Rencana ini ditulis
oleh:
Tan Sri Alimuddin
Mohd Dom
Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad
Jika saya bertanya
kepada anda bolehkah namakan 10 orang guru yang pernah mengajar anda semasa
belajar di peringkat pra sekolah hingga tamat sekolah menengah? Sekiranya anda
boleh memberikan nama penuh ke semua orang guru itu dan dapat membayangkan
wajah mereka di minda maka anda dikira terdiri daripada kategori orang
cemerlang. Tetapi andai kata tidak seorangpun nama guru yang diingati dan tidak
terbayang langsung wajah mereka maka anda bolehlah digolongkan dalam kumpulan
lemah memori atau golongan kurang cerdik kerana tidak prihatin terhadap orang
yang pernah mendidik dan tidak jemu-jemu menyampaikan ilmu pengetahuan. Tidak
dapat dinafikan bahawa gurulah di antara orang yang banyak berjasa kepada kita
semua. Tanpa mereka mungkin hari ini kita tidak pandai membaca, menulis atau
mengira. Kerana merekalah minda kita terbuka dan keluar dari kepompong dengan
melihat jendela dunia dari sudut yang lebih luas.
Guru dapat membantu
seseorang untuk berjaya dalam mengejar cita-cita. Guru berkesan kerap memberi
bimbingan, mencabar keupayaan dan membakar semangat anak muridnya supaya berani
mencuba dan tidak mudah berputus asa. Menurut Wikipedia, ‘guru’ daripada
perkataan Sanskrit yang bermaksud orang yang mengajar sesuatu ilmu. Hari ini
‘guru’ merujuk kepada pendidik profesional dengan tugas utama mendidik,
mengajar, membimbing, mengarah, melatih dan menilai anak muridnya. Guru bertugas
mulai peringkat awal kanak-kanak hingga ke peringkat menengah atas. Mereka
mempunyai kelulusan dan kelayakan tertentu serta mendapat latihan secara
formal. Dalam melaksanakan tugas mengajar sama ada di sekolah kerajaan atau
swasta mereka perlu patuh kepada garis panduan serta diikat dengan peraturan
dan etika perguruan.
Bagi meningkatkan
kualiti guru, Kementerian Pelajaran telah menyediakan Standard Guru Malaysia
(SGM) merupakan panduan kompetensi profesional yang seharusnya dicapai oleh
guru. Oleh itu, institusi dipertanggungjawabkan akan membantu guru bagi
mencapai kemahiran yang telah ditetapkan. Dalam usaha menjadikan Malaysia
negara maju melalui Wawasan 2020 guru berperanan melahirkan modal insan yang
kreatif, inovatif, berpengetahuan, mahir ICT, menguasai ‘soft skills’ dan
berdaya saing. Untuk mencapai hasrat itu latihan guru dimantapkan, mengetatkan
pemilihan bakal guru, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru,
menambah baik laluan kerjaya dan menjaga kebajikan mereka. Di negara kita bilangan
guru di sekolah kerajaan mencecah 400,000 orang yang berkhidmat hampir di
10,000 buah sekolah. Golongan ini boleh dikatakan bernasib baik jika
dibandingkan dengan rakan mereka yang berkhidmat di sekolah swasta atau sekolah
agama rakyat.
Jika dibuat
perbandingan mereka menerima gaji lebih tinggi, peluang kenaikkan pangkat lebih
banyak, kemudahan rawatan di hospital, skim pinjaman perumahan dan kenderaan
serta kemudahan persaraan. Satu lagi kelebihan yang tidak disedari ialah
peluang bertugas di tempat pilihan sendiri. Ini disebabkan di negara kita
terdapat institusi sekolah di seluruh pelosok tanah air dan mungkin ada di
antaranya menjadi pilihan mereka. Akibat perubahan zaman maka tugas guru masa
kini adalah lebih mencabar jika dibandingkan dengan masa lampau. Peranan guru
sebagai penyampai ilmu pengetahuan sebahagiannya telah diambil melalui
kecanggihan ICT. Maklumat boleh didapati dengan cepat dan lengkap melalui
Internet serta bahan elektronik yang lain. Oleh itu, guru perlu bertindak bijak
dengan mendahului murid dari segi penguasaan ilmu pengetahuan. Mereka perlu
membuat persediaan awal dengan melakukan rujukan daripada berbagai sumber
sebelum berhadapan murid di bilik darjah.
Demikian juga
persepsi ibu bapa terhadap guru turut berubah. Jika masa dahulu ibu bapa yang
menghantar anak ke sekolah memberi kuasa penuh kepada guru mendidik anak mereka
termasuk membenarkan denda secara fizikal sekiranya anak itu nakal atau tidak
mematuhi arahan. Tetapi kini keadaannya berlainan. Guru tidak boleh mendenda
murid secara fizikal. Di setengah sekolah guru dilarang memarahi atau
mengeluarkan perkataan kasar walaupun murid melakukan kesalahan. Mereka
digalakkan memberi nasihat atau bimbingan secara kaunseling. Kerap kita
mendengar ada ibu bapa yang mengambil tindakan undang-undang atau memberi
amaran kepada guru yang menghukum anaknya. Lebih malang lagi ada murid yang
mencalar kereta guru jika mereka tidak suka kepada seseorang guru. Ini adalah
sebahagian dilema yang dihadapi oleh guru dalam menangani kerenah murid.
Selepas menamatkan
latihan perguruan tidak semua guru dapat mengajar di sekolah yang menjadi
pilihan mereka. Ada di kalangan mereka ditempatkan jauh di pedalaman atau di
pulau-pulau terpencil. Cuba bayangkan jika kawasan tersebut tidak mempunyai
kemudahan elektrik dan air sudah tentu ada di antara guru mengalami kejutan di
tempat baru itu. Dari segi tempat tinggal pula tidak semua sekolah menyediakan
kemudahan rumah guru. Ada yang terpaksa tinggal di bilik kecil yang terdapat di
bangunan sekolah. Ini disebabkan tidak terdapat rumah yang boleh disewa dan
lokasi sekolah pula jauh dari kawasan perumahan. Sebagai penjawat jawatan awam
mereka perlu akur dan patuh mengikut perintah walau di mana mereka ditempatkan.
Tidak dapat dinafikan cabaran yang paling besar dihadapi oleh guru ialah sikap
negatif murid terhadap pengajaran guru. Tidak mudah untuk menarik perhatian
murid jika mereka sendiri tidak berminat untuk belajar. Di samping itu guru
perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mereka mengikut tahap kebolehan murid.
Cuba bayangkan jika
terdapat 40 murid dalam sebuah kelas guru terpaksa kerap menyesuaikan
pendekatan pengajaran agar semua murid dapat menghayatinya. Sikap tidak minat
belajar boleh membawa kepada ponteng kelas dan ponteng sekolah. Akibatnya
kemajuan pelajaran akan terganggu dan boleh menyebabkan gagal dalam
peperiksaan. Bagi ibu bapa yang tidak memahami tingkah laku anak lantas
menyalahkan guru atas kegagalan tersebut. Untuk membantu tugas guru maka ibu
bapa perlu turut berperanan mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka.
Bimbingan dan tindak ikut berterusan perlu dan tidak hanya menyerahkan tugas
mendidik kepada guru. Ibu bapa juga disaran menganggap guru sebagai rakan.
Hubungan secara bersemuka perlu kerap dilakukan terutama sekiranya terdapat
sebarang perubahan pada diri anak. Rasa setiakawan dengan guru perlu sentiasa
disematkan pada diri ibu bapa. Ambillah tindakan segera sekiranya dihubungi
oleh guru.
Sempena Hari Guru
yang dirayakan setiap 16 Mei anda dicadang mengirimkan sekeping kad ucap
selamat kepada bekas guru yang pernah mengajar anda atau yang sedang mengajar
anak anda. Atau setidak-tidaknya apabila bertemu mereka ucapkanlah ‘Selamat
Hari Guru’ dan ‘Terima Kasih Cikgu.’
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan