JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Julai 2012

ISU GLOBAL : DUNIA BERADA DI BANYAK PERSIMPANGAN


Rencana ini ditulis oleh :
ZIN MAHMUD


Pada 28 Julai 2012, majlis pembukaan temasya sukan Olimpik dianggap paling bersejarah dari segi gilang-gemilangnya. London boleh senyum bergaya. Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan. Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan. Maka dari satu segi, Olimpik London kali ini bersejarah kerana liputan acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya facebook dan twitter.

Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi. Bukan saja tablet sedang mengubah dunia tetapi telefon pintar yang memiliki pelbagai ciri canggih seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung mampu mengatasi Apple, dengan persaingan bertambah sengit. Namun begitu, teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang mengubah pemahaman manusia terhadap kewujudan ini. Selain daripada pembinaan roket dan kapal angkasa, manusia juga mampu melakukan penyelidikan ke atas zarah-zarah yang kecil dengan menggunakan teknologi tinggi ini. Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh keduanya, mungkin pencapaian terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel Boson Higgs yang diumumkan 4 Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva, Switzerland.

Penemuan partikel ini mengesahkan teori berkaitan Model Standard fizik partikel dalam menjelaskan alam subatomik partikel asas dan daya interaksi antara mereka. Ia merupakan suatu langkah penting bagi ilmu fizik memahami alam. Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai bangsa membuat penemuan itu hanya dapat dilakukan melalui uji kaji dengan menggunakan penjana pecutan Large Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa terowong keliling 27 kilometer di bawah tanah di Geneva, Switzerland. Justeru, kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang dicapai oleh manusia dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta kemudahan bagi pencarian penemuan baru untuk ahli-ahli fizik. Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari pelbagai negara meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar dengan krisis kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui Eurozone tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan Kesatuan Eropah (EU).

Krisis ekonomi yang kini melanda Greece dan sedang merebak ke Sepanyol mengakibatkan pendapatan rakyat di sana terhakis teruk di samping meningkatkan pengangguran. Keadaan ini menggugat kepercayaan penduduk Eropah tentang kemapanan Eurozone dan EU sendiri. Jerman sebagai negara yang mempunyai kemampuan menyelamatkan sistem ini tidak jelas untuk membantu kerana bantahan penduduk mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang berkesan, penyatuan Eropah boleh tergugat kerana krisis ini. Apa yang berlaku di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap sistem ekonomi kapitalisme sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis kewangan Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu, berpunca daripada pinjaman hartanah yang tidak baik dan penyelewengan saham membawa kepada persoalan terhadap sistem kapitalisme itu. Setelah sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok Soviet terlerai, pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang menuntut penilaian semula cara manusia menjalankan kehidupan ekonominya.

Ironi global yang dimaksudkan di sini ialah dunia kapitalisme Barat, baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung kepada sebuah negara yang masih mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia mengamalkan sistem pasaran terbuka. Negara itu ialah Republik Rakyat China yang menghasilkan barangan-barangan murah untuk kegunaan seluruh dunia. Kekuatan ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di mata dunia. Suatu petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah usahanya yang berterusan untuk meneroka angkasa lepas. China yang tahun ini mengirim angkasawan wanita pertamanya, Liu Yang berazam untuk mendaratkan manusia di muka bulan. Dalam keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa, walaupun Amerika Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di pulau terpencil di Laut China Selatan. Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan Paracel. Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan Filipina. Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai munisipaliti terbarunya adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan tuntutannya ke atas kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing Macclesfield.

Kepulauan Spratly dan sebahagiannya juga dituntut oleh Malaysia, Brunei dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan Filipina. Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara kedua belah pihak. Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis China, The Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke atas pulau Jepun, Okinawa sebagai miliknya. Sejak kebangkitan China, pihak negara-negara ASEAN sedar bahawa mereka harus bersatu dan mengukuhkan diri untuk dapat berdepan dengan China. Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi ASEAN ialah Myanmar mula membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari Barat datang. Sememangnya diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur dan bersama-sama negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan untuk menghadapi cabaran ekonomi China dan India,

Tetapi malangnya ketika mana Myanmar menampakkan sinar, terserlah pula masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak kewarganegaraannya oleh kerajaan mereka sendiri. Nasib yang menimpa Rohingya ini menimbulkan kemarahan umat Islam bukan saja di negara-negara ASEAN tetapi juga di Pakistan, malah sehingga di Tunisia. Di negara-negara itu, bantahan dibuat kerana layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan Myanmar terhadap bangsa Rohingya. Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan prihatin terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka. Tunisia baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi. Apa yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia telah pun turut mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya didorong oleh media sosial.

Kini, kebangkitan itu berubah dalam bentuk perang saudara di Syria. Maka berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah pada bulan Ramadan. Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik dunia. Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam persaingan lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan lawan-lawannya. Maka apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia merestui kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan di mana Iran dan Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad. Rusia yang kembali dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda bahawa Moscow mahu memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar bagi mengimbangi Amerika. Inilah simpang-simpang baru dalam geopolitik di mana peperangan akan berterusan dalam bentuk-bentuk baru.

Walaupun kini manusia bertambah maju dari segi pemahaman sainsnya, teknologi semakin canggih dan usaha mencari sistem ekonomi dan politik yang lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan geopolitik yang membawa bersama peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan berterusan. Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan dan Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik baru. Manusia walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan membawa banyak lagi bencana pada masa mendatang.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012

ISU SOSIAL : TERJEBAK KES PENIPUAN KERANA BODOH ATAU TAMAK?


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Tidak dapat dibayangkan bagaimana kes-kes penipuan semakin meningkat. Tidak perlu merompak atau memaksa, dengan mudah sesetengah masyarakat kita mudah tertipu. Bayangkan bagaimana 740 pencagar emas palsu yang kebanyakannya penduduk kampung begitu mudah diperdaya dengan upah RM300 hingga RM800 untuk memajak emas palsu. Senang-senang sindiket penipuan hanya menggunakan taktik menyadur tembaga dengan emas berjaya mengakibatkan sebuah bank negara ini kerugian RM75 juta. Rupa-rupanya bukan sahaja bank tersebut, tetapi 11 kedai pajak gadai di seluruh negara turut diperdaya sindiket yang sama. Cuma jumlah kerugian masih dalam siasatan. Mudah betul anggota sindiket itu menipu orang kampung, kerani bank dan tauke pajak gadai.

Nampaknya mangsa penipuan tidak kira pangkat. Sudah banyak kita membaca orang yang bergelar Tan Sri dan beberapa ahli politik pun mudah ditipu. Oleh kerana mahu jalan mudah mendapatkan ijazah, ada yang sanggup membelinya konon ijazah universiti luar negara yang didalangi sebuah institusi pengajian tinggi swasta boleh meningkatkan ‘harga diri’ mereka. Sekarang macam mana perasaan mereka apabila sedar bahawa ijazah yang dikejar itu adalah palsu belaka. Khabarnya sudah ramai penerima ijazah palsu itu. Siasatan polis mendapati kebanyakan yang memiliki ijazah menggunakan nama universiti palsu luar negara itu memegang jawatan penting dalam organisasi tertentu.

Bagaimana kedudukan mereka dalam jawatan baik awam atau swasta sekarang. Jika begini caranya, mereka tidak jujur dan telah menipu majikan masing-masing. Bukan setakat institusi pengajian itu menipu pelajarnya, mereka juga penipu. Apa hukum orang yang menipu kelayakan akademik? Sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa di bulan Ramadan ini, banyak kes penipuan. Kitaran kes-kes penipuan akan berulang dari semasa ke semasa. Lihatlah bagaimana kes-kes penipuan Awang Hitam kembali diperkatakan. Cerita Awang Hitam yang jadi penggoda dan master mind pengedaran dadah sampai sekarang masih belum dapat ditangani sepenuhnya. Bilangan mereka yang bijak menipu rakyat tempatan terutama wanita yang belum berkahwin cukup hebat.

Dengan menggunakan Internet, segala kepakaran ilmu cinta palsu digunakan. Malangnya masyarakat kita mudah tergoda dan akhirnya terpedaya. Banyak yang mengalami kerugian beribu-ribu ringgit kerana ayat-ayat power Awang Hitam yang turut menggunakan khidmat warga tempatan. Kes seorang wanita tempatan bersekongkol dengan tujuh kasanova warga Nigeria untuk memperdayakan lebih 10 janda dan andartu kesunyian hingga melibatkan kerugian lebih RM300,000 bukan kes baharu. Penipuan demi penipuan berjaya dilakukan Awang Hitam. Dalam ruang e-mel peribadi anda mungkin sudah biasa menerima mesej daripada wanita yang mengaku bekerja di Eropah sedang mencari rakan kongsi untuk urus niaga batu berlian di Afrika. Sekejap pengirim e-mel mengguna nama Aminah, sekejap Siti Amirah dan macam-macam nama lain tetapi susunan dan struktur ayatnya sama sejak empat atau lima tahun lalu.

Mungkin inilah kerja kumpulan Awang Hitam bertindak licik menggunakan wanita tempatan untuk menipu rakyat Malaysia. Apa tindakan yang patut pihak berkuasa lakukan terhadap Awang Hitam? Bagaimana rakyat kita mudah tertipu? Mengikut statistik polis, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 6,586 kes penipuan melalui Internet melibatkan nilai kerugian lebih RM34 juta dilaporkan di negara ini. Kes itu meningkat 348 kes berbanding 6,238 kes jenayah siber pada tahun 2010. Peningkatan kes jenayah siber di negara kita menunjukkan golongan pengguna menjadi sasaran penjenayah untuk mengaut keuntungan mudah. Elok rasanya pihak berkuasa segera menangani kes penipuan menerusi Internet yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus bekerjasama membanteras perkara ini. Letaklah pegawai yang boleh membaca pemikiran ‘penipu’ yang mahir dalam bidang teknologi maklumat. Hakikatnya, walaupun telah diingatkan beberapa kali, tetapi sifat tamak dan inginkan wang yang lebih dalam kalangan rakyat kita menyebabkan mangsa akhirnya tertipu juga. Sebagai manusia sepatutnya kita berfikir terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang atau apa sahaja kerana kita kena membuat keputusan apatah lagi menyerahkan sesuatu kepada orang yang baru dikenali.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012

ISU PENGGUNA : TERPENGARUH TAWARAN HADIAH LUMAYAN


Rencana ini ditulis oleh :
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR


Meskipun pelbagai pendedahan dibuat oleh media massa mengenai sindiket penipuan gores dan menang, namun masih terdapat individu yang terpengaruh dengan taktik kumpulan berkenaan sehingga sanggup menyerahkan ribuan ringgit demi mendapat hadiah lumayan yang dijanjikan. Perkara itu turut menimpa Eksekutif Operasi sebuah syarikat swasta di Singapura, Ling Tien Mei, 34, ketika berkunjung ke Malaysia pada 17 Mac lalu. Kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Johor Bahru. Dia didatangi seorang lelaki dari syarikat Nilam Bumi Sdn. Bhd., yang menyatakan Tien Mei berpeluang memenangi kereta Toyota Camry jika menyertai cabutan yang disediakan. Bagaimanapun, Tien Mei perlu menjelaskan sejumlah bayaran sebelum membuat cabutan itu.

Lelaki itu kemudian membawa saya ke pejabat mereka di Taman Molek sebelum ke Senai untuk mengeluarkan wang saya sebanyak RM21,000 yang kemudian ditukar ke mata wang dolar Amerika dan euro bagi membolehkan saya membuat cabutan. Selepas membuat cabutan, mereka memberitahu saya memenangi tiga unit tilam jade, dan saya juga diberitahu jika saya tidak menang kereta, maka duit saya akan dipulangkan," katanya. Warga tempatan yang kini menetap di Singapura itu memberitahu, lelaki berkenaan juga berjanji akan membantu menjual dua unit tilam yang dimenanginya dan hasil jualan sebanyak 30 peratus akan diambil sebagai upah. Selepas pulang ke Singapura, saya merasakan ia merupakan satu penipuan dan menghubungi mereka untuk memulangkan barangan itu bagi mendapatkan kembali wang saya.

Dua minggu selepas itu, saya berjaya memperoleh wang saya semula sebanyak RM13,000 sahaja tetapi mereka enggan memulangkan baki RM8,000," katanya yang kemudian membawa kes itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Johor Bahru. Presiden tribunal, Maznah Haron yang mendengar kes itu baru-baru ini, memerintahkan Nilam Bumi membayar RM8,000 kepada mangsa dan barangan yang diperoleh perlu dipulangkan dalam tempoh 14 hari. Mangsa juga dinasihati supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian sama berulang memandangkan sindiket seperti itu bukan sesuatu yang baru.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012

26 Julai 2012

ISU SUKAN : OLIMPIK LONDON 2012 MEDAN UNTUK MENONJOLKAN DIRI


Rencana ini ditulis oleh :
HAMDAN AHMAD
Bekas Pemangku Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.


Selepas Sukan Olimpik Beijing 2008, sukan kali ini akan berlangsung bermula 25 Julai hingga 12 Ogos di kota London, sebuah kota metropolitan. London mengambil masa tujuh tahun dalam membuat persiapan bagi menganjurkan sukan berprestij ini dengan perbelanjaan £9.9 bilion (RM46 bilion). Siri Sukan Olimpik kali ini melibatkan penyertaan 10,490 atlet seluruh dunia, 302 pingat emas untuk dimenangi dan melibatkan 3.500 pegawai keselamatan. Di sini akan tertumpunya atlet-atlet hebat dunia dalam usaha mahu mempamerkan aksi-aksi hebat mereka. Antara atlet yang akan turun gelanggang di London ialah seperti Usain Bolt, Michael Phelps, Liu Xiang, Yelena Isinbayeva, Roger Federer dan ramai lagi. Ada antara atlet ini pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 dahulu dan kali ini mereka berada di kota London untuk beradu tenaga dan kehebatan dengan peserta lain untuk memenangi pingat gangsa, perak atau emas dan pada masa sama untuk memperbaiki rekod pencapaian masing-masing.

Boris Johnson, Datuk Bandar London sudah tentu menjadi individu paling sibuk ketika sukan ini berlangsung bagi memastikan semua tetamu yang datang mendapat layanan yang terbaik. Begitu juga pegawai keselamatan, mereka juga golongan paling sibuk dalam memastikan keselamatan para atlet dan pengunjung sentiasa terjamin dan bagi mengelak berulangnya tragedi Olimpik Munich 1972. Falsafah Olimpik adalah berteraskan semangat kesukanan tulen dan juga kecemerlangan pencapaian. Sejak lebih 100 tahun Sukan Olimpik diadakan, salah satu falsafah utama sukan ini diadakan adalah bagi memupuk perpaduan di kalangan para atlet dunia yang bertanding dan masyarakat dunia. Sukan sudah terbukti mampu merentasi benua dalam konteks memupuk semangat perpaduan dan kesefahaman tanpa mengira perbezaan ideologi di kalangan para atlet dan masyarakat dunia. Kita seharusnya mengangkat setinggi hormat kepada para atlet dari Syria yang turut hadir di London walaupun negara mereka dalam keadaan tidak menentu.

Setiap atlet yang bertanding akan mencuba sedaya upaya menunjukkan kehebatan masing-masing dengan semangat kesukanan tinggi seperti mana yang dituntut oleh piagam Sukan Olimpik itu sendiri. Kalah menang itu memang adat pertandingan. Hanya atlet yang hebat sahaja mampu meraih pingat. Yang lain-lain juga tetap hebat walaupun tewas dalam konteks bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi. Banyak sebab kenapa ramai atlet beria-ia untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik. Dengan memenangi pingat, para atlet akan disanjungi, dikenali dan menjadi iri hati sesetengah individu diatas kejayaan dicapai. Kejayaan yang dicapai oleh seseorang atlet itu dapat menaikkan imej negara yang diwakili di mata dunia. Sebagai contoh, sebut sahaja nama ahli sukan seperti Usain Bolt, orang ramai akan ketahui akan nama negara Jamaica. Ekonomi Jamaica mungkin tidak sehebat Amerika Syarikat, tetapi negara ini hebat kerana dibarisi pelari pecut unggul dunia. Di samping itu, para atlet yang berjaya dalam Olimpik, terutama mereka yang memperolehi pingat emas, akan dilimpahi ganjaran kewangan daripada kerajaan dan pihak swasta.

Di Malaysia baru-baru ini ada individu yang menawarkan ganjaran berupa jongkong emas bernilai RM2 juta kepada pemain badminton pertama memenangi emas di Olimpik nanti. Tawaran sedemikian sepatutnya dapat mencetus gelombang menaikkan semangat para atlet negara yang akan bertarung di London nanti. Kalaulah dengan ganjaran yang sedemikian, masih lagi atlet negara gagal meraih emas, tidak tahulah apa lagi yang harus kerajaan dan pihak swasta lakukan. Mereka telah melakukan yang terbaik untuk para atlet. Pihak kerajaan pula ada menawarkan ganjaran pencen RM3,000 sebulan untuk atlet yang berjaya meraih pingat emas. Difahamkan atlet akan dapat menikmati ganjaran pencen ini selepas Olimpik nanti. Ini amat jauh berbeza dengan kakitangan kerajaan yang hanya memperolehi pencen mereka apabila bersara. Walau apa pun yang diperkatakan, isu pokok adalah tertumpu kepada kecemerlangan sukan itu sendiri. Kecemerlangan sukan perlu ditonjolkan dan dihayati oleh para atlet dan difahami oleh masyarakat dunia.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

ISU ALAM SEKITAR : PERSPEKTIF IKIM : KEKURANGAN BEKALAN AIR BERSIH BUKAN ISU REMEH


Rencana ini ditulis oleh :
Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Air anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air banyak dinukilkan dalam al-Quran. Antaranya firman Allah bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan sungai-sungai bagimu.” (Surah Ibrahim, ayat 32)  Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun, dewasa ini bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat selari peningkatan jumlah populasi penduduk.  Mungkin timbul persoalan mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai sumber air yang banyak di sekeliling kita.

Sebenarnya, keadaan ini timbul ekoran peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan mengakibatkan berlakunya pencemaran terhadap sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita dalam krisis yang meruncing untuk mendapatkan bekalan air bersih mencukupi bagi menampung segala aktiviti seharian.  Bukan itu saja, terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan bekalan air bersih antaranya peningkatan suhu global yang menyebabkan kadar kehilangan air berlaku lebih cepat akibat proses penyejatan air yang tinggi ke atmosfera. Selain itu, pencemaran akibat pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak pelupusan sampah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir ke sungai dan sumber air bersih lain.  Pengaliran sampah dan sisa toksik ini akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih semakin berkurang. Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air bawah tanah, sumber bekalan air bersih yang sepatutnya dipelihara juga semakin berkurangan.  Situasi ini terjadi kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa hari ini hingga menjejaskan kawasan tadahan air.

Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah, sebaliknya terus mengalir ke sungai.  Keadaan ini mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan mutu bekalan air.  Kekurangan bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat. Contohnya, akibat kekurangan sumber air bersih untuk minuman menyebabkan berlakunya dehidrasi (kekurangan air dalam badan) selain menyebabkan berlaku penyakit seperti taun kerana meminum air tercemar.  Masalah kekurangan bekalan air turut memberi kesan terhadap sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang. Air yang tercemar turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian seterusnya memberi kesan terhadap bekalan makanan serta kadar pertumbuhan ekonomi negara.  Melihat kesan bakal dihadapi akibat kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita bermuhasabah diri dan berusaha menanganinya. Kesedaran awal memelihara dan memulihara sumber bekalan air penting bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi.

LANGKAH-LANGKAH

Langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih ialah dengan memperbanyakkan loji rawatan air bagi membolehkan air sungai, air tasik dan air dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.  Selain itu, peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting bagi membantu menambah sumber bekalan air bersih. Aktiviti R&D secara proaktif akan membuka laluan lebih luas kepada penciptaan alatan moden dan canggih bagi merawat air buangan secara efektif. Melalui R&D juga air laut boleh diproses untuk dijadikan air minuman.  Langkah seterusnya ialah menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan bekalan air bawah tanah dapat dimaksimumkan. Oleh itu, segala aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan perlu dipantau dan dikawal supaya dapat menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air.  Di samping itu, pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Sudah tiba masanya kita memikirkan dengan lebih serius isu kekurangan bekalan air bersih yang bukan saja melanda negara kita, tetapi juga negara lain di seluruh dunia.  Pembabitan seluruh masyarakat dalam usaha memulihara sumber air penting untuk mengatasi kemelut ini. Mudah-mudahan kesedaran itu dapat mempertingkatkan lagi tahap kebersihan sumber air untuk diwarisi anak cucu kita.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

ISU SOSIAL : BUAT ANAK, KEMUDIAN JUAL


Rencana ini ditulis oleh :
MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


Pengarah Urusan Rumah Jagaan Kanak-Kanak Nur Salam di Chow Kit, Kuala lumpur, Hartini Zainudin, 50, mendedahkan, masih ada kes bayi dan kanak-kanak gelandangan yang dijual serta menjadi mangsa kegiatan pelacuran di Malaysia. Hartini yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak khususnya di Chow Kit memberitahu, banyak faktor yang menyebabkan golongan itu mudah terjerat. Menurut beliau, ada sebahagian kanak-kanak dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, kemudian apabila dewasa mereka kononnya akan berkahwin dan hidup bahagia. Namun, ada yang lebih malang apabila mereka dijual keluarga sendiri atau diculik oleh sindiket sebelum dijual.

Kanak-kanak didefinisikan oleh undang-undang antarabangsa sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Kata Hartini, kebanyakan remaja digunakan untuk pelacuran atau seks manakala kanak-kanak bawah 10 tahun dieksploitasi sebagai peminta sedekah. Malang kepada bayi pula, mereka dijual dengan harga tertentu kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Bayi yang dijual berharga antara RM2,000 hingga RM10,000 manakala kanak-kanak antara RM1,000 hingga RM3,000. Hal ini berlaku kerana ibu bayi tersebut tidak mampu menyara mereka selain tekanan yang diberikan oleh ibu dan juga bapa ayam. Itu menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad menjual sahaja bayi tersebut.

Bukan warganegara

Hartini memberitahu, kerajaan kini memandang serius isu pemerdagangan orang terutamanya bayi dan kanak-kanak dengan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Kebanyakan wanita yang melahirkan bayi terdiri daripada wanita yang terlibat dengan kegiatan pelacuran. Ada dalam kalangan mereka yang bukan warganegara seperti wanita Vietnam dan Myanmar serta tidak mempunyai dokumen diri. Ini mendorong mereka mengambil jalan mudah dengan menjualkannya sahaja bayi mereka. Akhirnya, apabila bayi itu dewasa kelak mereka terdedah kepada pelbagai perkara negatif termasuk melakukan jenayah akibat tidak mempunyai pelajaran serta tidak mendapat kemudahan kesihatan dan makanan yang secukupnya. Tutur Hartini, sebanyak 80 peratus kanak-kanak gelandangan tidak mempunyai identiti diri apatah lagi hak kewarganegaraan. Ini kerana proses untuk mengenal pasti keturunan mereka mengambil masa selama bertahun-tahun di samping menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tambah beliau lagi, warga tempatan sekali pun cukup sukar untuk mengesan ibu bapa sebenar mereka inikan pula warga asing. Tetapi lebih baik kita menjaga dan memenuhi keperluan mereka daripada membiarkan hidup mereka terus terumbang-ambing. Bagi Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, mangsa jenayah pemerdagangan manusia di negara ini sering dijanjikan dengan pelbagai harapan sebelum diperdaya. Mangsa jenayah ini direkrut dengan cara tipu helah, pujuk rayu, janji-janji palsu, paksaan, kekerasan, godaan, ancaman, penculikan dan pemalsuan. Mereka kemudian dieksploitasi dalam bentuk seks, pelacuran, buruh paksaan, perhambaan, peminta sedekah, penjualan bayi dan pemindahan organ manusia oleh seseorang atau kumpulan yang inginkan keuntungan. Tambah Faridah, jenayah tersebut merupakan satu bentuk perhambaan zaman moden apabila manusia dijadikan barangan dagangan yang membawa keuntungan lumayan. Sehingga kini kira-kira 70 peratus mangsa jenayah ini merupakan wanita kerana golongan tersebut dilihat mampu memberikan keuntungan lumayan kepada sindiket terbabit selain mudah terpedaya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

25 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : PATUT ATAU TIDAK PELAJAR SEKOLAH DIROTAN?


Rencana ini ditulis oleh
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.

Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu. Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan. Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.

Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah. Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti. Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.

Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan. Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah. Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.

Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan. Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali. Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal. Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.

Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut. Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.

Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan. Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut. Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
25 Julai 2012

24 Julai 2012

ISU NEGARA : RUPA BENTUK MALAYSIA PASCA 2020


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Pada 19 Julai 2012 yang lalu, Dewan Bankuet, bangunan Parlimen dipenuhi 542 pemimpin muda daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) yang hadir bagi membincangkan mengenai hala tuju negara selepas 2020. Perbincangan ketika Konvensyen Pemimpin Muda Negara 2012 yang diadakan separuh hari itu adalah bagi menentukan rupa bentuk Malaysia selepas negara ini mencapai status negara maju. Seriusnya kerajaan untuk mendapatkan pandangan orang muda berhubung dengan masa depan negara itu terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri turut hadir. Bukan sekadar hadir, malah kedua-dua pemimpin itu turut menyampaikan amanat untuk dikongsi dengan generasi muda terbabit. Menurut Najib, golongan belia seharusnya mengemukakan idea-idea baru bagi membolehkan kerajaan melakukan lebih banyak perubahan secara beransur-ansur untuk kebaikan masyarakat. "Transformasi secara beransur-ansur ini adalah yang terbaik berbanding langkah pihak tertentu yang mengajak generasi muda untuk bersama-sama mereka terlibat dengan demonstrasi jalanan dan revolusi bagi menjatuhkan kerajaan dengan kadar segera," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin pula menceritakan pengalamannya mendidik anak-anak beliau yang masing-masing mempunyai pandangan sendiri dalam memilih kerjaya yang hendak diceburi. "Saya tidak menghalang kerjaya yang hendak diceburi anak-anak walaupun saya pada mulanya terkejut juga kerana ia adalah bidang yang saya sendiri tidak terfikir," ujarnya. Jelasnya, berdasarkan pengalaman itu, beliau menyedari bahawa pandangan generasi muda perlu dihargai kerana setiap mereka mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh disumbangkan bagi menambah baik negara. "Anda adalah waris yang akan mengambil alih pimpinan dalam masyarakat dan negara. Anda akan menjadi penentu tentang masa depan negara," katanya. Sesi forum bertajuk Hala Tuju Negara: Kepimpinan Pasca tahun 2020? yang menampilkan dua ahli panel iaitu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow pula sarat dengan idea-idea bernas. Menurut Khairy, generasi muda perlu berani untuk melontarkan idea-idea baru bagi memastikan matlamat untuk mewujudkan perpaduan kaum yang lebih mantap tercapai.

Katanya, antara idea yang boleh difikirkan adalah kemungkinan untuk diwujudkan satu kontrak sosial baru. "Kontrak sosial baru ini melibatkan persetujuan semua kaum termasuk masyarakat Cina dan India untuk mewujudkan hanya satu sistem persekolahan iaitu sekolah kebangsaan. Sebagai timbal balas, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hendaklah dibuka untuk kemasukan bukan bumiputera," jelasnya. Menurut beliau, antara ciri-ciri lain masyarakat pasca 2020 ialah mereka tidak terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan yang kini mencecah sehingga RM20 bilion setahun. "Kita harus menamatkan ketagihan kepada subsidi. Saya hairan kerana pihak pembangkang masih bersikap seperti saudagar mimpi apabila menawarkan pelbagai pemberian percuma kepada rakyat kerana ia tidak baik untuk masa depan negara," katanya. Chang Yeow pula, dengan nada berterus terang menyatakan langkah untuk mewujudkan perpaduan kaum hanya boleh dicapai jika segala dasar-dasar yang mengutamakan kaum tertentu dihapuskan selepas 2020.

Beliau menceritakan pengalaman sendiri yang pernah menuntut di sekolah aliran kebangsaan, apabila dirinya 'terasa hati' setelah tidak mendapat Biasiswa Persekutuan yang ketika itu lebih diutamakan kepada pelajar Melayu. "Perpaduan tidak dapat diwujudkan jika semua dasar yang dilaksanakan hanya melihat kepada kepentingan satu kaum sahaja," katanya. Beliau menambah, sebarang bantuan sama ada pendidikan atau ekonomi harus diberikan kepada mereka yang benar-benar layak tanpa mengira latar belakang etnik. "Hanya dengan cara ini sahaja pergeseran antara kaum dapat dielakkan," ujarnya. Tambah beliau, perpaduan antara kaum akan dapat dimantapkan lagi sekiranya setiap rakyat dapat menerima budaya kaum lain dan menganggap ia sebagai kebudayaan Malaysia yang dikongsi bersama. "Terdapat perkembangan positif dalam aspek ini apabila pihak pembangkang sendiri telah dapat menerima syarat memakai songkok pada majlis rasmi. Pihak kerajaan juga saya dapati tidak lagi mensyaratkan setiap persembahan tarian singa perlu mendapat permit terlebih dahulu seperti amalan sebelum ini," katanya. Dalam perkembangan lain, Chang Yeow berkata, golongan terpelajar ketika pasca 2020 seharusnya membuang jauh-jauh mentaliti untuk bekerja makan gaji dan sebaliknya perlu mengutamakan budaya untuk menjadi seorang usahawan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman, SAC Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin mengingatkan para belia supaya sama-sama memberi sumbangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat. "Untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai, masyarakat perlulah mengubah sikap yang tidak berbuat apa-apa apabila melihat kejadian jenayah berlaku dengan alasan ia tidak melibatkan mereka," katanya. Ujarnya, kerjasama setiap rakyat adalah penting kerana pihak polis menghadapi kesukaran untuk menangani kegiatan jenayah khususnya gerakan militan Islam dan komunis berikutan pemansuhan akta-akta bersifat pencegahan. "Kita akui ketiadaan akta sedemikian menyukarkan polis menangani ancaman terkini termasuk penyusupan individu yang mempunyai kaitan dengan Jemaah Islamiah dan komunis ke dalam parti pembangkang," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama. Beliau berkata, cabaran lain membabitkan lahirnya banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang dibiayai pihak asing dengan matlamat untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
24 Julai 2012

23 Julai 2012

ISU UMUM : CABARAN DALAM MENINGKATKAN INTEGRITI PEJAWAT AWAM


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM


Keseriusan kerajaan dalam meningkatkan integriti dan mengekang jenayah rasuah di kalangan pegawai awam jelas menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan program yang diperkenalkan sejak sedekad lalu. Antaranya menjadikan rasuah sebagai salah satu daripada bidang penting yang ditekankan dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Untuk itu, sebanyak 27 inisiatif telah dan sedang dilaksanakan dengan giatnya menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA Berkaitan Rasuah. Apa yang menjadi faktor paling kritikal dalam memastikan usaha meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam, sebenarnya bukanlah terletak pada hanya kesungguhan kerajaan. Kesungguhan itu juga perlu datang dari kepimpinan agensi kerajaan dan menuntut semua lapisan warganya untuk berubah. Sejak kebelakangan ini, terdapat perubahan yang boleh dibanggakan ditunjukkan oleh kalangan anggota perkhidmatan awam berbanding sedekad lalu. Hakikatnya, tahap kesedaran para pegawai awam terhadap integriti dan semangat anti-rasuah jelas meningkat. Namun demikian, masih banyak ruang boleh diperbaiki untuk menjadikannya unggul di kaca mata masyarakat.

Berdasarkan perangkaan SPRM sepanjang sembilan tahun iaitu 2003 hingga 2011, secara keseluruhannya, purata tangkapan ke atas penjawat awam adalah seramai 260 orang setahun. Berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di Malaysia iaitu 1.4 juta orang, peratusannya adalah terlalu kecil iaitu sekitar 0.018 peratus sahaja. Walaupun kelihatan kecil namun jika tidak dibendung ia mampu meruntuhkan negara. Pegawai awam dilihat mempunyai kuasa dan kuasa ini jika disalahgunakan boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk. Trend perubahan ke arah pembudayaan integriti dan anti-rasuah di kalangan pegawai awam jelas ketara bermula 2009. Terdapat pengurangan yang jelas dari segi jumlah tangkapan ke atas penjawat awam berbanding tangkapan ke atas sektor swasta dan orang awam. Kempen Perangi Pemberi Rasuah benar-benar menghasilkan impak yang besar dalam sejarah pencegahan rasuah di negara ini. Sejak pelancarannya pada 2009, jumlah penjawat awam dan swasta yang ditangkap kerana cuba menyogok pegawai awam melonjak begitu tinggi. Dalam 2009 misalnya, jumlah tangkapan keseluruhan SPRM ialah seramai 500 orang kerana ditangkap cuba memberi rasuah seramai 98 orang. Melonjak melebihi empat kali ganda iaitu seramai 424 orang dalam 2010 dan 389 orang dalam 2011. Jumlah wang sogokan bermula dari RM50 ke angka RM1 juta.

Perubahan BPR kepada SPRM dalam 2009 sebenarnya membawa kepada perubahan dari segi pendekatan dan strategi pencegahan rasuah di negara ini. SPRM menetapkan tiga bidang utama iaitu penguatkuasaan, perolehan (sebut harga dan tender awam) dan projek mega kerajaan sebagai fokus utamanya. Beberapa kelemahan yang selama ini menghalang usaha pencegahan rasuah dikenal pasti, antaranya tanggapan bahawa tanggungjawab memerangi rasuah terletak di tangan SPRM semata-mata, kurangnya inisiatif agensi awam untuk mencegah rasuah; mekanisme kawalan dalaman yang longgar dan tidak sempurna dan kesalahan rasuah tidak dianggap sebagai kesalahan berat bagi kes tatatertib. Terdapat segelintir ketua yang menganggap tugas mencegah rasuah adalah tanggungjawab SPRM. Justeru, pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah bukan merupakan agenda utama. Yang lebih penting menjaga suasana harmoni dan semangat esprit de corp di kalangan pegawai/staf. Jika tindakan keras diambil dan pembudayaan anti-rasuah menjadi berkesan maka ia kononnya akan mewujudkan suasana kurang selesa dan syak wasangka sesama anggota.

Perkara yang lebih disesalkan ialah sikap kasihan kepada pesalah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Bagi SPRM, siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata. Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Namun, atas dasar simpati, suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja. Perangkaan SPRM sepanjang 10 tahun lalu berhubung kes tatatertib jelas menunjukkan sebanyak 1,957 laporan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi. Daripada jumlah itu, hanya 60 kes dikenakan hukuman buang kerja. Sebaliknya, 979 atau 50% dikenakan surat amaran yang tidak mendatangkan apa-apa kesan deterrent. Ini jelas menunjukkan tiada istilah serius dalam kes-kes yang melibatkan perbuatan jenayah rasuah. Cabaran utama yang perlu diperbaiki dalam memastikan kelangsungan program pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah melibatkan dua pendekatan strategik yang dikenal pasti SPRM iaitu memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam dan memperkukuhkan SPRM.

Justeru, dalam konteks memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam, SPRM telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan model pencegahan rasuah yang berbentuk kawalan dalaman menerusi penubuhan Unit Integriti di kementerian, jabatan Persekutuan dan negeri. Model unit ini sama seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan. Di AS ia lebih dikenali sebagai Inspector General Office (IGO). Unit ini diwujudkan di jabatan-jabatan berisiko tinggi dan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan menjalankan siasatan ke atas kes-kes berkaitan integriti, rasuah dan lain-lain jenayah yang melibatkan warga agensi terbabit. Mengambil contoh di AS, unit integriti New York Police Department (NYPD) ditubuhkan dengan keanggotaan seramai 700 orang bagi memantau 35,000 pegawai polis di NYPD iaitu nisbah 1:50 manakala Pihak Berkuasa Pelabuhan New York mempunyai keanggotaan 70 orang bagi memantau 7,000 pekerjanya iaitu nisbah 1:100. Idea berhubung penubuhan Unit Integriti di agensi-agensi kerajaan ini disambut baik. Buat masa ini, empat agensi telah mewujudkan unit ini iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM sendiri. Pegawai-pegawai SPRM akan dilantik dan ditempatkan sebagai Ketua Unit Integriti di agensi-agensi terbabit.

Perubahan status daripada BPR ke SPRM dalam 2009 sebenarnya selari dengan perubahan besar kepada budaya kerja dan sistem operasi SPRM secara keseluruhannya. Bermula dengan Pelan Strategik SPRM 2011-2013, tiga bidang utama diperkukuhkan termasuk memperkenalkan sistem pengurusan siasatan berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan dan pembangunan serta pemantapan modal insan SPRM secara menyeluruh. Jawatankuasa Eksekutif Transformasi yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Penasihat SPRM dibentuk bagi memacu proses transformasi. Kesan kepada proses transformasi ini jelas memantapkan SPRM dari segi memperbaiki struktur organisasi, memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan kompetensi, memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa masuk tenaga pakar yang berkepakaran tinggi bagi meningkatkan operasi SPRM.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : TELEFON BIMBIT, KEWUJUDAN PELBAGAI KONFLIK


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Biarpun baru memasuki frasa cadangan, isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza. Pelbagai pendapat pro dan kontra dibentangkan selain melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat masing-masing. Hakikatnya, isu berkenaan bukan baru malah sebelum ini sudah ada cadangan melaksanakannya namun tidak menjadi kenyataan. Yang menjadi teras persoalan ialah apakah kebaikan atau keburukan bakal dihadapi sekiranya ia direalisasikan mahupun jika tidak berjaya dilaksanakan. Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zuroni Md Jusoh berkata, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar tidak menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik pola kehidupan pelajar, guru dan sekolah.

Menurutnya, institusi sekolah biarpun tertakluk pada dasar ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira dan diteliti supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak. “Sekolah keseluruhannya adalah aspek terpenting jika ingin melaksanakan atau tidak cadangan ini kerana sebarang tindakan diambil pasti merombak atau merubah situasi sedia ada. Dengan kata lain pihak terbabit perlu melihat dan menilai kemampuan, keupayaan mahupun persediaan sekolah dalam menangani apa jua keadaan berbangkit jika kebenaran ini diberi atau sebaliknya. Ini membabitkan institusi sekolah yang menjadi antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, perbincangan, kajian, pandangan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian mendalam supaya tidak menjadi isu lain kelak”, katanya. Tidak mahu bersikap skeptikal, beliau memberi contoh beberapa senario bakal timbul jika ia dilaksanakan.

Beliau berkata, jika direalisasikan, perkara asas bakal dihadapi ialah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap kecil namun boleh merosakkan masa depan pihak sasaran. “Antaranya, konflik sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana pelaksanaan itu boleh dianggap landasan mewujudkan ‘ketegangan’ emosi kedua pihak. Bayangkan, apa reaksi ibu bapa jika anak pulang dari sekolah dan mengadu guru marah kerana bertelefon. Adakah mereka boleh berdiam diri biarpun kesalahan mungkin datang daripada pelajar. Melihat reaksi ibu bapa hari ini, saya yakin keadaan pasti menjadi panas. Nampak kecil tapi kesannya boleh berpanjangan dan menimbulkan konflik lain pula hingga meruncingkan keadaan yang sudah sedia runcing ini. Jadi tidakkah ia akan mengganggu kehidupan mahupun privasi pihak lain pula?” katanya.

CIKGU ZUL RASA ADA RASIONALNYA CADANGAN INI, CUMA PELAJAR HARUS MATANG DAN BIJAK MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT YANG DI BAWA SERTA MENJAGANYA DENGAN BAIK. JANGAN SAMPAI LEPAS INI MASALAH KECURIAN TELEFON BIMBIT MENGANGGU TUGAS GURU DALAM MENYAMPAIKAN ILMU


Pada masa sama katanya, konflik ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan wujud kerana pertambahan bebanan kewangan menambah nilai kad telefon yang digunakan anak. “Kita maklum, semuanya bukan percuma. Diberi pula pada pelajar yang rata-ratanya memang gila melakukan pembaziran air liur.  Bukankah ini turut mengganggu perjalanan ekonomi ibu bapa yang kini semakin sesak bergelut dengan kos sara hidup yang menjulang. Ini bakal mengundang konflik dalam keluarga pula. Saya percaya bukan semua ibu bapa mampu mengadakan kemudahan itu (telefon bimbit atau gajet). Jika tidak dituruti, cuba bayangkan apakah tindakan yang mereka akan lakukan semata-mata ingin memenuhi keperluan itu,” katanya tidak menyangkal akan wujud masalah sosial lain semata-mata mahu memuaskan kehendak hati. Pelajar golongan remaja yang sedang mencari identiti diri. Mereka sukakan perhatian, persaingan, dikenali serta berfikiran singkat dan kurang matang.



Sudah pasti tidak mustahil mereka rela mengikut kata hati. Jika ibu bapa tidak mampu memenuhi keinginan mereka, bayangkan pula tindakan bakal diambil pelajar berkenaan. Adakah mereka kisah mengenai soal maruah, alasan logik, kesusahan dan sebagainya? “Tidak kerana yang penting ialah tidak mahu ketinggalan mahupun diperlekehkan rakan lain Jalan paling mudah terbabit dengan gejala sosial bagi memperoleh apa diingini,” katanya. Ramai pihak juga ternyata kurang setuju dengan cadangan itu yang beranggapan seperti memanjangkan lagi langkah pelajar ke arah aspek negatif. Antaranya bakal menyebabkan kurang tumpuan di kelas, meluaskan pergaulan alam maya yang memungkinkan melonjakkan lagi tragedi sosial dan sebagainya. Beliau juga berpendapat, apa dilakukan sekolah hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa ia mudah untuk memantau pergerakan pelajar kurang praktikal. “Pelajar sekarang adalah anak generasi teknologi, mereka bijak memanipulasi keadaan mahupun mencipta alasan. Telefon bimbit bukan jaminan mereka tidak berbohong. Masih ada cara lain ibu bapa boleh memantau pergerakan anak seperti mengenal pasti siapa rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya.  Saya percaya kalau ibu bapa tidak bersikap lepas tangan, pergerakan anak boleh dipantau dengan baik. Tidak perlu telefon bimbit sebagai pengantara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan keperluan telefon bimbit untuk pelajar dalam usaha mendedahkan mereka dengan penggunaan teknologi global. “Kepentingan itu tetap ada dan kita juga tidak boleh menyekat daripada belajar atau tahu mengenainya. Sebab itu kebanyakan sekolah sudah menggunakan kaedah pembelajaran berbentuk moden sebagai alat bantuan mengajar mahupun menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat dan sebagainya. Apakah kemudahan itu tidak cukup untuk memberi pendedahan teknologi hingga memerlukan gajet atau telefon bimbit bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih seronok atau tidak ketinggalan. Justeru memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya nanti akan disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran lebih utama,” katanya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012