JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Oktober 2011

ISU SOSIAL : BERKERJA SAMBILAN MAMPU SUNTIK NILAI POSITIF DALAM DIRI PELAJAR YANG TERLIBAT

Oleh Ruhaiza Rusmin


GIANT'S CAUSEWAY, IRELAND UTARA

Diukur dari segi usia, mereka masih muda dan belum bnyak pengalaman di dada namun sikap berani mencuba serta meneroka dunia pekerjaan sambilan cukup membanggakan. Biarpun menghadapi pelbagai cabaran, mereka tetap optimis, tidak mudah mengalah selain bersemangat membuktikan keupayaan kepada masyarakat biarpun tidak ramai bersetuju kerana berang­gapan ia boleh mengganggu rutin pembelajaran. Apatah lagi pengajian peringkat universiti rumit kerana tertakluk pada syarat pencapaian akademik, juga segala aktiviti yang perlu direncana dengan baik bagi memastikan berjaya menamat­kan pengajian. Benarkah mereka yang ingin belajar berdikari mencari poket sendiri tidak boleh berjaya? Mungkin ia pengalaman paling berharga sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar selain tidak menyusahkan orang lain bagi memenuhi keperluan kewangan. Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Management and Science University (MSU), Lina Hazwani Ainol Kamal berkata, dia lebih senang berdikari mencari duit bagi menampung keperluan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajiannya selain berpendapat, ia pengalaman berharga yang sukar diganti.

Menurutnya, keinginannya untuk bekerja sambilan juga didorong rasa tanggungjawab tidak mahu menyusahkan keluarga kerana sedar mereka masih mempunyai tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan. “Keputusan bekerja sambilan datang daripada kesedaran sendiri kerana saya beranggapan tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Malah ia juga satu cabaran  kepada diri untuk melihat sejauh mana keupayaan menangani masalah kehidupan. “Juga atas kesedaran untuk tidak terlalu membebankan ibu bapa membiayai pengajian biarpun selalu menegaskan itu tanggungjawab mereka. Apa salahnya saya berusaha sendiri mencari duit poket asalkan tidak mengganggu pengajian. “Malah, saya puas menikmati duit diperoleh itu dan bebas membelanjakannya tanpa rasa bersalah kerana ia hasil titik peluh sendiri,” katanya. Pembabitan mahasiswa dalam pekerjaan sambilan bukan baru terutama bagi menampung keperluan pengajian dan peribadi yang semakin meningkat. Biarpun ada beranggapan ia bakal menjadikan mahasiswa letih, kurang tumpuan, mula culas ke kuliah serta melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, mereka kurang bersetuju biarpun tidak menafikan ada yang tersasar daripada fokus sebenar.

Dia yang bekerja sebagai model pakaian Muslimah secara sambilan beranggapan, segala keputusan atau perancangan terletak pada diri sendiri bagi mencorakkan perjalanan masa depan. “Dalam konteks ini, diri sendiri yang menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan manakala orang lain hanya boleh memberi nasihat sebagai panduan. “Biarpun tarikan alam pekerjaan kuat kerana sudah berupaya menjana pendapatan sendiri, ia tidak seharusnya menjadi penyebab mahasiswa terlupa pada pelajaran, malah perlu sentiasa mengingatkan diri itu hanya kerjaya sementara. “Dengan cara itu, sudah tentu diri sendiri sentiasa berwaspada dan tahu apakah keutamaan yang perlu dilaksanakan sebelum menceburi alam kerjaya sebenar yang lebih menjanjikan masa depan cerah,” katanya mengakui cabaran dihadapi bukan saja di tempat kerja, malah rakan sebaya. “Ada suka, begitu juga sebaliknya malah lebih teruk melabelkan kami sebagai pelajar yang akan tercicir dalam pengajian hingga ada kalanya mengguris hati. Bagaimanapun, saya tetap optimis dan mengambil pendekatan berdiam diri,”  katanya.

Ditanya mengapa bidang peragaan menjadi pilihan, dia berkata, semuanya berlaku secara tiba-tiba apabila seorang jurugambar mempelawanya menjalani uji bakat, sekali gus memulakan langkah pertama menjadi model. Menurutnya, peringkat permulaan berasa kekok, namun selepas hampir setahun, dia semakin berani dan lebih berkeyakinan selain mampu memperbaiki kemahiran komunikasi. “Sebelum ini saya pemalu, kurang bercakap dan tidak berkeyakinan, namun kini semuanya berubah. Ia peningkatan drastik hasil pendedahan dan pergaulan sepanjang bekerja. “Sebagai pelajar, aspek ini sangat penting dalam usaha membentuk personaliti positif sebelum menceburi bidang pekerjaan sepenuh masa. Saya menganggapnya sebagai satu aset berguna dan bonus sukar diperoleh,” katanya. Pada masa sama, menggunakan peluang di depan mata untuk meluaskan lagi pergaulan dengan masyarakat sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan sebenar. “Biarpun kerjaya sambilan, saya mampu meraih peluang yang sukar diperoleh pelajar lain terutama bertemu pelbagai lapisan dan ragam masyarakat. Ini secara tidak langsung menjadi satu proses pendidikan untuk mematangkan diri.

“Ia juga sebagai persiapan memperkukuhkan lagi kemahiran sedia ada. Bagi saya, dengan bekerja sambilan, banyak ilmu dan pengalaman diperoleh, bukan duit semata-mata,” katanya. Bagi Tengku Ahmad Hazrin Tengku Hassan, keputusannya membuka perniagaan sendiri sebagai langkah permulaan menceburi bidang keusahawanan kelak selain ingin merasai nikmat ‘memegang’ duit sendiri. “Senario pekerjaan masa kini yang sukar diduga memerlukan saya berfikir lebih kreatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan sendiri biarpun secara kecil-kecilan. “Ia juga langkah awal mempersiapkan diri dengan pengalaman dan ilmu sebelum menceburi perniagaan sepenuh masa sebaik tamat pengajian. Saya lakukannya atas dasar minat serta ke­inginan mempunyai duit poket sendiri,” katanya. Mendapat sokongan penuh keluarga, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik ini mengakui kesukaran memperoleh kepercayaan dan memuaskan hati pelanggan adalah cabaran utama memandangkan masih terlalu mentah dalam dunia perniagaan. Katanya, pelanggan banyak mempertikaikan hasil ciptaannya selain suka mengambil kesempatan kerana beranggapan dia masih belum berpe­ngalaman dengan ‘permainan’ dunia perniagaan.

“Saya akui, kadangkala perit menghadapi kerenah pelanggan, namun sentiasa berfikiran positif ia adalah pengalaman berharga yang tidak boleh diperoleh melalui pembacaan. “Sekurang-kurangnya saya sudah ada ‘ilmu’ sebelum menceburi bidang perniagaan sebenar selain mendidik diri menjadi lebih sabar, berhemah dan berdisiplin. “Bekerja sambilan banyak menyuntik nilai positif dalam diri,” katanya. Ditanya bagaimana membelanjakan pendapatan diterimanya, dia berkata, sebahagian besarnya disimpan sebagai persediaan modal dan selebihnya untuk membeli keperluan peribadi. “ Saya tidak boros kerana sedar susah memperoleh wang dan menyimpannya demi masa depan. Bagaimanapun, sebagai penghargaan pada diri, turut membelanjakannya bagi membeli barangan dihajati. “Bekerja sendiri biarpun secara sambilan memberi kepuasan. Lebih membanggakan, saya tidak menyu­sahkan orang lain serta mampu membeli barang diingini dengan titik peluh sendiri,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
24 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: