Tulisan yang tertera
ayat berbunyi, 'Saya ada rumah. Rumah saya cantik' kelihatan ditulis kemas di
atas papan putih. Kemudian, kedengaran pula suara nyaring sekumpulan
kanak-kanak mengeja satu persatu huruf yang membentuk ayat tersebut. "Baiklah,
sekarang siapa yang mahu mengeja dan membacanya seorang diri?," tanya Liza
Mokhtar, 30, seorang guru yang bertugas di Tadika Ilham Bestari yang terletak
di Ampang, Selangor itu. Sebaik mendengar kata-kata rangsangan daripada Liza,
masing-masing bersemangat untuk mencuba sambil mengangkat tangan dan menjerit
supaya nama mereka dipanggil untuk melakukan tugas tersebut. Namun, apabila ada
dalam kalangan mereka nama tidak dipanggil cikgu, keluhan kecil terkeluar dari
mulut mereka. Ternyata riak muka anak-anak itu menunjukkan kehampaan.
Itulah sebahagian
gelagat pelajar tadika berusia enam tahun yang dapat disaksikan ketika
mengikuti sesi pengajaran mereka di dalam kelas tersebut. Menurut Liza,
sepanjang empat tahun mengajar di tadika itu, banyak pengalaman manis yang
diperoleh terutama dalam mengenali karakter setiap kanak-kanak yang belajar di
sana. "Memang seronok mengajar mereka. Apatah lagi, masing-masing
mempunyai keletah tersendiri. Walaupun kadang-kadang mereka cepat bosan apabila
belajar, tetapi apabila kita adakan kuiz atau permainan, semuanya berebut-rebut
untuk mencuba," ujar Liza sambil memberitahu guru perlu berbuat sesuatu
yang kreatif apabila melihat fokus kanak-kanak mula hilang di dalam kelas.
Bagi Siti Zabedah Abu
Bakar, 28, pula, sebagai seorang guru tadika, mereka perlu bijak menarik
perhatian kanak-kanak. Justeru, praktik pembelajaran menggunakan peralatan
tertentu amat penting untuk dilaksanakan. "Contohnya penggunaan kad huruf,
bentuk-bentuk objek dan sebagainya. Selain itu, teknik belajar sambil menyanyi
dan menari juga mampu mengembalikan minat kanak-kanak ini pada
pembelajaran," kata Zabedah yang mula mengajar di Tadika Ilham Bestari
pada tahun 2008.
Mencuit hati
Pendidikan awal
kanak-kanak di tadika mampu membentuk sikap dan peribadi mereka ke arah yang
lebih positif. Tambahnya, meskipun ada waktunya kanak-kanak di tadika itu
membuatkan dirinya tertekan, namun pada masa yang sama mereka juga yang menjadi
penawar hati mereka dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati. Sementara itu,
Pengetua Tadika Ilham Bestari, Noor Azah Adnan, 50, memaklumkan bahawa, setiap
guru perlu ikhlas dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik. "Guru
ialah satu pekerjaan yang mulia. Bahkan setiap kejayaan pasti bermula daripada
didikan seorang guru. Justeru, amat penting untuk menanamkan sifat menghormati
guru kepada anak-anak sejak kecil lagi," tutur Azah yang sudah terlibat
dalam pengurusan taska dan tadika sejak dua dekad lalu.
Berkongsi pengalaman,
ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, kanak-kanak yang dibesarkan di
taska kendaliannya dan kemudian memasuki prasekolah di Tadika Ilham Bestari,
mereka tidak segan silu berkongsi masalah dengan guru yang sudah dianggap
seperti kawan. "Bayangkan apabila seorang bekas pelajar tadika ini ketika
didatangi haid pertama, dia bukan memberitahu ibunya sendiri, sebaliknya terus
menceritakan masalah itu kepada guru yang pernah mengajarnya dahulu. Ia mungkin
disebabkan rasa hormatnya pada guru tersebut sejak kecil. Kanak-kanak mempunyai
hati yang bersih. Mereka tidak pernah berdendam apabila dimarahi, malah cepat
lupa tentang apa yang telah dibuat kepada mereka. Lantaran itu, pendidikan awal
kanak-kanak amat penting dalam mencorak perilaku mereka yang akan dibawa hingga
dewasa," tegas Azah.
Selepas menerima
didikan awal di tadika, sekolah rendah pula menjadi medan untuk kanak-kanak
meneruskan perjuangan mereka dalam menimba ilmu. Jika mereka cemerlang di
tadika, pencapaian itu akan diteruskan di sekolah rendah. Andai guru yang
mengajar mereka cukup komited dan berdedikasi, tidak mustahil minat untuk
belajar sentiasa subur dan mekar dalam jiwa masing-masing. Perkara ini diakui
oleh Gopinat Muthy, 30, Ketua Panitia Bahasa Tamil, Sekolah Kebangsaan (SK)
Seri Anggerik di Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur. Ujar Gopinat, proses
pengajaran masa kini lebih cenderung menggunakan peralatan alat bantu mengajar
seperti kaedah persembahan daripada perisian power point, kad imbas dan membawa
pelajar keluar dari kelas untuk melihat persekitaran. "Kalau dahulu, guru
hanya statik belajar di dalam kelas dan papan hitam, tetapi sekarang kaedah
sedemikian boleh membuatkan pelajar jemu sekali gus menghilangkan minat mereka
untuk belajar," ungkap graduan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari
Universiti Malaya itu.
Dalam pada itu,
memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin, Gopinat memberitahu, masalah atau
kes disiplin yang melibatkan pelajar sekolah rendah tidak terlalu tinggi. "Kes
yang berlaku hanya melibatkan pergaduhan kecil disebabkan ejek-mengejek sesama
mereka. Masalah itu biasanya dapat diselesaikan dalam tempoh sehari atau paling
cepat satu jam. Kes seperti ponteng sekolah pula, jarang berlaku di sekolah
ini," kata Gopinat yang rasa amat dihargai apabila ramai pelajar
memberinya hadiah sewaktu sambutan hari guru atau hari lahir. Sementara itu,
Guru Besar SK Seri Anggerik, Sabariah Ali berkata, seiring dengan perkembangan
teknologi, pelajar kini semakin bijak dan lebih mengetahui banyak perkara
berbanding guru. "Situasi ini menjadikan cabaran yang dihadapi para guru
semakin besar. Justeru, amat penting mereka berada setapak di hadapan pelajar
agar tidak dipandang rendah kerana buta teknologi maklumat (IT) contohnya dalam
memahami penggunaan gajet-gajet canggih," ungkap Sabariah.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Harian Kosmo
16 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan