JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Oktober 2011

ISU BAHASA : PEMBACAAN DAN PENULISAN MERUPAKAN CARA TERBAIK KUASAI BAHASA INGGERIS

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


TAMAN BOTANI, PUTRAJAYA

Satu daripada faktor utama kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009 ialah hasil beberapa kajian mendapati dasar yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar itu, memberi kesan sebaliknya dari segi pencapaian dalam dua subjek berkenaan. Justeru, kerajaan memansuhkan PPSMI secara berperingkat atau ‘soft landing’ untuk digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan. Dalam proses peralihan itu, Matematik dan Sains diajar dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah serta dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah, sejak tahun lalu. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa bagi Tahun Empat akan dilaksana pada 2012, 2013 dan 2014; Tahun Lima pada 2013, 2014 dan 2015 dan Tahun Enam (2014, 2015 dan 2016). Peperiksaan Sains dan Matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016, manakala bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua subjek itu diuji dalam dwibahasa sehingga 2015.

Memang sejak PPSMI dilaksanakan pada 2003 lagi, ia mendapat bantahan ramai ibu bapa, guru dan pelbagai pertubuhan bahasa dan budaya Melayu, antaranya Gabungan Penulis Nasional, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka. Malah, Muktamar PAS ke-55 pada 2009 meluluskan usul supaya kerajaan memansuhkan segera PPSMI. Beberapa kajian dilakukan termasuk Kementerian Pelajaran sendiri, mengesahkan kebimbangan mereka yang membantah PPSMI. Ternyata dasar itu bukan saja gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi menjadi faktor kemerosotan pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik terutama di kalangan majoriti pelajar luar bandar. Trends in International Mathematics and Science Study 2007, kajian bebas antarabangsa di 59 negara mendapati tahap pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan 34 mata, manakala skor Sains merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Berikutan itu, tahap pendidikan Malaysia menjunam ke ranking ke-20 berbanding 10 sebelum ini bagi bidang Matematik dan ranking ke-21 berbanding 20 dalam Sains.  Satu kajian lain pula mendapati hanya 8 peratus guru yakin untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, manakala kebanyakan sekolah menghadapi masalah kekurangan guru yang fasih bahasa Inggeris untuk mengajar dua subjek itu. Hanya 58 peratus masa yang diperuntukkan untuk PPSMI digunakan oleh guru dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, selebihnya guru terpaksa menggunakan bahasa Melayu kerana kesukaran pelajar memahami bahasa Inggeris. Kita timbulkan semula isu kegagalan PPSMI ini kerana walaupun pemansuhannya sudah diumumkan dua tahun lalu dan diterima baik oleh majoriti ibu bapa, masih ada pihak bukan saja mahu memperjuangkan semula PPSMI, malah cuba menggagalkan MBMMBI. Kesannya, seperti kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak mereka mempelajari Sains dan Matematik di sekolah.

Tiada siapa menafikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris untuk membolehkan kita bersaing sama ada dalam negara atau pada peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, kemahiran dalam sains dan matematik juga tidak kurang pentingnya bagi generasi muda untuk masa depan mereka. Pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris terbukti tidak membantu pencapaian mereka, bukan saja pencapaian pelajar Melayu luar bandar, malah pelajar Cina dan India juga. Sementara kita menghormati pandangan pihak yang mahu supaya anak mereka diberi pilihan menggunakan bahasa Inggeris, mereka juga harus menghormati hasrat majoriti ibu bapa yang anak mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggunakan bahasa ibunda kerana taraf hidup dan latar belakang berbeza. Lagipun, kebolehan generasi sebelum ini menguasai bahasa Inggeris bukan kerana belajar sains dan matematik dalam bahasa itu, tetapi melalui subjek lain yang memerlukan banyak pembacaan dan penulisan seperti sejarah, sastera dan aktiviti kebudayaan drama dan perbahasan.

SUMBER
BERITA HARIAN
31 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: