29 Oktober 2010

RANGKA KARANGAN : MENTALITI KELAS KETIGA

SOALAN KARANGAN

Malaysia memiliki infrastruktur kelas pertama tetapi pemikiran kebanyakan rakyatnya masih berada pada kelas ketiga. Berikan bukti-bukti tentang hal ini dan cadangkan beberapa langkah yang sesuai bagi mengatasinya.



KEHENDAK SOALAN

Calon-calon diminta mengemukakan bukti-bukti yang memperlihatkan pemikiran kebanyakan rakyat Malaysia masih berada pada kelas ketiga serta cadangan-cadangan bagi mengatasi masalah ini.



PENGENALAN

1. Negara kita memiliki insfrastruktur kelas pertama
2. Mentaliti rakyat masih berada pada kelas ketiga
3. Mentaliti sebegini akan menghalang kita untuk maju ke hadapan
4. Masyarakat maju perlu memiliki minda kelas pertama
5. Bukti-bukti dan langkah-langkah untuk mengatasi akan dibincangkan.


BUKTI PERTAMA

1. Masih ada masyarakat yang mengabaikan kebersihan alam sekitar
2. Membuang sampah sarap sesuka hati
3. Longkang tersumbat dan sungai dipenuhi oleh timbunan sampah sarap
4. Pembuangan sisa toksik masih lagi menjadi masalah
5. Sedar tentang bahayanya tetapi tetap jua melakukan
6. Sikap mementingkan diri dan mengejar keuntungan berganda

BUKTI KEDUA

1. Sikap tidak menghargai kemudahan awam
2. Melibatkan masyarakat pelbagai peringkat umur
3. Tandas, pondok telefon, pondok bas, pusat rekreasi dirosakkan
4. Dinding tandas dan pondok bas selalu diconteng
5. Tidak ada kesedaran untuk menjaga dan menggunakannya dengan baik
6. Mengakibatkan kerugian yang banyak kepada negara

BUKTI KETIGA

1. Mentaliti subsidi masih menebal
2. Sentiasa meminta bantuan dan sokongan kerajaan
3. Azam dan ikhtiar untuk memajukan diri sangat rendah
4. Tidak berusaha hendak memajukan diri sendiri
5. Kerajaan bagaikan ibu bapa kepada mereka
6. Hilang bantuan subsidi – tamatlah perjuangan untuk mara ke depan

LANGKAH MENGATASI PERTAMA

1. Mewujudkan kelompok intelektual yang aktif
2. Berperanan untuk menyuarakan permasalahan masyarakat
3. Memupuk pemikiran dan kesedaran kolektif dalam masyarakat
4. Bijak dalam menyelesaikan masalah
5. Pandai mencari peluang untuk memajukan diri
6. Tidak menjadi masyarakat subsidi

LANGKAH MENGATASI KEDUA

1. Menyemai budaya membaca
2. Membaca jambatan ilmu
3. Mengasah minda menjadi kreatif dan inovatif
4. Bahan bacaan ilmiah hendaklah diperbanyakkan
5. Terjemahan dan penghasilan karya ilmiah harus dipergiatkan
6. Konsep “pembelajaran sepanjang hayat” harus dijadikan budaya

LANGKAH MENGATASI KETIGA

1. Forum untuk mengubah pemikiran rakyat perlu digiatkan
2. Medan untuk rakyat bersuara dan menjana minda
3. Suara dan cadangan dapat diluahkan secara formal
4. Membawa manfaat untuk memajukan bangsa dan negara
5. Pemimpin negara perlu aktif melibatkan diri dalam berforum
6. Mampu membawa anjakan paradigma dalam kalangan rakyat


PENUTUP

1. Masyarakat maju mesti memiliki minda kelas pertama
2. Penting untuk merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020
3. Sanggup menerima perubahan dan bersikap terbuka dengan kritikan
4. Sikap yang boleh menghalang kita untuk maju hendaklah dinyahkan
5. Mudah-mudahan kita akan menjadi bangsa Malaysia glokal yang cemerlang, gemilang, dan terbilang di arena global.

ISU KEBUDAYAAN : PELIHARA BUDAYA MALAYSIA

Warga New Zealand, Victor Ronald Johnson, 67, pernah bertugas di Malaysia pada tahun 1963 hingga 1965 ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Pada waktu itu beliau menganggotai angkatan Tentera British Negara-Negara Komanwel dan ditugaskan di Pontian, Johor serta Sarikei, Sarawak. Bagi beliau kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika berkhidmat di Malaysia ialah sewaktu berada di Sarawak. ''Di Sarawak saya berpeluang bergaul dengan kaum Dayak dan menyaksikan pelbagai keunikan budaya dan cara hidup mereka. Semua itu sangat menarik bagi saya," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Pelancongan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya pengalaman bertugas pula, Johnson menyifatkan bertugas di Pontian dengan sebahagian dari kawasannya dipenuhi hutan bakau agak mencabar. Namun selepas berjaya membiasakan diri dengan kawasan hutan beliau tidak menghadapi banyak masalah. ''New Zealand juga mempunyai kawasan hutan dan pengalaman di negara sendiri membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan hutan di Malaysia. ''Ketika terlibat dalam konfrontasi tersebut keadaan hutan banyak membantu saya. Dengan hanya mendengar dan mengamati keadaan hutan saya boleh mengagak pergerakan musuh," jelas beliau. Tambah Johnson dalam konfrontasi tersebut, pihak Indonesia tidak begitu profesional berbanding pasukan Tentera British terutamanya dari segi logistik dan koordinasi.

''Kelemahan pihak Indonesia yang kurang berkemahiran memberikan kelebihan kepada kami. Tentera British sentiasa mengutamakan intergrasi dan koordinasi ketika berhadapan dengan mereka dalam konfrontasi tersebut," katanya. Johnson merupakan salah seorang dari lapan veteran perang dari New Zealand, Australia dan United Kingdom yang dijemput Kementerian Pertahanan untuk menerima Pingat Jasa Malaysia pada 30 Ogos, baru-baru ini. Pingat berkenaan sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan yang mereka berikan sehingga membantu Malaysia mencapai kemerdekaan. Kesemua mereka berkhidmat di Malaysia antara 1957 hingga 1963 iaitu ketika darurat dan Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Selain menerima pingat, veteran perang berkenaan turut diberi peluang menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil, melawat Tugu Negara dan Kem Terendak, Melaka. Konfrontasi Malaysia-Indonesia berlangsung dari 1963 sehingga 1966. Ia timbul apabila Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang melibatkan kemasukkan Borneo Utara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura. Presiden Soekarno menganggap bahawa penubuhan Malaysia sebagai satu percubaan kolonial Inggeris untuk meneruskan kekuasaaan di Asia Tenggara dan melancarkan gerakan Ganyang Malaysia pada 27 Julai 1963. Sepanjang konfrontasi berkenaan banyak peristiwa serang menyerang berlaku di antara tentera kedua-dua negara sehinggalah konfrontasi ditamatkan secara rasminya pada 28 Mei 1966 dalam sebuah persidangan di Bangkok, Thailand.

Johnson yang pernah bercuti di Pulau Pinang beberapa kali selepas meninggalkan negara ini pada tahun 1965 melahirkan rasa gembira dan kagum dengan pembangunan yang dikecapi Malaysia pada hari ini selepas 53 tahun kemerdekaannya. ''Pembangunan Malaysia pada hari ini begitu menyeluruh terutamanya di bandar raya Kuala Lumpur. Bidang industri, bangunan tinggi dan infrastruktur lain membangun dengan begitu pesat dan moden.  ''Saya sentiasa mengharapkan Malaysia akan kekal harmoni, masyarakatnya mengekalkan cara hidup yang lama dan menjadi sebuah negara yang kaya-raya pada masa akan datang," katanya.

Seorang lagi veteran perang warga New Zealand yang turut menerima Pingat Jasa Malaysia ialah James Broughton, 70 yang bertugas di Kem Terendak dan Borneo dari 1963 hingga 1965.  ''Saya tertarik dengan masyarakat Malaysia yang begitu bersopan-santun dan kaya dengan pelbagai budaya. Saya berharap masyarakat Malaysia memelihara budaya mereka supaya tidak menjadi seperti masyarakat New Zealand yang sudah kehilangan sebahagian besar daripada budaya dan tradisi kami. ''Saya gembira melihat Malaysia membangun dengan begitu pantas sejak konfrontasi dulu dan semoga Malaysia terus berjaya pada masa depan," jelasnya.


Oleh
ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia
3 September 2010

ISU ALAM SEKITAR : MALAPETAKA SUNGAI RAJANG MULAI DIRASAI

Tiga kejadian membabitkan sungai di Sarawak menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini. Pertama, kemalangan membabitkan bot ekspres yang mengorbankan nyawa di Sungai Anap, Tatau. Kedua, air di Sungai Rajang yang semakin surut. Ketiga, usaha kerajaan negeri di bawah pelan induk untuk membersihkan semua sungai dan cabangnya bermula dengan Sungai Sarawak.

Sungai menjadi nadi kegiatan ekonomi, sistem pengangkutan dan kehidupan sebahagian besar daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, terutama mereka di sepanjang Sungai Rajang, Sungai Baram, Batang Sadong, Batang Tatau, Batang Lupar dan Sungai Limbang. Sarawak mempunyai 55 batang sungai. Jika sungai mati, maka segala kehidupan dan kegiatan mereka akan turut mati. Sungai mempunyai peranan signifikan dan kesan besar dalam kehidupan seharian mereka. Sungai bukan saja perlu dipelihara tetapi dilindungi daripada segala kegiatan yang mengancam hayatnya.
 
Jika sungai sudah tercemar dan mati, ia tentu merugikan manusia dan mendatangkan malapetaka yang tidak sukar dibayangkan. Tidak ada gunanya menyesal apabila nasi sudah menjadi bubur. Jadi, sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi, pelbagai langkah perlu diambil untuk mengelakkan kejadian buruk menimpa kita. Usaha menyelamatkan sungai daripada pencemaran bukan saja memakan masa dan tenaga, tetapi memerlukan peruntukan besar. Sebenarnya, semua itu tidak perlu jika kita sensitif dan prihatin terhadap sungai dan tidak mengambil ringan dengan membuang segala sampah ke dalamnya sehingga mencekik dan mematikan sungai. Tidakkah kita berasa berdosa dan kesal melihat sungai yang mengalir lancar dan begitu bersih suatu ketika dulu, kini tidak lagi bergerak, berbau busuk dan dipenuhi sampah dan keladak?

Jadi, apabila Sungai Rajang dicemar oleh sampah sarap dan balak dua minggu lalu, tidak hairan ramai yang memperlihatkan keprihatinan mereka. Sungai Rajang perlu segera diselamatkan dan dibersihkan daripada sebarang ancaman angkara perbuatan manusia yang rakus dan tidak mempedulikan alam sekitar. Kini, kita wajar berasa risau dengan kejadian yang menimpa Sungai Rajang. Sungai Rajang yang menarik perhatian ramai baru-baru ini kerana fenomena balak dan sampah sepanjang 50 kilometer sehingga menggemparkan penduduk di sepanjang sungai terbabit, kini berdepan dengan ancaman lain yang tidak kurang risikonya.

Kerajaan memang sedar peranan sungai berkenaan sebagai laluan kapal dan bot. Pada 2002 misalnya, kerajaan Pusat menyumbang peruntukan RM4 juta bagi tujuan khas untuk melaksanakan Program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Batang Rajang. Program itu bertujuan untuk membantu memastikan setiap aktiviti pembangunan dilaksanakan di kawasan Lembangan Batang Rajang, termasuk Projek Bakun, tidak menjejaskan kualiti air, serta kegunaan berfaedah Batang Rajang.

Sungai Rajang semakin kering. Air semakin susut dan akibatnya, penduduk di Sibu, Kanowit, Song, Kapit dan Belaga dicengkam kebimbangan yang bukan kepalang. Ini berita buruk kepada mereka yang sekian lama bergantung kepada sungai sebagai nadi kehidupan dan pengangkutan. Malah, sungai berkenaan menjadi mangkin kehidupan sejak zaman-berzaman lagi. Bayangkan tanpa jalan raya, bagaimanakah penduduk dari kawasan terbabit dapat bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan juga pergi ke Sibu? Apakah yang menjadi sebab air semakin kering? Adakah kerana langkah menakung air di Empangan Bakun setinggi 205 meter? Hakikatnya, satu pertiga daripada sumber air yang mengalir ke dalam Sungai Rajang dinafikan dengan langkah penakungan air berkenaan. Puncanya bukan kerana ketiadaan hujan kerana sebelum itu pun hujan tidak pernah turun untuk beberapa hari tetapi tidaklah seperti sekarang. Kali ini air cepat susut di dalam sungai sehingga mendedahkan tebing dan segala kemudahan prasarana berkaitan dengan sistem pengangkutan.

Kerisauan penduduk di sepanjang sungai berkenaan memang beralasan kukuh. Penduduk dari Kanowit mungkin tidak begitu risau kerana mereka dihubungkan dengan jalan raya ke Sibu, tetapi bagaimana dengan mereka di Song, Kapit, Belaga dan kawasan sekitarnya? Sungai Rajang satu-satunya sistem pengangkutan yang memungkinkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jika sungai itu sudah kering kontang, ini satu malapetaka yang pasti mendatangkan kesulitan yang luar biasa kepada petani, penangkap ikan, pembalak, pengendali bot dan sebagainya.

Oleh Dr Jeniri Amir
Berita Harian
29 Oktober 2010

PENANDA WACANA

PENANDA TAMBAHAN

1. Selanjutnya
2. Seterusnya
3. Selain itu
4. Di samping itu
5. Demikian juga
6. Begitu juga
7. Tambahan lagi

PENANDA PENEGASAN

1. Lebih-lebih lagi
2. Tambahan pula
3. Malah
4. Malahan
5. Bahkan
6. Lagipun

PENANDA PERTENTANGAN

1. namun begitu
2. namun demikian
3. bagaimanapun
4. walau bagaimanapun
5. walaupun demikian
6. akan tetapi
7. sungguhpun begitu

PENANDA SEBAB DAN KESAN ATAU LANJUTAN

1. Oleh sebab itu
2. Oleh itu
3. Dengan demikian
4. Oleh yang demikian
5. Sebagai akibatnya
6. Sebagai hasilnya
7. Dengan ini

PENANDA PERKAITAN

1. Sehubungan dengan itu
2. Dalam hal ini
3. Berhubungan dengan
4. Seiring dengan
5. Merujuk kepada
6. Sejajar dengan
7. Dari segi

PENANDA WAKTU

1. Sebelum itu
2. Kini
3. Pada masa ini
4. Selepas itu
5. Lama-kelamaan
6. Lambat-laun
7. Pada mulanya

PENANDA PERBANDINGAN

1. Lain halnya
2. Dalam hal yang demikian
3. Sebagaimana
4. Serupa dengan
5. Sesuai dengan
6. Sama juga dengan
7. seperti

WACANA

WACANA

1. Satu satuan bahasa yang lengkap
2. Melebihi batas ayat
3. Terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian bab dan sebagainya

CIRI-CIRI WACANA

1. Mengambil kira hubungan antara penulis dan pembaca
2. Memperlihatkan kesinambungan idea
3. Tiap-tiap ayat dalam sesebuah wacana mempunyai maklumat
4. Mempunyai pelbagai idea
5. Menyampaikan maklumat baharu
6. Idea disampaikan secara berurutan

UNSUR PALING PENTING PENANDA WACANA D ALAM PENULISAN ILMIAH

1. Pertautan
2. Kesatuan

UNSUR YANG MENGGAMBARKAN SESEBUAH WACANA

1. Frasa
2. Dialog
3. Dua ayat yang berkesinambungan

KEUTUHAN WACANA BERGANTUNG KEPADA

1. Nahu
2. Leksikal
3. Semantik
4. Kosa kata
5. Tatabahasa

KAEDAH DEDUKTIF

1. Memulakan penyataan am
2. Membuat penyataan khusus
3. Membuat kesimpulan

KELOMPOK DASAR KATA TUGAS

KETERANGAN RINGKAS

1. Terdapat 17 jenis kata tugas
2. 17 jenis kata tugas tersebut dibahagikan kepada 4 kelompok

EMPAT KELOMPOK KATA TUGAS

1. Kata Penyambung Ayat
2. Kata Praklausa
3. Kata Prafrasa atau Pascafrasa
4. Kata Pascakata

KATA PENYAMBUNG AYAT

01. Kata Hubung Gabungan
02. Kata Hubung Pancangan

KATA PRAKLAUSA

03. Kata Seru
04. Kata Tanya
05. Kata Perintah
06. Kata Pembenar
07. Kata Pangkal Ayat

KATA PRAFRASA ATAU PASCAFRASA

08. Kata Bantu
09. Kata Penguat
10. Kata Penegas
11. Kata Nafi
12. Kata Pemeri
13. Kata Sendi Nama
14. Kata Arah
15. Kata Bilangan

KATA PASCAKATA

16. Kata Penekan
17. Kata Pembenda

ISU KENEGARAAN : ORANG MUDA BUTA SEJARAH


Pasti ramai terkejut dengan hakikat bahawa remaja hari ini tidak tahu siapa Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Tidak cukup dengan itu, bayangkan bagaimanalah tahap patriotisme remaja masa kini kalau tarikh Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 yang disambut pada setiap tahun, pun boleh dilupakan.

Dalam satu soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini, ada remaja menjawab Tun Razak Hussein sebagai Perdana Menteri pertama. Hari Kemerdekaan pula dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden. Antaranya 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957. Walaupun keseluruhan responden berumur dari 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun, khususnya antara 16 dan 20 tahun. Daripada situ, ia menjadi bukti bahawa ramai remaja generasi kini dan segelintir orang dewasa bukan saja buta sejarah malah bersikap tidak ambil tahu dan memandang remeh fakta-fakta penting bangsa dan negara.

Sudah pasti mereka selalu mendengar nama dan melihat wajah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak yang kerap diulang tayang di televisyen atau disiar di akhbar-akhbar. Namun, apabila ada sikap tidak ambil peduli dan tidak berminat, jika hari-hari pun mereka diajar bahawa Tunku Abdul Rahman itu adalah Perdana Menteri pertama, mereka tetap tidak akan ingat. Begitu juga dengan Hari Kemerdekaan, sungguhpun tarikh itu terdapat dalam lagu dan diuar-uarkan secara meluas malah dicetak dalam setiap kalendar tahunan, mereka 'tidak ambil pusing' semua itu.

Kalau jumlah yang tidak mengetahui nama Perdana Menteri pertama itu adalah sembilan peratus, tidak hairanlah kalau 49 peratus daripada 200 responden itu tidak mengetahui bila tarikh penubuhan Malaysia. Mereka yang tidak mengetahui tarikh Hari Kemerdekaan pula seramai 17 responden atau 8.5 peratus. Begitulah realitinya generasi masa kini. Siapa yang salah? Ibu bapa, generasi terdahulu atau sistem pendidikan? Ataupun, sikap orang muda yang memang tidak berminat dengan sejarah negara?

Soal selidik ini bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi sekadar mendedahkan tentang suatu fenomena yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini iaitu tentang ramainya anak muda yang buta sejarah. Hasilnya, daripada 10 soalan yang diajukan, tiada seorang pun di kalangan responden kelompok di bawah 30 tahun yang berjaya menjawab kesemua soalan itu. Kajian soal selidik tersebut berkisar tentang pengetahuan umum dan sejarah negara. Bagi kelompok umur 31 hingga melebihi 51 tahun termasuk seorang responden berusia 55 tahun, semua berjaya dijawab kecuali bagi tiga soalan iaitu tarikh Hari Malaysia, cogan kata negara dan prinsip ketiga Rukun Negara.

Seramai 141 responden atau 70.5 peratus daripadanya tidak mengetahui tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Tiada alasan untuk melupakan tema '1Malaysia Menjana Transformasi' kerana Bulan Kemerdekaan negara baru saja diraikan. Ketika ditanya tentang tarikh penubuhan Malaysia diajukan, hanya 102 responden yang menjawab dengan tepat sedangkan hari tersebut telah diumumkan sebagai cuti umum di negara ini. Amat mengejutkan juga apabila sebahagian responden mempersoalkan tentang benarkah wujud cogan kata negara. Hakikatnya ia dilihat di mana-mana termasuk pada kulit belakang buku latihan sekolah. Lantas, disebabkan tidak tahu, mereka menjawab cincai. Seramai 126 responden menyenaraikan jawapan yang tidak masuk akal seperti 'Hip Hip Hooray'. Selain itu adalah Malaysia Boleh, Berkhidmat untuk Negara, Majulah Sukan untuk Negara.

Menurut mereka, ketika diajukan soalan itu adalah kali pertama mendengar tentang cogan kata sebenar iaitu 'Bersekutu, Bertambah Mutu'. Reaksi sama diterima berhubung nama bendera kebangsaan Malaysia. Biarpun Jalur Gemilang berkibar megah di mana-mana namun sukar dipercayai, 15 responden atau 7.5 peratus tidak mengetahui nama bendera kebangsaan itu. Tambah memalukan, ada yang tergamak menamakan Jalur Gemilang sebagai 'Belang'. Ini sekali gus menggambarkan rendahnya moral golongan muda di negara ini yang boleh mempersenda bendera negara sendiri. Nasib baiklah nama lagu kebangsaan, Negaraku diingati hampir semua responden kecuali empat orang. Kajian tersebut turut mendapati, 40 responden tidak mengetahui bilangan negeri di Malaysia sehingga ada yang meneka Malaysia terdiri daripada 23, 17 dan 12 negeri.

Bagi soalan prinsip ketiga Rukun Negara dan juga nama Perdana Menteri keenam, iaitu perdana menteri sekarang, masing-masing 29 dan 19 responden gagal menjawab dengan tepat. Sekali lagi diulangi dan ditegaskan, kebanyakan yang gagal menjawab soalan-soalan berkaitan sejarah dan pengetahuan am ini adalah mereka berusia di bawah 30 tahun serta kebanyakannya antara 16 dan 20 tahun. Walaupun pelbagai kempen diadakan serta sukatan baru diperkenalkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah namun masalah ini nampaknya terus berlaku.

Kesimpulan daripada kajian dan soal selidik ini adalah:

- Remaja masa kini buta sejarah.
- Remaja masa kini tidak minat mengingati peristiwa lalu.
- Remaja masa kini tidak peduli soal-soal kenegaraan.
- Remaja masa kini tidak suka ilmu pengetahuan am.
- Remaja masa kini ambil mudah patriotisme.
- Remaja masa kini terlalu memandang ke depan.
- Remaja masa kini tidak dipupuk penghayatan, sebaliknya menghafal sejarah.

28 Oktober 2010

ISU KELUARGA : MENANGANI MASALAH PERCERAIAN DAN MENGURANGI WK


Kita sering mendengar saranan-saranan tentang bagaimana untuk mengelakkan perceraian. Kita juga sudah biasa dengan ceramah-ceramah tentang prosedur-prosedur untuk menuntut cerai. Tetapi jarang sekali orang memperkatakan bagaimana untuk menangani perceraian sekiranya ia berlaku. Jika Islam membenarkan perceraian, ini bererti dalam masyarakat Islam akan ada suami-isteri yang bercerai dan mereka perlu dibantu untuk berhadapan dengan realiti baru itu. Topik ini menjadi lebih penting lagi kerana perceraian memberi kesan negatif kepada anak-anak. Jadi, suami-isteri yang bercerai perlu tahu peranan masing-masing supaya kesan negatif ini dapat dikurangkan.

Perceraian bertujuan untuk menyelesaikan tekanan perkahwinan dan mengurangkan penderitaan akibat perbalahan yang berterusan antara kedua suami-isteri. Keputusan untuk bercerai biasanya dibuat berasaskan kepada jangkaan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik untuk kedua suami-isteri itu sekiranya mereka tidak lagi hidup bersama. Dalam konteks ini, kesan perceraian itu kepada anak-anak seringkali tidak difikirkan, sedangkan tidak ada anak yang mahukan ibubapanya bercerai. Itulah sebabnya ada yang berpendapat bahawa perceraian adalah akibat yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak apabila ibubapanya tidak dapat hidup bersama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa ada anak-anak yang ibubapanya bercerai, berkembang menjadi individu yang stabil dan berjaya. Namun, bilangan mereka ini lebih kecil berbanding bilangan anak-anak yang terjejas akibat perceraian kedua ibubapanya. Oleh itu, menangani perceraian dengan baik sekiranya ia berlaku adalah penting agar kesan negatifnya dapat dikurangkan demi masa depan anak-anak yang terlibat.

Beberapa orang pengkaji Barat yang cuba melihat faktor-faktor yang menyebabkan perceraian begitu negatif untuk anak-anak telah mengenalpasti lima (5) faktor utama. Faktor pertama berkait dengan hakikat ketiadaan ibu atau bapa. Sebagaimana yang kita tahu, persekitaran terbaik untuk perkembangan anak-anak yang optima ialah kehadiran kedua-dua ibu dan bapa. Dalam kes perceraian salah seorangnya ibu atau bapa telah tiada. Maka keluarga itu bukanlah lagi satu persekitaran yang terbaik untuk anak itu membesar. Akibat dari ketiadaan seorang ibu atau bapa ini, katakanlah bapa, dan ibu pula keluar bekerja, kebanyakan anak-anak dari keluarga yang bercerai mendapat kurang perhatian dan penyeliaan berbanding dengan anak-anak dari keluarga yang tidak bercerai.

Ada kemungkinan, kemahiran sosial anak-anak terjejas akibat tiadanya role model bapa atau ibu di rumah itu. Didapati pula, anak-anak yang bapanya mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan anak-anak, tidak begitu terkesan dengan perceraian ini. Dalam kata-kata lain, kalau ibubapa masih mengekalkan hubungan yang baik maka anak-anak tidak begitu terkesan dengan perceraian. Oleh itu, untuk meminimakan kesan negatif perceraian, pasangan itu hendaklah mengekalkan hubungan baik selepas perceraian.

Faktor kedua berkait dengan penyesuaian penjaga (ibu atau bapa). Selepas bercerai, anak-anak berada di tangan ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan. Jika ibu atau bapa tadi dapat menyesuaikan diri dengan perceraian itu dengan baik, maka anak-anak juga dapat menyesuaikan diri mereka. Jika penyesuaian ini berlaku, maka perceraian tidak akan membawa kesan yang begitu negatif. Jadi, ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan perlu menyesuaikan diri dengan cepat dengan keadaan baru agar ia akan memberi kesan positif kepada anak-anak.

Faktor ketiga berkait dengan kedudukan ekonomi. Biasanya, selepas perceraian taraf hidup keluarga itu menurun terutamanya bila si bapa meninggalkan anak-anaknya. Anak-anak yang kini di bawah jagaan ibu, mungkin perlu berpindah ke rumah yang lebih kecil atau anak-anak itu terpaksa melepaskan kemewahan-kemewahan tertentu yang mereka nikmati sebelum ini. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak tidak akan begitu terjejas akibat perceraian sekiranya tiada kejatuhan dari segi taraf hidup. Dalam kata-kata lain, jika perceraian berlaku tetapi taraf hidup anak-anak tidak berubah, yakni masih tinggal di rumah yang sama, masih menikmati kemewahan yang sama, maka mereka tidak akan begitu terkesan oleh perceraian tersebut. Oleh yang demikian, bapa sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah perlu memastikan bahawa taraf hidup anak-anak tidak begitu berubah selepas perceraian jika mereka mahu anak-anak mereka berkembang normal seperti anak-anak yang lain.

Faktor keempat berkait dengan konflik keluarga. Dikatakan bahawa yang menjejaskan kesejahteraan anak-anak bukanlah perubahan struktur dalam keluarga (tidak ada ibu atau bapa) tetapi yang menjejaskannya ialah perselisihan atau pergaduhan yang datang dengan perubahan struktur itu. Oleh itu, kalau nak berceraipun, bercerailah dengan cara yang baik dan kekalkan hubungan baik selepas perceraian itu berlaku. Ini kerana hubungan buruk selepas perceraian akan memberi kesan negatif kepada anak-anak.

Faktor kelima berkait dengan perubahan-perubahan hidup yang memberi tekanan. Kajian menunjukkan bahawa lebih banyak tekanan yang dihadapi, lebih sukar untuk anak-anak menyesuaikan diri. Oleh itu, setelah berlaku perceraian, cuba kurangkan perubahan-perubahan dalam hidup agar anak-anak tidak begitu tertekan bila terpaksa berhadapan dengan perkara baru. Oleh itu, jangan tergesa-gesa berpindah rumah atau sekolah. Ibu atau bapa pula jangan cepat-cepat berkahwin lagi dan seumpama. Ini kerana perubahan-perubahan baru memberi tekanan kepada anak-anak dan ini menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan perceraian yang berlaku. Itulah tadi lima (5) faktor yang mempengaruhi kesan perceraian kepada anak-anak dan bagaimana kita boleh mengawalnya supaya kesan negatifnya kepada anak-anak dapat diminimakan.

Dari kajian yang dibuat, didapati bahawa anak-anak yang ibubapa mereka bercerai mengalami berbagai perasaan. Ada di antara mereka yang bimbangkan tentang masa depan mereka. Ada yang bimbang diketepikan oleh ibu atau bapa yang menjaganya. Ada yang merasa marah terhadap ibu atau bapa yang dirasakan bertanggungjawab terhadap perpisahan itu. Ada yang merasa tertekan. Ada yang rasa tidak dapat buat apa-apa (helplessness). Ada yang rasa kesepian. Ada juga yang rasa bersalah kerana beranggapan merekalah yang menjadi punca penceraian tersebut. Misalnya, mereka merasakan oleh kerana mereka jahat atau nakal, bapanya pergi meninggalkannya. Ramai juga yang percaya atau beranggapan bahawa bapa atau ibunya pergi kerana ibu atau bapa itu tidak lagi mempedulikan hal mereka.

Memahami perasaan anak-anak inilah, maka para pengkaji menasihatkan ibubapa yang bercerai supaya menerangkan kepada anak-anak bahawa perceraian itu tiada kena mengena dengan mereka. Ia bukan disebabkan oleh hakikat anak-anak itu jahat dan bukan juga disebabkan ibubapa itu tidak mempedulikan mereka. Perceraian itu berpunca dari ibubapa sendiri yang tidak lagi boleh hidup bersama. Pengkaji juga menasihatkan ibubapa supaya memberitahu anak-anak secara bersama-sama. Ini bertujuan untuk menyakinkan anak-anak itu bahawa mereka akan terus mengambil berat tentang anak-anak walaupun selepas perceraian. Dari segi ini, amat penting ibubapa untuk bercerai secara baik. Jika tidak, bagaimana mungkin mereka dapat menerangkan hal ini kepada anak-anak secara bersama.

Mungkin ada yang bertanya mengapa keadaan anak-anak yang ibubapanya bercerai lebih buruk dari keadaan anak-anak yatim sedangkan dalam kedua-dua kes, struktur keluarga mereka telah berubah. Namun kita perhatikan seringkali anak-anak yatim ini membesar menjadi individu yang lebih stabil manakala anak-anak dari ibubapa yang bercerai pula kerap menjadi individu yang bermasalah.

Ini sebenarnya ada kaitan dengan anggapan anak-anak itu tentang perceraian kedua ibubapanya. Seorang pengkaji, Dr. Martin Richards dalam menjelaskan keadaan ini menyebut bahawa ia berpunca dari anggapan anak itu bahawa ibubapanya memilih untuk bercerai (kematian tidak dilihat sebagai satu pilihan). Bila ibubapa memilih untuk bercerai ini bererti bagi kebanyakan anak-anak ibu atau bapa yang pergi itu memilih untuk meninggalkan mereka. Rasa ditinggalkan ini membuatkan mereka memiliki self-esteem yang rendah yang menjadi punca kepada masalah-masalah lain yang mereka alami.

Jadi, sekali lagi kita dapati bahawa amat penting untuk kedua ibubapa menerangkan kepada anak-anak mengapa perceraian itu berlaku. Mereka perlu difahamkan bahawa ia bukan berpunca dari hakikat bahawa ibubapa tidak sayang mereka. Di masa yang sama, hubungan yang erat dengan anak perlu dikekalkan selepas bercerai supaya kata-kata tadi tidak hanya merupakan kata-kata manis semata-mata. Dengan cara ini, anak-anak itu tidak akan ada anggapan-anggapan negatif yang boleh merosakkan self esteem mereka.

Jadi, apakah peranan kedua suami-isteri yang bercerai tadi bagi memastikan bahawa kesan perceraian terhadap anak-anak adalah pada tahap yang minima? Lazimnya, kalau kita ingin membantu orang lain menyelesaikan masalah mereka, kita perlu menyelesaikan masalah kita dahulu. Begitu juga dengan pasangan suami-isteri yang bercerai. Mereka perlu selesaikan masalah peribadi mereka sebelum dapat membantu anak-anak berhadapan dengan realiti baru itu.

Seperti yang disebutkan tadi, kajian menunjukkan bahawa kesan perceraian terhadap anak-anak bergantung kepada penyesuaian yang dilalui oleh penjaganya. Jika cepat penjaganya menyesuaikan diri, maka anak-anak juga akan cepat menyesuaikan diri. Jadi, ibu atau bapa, terutamanya yang mendapat hak penjagaan, perlu segera menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa mereka telah bercerai. Sebagai orang Islam, ianya lebih mudah kerana kita percaya kepada qada dan qadar Allah. Kalau kita terima dan redha bahawa perceraian itu adalah kehendak Allah, maka tiada apa yang hendak dikesalkan. Kalau ada perkara yang telah melukakan hati, maka memaafkan itu adalah lebih baik. Sepotong kata-kata hikmah menyebut, "Sesiapa yang memaafkan, menamatkan persengketaan". Maka maafkan bekas pasangan kita agar kita dapat berhubung dengan baik dengan mereka, demi anak-anak.

Pengkaji yang saya sebutkan tadi juga menyebut bahawa ibubapa yang bercerai yang mengekalkan hubungan yang baik akan menyebabkan anak-anak kurang terjejas akibat perceraian. Jadi, ini perlu menjadi keutamaan bagi ibubapa yang bercerai. Kalau kita tidak dapat menyelamatkan perkahwinan demi anak-anak, maka selepas bercerai, kekalkanlah hubungan baik, demi anak-anak.

Satu perkara lagi berkaitan dengan penyesuaian ialah jangan buat terlalu banyak perubahan dalam hidup. Hadapi perubahan satu demi satu dan bukannya banyak perubahan dalam satu masa. Misalnya, kalau hendak berpindah ke tempat baru, tunggu dulu sehingga rasa kita sudah dapat menerima hakikat perceraian, baru berpindah. Kalau tidak, kita terpaksa berhadapan dengan tekanan baru dan ini menyukarkan kita menyesuaikan diri. Kalau pun kita rasa kita boleh berhadapan dengan tekanan-tekanan itu, ingatlah tentang anak-anak. Apakah mereka boleh menangani perubahan-perubahan itu? Sudahlah ibubapa baru bercerai, kena pula berpindah rumah. Mereka mungkin sayang untuk meninggalkan rumah itu. Itu belum kira hakikat mereka perlu berpisah dengan kawan-kawan, perlu bertukar sekolah, perlu mengenali guru dan kawan baru. Ini sudah tentu memberi tekanan kepada mereka dan menyukarkan mereka membuat penyesuaian.

Faktor-faktor yang saya sebutkan tadi juga menyebut bahawa anak-anak akan kurang terkesan akibat perceraian sekiranya mereka tidak berhadapan dengan perubahan-perubahan yang memberi tekanan. Jadi, ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan, perlu ingat hakikat ini. Selepas ibubapa menyelesaikan masalah mereka, ingatlah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Walaupun sudah tidak lagi menjadi suami-isteri, mereka masih menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak itu. Jadi, tunaikanlah tanggungjawab sebagai ibu dan bapa ini seperti biasa. Sebagai bapa, ingatlah tanggungjawab anda untuk memberi nafkah kepada anak-anak. Ini adalah perintah Allah, bukan sekadar perintah mahkamah. Oleh itu, walaupun mahkamah belum menetapkan jumlahnya, berilah nafkah tersebut. Ingatlah, mengengkari perintah Allah adalah berdosa.

Berkaitan dengan nafkah ini, berilah dengan sikap pemurah. Biar lebih, jangan kurang. Ingatlah, apa-apa yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah yang akan dibalas dengan berlipatkali ganda. Jadi, janganlah kedekut, berilah secukupnya. Ingatlah, satu daripada faktor yang akan memberi kesan kepada anak-anak ialah taraf hidup yang lebih rendah dari sebelumnya. Jadi untuk mengelakkan perkara ini, berilah nafkah sepertimana sebelumnya. Kalau boleh, saya ingin menyarankan kepada para bapa khususnya, janganlah menyuruh anak-anak dan isteri keluar dari rumah yang biasa mereka tinggal supaya taraf hidup mereka tidak menurun dan supaya tiada banyak perubahan berlaku dan anak-anak tidak tertekan dengan perubahan-perubahan itu.

Begitu juga dengan perhatian dan kasih sayang. Ibu dan bapa telah bercerai masih bertanggungjawab dalam hal ini. Bagi ibu atau bapa yang pergi (meninggalkan rumah), ingatlah anda masih bertanggungjawab dalam hal memberi perhatian dan kasih sayang. Untuk itu, jengoklah mereka misalnya seminggu sekali dan telefonlah mereka dengan lebih kerap untuk bertanya khabar. Dengan cara ini, anak-anak tahu bahawa mereka masih disayangi dan ibu atau bapa itu bukannya pergi terus yang mana ini akan memberi kesan negatif kepada self-esteem anak-anak itu.

Bagi ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan pula, jangan hasut anak-anak untuk membenci ibu atau bapa mereka. Itu masih masih ibu dan bapa mereka dan mereka perlu diajar untuk menyayangi dan menghormati ibu atau bapa mereka itu, bukan untuk membencinya. Jadi, ingatlah, jangan tanamkan rasa benci kerana ia juga boleh merosakkan pemikiran anak-anak. Adalah lebih baik untuk membantu anak-anak itu berhadapan dengan realiti baru. Berbuallah dengan mereka, tanya tentang perasaan mereka, pandangan mereka dan ini dapat mengurangkan apa-apa salah faham atau salah anggapan yang wujud dalam diri mereka.

Sebagai kesimpulannya, walaupun perceraian tidak diminta, ia perlu ditangani dengan baik jika ia berlaku, demi masa depan anak-anak yang tidak berdosa.


OLEH :
Siti Fatimah Binti Abdul Rahman

Fellow Kanan

KARANGAN STPM: BANTUAN YANG PATUT DIBERIKAN KEPADA MANGSA BENCANA ALAM


Bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi, dan ribut taufan ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan Maha Pencipta. Bencana alam berlaku tanpa mengira tempat dan waktu. Walaupun teknologi semakin berkembang pesat bagai belut diketil ekor, kemajuan sains dan teknologi tidak dapat menghalang bencana alam daripada berlaku. Hakikatnya, bencana alam akan menyebabkan berlakunya kerosakan, kemusnahan, kerugian, dan kehilangan nyawa. Oleh sebab itu, kita sebagai masyarakat yang prihatin hendaklah memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam. Perkara ini akan ditelusuri dalam perbincangan ini.

Kita boleh mengadakan kutipan derma menggunakan saluran yang betul untuk membantu mangsa bencana alam. Derma yang dikutip hendaklah disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana alam yang memang memerlukan bantuan. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.

Kita boleh menganggotai pasukan penyelamat dan pencari dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan semampu yang boleh. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Jelaslah bahawa tindakan kita menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.

Kita boleh menjadi sukarelawan yang boleh berkhidmat apabila bencana alam berlaku di sesuatu tempat. Tugas sukarelawan bukanlah mudah kerana kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama. Seseorang sukarelawan biasanya diperlukan untuk memberikan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor yang boleh merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain.

Kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Sebagai contohnya, penduduk di negara kita selalu mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran apabila bencana alam berlaku baik di dalam negara mahupun di luar negara. Doa merupakan pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.

Pihak kerajaan akan meneruskan bantuan pascabencana. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.

Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.


HASIL KARYA PELAJAR

 
RASUL IMAN RAMZANY
Tingkatan Enam Atas 2
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak.

ISU ICT : KADAR PENEMBUSAN JALUR LEBAR DISASARKAN 75% PADA TAHUN 2015


Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah disasarkan sebanyak 75 peratus menjelang 2015. Pada masa ini, sehingga pertengahan Oktober 2010,  kadar penembusan jalur lebar telah melepasi 53 peratus, melebihi 50 peratus daripada sasaran yang ditetapkan menjelang akhir tahun 2010. Pencapaian ini adalah hasil kerjasama dan usaha pihak swasta dan kerajaan termasuk pucuk pimpinan yang menitikberatkan penembusan jalur lebar untuk semua golongan rakyat. Setakat ini, pelanggan telefon selular telah melebihi 31 juta atau 108 peratus dari segi kadar penembusan.

ISU DADAH : BERSIHKAN IMEJ MALAYSIA DARIPADA AKTIVITI PENGEDARAN DADAH


Dalam  usaha kerajaan merawat dan memulihkan penagih dadah dalam negara, kita dikejutkan pula dengan kelicikan pengedar dadah antarabangsa. Sindiket antarabangsa kian galak menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran atau transit dadah dunia.  Biarpun banyak yang ditumpaskan tetapi bilangan yang datang sedikit pun belum menampakkan berkurangan. Ini menunjukkan seolah-olah pasaran dadah di negara kita cukup hebat. Faktor yang mendorong kegiatan ini aktif di negara kita mungkin habuannya melibatkan nilai yang mencecah jutaan ringgit. Sebab itu mereka bertindak nekad walaupun mencabar undang-undang Malaysia.

Mereka sedikit pun tidak takut dengan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan. Benar kata pepatah Melayu, 'sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.' Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita membaca laporan mengenai pihak polis dan jabatan kastam telah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan dan menahan beberapa anggota sindiket dadah antarabangsa. Kegiatan dadah antarabangsa sama ada yang diseludup masuk atau dibawa ke luar negara nampaknya akan terus aktif. Jadi kita tidak boleh leka dengan kejayaan yang dicapai setakat ini.

Kita perlu ingat, akibat percubaan mereka menyeludup masuk dadah ke negara kita melalui bagasi seringkali gagal, maka ada yang beralih taktik menggunakan sabun mandi, merendam tuala dalam cairan dadah, guna ketuhar gelombang mikro, sorok dalam bengkung, bingkai gambar dan sebagainya. Mungkin pada masa akan datang, taktiknya mungkin lebih sukar untuk dikesan.  Walaupun begitu, kita tabik terhadap keupayaan penguat kuasa dalam membanteras dan mengekang penyeludupan dadah terutama melibatkan warganegara asing. Ia terbukti berkesan. Jika ada andaian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mudah bolos untuk kegiatan transit dadah, pihak terbabit perlu diberi mesej jelas dan berberfikir beribu kali. KLIA mesti dibersihkan daripada imej pintu masuk penyeludupan dadah.

Apa pun kita mesti sentiasa berwaspada dengan kemasukan warga asing di pintu masuk negara ini. Banyak kes salah laku warga asing. Dalam senyuman kita menyambut kedatangan warga asing, kita juga perlu bertegas terhadap mereka yang berusaha membawa musibah. Oleh itu kita wajar memohon kerjasama semua pihak agar membersihkan imej Malaysia daripada label pusat pengedaran dadah antarabangsa. Hal ini bagaikan benar apabila kita membaca laporan media, hampir setiap minggu ada sahaja tangkapan ke atas penyeludupan dadah.

Merenung dengan mendalam perkembangan ini, kita juga bimbang - adakah pengguna dadah di negara kita semakin meningkat? Hari ini, pelbagai pelakuan dahsyat timbul akibat daripada penyalahgunaan dadah. Seseorang penagih sanggup mati, mencuri, merompak, meragut, mencedera bahkan membunuh orang lain. Jadi ada baiknya kerajaan segera membuat kempen membersihkan imej Malaysia daripada aktiviti pengedaran dadah.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2010