Sejak 2003, sidang kemuncak wanita merupakan acara tahunan yang menjadi platform bagi golongan wanita menyalurkan pandangan dan keperluan mereka kepada kerajaan. Sidang Kemuncak Wanita 2010 berlangsung pada 8 hingga 9 Disember lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby dengan lebih 1,000 peserta. Bertemakan Mencabar Corak Pemikiran dan Merubah Kehidupan, persidangan tersebut membuka peluang kepada wanita Malaysia untuk mendengar pengalaman dan pandangan golongan wanita dari pelbagai negara.
Penceramah dari Australia yang berucap mengenai kelebihan mewujudkan jaringan, Jen Dalitz berpandangan senario cabaran gender di Malaysia dan Australia tidak jauh berbeza. ‘‘Pendekatan terbaik untuk berhadapan dengan cabaran tersebut adalah mewujudkan jaringan. Berbanding golongan lelaki, wanita lebih mampu mengawal keseimbangan di antara kerjaya dan kehidupan. ‘‘Di Australia 57 peratus daripada golongan pekerja yang dilaporkan mengalami konflik di antara kerja dan kehidupan adalah lelaki,” kata pengasas agensi kepimpinan dan pembangunan profesional Australia itu. Ketua Pegawai Eksekutif agensi konsultan gender antarabangsa 20-First, Avivah Wittenberg-Cox berkata, beberapa dekad dulu wanita memilih keluarga berbanding kerjaya. Namun, kebelakangan ini terdapat wanita yang cenderung memilih kerjaya berbanding keluarga. Trend ini menyebabkan beberapa negara maju menyaksikan kadar kelahiran yang semakin menurun sementara negara mundur mencatatkan kelahiran yang tinggi, katanya.
Menyentuh mengenai pasaran kerja global, Cox menambah, ketika kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat (AS), 80 peratus daripada pekerja yang diberhentikan adalah lelaki. Sementara di Eropah, sebahagian besar daripada jawatan kosong yang diiklankan diisi oleh golongan wanita. ‘‘Di Jepun dan Korea Selatan, golongan wanita berupaya memegang jawatan pengurus. Namun, masyarakat di negara berkenaan masih mempunyai tanggapan bahawa wanita perlu berhenti kerja apabila berkeluarga. Tanggapan yang sama turut dihadapi wanita di India,” jelasnya. Beliau berkata, dominasi wanita di institusi pengajian tinggi berlaku di banyak negara. Ini dapat dilihat di AS dan Eropah di mana 60 peratus daripada graduan adalah wanita, China (53 peratus), Iran (63 peratus) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 70 peratus. Biarpun peratus wanita dalam institusi pendidikan agak tinggi, peratus yang menyertai alam pekerjaan dan berjaya ke peringkat pengurusan adalah rendah.
Tambah Cox, di China, kesaksamaan gender bukan satu ideologi. Di Jepun dan Korea Selatan hanya enam peratus wanita berjaya ke tahap pengurusan. Setiausaha Hal Ehwal Wanita Kemboja, Kheng Samvada berkata, antara cabaran yang dihadapi wanita Kemboja selepas era rejim Khmer Rouge adalah taraf pendidikan yang rendah dan diskriminasi ekoran pelbagai persepsi tradisional. ‘‘Faktor ini menyebabkan golongan wanita di Kemboja kurang keyakinan diri dan terpinggir dalam masyarakat biarpun jumlah golongan wanita dalam industri kerja adalah tinggi iaitu 78 peratus. Perubahan minda memerlukan masa yang panjang,” katanya. Sementara Menteri Pembangunan Komuniti, Belia dan Sukan Singapura, Yu-Foo Yee Shoon berkata, golongan wanita mewakili 57 peratus daripada pasaran kerjaya republik tersebut. ‘‘Satu kajian yang dijalankan pada 2007 mendapati golongan wanita di Singapura meraih pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada lelaki,” jelasnya. Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Zambia di Malaysia, Michelle Manda berkata, di negara tersebut statistik penuntut wanita ke universiti adalah masih rendah iaitu 25 peratus kerana kebanyakan remaja perempuan dipaksa berkahwin ketika di sekolah menengah.
‘‘Pendidikan yang rendah, kemiskinan dan faktor berkahwin pada usia terlalu muda menyebabkan wanita Zambia mempunyai kesedaran yang rendah mengenai kesihatan reproduksi sehingga ada yang memiliki anak hampir setiap tahun. ‘‘Antara usaha kerajaan untuk mengatasi masalah ini termasuklah mengadakan kelas buta huruf untuk golongan wanita dan mengadakan program kesedaran kesihatan. Kerajaan juga komited untuk membebaskan wanita Zambia daripada kepompong kemiskinan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka,” jelasnya. Pengalaman yang dikongsi oleh para peserta antarabangsa dalam sidang kemuncak kali ini memberikan inspirasi kepada para peserta untuk menghadapi cabaran semasa. Siling kaca yang menghalang wanita mencapai kedudukan tinggi dalam sektor pekerjaan masih wujud. Namun sudah ada wanita yang menembusi siling berkenaan melalui pendidikan, sokongan keluarga dan suasana tempat kerja yang menggalakkan.
Antara wanita Malaysia yang paling cemerlang ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang turut mendapat pengiktirafan di peringkat antabangsa. Paling penting, golongan wanita sendiri perlu mempunyai inisiatif, keyakinan dan kekuatan untuk mengatasi semua jenis cabaran yang menyukarkan mereka mencapai matlamat yang dihajati.
Oleh : Rohani Ibrahim
Utusan Malaysia
15 Disember 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan