Oleh ZULKIFLI JALIL
LADANG KELAPA SAWIT DI SARAWAK
Syabas diucapkan kepada kepimpinan kerajaan yang akhirnya berjaya memandu kerajaan Australia dalam isu minyak sawit. Hakikatnya bukan sesuatu yang mudah untuk menghalang pewujudan satu undang-undang baru mewajibkan semua produk makanan daripada minyak sawit dilabel sebagai produk yang dihasilkan melalui kaedah mesra alam. Tetapi itulah 'tempias' kejayaan transformasi yang digerakkan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak - yang akhirnya meyakinkan rakan sejawatnya, Julia Gillard untuk tidak menyokong pewujudan undang- undang tersebut. Walaupun Australia bukan pasaran yang besar untuk minyak sawit Malaysia jika dibandingkan dengan China dan Eropah namun kelulusan rang undang-undang itu jika terjadi, akan menjejaskan pandangan dunia terhadap produk sawit negara. Realitinya, sikap dengki dan cemburu pihak luar ke atas minyak sawit sudah berakar-umbi sejak pertengahan 1980-an lagi. Ini ekoran khasiat minyak sawit ke atas kesihatan jangka panjang berbanding minyak soya. Waktu itu tercetus perang minyak masak di Amerika.
Perang bermula apabila Persatuan Minyak Soya Amerika terancam kerana penjualan minyak soya jauh lebih rendah daripada minyak masak tropika. Faktor menyebabkan minyak kelapa sawit popular di kalangan pengguna domestik dan pengilang adalah kerana harganya jauh lebih rendah manakala penggunaannya dalam masakan lebih sihat berbanding minyak soya. Komposisi olein yang terdapat pada minyak kelapa tropika (termasuklah minyak sawit) adalah jenis lemak separa tepu yang tidak akan berubah komposisi kimia apabila dimasak (hydrogenated oils). Oleh itu, minyak kelapa sawit tidak mendatangkan kemudaratan kepada jantung berbanding minyak soya. Karotin yang terdapat dalam minyak sawit yang memberi warna merah kepada minyak tersebut pula ialah agen anti oksida yang boleh mencegah barah. Ini diakui oleh seorang saintis terkemuka Amerika, Profesor Paul Sylvester dari Universiti Louisiana yang banyak membuat penyelidikan mengenai khasiat minyak sawit. Beliau berpendapat, tocotrienol yang terdapat dalam minyak sawit mampu menghindari serangan barah payudara.
Kerana tertekan dengan pasaran minyak soya yang sentiasa kurang permintaan berbanding minyak kelapa sawit, maka pertengahan 1980-an menyaksikan usaha berganda pihak tertentu untuk memburukkan minyak sawit dan mengaitkannya dengan kemudaratan kesihatan dan akhirnya bahaya kerosakan kepada alam sekitar ekoran penanaman besar-besaran ladang kelapa sawit menggantikan hutan tropika. Potensi masa depan minyak sawit negara sememangnya cerah. Pendapatan eksport produk sawit untuk tahun 2010 misalnya amat memberangsangkan dengan peningkatan RM10.11 bilion atau 20.4 peratus kepada RM59.77 bilion berbanding RM49.6 bilion pada 2009. Pada 2010, keluasan tanaman sawit di Malaysia mencapai 4.85 juta hektar, meningkat 3.5 peratus berbanding 4.69 juta hektar pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, kawasan matang adalah 4.2 juta hektar atau 87 peratus dan kawasan muda sebanyak 0.65 juta hektar atau 13 peratus. Semenanjung sahaja mempunyai keluasan 2.52 juta hektar atau 52 peratus, Sabah sebanyak 1.41 juta hektar (29 peratus) dan Sarawak sebanyak 0.92 juta hektar (19 peratus).
Dakwaan pihak tertentu dari Australia yang begitu ghairah menyokong undang- undang baru ke atas minyak sawit bahawa Malaysia mengorbankan habitat orang utan demi menanam kelapa sawit juga tidak berasas sama sekali. Sedangkan Kuala Lumpur telah pun menyatakan komitmennya kepada dunia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah akan terus diliputi hutan. Komitmen itu terus dikekalkan. Di sebalik itu, Australia sebenarnya tidak mempunyai kedudukan moral yang lebih tinggi untuk mengajar negara kerana ada kalangan menteri kita sendiri melihat bagaimana orang utan menggigil di zoo negara itu semasa musim sejuk. Canberra gagal menjaga orang utan di negara sendiri. Impak positif kesan komitmen Gillard tidak menyokong undang-undang baru ke atas produk makanan daripada sawit akan menyokong industri itu di Malaysia. Apatah lagi dikatakan harga kelapa sawit akan jatuh ke RM2,600 setan pada 2012 berbanding RM3,000 setan tahun ini. Ia kesan kejatuhan permintaan di pasaran antarabangsa. Ada kebarangkalian juga harga boleh jatuh kepada RM2,000 setan jika dikaitkan dengan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika. Industri minyak sawit dan pengguna minyak sawit berjaya bertindak balas di Perth kelmarin bagi membersihkan reputasi dan jenama mereka. Syabas sekali lagi buat Perdana Menteri.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan