JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : PENGAJIAN TINGGI SATU PILIHAN


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Beliau boleh dihubungi melalui emel mkhaled.mohe@gmail.com


Pengajian tinggi adalah sebahagian proses pendidikan yang bermula daripada peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan negara pada masa ini mewajibkan pendidikan rendah dan menengah dan kerajaan membiayai sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tersebut. Pengajian tinggi pula adalah bersifat pilihan apabila individu boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan. Ia adalah pelaburan yang boleh meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.

George Psacharopoulos yang merupakan pakar Bank Dunia melalui kajian bertajuk "Returns To Investment In Higher Education: A European Survey" menyatakan keputusan untuk memilih pengajian tinggi merupakan satu pelaburan kepada individu dan pulangan yang diperolehi oleh individu hasil daripada pengajian tinggi juga adalah lebih besar iaitu 10.2 peratus (%) berbanding 7.9% oleh masyarakat. Maka, adalah wajar individu membiayai sebahagian pelaburan itu daripada ditanggung keseluruhannya oleh pembayar cukai (orang awam). Pendidikan percuma anjuran parti pembangkang telah memberi isyarat yang salah dari segi harga pendidikan yang menyebabkan over-education kerana pengguna membuat keputusan yang tidak betul dari segi pelaburan pendidikan.

Kos pengajian tinggi harus dikongsi bersama oleh pembayar cukai dengan individu kerana pengajian tinggi mempunyai ciri quasi public goods. Walaupun begitu, di negara kita ketika ini di peringkat pengajian tinggi, kerajaan memberi subsidi bagi yuran yang dikenakan kepada pelajar. Umpamanya, kos program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja, yang mana 94.6 peratus diberikan subsidi oleh kerajaan. Bagi program kejuruteraan pula, kadar yuran yang sepatutnya adalah RM61,200, manakala yuran yang dibayar pelajar hanya RM5,600 iaitu 90 peratus diberi subsidi oleh kerajaan. Bagi program farmasi pula kos sebenar adalah dalam lingkungan RM51,000 dan pelajar hanya perlu membayar yuran RM6,800. Malah, yuran yang dikenakan oleh IPTA ini juga tidak pernah dinaikkan sejak 1990-an lagi.

Secara keseluruhannya, lebih 90% pembiayaan IPTA adalah bersumberkan dana awam (cukai). Pokoknya, falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian tinggi sebenarnya sebagai tanda penghargaan kepada nilai ilmu dan keilmuan. Ia sangat penting dalam meletakkan kepentingan dan nilai pengajian tinggi pada tempatnya. Bagi negara maju, mereka juga mula mengenakan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam masing-masing, antaranya United Kingdom bermula 1998. Namun bagi meringankan beban pelajar, kerajaan Britain memperkenalkan skim pinjaman pelajar. Langkah ini juga diikuti beberapa negara Eropah lain seperti Austria, Perancis, Ireland, Sepanyol, Belgium, dan Belanda. Kadar yuran yang dikenakan juga berbeza mengikut negara dari serendah 50 Euro sehinggalah 1,302 Euro. Begitu juga dengan Maghribi di mana Menteri Pengajian Tinggi dalam laman sesawang Morocco World News pada 23 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaannya untuk menghentikan pengajian tinggi percuma.

Sungguhpun terdapat negara seperti Finland, Denmark dan Norway, yang dikatakan menawar pendidikan tinggi secara percuma, namun negara-negara ini mempunyai struktur cukai pendapatan yang paling tinggi di dunia. Kadar cukai pendapatan individu di negara itu adalah antara 6.5 hingga 55.4% dan mereka juga melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (goods and services tax - GST) dan Value-added Tax (VAT) sekitar 23 hingga 25% yang belum lagi diamalkan di Malaysia. Pendapatan perkapita setahun negara-negara itu juga adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang mana Finland mempunyai pendapatan perkapita setahun sebanyak AS$48,420, Denmark AS$60,390, dan Norway sebanyak AS$88,890, manakala pendapatan perkapita Malaysia hanya AS$8,420.

Pendapatan per kapita hasil daripada cukai yang tinggi ini digunakan untuk membiayai pengajian tinggi. Ini menunjukkan sebenarnya tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara kerana pasti akan ada pihak yang membiayainya. Dalam erti kata lain, pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai oleh dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi Malaysia dengan kadar cukai 0-26% masih mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 pelajar IPTA setahun. Hujah yang menjadikan Turki sebagai contoh negara yang memberi pendidikan percuma adalah tidak tepat sama sekali. Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat tertiari dan pasca siswazah, dan keadaannya sama seperti Malaysia.

Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi dari gred 1 hingga 12 (dari umur 6 - 18 tahun). Gred 1-4 adalah sekolah rendah; gred 5-8 adalah sekolah menengah; dan gred 9-12 adalah sekolah tinggi). Malaysia juga menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 atas (dari umur 7-18 tahun) sama seperti Turki. Pada masa sama, sebahagian besar pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961 dan kadar faedah yang dikenakan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa. Kadar purata CPI untuk 2010 ialah 8.58% dan tahun 2011 ialah 6.46%. Kadar faedah tambahan sebanyak 2.5% daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai rumusan, pelaksanaan pengajian tinggi percuma akan melibatkan implikasi-implikasi yang memerlukan pertimbangan rasional agar tindakan tersebut tidak menjejaskan hala tuju negara dalam mencapai status negara maju menjelang 2020. Di samping itu, pengajian tinggi percuma tidak boleh dilaksanakan ke atas IPTS kerana ia adalah entiti perniagaan yang berasaskan keuntungan. Situasi ini, akan menyebabkan tumpuan masyarakat akan beralih kepada IPTA. Kualiti pengajian tinggi negara juga boleh jatuh kerana faktor percuma akan menghilang nilai sebenar ilmu dan sikap kebertanggungjawaban pelajar. Sehubungan itu, pada masa ini, kerajaan belum bersedia memberi pengajian tinggi percuma kerana jika dilaksanakan kerajaan terpaksa mengenakan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat. Maka di sinilah letaknya kepentingan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum penubuhan PTPTN, kerajaan hanya mampu menyediakan biasiswa untuk sekitar 26,000 orang pelajar sahaja setahun. Ini bermaksud, ramai pelajar yang layak ke IPT tidak mendapat penajaan khususnya dalam kalangan mereka yang miskin dan berpendapatan sederhana.

Namun, hari ini, PTPTN berjaya meningkatkan akses kepada pengajian tinggi di mana pada 2011 sahaja, sejumlah 227,209 orang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi dengan bersumberkan pembiayaan PTPTN. Kerajaan melihat cadangan untuk memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN adalah satu lagi janji yang populis tanpa mengkaji implikasinya. Tindakan pemansuhan PTPTN sebenarnya akan memberi kesan amat besar kepada pelajar dan negara kerana ia akan:

i. Mengehadkan akses kepada pengajian tinggi dalam kalangan pelajar miskin;

ii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS;

iii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup pelajar IPTA/IPTS, yang mana bagi pelajar IPTA hanya sekitar 15 - 30% pinjaman PTPTN digunakan untuk membayar yuran, manakala 70 - 85 % digunakan bagi menanggung kos sara hidup. Bagi pelajar IPTS pula, 70% digunakan untuk yuran dan 30% untuk sara hidup; dan

iv. Merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020

Oleh itu, kerajaan akan mengekalkan pembiayaan PTPTN. Sehingga 31 Ogos 2012, PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2,031,259 pelajar yang layak dengan komitmen sehingga pelajar tamat pengajian berjumlah RM45.4 bilion. Jumlah ini amat tinggi tetapi komitmen ini adalah pelaburan besar negara untuk manfaat rakyat dan pembangunannya.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Oktober 2012

Tiada ulasan: