JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Februari 2013

ISU UMUM : ASIA TENGGARA BUKAN LAGI LUBUK PENGGANAS


Begitu menarik sekali apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan ancaman militan Islam di rantau Asia Tenggara telah banyak berkurangan hasil daripada kerjasama dan persefahaman antara negara yang terkena tempias sama ada secara langsung atau tidak.

Mengambil contoh kerjasama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia, kejayaan mengurangkan pengaruh kumpulan militan yang bersimpati dengan perjuangan Al-Qaeda tidak dapat dinafikan telah membawa kesan positif yang begitu ketara.

Beliau membuat hujah tersebut pada sesi bertajuk An Insight, An Idea with Najib Tun Abdul Razak yang disiarkan oleh penyiar antarabangsa CNN sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, beberapa hari lepas.

Hujah tersebut disokong oleh kejayaan Kuala Lumpur sebagai perantara rundingan antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sehingga berjaya merungkai kemelut yang telah berlarutan lebih empat dekad yang mengorbankan lebih 120,000 nyawa.

Tiada pihak yang boleh menafikan bahawa keamanan dan kestabilan di selatan Filipina adalah satu suasana yang tidak akan memberi peluang kepada kumpulan radikal dan militan Islam untuk berkembang dan mempengaruhi pihak yang bersimpati dengan ideologi mereka.

"Itu merupakan sumbangan besar ke arah keamanan dan pewujudan Islam lebih sederhana di Asia Tenggara," tegas Najib. Malah tidak keterlaluan juga jika diandaikan Asia Tenggara bukan lagi boleh dilabelkan sebagai pusat pengganas militan Islam. Asia Tenggara kini boleh dijadikan model bagaimana untuk menangani masalah tersebut.

Negara yang dikatakan mempunyai masalah dengan kumpulan radikal atau militan Islam perlu mengambil iktibar dengan pendekatan sederhana yang diamalkan oleh beberapa negara Asia Tenggara. Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman umpamanya sering berhadapan dengan isu ini tetapi kurang berjaya menangani atau mengurangkan ancaman yang dihadapi setiap hari.

Jika beberapa tahun lepas negara maju ini sering membuat tuduhan bahawa ancaman keganasan global sering didalangi oleh anasir dari Dunia Ketiga seperti Afrika, Arab dan juga Asia, tetapi hari ini sebaliknya pula yang berlaku iaitu pengganas kebanyakannya berasal dari negara maju.

Perancis umpamanya yang mempunyai penduduk seramai 65 juta orang dan menampung kumpulan penduduk Yahudi dan Islam terbesar di Eropah dalam keadaan yang sentiasa genting kerana komposisi penduduk yang bertentangan. Peristiwa keganasan yang mengorbankan tujuh nyawa di Toulouse pada tahun lepas adalah manifestasi ancaman yang dihadapi Perancis saban hari. Keganasan tersebut didalangi oleh Mohamed Merah seorang rakyat Perancis yang berasal dari Algeria.

Kini Kanada pula menghadapi ancaman keganasan yang didalangi oleh rakyat mereka sendiri. Kejadian rampasan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, Algeria yang dikatakan diketuai oleh pengganas rakyat Kanada adalah satu perkembangan yang agak mengejutkan.

Walaupun belum mendapat pengesahan muktamad, Perdana Menteri Algeria, Abdelmalek Sellal telah menamakan Shadad Muhammed Amin dan juga Abdallah sebagai rakyat Kanada yang mendalangi serangan yang mengorbankan 37 tebusan termasuk dua rakyat Malaysia.

Kanada sebenarnya tidak pernah sunyi dengan ancaman keganasan yang didalangi oleh rakyat mereka sendiri. Mengikut kenyataan agensi risikan Kanada CSIS, pada ketika ini seramai 250 rakyat mereka sedang diawasi kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan. CSIS juga mengesyaki seramai 60 rakyat Kanada telah menyertai kumpulan radikal lain di Afghanistan, Yemen, Pakistan dan Somalia.

Masalah yang dihadapi oleh Kanada yang mempunyai penduduk imigran yang pelbagai, aktiviti keganasan tidak hanya tertumpu kepada satu kumpulan etnik sahaja. Rakyat mereka yang telah didakwa berasal dari berbagai negara dan keturunan seperti Afrika Utara (termasuk Algeria), Parsi, Arab dan Asia Selatan.

Perdana Menteri Kanada Stephen Harper telah melabelkan kegiatan militan Islam sebagai ancaman keselamatan paling meruncing yang dihadapi oleh negaranya dan sebagai salah satu usaha kekangan beliau telah melancarkan Projek Kanishka pada tahun 2011. Projek yang mengambil masa lima tahun ini memberi tumpuan khas kepada kaedah menangani ancaman militan Islam rakyat Kanada.

Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa menilai kembali strategi menangani keganasan kerana senario telah banyak berubah. Masalah yang dihadapi oleh Kanada bukan satu kes yang terpencil kerana ia juga sedang dihadapi oleh negara maju yang lain.

Rakyat Kanada yang terlibat dengan keganasan adalah daripada kumpulan imigran generasi kedua dan ketiga yang begitu sebati dengan cara hidup majoriti penduduk Amerika Utara.

Jika selama ini AS, Britain, Perancis dan juga Jerman sering membuat tuduhan penduduk imigran yang terlibat dengan keganasan adalah dari kumpulan yang tidak mahu menerima cara hidup negara yang didiami, tetapi hari ini dalil tersebut tidak lagi boleh digunakan.

Menarik dalam hal ini dikaitkan sekali lagi saranan Najib untuk menangani keganasan yang diutarakan dalam wawancara khas CNN. "Pada masa lalu terdapat tindakan bersifat militan yang 'tidak dapat dielakkan', tugas pada masa kini ialah mengadakan perbincangan dengan golongan fundamentalis Islam dan memujuk mereka untuk mengamalkan pendekatan Islam sederhana," tegas beliau.

Jika diterjemahkan saranan tersebut, pendekatan sederhana bukan sahaja perlu dipraktiskan oleh masyarakat beragama Islam, tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa apabila berhadapan dengan isu militan Islam.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 31 Januari 2013

Tiada ulasan: