JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Oktober 2011

ISU BAHASA : BERI RUANG DAN KESEMPATAN UNTUK MELAKSANAKAN DASAR MBMMBI


TAMAN TASIK TAIPING, PERAK

Polemik mengenai pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak harus dipanjangkan lagi. Kerajaan sudah menetapkan PPSMI akan digantikan dengan program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan.  Kita mengharapkan semua pihak menerima dengan hati terbuka permintaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dasar berkenaan diterima dan dihormati. Sewajarnya dua badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terus memperjuangkan PPSMI, iaitu Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menghormati suara majoriti mengenai perkara ini. Keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tidak sesekali bermakna bahasa Inggeris dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara. Ia juga bukan bererti kerajaan tidak memahami hasrat ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka. Perkara berkenaan sudah pun diperhalusi, diteliti dan dipertimbangkan pada peringkat Kementerian Pelajaran.

Hasilnya kementerian terbabit mendapati dasar yang memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan sendiri bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik sukar dilaksanakan dan boleh menimbulkan kucar-kacir kepada sistem pendidikan negara.  Langkah itu, seperti kata Muhyiddin juga boleh mendatangkan masalah pada peringkat Kementerian Pelajaran dalam perancangannya bagi memenuhi kehendak sekolah yang mahukan sistem pendidikan bahasa Inggeris dan sekolah yang ingin mengekalkan mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Malaysia. Justeru, tidak wajar polemik ini diteruskan kerana kajian ilmiah oleh beberapa sarjana dan badan berwibawa mendapati PPSMI gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2008 menunjukkan kemerosotan dalam pencapaian bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. MBMMBI yang diputuskan Kementerian Pelajaran harus diberi ruang dan kesempatan untuk dilaksanakan. Kita juga bersependapat dengan ramai bahawa usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar hendaklah dilakukan menerusi pengajaran mata pelajaran berkenaan secara khusus, bukannya melalui mata pelajaran Sains dan Matematik atau mata pelajaran lain.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
31 OKTOBER 2011



Tiada ulasan: