Pergaulan mereka dengan rakanrakan berbilang bangsa lain memungkinkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih kerap. Sementelahan bahasa pengantar bagi mata pelajaran di sekolah yang merupakan bahasa Inggeris telah membuat murid-murid lebih terdedah kepada bahasa tersebut. Hasilnya, perolehan kosa kata bahasa Inggeris lebih banyak berbanding kosa kata bahasa Melayunya. Apabila berbual, lebih terpacul kekata Inggeris daripada pelajar Melayu.

Situasi di atas merupakan salah satu contoh bagi komponen sikap yang ketiga iaitu tindak balas terhadap keadaan sekeliling. Mereka merasakan memadai untuk menggunakan satu bahasa sahaja tanpa mengambil kira penutur yang diajak berbual. Apa yang menyedihkan ialah ada segelintir pelajar Melayu yang menaruh perasaan jelek terhadap bahasa ibundanya. Masalah sosial yang menghantui masyarakat Melayu sekali gus mencerminkan martabat bahasa Melayu. Hanya orang Melayu yang tidak berpendidikan tinggi atau yang terlibat dalam samseng jalanan akan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahasa itu boleh melambangkan identiti penuturnya. Dengan berbahasa Inggeris, golongan terpelajar ini menyangka diri mereka berada di tahap yang lebih tinggi dan berprestij. Lagi menghairankan, ada pelajar 'elit' bahasa Melayu berasa canggung dan malu untuk berbahasa Melayu. Sayangnya, harapan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu yang disandarkan pada golongan sedemikian bak indah khabar dari rupa sahaja.

SIKAP MASYARAKAT

Gerakan badan Melayu seperti mesyuarat di masjid, pertubuhan sehinggalah kalangan elit Melayu seperti doktor sehinggalah usahawan perlulah menonjolkan penggunaan bahasa Melayu yang elok. Kelak ini akan menjadi penyedar dan petunjuk kepada anak muda kita, termasuk pelajar, agar berasa bangga akan bahasa ibundanya. Kesimpulannya, apa pun sikap yang terbuku dalam jiwa masyarakat kita, masih belum terlambat bagi setiap individu untuk sedar akan kepentingan bahasa ibundanya. Bahasa sebagai identiti bangsa bukanlah 'alat' semata-mata seperti mana yang ramai sangkakan. Di dalam bahasa ibunda tersirat nilai-nilai moral dan adab yang harus ada dalam sahsiah setiap individu. Weltanschauung atau pandangan masyarakat yang menyeluruh dapat ditelusuri melalui bahasanya. Janganlah Bulan Bahasa sekadar kempen saja, sedang bangsa kita hanya tinggal pada nama sahaja.

Oleh : Muhd Firdaus Rahmat
Sumber : KL Pos. com http://www.klpos.com
Nota: Penulis kini mengikuti program Sarjana Muda Pengajian Melayu, 
Universiti Malaya.

Tiada ulasan: