Oleh Mior Kamarul Shahid
KAWASAN YANG DILINDUNGI, KEPULAUAN PHOENIX, KIRIBATI, TERLETAK DI ANTARA HAWAII DAN FIJI
Banyak perkara baru diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet Negara 2012 yang terus menjadi bahan perbualan harian. Tidak hairanlah ada yang berpendapat ia bajet pilihan raya walaupun mereka tahu usaha membantu rakyat adalah agenda berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ramai akui bajet tahun depan lebih menyeluruh kerana ia meliputi setiap sektor masyarakat dari luar bandar hingga ke bandar, dari orang miskin meliputi warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, orang berpencen dan orang kurang upaya hinggalah kepada golongan miskin dan kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Najib mungkin melihat masanya sudah tiba untuk kerajaan menilai semula kemudahan dan bantuan yang diberikan kepada setiap golongan rakyat supaya tidak ada satu pun kumpulan yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Tanpa mengabaikan nasib rakyat di luar bandar, kerajaan juga tidak alpa terhadap kehidupan rakyat di bandar tanpa mengira kaum. Hari ini rakyat bandar mungkin memerlukan lebih perhatian berikutan perubahan struktur masyarakat kesan penghijrahan.
Analogi mudah, kawasan bandar terus berkembang dengan bilangan penduduk yang meningkat sedangkan penduduk luar bandar kian berkurangan kerana golongan muda mencari peluang pekerjaan di bandar-bandar. Sebelum ini, dalam setiap perancangan pembangunan kerajaan, penduduk luar bandar sering menerima bantuan kerajaan seperti membina rumah, kemudahan perubatan, bekalan air, elektrik, jalan raya dan sebagainya. Dalam bajet tahun depan, Najib yang juga Menteri Kewangan menyediakan keperluan rakyat di bandar-bandar yang kian mendesak dan memerlukan pembelaan. Umum menyedari tidak semua penduduk bandar hidup senang. Di bandar, segala-galanya memerlukan wang - perumahan, pengangkutan, persekolahan anak, pembantu rumah, perubatan dan sebagainya, di tambah pula dengan kos sara hidup yang meningkat. Golongan ini perlu dibantu agar mereka tidak terus menerus menghadapi kesempitan hidup. Bajet 2012 dilihat sebagai memulakan pendekatan baru untuk membantu penduduk bandar bagi meringankan beban mereka.
Dalam Bajet 2012, antara lain kerajaan memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga berpatutan. Dengan bayaran maksimum RM2, seseorang boleh bersarapan pagi dan RM4 untuk makan tengah hari. Dengar cerita, bukan pelanggan saja yang Restoran 1Malaysia dikunjungi ramai pelanggan, tetapi bilangan mereka yang berminat menjadi peniaga, juga ramai. Ini sebagai tambahan kepada Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan harga rendah. Memiliki rumah sendiri menjadi impian setiap rakyat. Di bandar keperluan memiliki rumah kian mendesak. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, kerajaan menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA. PR1MA ialah agensi tunggal untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA berperanan sebagai pemaju projek di tapak pemilikan kerajaan. Mulai sekarang kita akan dapat melihat satu demi satu projek PR1MA dibina di bandar-bandar.
Untuk memudahkan penduduk, projek perumahan ini akan dibina di kawasan berhampiran stesen MRT, LRT bagi memudahkan pergerakan mereka menggunakan pengangkutan awam dengan kos yang lebih rendah. Di samping itu, PR1MA turut bekerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan projek-projek perumahan. Pemilikan rumah PR1MA ditentukan dengan adil melalui undian terbuka. Bagi kemudahan kesihatan di bandar, kerajaan menyediakan Klinik 1Malaysia dan sebagainya.
SUMBER
BERITA MINGGU
Tiada ulasan:
Catat Ulasan