DR. JESSICA ONG HAI
LIAW
Timbalan Pengarah
Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Trauma dengan
pelbagai berita dalam beberapa minggu ini melibatkan kehilangan kanak-kanak
yang ditinggalkan dalam kereta untuk seketika menjadi satu fenomena yang dapat
dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku pada hari ini
sudah jadi fobia dan macam berangkai pula kanak-kanak hilang dan yang nyaris
hilang. Situasi ini memberi amaran kepada kita bahawa komuniti di Malaysia
sekarang dalam zon kurang selamat kerana masyarakat kurang peka dan mula alpa.
Di mana sahaja kita berada kini, kita perlu berwaspada dan berhati-hati
sepanjang masa kerana sebenarnya ada banyak ekor mata yang mengekori pergerakan
dan sentiasa memerhatikan kita. Golongan ini hanya tunggu masa untuk bertindak.
Bertindak bukan sahaja melarikan kanak-kanak malah merompak, meragut merangkumi
segala jenayah yang kita tidak pernah terfikir mereka tergamak melakukan tanpa
memikirkan soal kemanusiaan. Di mana hati nurani manusia dan di mana silapnya?
Pada pandangan saya,
sebagai rakyat Malaysia, kita perlu tegur-menegur jika kita ternampak insiden
yang tidak kena seperti kanak-kanak yang ditinggalkan dalam keadaan yang bahaya
kepada ibu bapanya. Namun, dalam situasi ini, ibu bapa juga harus sedia
menerima teguran. Jangan pula yang salah faham dan kecil hati bila ditegur dan
dikatakan menyibuk dan jaga tepi kain orang. Itulah keluhan yang saya sering
dengar dan akhirnya mereka yang berniat baik ini menjawab biarlah memang itu
bukan urusan kita. Jika semua memberikan jawapan yang sama nanti, bagaimana
kita dapat mencari penyelesaiannya. Kita memahami perasaan ibu bapa yang
kehilangan anak mereka walaupun beberapa minit, kita sudah tidak keruan dan
jadi tidak tentu hala, apatah lagi kehilangan dah masuk berminggu-minggu.
Sebagai ibu bapa
kadang-kadang kita tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan alpa
seketika kerana memikirkan hanya sekejap sahaja ditinggalkan tidak akan berlaku
apa-apa, akhirnya kerana beberapa minit itu kita menjadi sengsara. Jika boleh
diputar waktunya, semestinya semua kejadian ini kita tidak mahu berlaku seperti
kes yang pernah berlaku kepada Sharlinie dan Nurin Jazmin. Kealpaan kita
dikejutkan kembali dengan beberapa insiden tahun ini yang mula memberi amaran
kepada kita dan tidak perlulah pada waktu begini kita salah menyalahi lagi di
atas kecuaian ibu bapa kerana mereka sudah cukup derita menanggung segala
cubaan ini. Apa yang penting ialah kita perlu ingat-mengingati antara satu sama
lain supaya jangan tinggalkan anak-anak walaupun seketika.
Kehilangan anak dalam
sekelip mata menyentuh jiwa setiap ibu bapa tanpa mengira kaum, bangsa dan
agama. Kesepakatan kita bersama turun padang membantu dan mencari seorang
kanak-kanak yang hilang iaitu WilliamYau Zhen Zhong berusia 6 tahun dan
akhirnya segalanya terjawab dengan penemuan mayat William di Jeti Sungai Sireh
di Pelabuhan Klang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan hati saya
terdetik dan sayu apabila mendapat berita kematian William sedangkan pada waktu
itu saya sedang menaip dalam ruangan ini supaya menyeru semua pihak turun
padang mencari William. Saya terbayang wajah William setelah melihat ramai
kanak-kanak berbangsa Cina di kompleks beli-belah begitu sibuk bergembira
menanti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan tiba tidak lama lagi. Bagaimana
dengan perasaan ibu bapa William yang sepanjang masa menunggu panggilan telefon
yang mengharap khabar gembira dengan penemuan William yang dapat menyambut
Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga akhirnya punah.
Kes Tin Song Sheng
yang berlaku 17 tahun lalu juga berlaku sebelum Tahun Baharu Cina juga dan
belum Song Seng ditemui hingga kini. Penantian itu sememangnya satu penyiksaan
yang menyakitkan, apatah lagi jika yang disampaikan berita buruk? Namun ada
pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kes William sebagai main-main. Pengerusi
Wanita MCA Selangor, Chew Lee Giok berharap pihak berkuasa memberi peluang dan
tidak mencaci ibu bapa William yang menyesal dan menyedari kecuaian mereka.
Semua pihak yang telah berganding bahu membantu mencari William tanpa mengira
bangsa dan agama mencerminkan negara Malaysia sememangnya mempunyai semangat
1Malaysia.
Kita dikejutkan lagi
dengan insiden di Kemaman kerana sangkaan kita pada waktu malam sahaja yang
berbahaya namun di waktu pagi dalam pukul 10:30 pagi, sepasang suami isteri
yang berhenti di stesen minyak kerana anaknya yang masih tidur di dalam kereta
untuk ke tandas dilarikan oleh suspek. Nasib baik ada insan bernama Saufi
Sukardi yang mengejar suspek. Sikap Saufi perlu dipuji. Itulah peranan sebagai
rakyat yang sama-sama membantu memerangi jenayah. Insiden sebegini kita jadikan
iktibar bersama dengan dijadikan garis panduan supaya kita lebih berhati-hati.
Beberapa minggu ini, kita berkesempatan bercuti dengan beberapa perayaan
penting terutama bersama-sama anak-anak kita. Tidak kira ke mana sahaja, kita
perlu berwaspada dan jangan biarkan kanak-kanak keseorangan walaupun hanya
sesaat. Ayuh! selagi kita mampu, kita luangkan sedikit masa untuk sama-sama
memikirkan cara-cara menangani masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi. Kita
sentiasa beringat "Pelanduk selalu melupakan jerat tetapi jerat tidak
pernah melupakan pelanduk".
Sumber : Utusan
Malaysia
Tarikh : 29 Januari
2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan