JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Oktober 2010

ISU KELUARGA : MENANGANI MASALAH PERCERAIAN DAN MENGURANGI WK


Kita sering mendengar saranan-saranan tentang bagaimana untuk mengelakkan perceraian. Kita juga sudah biasa dengan ceramah-ceramah tentang prosedur-prosedur untuk menuntut cerai. Tetapi jarang sekali orang memperkatakan bagaimana untuk menangani perceraian sekiranya ia berlaku. Jika Islam membenarkan perceraian, ini bererti dalam masyarakat Islam akan ada suami-isteri yang bercerai dan mereka perlu dibantu untuk berhadapan dengan realiti baru itu. Topik ini menjadi lebih penting lagi kerana perceraian memberi kesan negatif kepada anak-anak. Jadi, suami-isteri yang bercerai perlu tahu peranan masing-masing supaya kesan negatif ini dapat dikurangkan.

Perceraian bertujuan untuk menyelesaikan tekanan perkahwinan dan mengurangkan penderitaan akibat perbalahan yang berterusan antara kedua suami-isteri. Keputusan untuk bercerai biasanya dibuat berasaskan kepada jangkaan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik untuk kedua suami-isteri itu sekiranya mereka tidak lagi hidup bersama. Dalam konteks ini, kesan perceraian itu kepada anak-anak seringkali tidak difikirkan, sedangkan tidak ada anak yang mahukan ibubapanya bercerai. Itulah sebabnya ada yang berpendapat bahawa perceraian adalah akibat yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak apabila ibubapanya tidak dapat hidup bersama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa ada anak-anak yang ibubapanya bercerai, berkembang menjadi individu yang stabil dan berjaya. Namun, bilangan mereka ini lebih kecil berbanding bilangan anak-anak yang terjejas akibat perceraian kedua ibubapanya. Oleh itu, menangani perceraian dengan baik sekiranya ia berlaku adalah penting agar kesan negatifnya dapat dikurangkan demi masa depan anak-anak yang terlibat.

Beberapa orang pengkaji Barat yang cuba melihat faktor-faktor yang menyebabkan perceraian begitu negatif untuk anak-anak telah mengenalpasti lima (5) faktor utama. Faktor pertama berkait dengan hakikat ketiadaan ibu atau bapa. Sebagaimana yang kita tahu, persekitaran terbaik untuk perkembangan anak-anak yang optima ialah kehadiran kedua-dua ibu dan bapa. Dalam kes perceraian salah seorangnya ibu atau bapa telah tiada. Maka keluarga itu bukanlah lagi satu persekitaran yang terbaik untuk anak itu membesar. Akibat dari ketiadaan seorang ibu atau bapa ini, katakanlah bapa, dan ibu pula keluar bekerja, kebanyakan anak-anak dari keluarga yang bercerai mendapat kurang perhatian dan penyeliaan berbanding dengan anak-anak dari keluarga yang tidak bercerai.

Ada kemungkinan, kemahiran sosial anak-anak terjejas akibat tiadanya role model bapa atau ibu di rumah itu. Didapati pula, anak-anak yang bapanya mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan anak-anak, tidak begitu terkesan dengan perceraian ini. Dalam kata-kata lain, kalau ibubapa masih mengekalkan hubungan yang baik maka anak-anak tidak begitu terkesan dengan perceraian. Oleh itu, untuk meminimakan kesan negatif perceraian, pasangan itu hendaklah mengekalkan hubungan baik selepas perceraian.

Faktor kedua berkait dengan penyesuaian penjaga (ibu atau bapa). Selepas bercerai, anak-anak berada di tangan ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan. Jika ibu atau bapa tadi dapat menyesuaikan diri dengan perceraian itu dengan baik, maka anak-anak juga dapat menyesuaikan diri mereka. Jika penyesuaian ini berlaku, maka perceraian tidak akan membawa kesan yang begitu negatif. Jadi, ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan perlu menyesuaikan diri dengan cepat dengan keadaan baru agar ia akan memberi kesan positif kepada anak-anak.

Faktor ketiga berkait dengan kedudukan ekonomi. Biasanya, selepas perceraian taraf hidup keluarga itu menurun terutamanya bila si bapa meninggalkan anak-anaknya. Anak-anak yang kini di bawah jagaan ibu, mungkin perlu berpindah ke rumah yang lebih kecil atau anak-anak itu terpaksa melepaskan kemewahan-kemewahan tertentu yang mereka nikmati sebelum ini. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak tidak akan begitu terjejas akibat perceraian sekiranya tiada kejatuhan dari segi taraf hidup. Dalam kata-kata lain, jika perceraian berlaku tetapi taraf hidup anak-anak tidak berubah, yakni masih tinggal di rumah yang sama, masih menikmati kemewahan yang sama, maka mereka tidak akan begitu terkesan oleh perceraian tersebut. Oleh yang demikian, bapa sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah perlu memastikan bahawa taraf hidup anak-anak tidak begitu berubah selepas perceraian jika mereka mahu anak-anak mereka berkembang normal seperti anak-anak yang lain.

Faktor keempat berkait dengan konflik keluarga. Dikatakan bahawa yang menjejaskan kesejahteraan anak-anak bukanlah perubahan struktur dalam keluarga (tidak ada ibu atau bapa) tetapi yang menjejaskannya ialah perselisihan atau pergaduhan yang datang dengan perubahan struktur itu. Oleh itu, kalau nak berceraipun, bercerailah dengan cara yang baik dan kekalkan hubungan baik selepas perceraian itu berlaku. Ini kerana hubungan buruk selepas perceraian akan memberi kesan negatif kepada anak-anak.

Faktor kelima berkait dengan perubahan-perubahan hidup yang memberi tekanan. Kajian menunjukkan bahawa lebih banyak tekanan yang dihadapi, lebih sukar untuk anak-anak menyesuaikan diri. Oleh itu, setelah berlaku perceraian, cuba kurangkan perubahan-perubahan dalam hidup agar anak-anak tidak begitu tertekan bila terpaksa berhadapan dengan perkara baru. Oleh itu, jangan tergesa-gesa berpindah rumah atau sekolah. Ibu atau bapa pula jangan cepat-cepat berkahwin lagi dan seumpama. Ini kerana perubahan-perubahan baru memberi tekanan kepada anak-anak dan ini menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan perceraian yang berlaku. Itulah tadi lima (5) faktor yang mempengaruhi kesan perceraian kepada anak-anak dan bagaimana kita boleh mengawalnya supaya kesan negatifnya kepada anak-anak dapat diminimakan.

Dari kajian yang dibuat, didapati bahawa anak-anak yang ibubapa mereka bercerai mengalami berbagai perasaan. Ada di antara mereka yang bimbangkan tentang masa depan mereka. Ada yang bimbang diketepikan oleh ibu atau bapa yang menjaganya. Ada yang merasa marah terhadap ibu atau bapa yang dirasakan bertanggungjawab terhadap perpisahan itu. Ada yang merasa tertekan. Ada yang rasa tidak dapat buat apa-apa (helplessness). Ada yang rasa kesepian. Ada juga yang rasa bersalah kerana beranggapan merekalah yang menjadi punca penceraian tersebut. Misalnya, mereka merasakan oleh kerana mereka jahat atau nakal, bapanya pergi meninggalkannya. Ramai juga yang percaya atau beranggapan bahawa bapa atau ibunya pergi kerana ibu atau bapa itu tidak lagi mempedulikan hal mereka.

Memahami perasaan anak-anak inilah, maka para pengkaji menasihatkan ibubapa yang bercerai supaya menerangkan kepada anak-anak bahawa perceraian itu tiada kena mengena dengan mereka. Ia bukan disebabkan oleh hakikat anak-anak itu jahat dan bukan juga disebabkan ibubapa itu tidak mempedulikan mereka. Perceraian itu berpunca dari ibubapa sendiri yang tidak lagi boleh hidup bersama. Pengkaji juga menasihatkan ibubapa supaya memberitahu anak-anak secara bersama-sama. Ini bertujuan untuk menyakinkan anak-anak itu bahawa mereka akan terus mengambil berat tentang anak-anak walaupun selepas perceraian. Dari segi ini, amat penting ibubapa untuk bercerai secara baik. Jika tidak, bagaimana mungkin mereka dapat menerangkan hal ini kepada anak-anak secara bersama.

Mungkin ada yang bertanya mengapa keadaan anak-anak yang ibubapanya bercerai lebih buruk dari keadaan anak-anak yatim sedangkan dalam kedua-dua kes, struktur keluarga mereka telah berubah. Namun kita perhatikan seringkali anak-anak yatim ini membesar menjadi individu yang lebih stabil manakala anak-anak dari ibubapa yang bercerai pula kerap menjadi individu yang bermasalah.

Ini sebenarnya ada kaitan dengan anggapan anak-anak itu tentang perceraian kedua ibubapanya. Seorang pengkaji, Dr. Martin Richards dalam menjelaskan keadaan ini menyebut bahawa ia berpunca dari anggapan anak itu bahawa ibubapanya memilih untuk bercerai (kematian tidak dilihat sebagai satu pilihan). Bila ibubapa memilih untuk bercerai ini bererti bagi kebanyakan anak-anak ibu atau bapa yang pergi itu memilih untuk meninggalkan mereka. Rasa ditinggalkan ini membuatkan mereka memiliki self-esteem yang rendah yang menjadi punca kepada masalah-masalah lain yang mereka alami.

Jadi, sekali lagi kita dapati bahawa amat penting untuk kedua ibubapa menerangkan kepada anak-anak mengapa perceraian itu berlaku. Mereka perlu difahamkan bahawa ia bukan berpunca dari hakikat bahawa ibubapa tidak sayang mereka. Di masa yang sama, hubungan yang erat dengan anak perlu dikekalkan selepas bercerai supaya kata-kata tadi tidak hanya merupakan kata-kata manis semata-mata. Dengan cara ini, anak-anak itu tidak akan ada anggapan-anggapan negatif yang boleh merosakkan self esteem mereka.

Jadi, apakah peranan kedua suami-isteri yang bercerai tadi bagi memastikan bahawa kesan perceraian terhadap anak-anak adalah pada tahap yang minima? Lazimnya, kalau kita ingin membantu orang lain menyelesaikan masalah mereka, kita perlu menyelesaikan masalah kita dahulu. Begitu juga dengan pasangan suami-isteri yang bercerai. Mereka perlu selesaikan masalah peribadi mereka sebelum dapat membantu anak-anak berhadapan dengan realiti baru itu.

Seperti yang disebutkan tadi, kajian menunjukkan bahawa kesan perceraian terhadap anak-anak bergantung kepada penyesuaian yang dilalui oleh penjaganya. Jika cepat penjaganya menyesuaikan diri, maka anak-anak juga akan cepat menyesuaikan diri. Jadi, ibu atau bapa, terutamanya yang mendapat hak penjagaan, perlu segera menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa mereka telah bercerai. Sebagai orang Islam, ianya lebih mudah kerana kita percaya kepada qada dan qadar Allah. Kalau kita terima dan redha bahawa perceraian itu adalah kehendak Allah, maka tiada apa yang hendak dikesalkan. Kalau ada perkara yang telah melukakan hati, maka memaafkan itu adalah lebih baik. Sepotong kata-kata hikmah menyebut, "Sesiapa yang memaafkan, menamatkan persengketaan". Maka maafkan bekas pasangan kita agar kita dapat berhubung dengan baik dengan mereka, demi anak-anak.

Pengkaji yang saya sebutkan tadi juga menyebut bahawa ibubapa yang bercerai yang mengekalkan hubungan yang baik akan menyebabkan anak-anak kurang terjejas akibat perceraian. Jadi, ini perlu menjadi keutamaan bagi ibubapa yang bercerai. Kalau kita tidak dapat menyelamatkan perkahwinan demi anak-anak, maka selepas bercerai, kekalkanlah hubungan baik, demi anak-anak.

Satu perkara lagi berkaitan dengan penyesuaian ialah jangan buat terlalu banyak perubahan dalam hidup. Hadapi perubahan satu demi satu dan bukannya banyak perubahan dalam satu masa. Misalnya, kalau hendak berpindah ke tempat baru, tunggu dulu sehingga rasa kita sudah dapat menerima hakikat perceraian, baru berpindah. Kalau tidak, kita terpaksa berhadapan dengan tekanan baru dan ini menyukarkan kita menyesuaikan diri. Kalau pun kita rasa kita boleh berhadapan dengan tekanan-tekanan itu, ingatlah tentang anak-anak. Apakah mereka boleh menangani perubahan-perubahan itu? Sudahlah ibubapa baru bercerai, kena pula berpindah rumah. Mereka mungkin sayang untuk meninggalkan rumah itu. Itu belum kira hakikat mereka perlu berpisah dengan kawan-kawan, perlu bertukar sekolah, perlu mengenali guru dan kawan baru. Ini sudah tentu memberi tekanan kepada mereka dan menyukarkan mereka membuat penyesuaian.

Faktor-faktor yang saya sebutkan tadi juga menyebut bahawa anak-anak akan kurang terkesan akibat perceraian sekiranya mereka tidak berhadapan dengan perubahan-perubahan yang memberi tekanan. Jadi, ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan, perlu ingat hakikat ini. Selepas ibubapa menyelesaikan masalah mereka, ingatlah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Walaupun sudah tidak lagi menjadi suami-isteri, mereka masih menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak itu. Jadi, tunaikanlah tanggungjawab sebagai ibu dan bapa ini seperti biasa. Sebagai bapa, ingatlah tanggungjawab anda untuk memberi nafkah kepada anak-anak. Ini adalah perintah Allah, bukan sekadar perintah mahkamah. Oleh itu, walaupun mahkamah belum menetapkan jumlahnya, berilah nafkah tersebut. Ingatlah, mengengkari perintah Allah adalah berdosa.

Berkaitan dengan nafkah ini, berilah dengan sikap pemurah. Biar lebih, jangan kurang. Ingatlah, apa-apa yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah yang akan dibalas dengan berlipatkali ganda. Jadi, janganlah kedekut, berilah secukupnya. Ingatlah, satu daripada faktor yang akan memberi kesan kepada anak-anak ialah taraf hidup yang lebih rendah dari sebelumnya. Jadi untuk mengelakkan perkara ini, berilah nafkah sepertimana sebelumnya. Kalau boleh, saya ingin menyarankan kepada para bapa khususnya, janganlah menyuruh anak-anak dan isteri keluar dari rumah yang biasa mereka tinggal supaya taraf hidup mereka tidak menurun dan supaya tiada banyak perubahan berlaku dan anak-anak tidak tertekan dengan perubahan-perubahan itu.

Begitu juga dengan perhatian dan kasih sayang. Ibu dan bapa telah bercerai masih bertanggungjawab dalam hal ini. Bagi ibu atau bapa yang pergi (meninggalkan rumah), ingatlah anda masih bertanggungjawab dalam hal memberi perhatian dan kasih sayang. Untuk itu, jengoklah mereka misalnya seminggu sekali dan telefonlah mereka dengan lebih kerap untuk bertanya khabar. Dengan cara ini, anak-anak tahu bahawa mereka masih disayangi dan ibu atau bapa itu bukannya pergi terus yang mana ini akan memberi kesan negatif kepada self-esteem anak-anak itu.

Bagi ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan pula, jangan hasut anak-anak untuk membenci ibu atau bapa mereka. Itu masih masih ibu dan bapa mereka dan mereka perlu diajar untuk menyayangi dan menghormati ibu atau bapa mereka itu, bukan untuk membencinya. Jadi, ingatlah, jangan tanamkan rasa benci kerana ia juga boleh merosakkan pemikiran anak-anak. Adalah lebih baik untuk membantu anak-anak itu berhadapan dengan realiti baru. Berbuallah dengan mereka, tanya tentang perasaan mereka, pandangan mereka dan ini dapat mengurangkan apa-apa salah faham atau salah anggapan yang wujud dalam diri mereka.

Sebagai kesimpulannya, walaupun perceraian tidak diminta, ia perlu ditangani dengan baik jika ia berlaku, demi masa depan anak-anak yang tidak berdosa.


OLEH :
Siti Fatimah Binti Abdul Rahman

Fellow Kanan

Tiada ulasan: