16 Februari 2011

ISU SOSIAL : SEMUA PIHAK PERLU ADA TANGGUNGJAWAB PUPUK PERPADUAN KAUM


Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, sekali lagi diingatkan pentingnya perpaduan kaum dipupuk sepanjang masa demi memelihara keharmonian hidup di negara ini. Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1Malaysia 1Ummah, yang disambut semalam, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah, setiap rakyat harus mengikis sikap curiga-mencurigai, bukan saja sesama umat Islam malahan di kalangan masyarakat berbilang kaum. Baginda mahu sentimen perkauman sempit dibanteras daripada awal sebelum membarah dalam masyarakat. Meneruskan dasar perpaduan diperjuangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui lima Perdana Menteri lalu, kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak terus mendukung falsafah perpaduan dalam pentadbirannya. Dengan cabaran dan lingkungan sangat berbeza, beliau memperkukuhkan teras perpaduan nasional dengan mengetengahkan gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri dalam perutusan sempena Maulidur Rasul menerusi blognya www.1malaysia.com.my, kelmarin, yang turut menyentuh isu sama berkata, perpaduan adalah rencah utama proses transformasi umat Islam secara menyeluruh dalam semua bidang bagi melahirkan kekuatan umat progresif. Justeru, beliau mahu umat Islam mengutamakan perpaduan kaum dan agama seperti mana dilakukan Nabi Muhammad SAW yang berjaya menyatukan umat pelbagai kaum serta agama di Madinah. Mesej perpaduan bersifat sejagat itu perlu disebar luaskan kepada seluruh umat Islam serta setiap warga yang berpayung di bawah kedaulatan di negara ini. Menilai manfaat perpaduan sebagai teras kemajuan sosioekonomi negara, kita harus menginsafi jika perpecahan berlaku dalam ukhuwah umat Islam, nescaya generasi akan datang menanggung padahnya.

Perpecahan dalam mana-mana masyarakat boleh mengundang keruntuhan, walaupun sekian lama perpaduan dibina serta diperkukuhkan. Hari ini, negara diancam puak yang mempunyai agenda ketika kepemimpinan Najib berusaha memperkukuhkan perpaduan kaum. Rakyat semakin jelas bahawa perpaduan bermakna mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan. Rakyat majmuk negara ini bukan saja berbeza warna kulit, sebutan bahasa, anutan agama dan amalan budaya malah sangat sensitif terhadap semua aspek berkenaan. Namun sensitiviti itu berjaya kita urus dengan perimbangan toleransi, penerimaan dan persefahaman, sekali gus sikap itu memperkukuhkan perpaduan sedia ada. Kita berupaya menyerap kelebihan dan kekurangan, sensitiviti serta toleransi kerana sudah diajar bahawa perbezaan antara kaum mampu digembleng menjadi kekuatan dan menjadikan hidup kita lebih sempurna.

Perpaduan kaum turut menuntut rakyat mengamalkan sikap bersederhana, menolak ekstrem, memilih jalan tengah serta tidak bersangka buruk dalam semua tindakan dan keputusan. Sebagai komponen pembangunan dan kemajuan, kita berharap semua pihak akan terus mempromosikan perpaduan dalam segenap bidang serta urusan. Bermula daripada institusi keluarga, institusi sekolah, kejiranan dan komuniti sehingga ke pejabat serta lapangan kerja, ciri perpaduan mesti diterap dan disuburkan. Jangan benarkan bibit ekstrem dan agenda yang memecah-belahkan perpaduan sesama ummah dan antara kaum yang sering dicetuskan parti politik dan organisasi tidak bertanggungjawab, bertapak dalam masyarakat. Kita tidak mahu perpaduan yang terbina sekian lama, musnah sekelip mata dek kerana tiada persefahaman, toleransi dan perasaan saling menghormati.

SUMBER : RUANGAN MINDA PENGARANG, BERITA HARIAN, 16 FEBRUARI 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...