Hari ini, sektor
pendidikan negara ternyata bergerak cukup pantas merentasi transformasi bagi
menyaingi keperluan global termasuk pengiktirafan antarabangsa. Usaha itu bukan
sekadar meninggikan lagi taraf pendidikan nasional malah bukti bahawa sektor
pendidikan sudah bersedia melangkau frasa globalisasi ilmu tanpa sempadan. Pelbagai
usaha dipergiatkan dari semasa ke semasa dengan pendekatan menyeluruh termasuk
membawa guru dari luar negara mengajar bahasa Inggeris dan bidang teknikal. Mungkin
usaha itu bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan nasional namun ia
menimbulkan rasa kurang senang rakyat tempatan. Ia seperti menidakkan kemampuan
tenaga guru tempatan dan kemungkinan mewujudkan masalah lain.
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata,
pengambilan guru dari luar bagi membantu melonjakkan sektor pendidikan negara
tidak salah namun bimbang menimbulkan masalah lain. Beliau berkata, biarpun
tujuan pengambilan itu positif, tetapi sensitiviti guru tempatan perlu diambil
kira. “Usaha menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak adalah baik namun
perlu mempunyai perancangan rapi bagi mengelak pihak lain tersinggung. Bukan
tujuan mengkritik atau membangkang, namun perlu ada perbincangan mendalam
sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya.
Pelbagai frasa
diperkenal dan diperbaharui untuk menjadikan sektor pendidikan negara setanding
di peringkat antarabangsa. Antara yang giat dilakukan ialah memperkasakan modul
tertentu seperti bahasa Inggeris dengan usaha proaktif membawa tenaga pengajar
dari luar termasuk dari India. Bagaimanapun, ada pihak berpendapat pendekatan
itu boleh mendatangkan implikasi sampingan yang boleh menjejaskan kepentingan
dan masa depan guru tempatan. Lumrahnya, tenaga pengajar dari luar kurang
memahami aspek budaya pembelajaran pelajar tempatan selain perbezaan sosial
yang boleh mendatangkan konflik sampingan. “Dalam proses pembelajaran ini,
bukan hanya modul perlu diambil kira malah kesediaan guru luar untuk menerima
budaya dan sosial tempatan perlu diberi perhatian. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya
masyarakat tempatan supaya boleh memahami, mendekati dan mengenali pelajar dengan
lebih baik. Meskipun matlamat
pengambilan guru luar adalah baik, bukan semua mampu berbuat demikian,”
katanya mengakui tanpa pendekatan teliti, ia boleh menjarakkan jurang.
“Kemungkinan guru
tempatan akan merasakan khidmat mereka seperti tidak berkualiti atau mendapat
pengiktirafan walaupun mempunyai kelayakan. Ini bukan saja seperti
memperlekehkan keupayaan mereka malah boleh menerbitkan kecenderungan guru
tempatan berasa terpinggir. Setiap pelaksanaan perlu ada struktur menyeluruh
sebelum sebarang keputusan diambil bagi menjaga kepentingan bersama,” katanya. Ditanya
adakah perlu kemasukan guru luar negara, beliau berkata ia boleh dilakukan atas
faktor tertentu, tapi perlu memastikan isu berbangkit di kalangan guru dan
bakal guru diselesaikan terlebih dulu. Lambakan lambakan graduan yang mengambil
jurusan pendidikan, katanya, perlu diambil perhatian serius. “Setiap tahun,
ramai graduan jurusan ini menanti penempatan. Bayangkan bagaimana nasib bakal
guru baru jika lambakan mereka tidak ditangani dengan baik. Ada yang sudah lama
menamatkan pengajian tapi masih belum ada tempat mengajar. Dari segi teori
pendidikan, keadaan ini seharusnya tidak berlaku. Kita ada barisan bakal guru
muda yang sangat berdedikasi dan lebih arif dengan sistem pembelajaran. Jangan
kera di hutan disusukan tetapi anak sendiri mati kelaparan,” katanya.
Pengambilan guru luar
negara juga biarpun bertujuan memperkukuhkan beberapa aspek pembelajaran, namun
masih boleh diatasi dengan kemampuan guru tempatan. “Contohnya, pengambilan itu
bertujuan memperkasakan bahasa Inggeris. Graduan kita pun boleh berbahasa
Inggeris dengan baik terutama jika mengambil pengkhususan dalam Pengajaran
Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL). “Jadi, tiada isu besar bahasa itu
tidak boleh diajar guru tempatan. Yang perlu dilakukan ialah memberi latihan
berterusan supaya kemahiran mereka lebih tinggi. Saya tidak menafikan guru luar
ada pengalaman, pertuturan mereka mungkin lebih sedap, tetapi sudut lain juga
perlu diambil perhatian. Isu gaji, penempatan dan keistimewaan dalam aspek
tertentu harus diambil kira supaya guru luar ini tidak merungut atau berasa
tidak puas hati. Kita berurusan dengan aspek pendidikan yang seharusnya
dimartabatkan dengan rasa hormat, tiada kompromi dalam apa jua hal berbangkit. Jika
wujud masalah, dikhuatiri akan memberi kesan kepada pelajar, yang akhirnya
berbalik kepada guru, sekolah, kementerian, ibu bapa dan masyarakat,” katanya
menambah acuan utama dalam proses penerusan usaha itu ialah memastikan matlamat
disasarkan tidak menjadi sia - sia.
“Kita tahu proses
membawa guru luar negara ini bukan mudah kerana perlu melalui pelbagai
rangkaian perjanjian, tolak ansur dan kerjasama. Justeru kita mengharapkan
hasilnya juga setimpal dengan apa yang dilaburkan. Pada masa sama, hargai jasa
dan jangan ketepikan peranan guru tempatan,” katanya. Tidak pula menganggap apa
dilakukan itu satu pembaziran, akuinya, pendekatan itu perlu dilihat sebagai
usaha padu untuk menaikkan lagi sektor pendidikan negara. “Apa dilakukan ini
sebahagian transformasi berani kerajaan untuk membangun dan memberi pendidikan
terbaik kepada rakyat. Usaha ini tidak salah cuma sebelum mengimplikasikannya,
kita sudah bersedia dengan pelan tertentu selain jangan ketepikan keperluan
guru tempatan. Kita tidak boleh berterusan bergantung kepada sumber tenaga
luar, jadi guru tempatan inilah yang akan meneruskan kesinambungan proses
pendidikan itu, jadi berikanlah mereka juga peranan dan keutamaan,” katanya.
Sumber : Metro Online
Tarikh : 28 Januari
2013