JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : DASAR 1 MURID 1 SUKAN HANYA UNTUK MURID YANG SIHAT SAHAJA


Kementerian Pelajaran mengingatkan pihak pentadbir sekolah bahawa pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) mulai tahun depan adalah dikhususkan untuk murid yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, semua murid termasuk yang berkeperluan khas wajib didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Selain itu, pihak sekolah hendaklah membuat perancangan bagi pengurusan aktiviti sukan secara sistematik supaya dapat meningkatkan penyertaan dan membantu dalam perkembangan potensi setiap murid dalam sukan. Pihak sekolah hendaklah mengoptimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada di sekolah atau kawasan persekitaran dengan mengutamakan keselamatan murid.


Pada 17 Mac lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan bahawa Dasar 1M1S akan dilaksanakan mulai tahun depan di semua sekolah kementerian. Dasar itu diwajibkan untuk tahun empat hingga tahun enam di sekolah rendah dan peralihan, tingkatan satu hingga tingkatan enam di sekolah menengah. Abdul Ghafar memberitahu, pihak sekolah digalakkan untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi atau pihak luar bagi program pembangunan sukan di sekolah masing-masing. Pihak sekolah hendaklah memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun berdasarkan aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Beliau berkata, buat masa ini, sistem penilaian bagi penyertaan murid itu adalah berdasarkan kepada sistem sedia ada yang berasaskan kehadiran, jawatan serta sumbangan, penglibatan dan pencapaian. Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan berkuatkuasa dengan murid tahun empat dan tingkatan satu mulai tahun 2012. 

1 ulasan:

Unknown berkata...

cabaran untuk isu ini ape eh? n care pendekatan yg patut dgunakan..nk mnx pndpt