JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Februari 2013

ISU GLOBAL : PERANAN ANTARABANGSA MALAYSIA KIAN MENCABAR


Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
afifi@uum.edu.my / afifirazak@gmail.com
Pensyarah sains politik, Pusat Pengajian Antarabangsa,
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia.

Kejayaan peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba 'menjual' peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi 'perunding damai' di antara Hamas dan Fatah di Palestin.

Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas usaha dan keberanian beliau untuk berusaha menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang sedang hebat bergolak. Sesungguhnya, kehadiran Najib pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah 'negara kuasa pertengahan' (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

'Negara kuasa pertengahan' ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan 'besar' dan bukan 'kecil' tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan 'negara-negara kuasa pertengahan' yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan Wasatiyyah yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada 'misi campur tangan ketenteraan' (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang 'taring'nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah 'diswastakan' kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan 'multilateralismenya'. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Banyak yang telah ditulis oleh sarjana-sarjana Barat mengenai sikap negara-negara kuasa besar dunia ini. Sebagai contoh, Michael Pugh dalam artikelnya 'Peacekeeping and Critical Theory' (2004) terbitan Jurnal International Peacekeeping menulis mengenai bagaimana peranan 'New York Orthodoxy' di PBB mencatur perkembangan politik antarabangsa.

Robert Cox dalam artikelnya yang bertajuk 'Critical Political Economy' (1995) menulis mengenai bagaimana institusi kewangan antarabangsa mengatur dan memanipulasi sistem ekonomi antarabangsa supaya lebih menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan menjadikan negara-negara lain yang bukan Barat untuk kekal menanggung hutang yang tinggi.

Mark Duffield pula dalam bukunya yang bertajuk 'Global Governance and the New Wars: The Merging of Development and Security' (2001) mengatakan bahawa sebenarnya isu global pada hari ini bukanlah sangat mengenai isu terrorisme tetapi sebalik isu bagaimana negara-negara kuasa besar dunia dapat menyuntik fahaman liberalisme dan demokrasi serta membentuk jaringan konflik yang tidak liberal ke seluruh pelosok dunia khasnya di negara-negara yang bukan Barat.

Demikianlah sikap 'talam dua muka' (double-standard) negara-negara kuasa besar dunia terhadap negara-negara lain dalam konteks politik antarabangsa semasa. Ini sebenarnya menjadi satu cabaran besar bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia untuk menempatkan dirinya sebagai bakal 'negara kuasa pertengahan' berbekalkan prinsip Wasatiyyah.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada 'ancaman' negara atau pihak yang berkepentingan ini.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30 Januari 2013

Tiada ulasan: