24 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : PANTAI DI SABAH DAN SARAWAK LESAP PADA TAHUN 2100


Aras laut sepanjang pantai Sabah dan Sarawak dijangka mengalami kenaikan purata antara 0.43 meter (m) dan 1.06m pada 2100, dengan beberapa kawasan sepanjang garis pantai Sarawak akan ditenggelami air laut menjelang tempoh itu.  Berdasarkan kajian, kenaikan aras laut maksimum berlaku di bahagian utara dan timur pesisir pantai Sabah, manakala banjir dijangka di kawasan rendah serta muara sungai di barat daya Sarawak meliputi Meradong yang terletak antara Batang Igan dan Batang Rajang. Kawasan berisiko dinaiki air di Sabah pula ialah yang bertopografi rendah dan muara sungai meliputi Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan serta Kudat. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan, semalam berkata kajian mendapati corak kenaikan aras laut sejak lima tahun lalu menunjukkan peningkatan signifikan berbanding trend bagi tempoh 20 tahun terdahulu. Kadar kenaikan aras laut purata di sepanjang garis pantai Malaysia yang dikira daripada data satelit altimeter (1993-2010) ialah 2.73 hingga 7.00 milimeter (mm) setahun.

Unjuran kenaikan aras laut di Semenanjung antara 0.25m dan 0.52m menjelang 2100. Beberapa banjir kecil dijangka berlaku di sepanjang kawasan pantai Semenanjung menjelang 2100 dengan kenaikan aras laut maksimum berlaku di barat laut dan timur laut Semenanjung iaitu Kedah dan Kelantan. Pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sebelum ini mendakwa menemui kemungkinan beberapa bandar di kawasan rendah terutama berhampiran pantai, ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena aras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global. Akhbar ini kelmarin memetik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, sebagai berkata hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004 sehingga awal tahun ini mendapati paras air laut negara meningkat secara purata 10 sentimeter (sm) setiap tahun.

Menurut kenyataan itu, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) iaitu agensi penyelidikan di bawah kementerian, pada dasarnya bersetuju kesan pemanasan global akan menyebabkan fenomena peningkatan paras air laut di pesisiran pantai Malaysia.  Selain itu, NAHRIM tidak menolak pendapat profesional dan pakar universiti mengenai fenomena berkenaan, namun ketepatan unjuran yang dibuat dipengaruhi banyak faktor seperti ketepatan data digunakan, tempoh data serta kaedah analisis.  NAHRIM sudah menjalankan kajian menggunakan kaedah analisis statistik data pasang surut untuk menentukan aras 95 peratus daripada data pasang surut yang direkodkan selama 25 tahun (1984-2010), di sebanyak 20 stesen pasang surut Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta data satelit altimeter selama 17 tahun (1993-2010) di sebanyak 30 stesen, semuanya di sepanjang pesisiran pantai Malaysia.

“Keputusan analisis mendapati corak graf kenaikan aras laut di Malaysia menggunakan data satelit altimeter lebih tinggi berbanding data tolok pasang surut” katanya.  “Ada banyak ketidakpastian terhadap data tolok pasang surut seperti kehilangan data dan kesilapan alat pengukur, berbanding data satelit altimeter yang boleh dibuat pembetulan menggunakan pelbagai kaedah yang sudah diperakui. “Justeru, kajian memutuskan untuk menggunakan data daripada satelit altimeter sebagai unjuran simulasi `Atmospheric-Oceanic coupled Global Climate Models’ menjelang abad ke-21 bagi kawasan pesisir pantai Malaysia,” katanya.  Dalam konteks itu, berdasarkan kajian, kenaikan paras air laut di Malaysia menunjukkan purata peningkatan aras air laut bagi tahun 2000 hingga 2050 ialah 0.25m iaitu 5mm setahun. Kajian JPS itu selaras dengan kenyataan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim, iaitu aras air laut naik sebanyak 28sm hingga 43sm menjelang akhir abad ini.

Justeru, katanya, kenyataan pihak UTHM bahawa `kenaikan aras laut 10sm setahun kurang tepat, malah JPS tidak melaksanakan kerja merekodkan paras air laut seperti didakwa universiti itu. “Jadual pasang surut disediakan JUPEM dan diterbitkan setiap tahun. Pihak UTHM juga tidak pernah menghubungi dan memaklumkan JPS dalam menjalankan kajian kenaikan aras air laut itu. namun, JPS komited memantau rapi dan berterusan kenaikan paras air laut akibat pemanasan global serta mengkaji keupayaan infrastruktur di negara ini untuk menangani kesan fenomena itu,” katanya.

BERITA HARIAN, 20 MEI 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails