Oleh Ruhaiza Rusmin,
Mohd Rifaat Abd Hamid dan Ihsan Noorzali
Sambutan Hari Guru 16
Mei setiap tahun menjadi simbolik pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik
yang tidak jemu melahirkan insan berjaya dan terbilang. Sama ada pengetua,
pensyarah atau guru semuanya berjasa biarpun zaman sudah menjengah alaf baru
dengan pelbagai tanggung jawab yang kian sukar serta mencabar. Malangnya, di
tengah kelelahan golongan terbabit mendidik anak bangsa, masih ramai yang
mempertikaikan kredibiliti dan integriti guru hingga mencemarkan imej mereka. Pelbagai
permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan, guru perlu bersedia dan
mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia pendidikan global zaman
millennium. Justeru, persediaan apakah yang perlu ada bagi golongan terbabit
mengharungi dunia pendidikan era baru?
Pensyarah Jabatan
Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib, berkata, guru zaman
millennium perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi
mengemudi masa depan dunia pendidikan. Beliau berkata, itulah cabaran utama
yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebagai persediaan berdepan pelbagai
kerenah tidak terjangka dunia pendidikan global. “Sebagai guru alaf baru,
kerenah bukan saja merangkumi aspek pematuhan tugas dan dasar malah mengawal
selia pelajar selain memastikan standard ditetapkan tercapai. Aspek itu bukan
mudah kerana penanda arasnya sentiasa berubah selain menguji sejauh mana
ketahanan guru. Ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, lebih penting
kekuatan emosi bagi mengelak tekanan. Guru zaman ini harus menyediakan perisai
untuk menghadapi segala kemungkinan itu lebih awal,” katanya.
Tahun ini, tema ‘Guru
Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ menggambarkan betapa
besarnya tanggungjawab dan peranan guru menjana transformasi pendidikan selari
tuntutan semasa. Bagaimanapun, imej guru yang tinggi di mata masyarakat kini
juga terpalit dengan isu luar jangkaan. Apatah lagi dengan kuasa kian terbatas
menyebabkan ada menganggap guru hari ini sekadar menjalankan tugasan
semata-mata tanpa sokongan komitmen tinggi. Beliau berkata, biar apapun
tohmahan dilemparkan, guru perlu meletakkan rasa tanggungjawab di tangga
tertinggi selain memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran. “Ini
membolehkan mereka berfungsi sebagai pencetus, pembentuk, pengajar dan pendidik
kepada anak bangsa. Bukankah mereka antara idola yang baik dan sering menjadi
rujukan? Guru perlu sentiasa bersikap profesional, berusaha dan sabar menangani
keadaan. Kebijaksanaan dalam berfikir
dan menentukan tindakan perlu kerana masyarakat masa kini sangat peka,”
katanya.
Guru, katanya ada
pelbagai kategori. Pertama, memang mahu menjadi guru dan mampu memberikan komitmen
diri yang baik terhadap tugasan. Mereka puas jika melihat pelajar berjaya dan
tidak mengharapkan balasan. “Kedua, bercita-cita menjadi guru pada peringkat
awal namun tidak bertahan kerana gagal mengikut rentak dan ketiga menjadikan
profesion ini sebagai pilihan terakhir,” katanya. Pendapatan guru di negara ini
juga, akuinya, tidak setimpal dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya
lain berbanding guru di negara maju. “Ini juga salah satu sebab mengapa ada
kurang bermotivasi menjadi guru dan melaksanakannya kerana terpaksa. Berbeza di
luar negara, mereka bertindak profesional kerana kerjaya itu memang
profesional. Bagaimanapun jangan jadikan
ia alasan bertugas sambil lewa. Guru pemegang amanah, justeru laksanakan dengan
jujur dan ikhlas,” katanya.
Guru juga, akuinya,
tidak boleh membandingkan kegemilangan zaman pendidikan dulu dan masa kini. Menurutnya,
setiap ruang masa mempunyai ciri latar dan pengisian peristiwa serta cabaran
berbeza. “Justeru tidak adil mengatakan zaman pendidikan dulu lebih baik
berbanding sekarang. Setiap tempoh ada perbezaannya dan ia dilaksanakan
mengikut kesesuaian. Cabaran dunia pendidikan sentiasa wujud. Yang berbeza
ialah bentuk cabaran perlu dihadapi. Setiap cabaran itu pula memerlukan formula
dan pendekatan berbeza. Di sinilah guru memerlukan paradigma pemikiran yang
sentiasa berkembang sekali gus membantu pelajar berjaya,” katanya.
Mantan pengetua SMK
Alor Janggus (SMKAJ), Kedah, Datuk Harun Mohd Hashim, bersetuju peranan guru
hari ini semakin mencabar dan memerlukan kudrat tinggi untuk melaksanakan
setiap tugas. Menurutnya, guru pada zaman ini terlalu terikat dengan peraturan
sebaliknya dulu diberi kuasa penuh melaksanakan peranan tanpa campur tangan masyarakat
juga ibu bapa. “Masyarakat dan ibu bapa dulu sangat padu membantu guru
melaksanakan tanggungjawab. Mereka prihatin sekali gus memudahkan proses
pendidikan dijalankan. Kekurangan kemudahan bukan alasan guru mendidik pelajar
menjadi insan baik dan berdisiplin. Mereka berjaya hasil didikan guru manakala
hubungan juga mesra. Kini sudah berbeza dan menyedihkan. Guru, pelajar dan
masyarakat saling bercakaran hingga menyukarkan usaha melahirkan produk
cemerlang, produktif kemahiran serta jadi diri,” katanya.
Manakala mantan
pengetua SK Datuk Wan Muhammad Saman (SKDWMS) Alor Star, Kedah, Abdul Aziz
Zainol, berkata tanggungjawab guru zaman millennium sangat mencabar kerana
turut terpaksa memikul beban sampingan. “Dulu guru hanya mengajar dan memantau
masalah pelajar, tapi hari ini terpaksa berdepan ‘permintaan lain seperti kerja
perkeranian, kursus dan sebagainya. Justeru tumpuan terhadap tanggungjawab
hakiki akan terjejas sekali gus memberi ruang pelajar bertindak sesuka hati.
Ini lari dari konsep pendidikan dan tanggungjawab guru. Sekali gus semakin
menyukarkan usaha menjadi guru yang baik dan berkaliber,” katanya.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Harian Metro
14 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan