02 Januari 2011

ISU FILEM : TANGGUNGJAWAB PERKASAKAN INDUSTRI FILEM MALAYSIA


Angka ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan jumlah kutipan RM50 juta dengan 6.03 juta penonton. Senario ini adalah realiti pencapaian industri filem Malaysia dalam sektor penerbitan dan pemameran filem bagi 2010, namun begitu ia bukanlah kayu ukur atau petunjuk makro pencapaian industri filem negara. Malah, pencapaian ini juga boleh ditafsirkan sebagai cerminan terhadap usaha yang telah dijalankan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dalam mencorakkan landskap pembangunan industri. Sebagai agensi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang bertanggungjawab secara langsung dalam merencana pembangunan industri filem, FINAS sudah melaksanakan program pembangunan yang diberi nafas baru sejak 2007.  
Ia adalah berpadanan dengan strategi pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) yang diluluskan Kabinet pada 2005. 

Usaha untuk memahatkan profil industri filem Malaysia di persada dunia tidak terhad kepada filem cereka semata-mata, tetapi merangkumi pembangunan filem dokumentari, animasi dan filem kenegaraan. Usaha memartabatkan lapangan filem ini ternyata memerlukan iltizam dan komitmen tidak berpenghujung dari segenap penggiat filem.  
Memetik hasrat Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu melihat industri filem Malaysia yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa, ia adalah satu azimat yang perlu disahut dan dikongsi bersama oleh semua penggiat filem. Gagasan murni ini amat perlu dihayati dan dizahirkan bersama.  
Justeru, langkah proaktif diambil FINAS dengan mengadakan kerjasama penerbitan dokumentari dengan saluran antarabangsa seperti National Geographic, Discovery Channel International, AETN All Asia Networks dan Spacetoon International. Penyiaran dokumentari yang memaparkan keunikan dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia dapat ditonton jutaan penonton di serata dunia menerusi saluran terkemuka itu. Antara dokumentari yang berjaya mencuri tumpuan global ialah Becoming A King, Smart Tunnel, Fight Master Silat, Al-Maunah: The Malaysian Arms Heist, The Malayan Emergency dan P Ramlee: The Belated Super.  
Menerusi program kerjasama pintar ini, penerbit dan tenaga produksi tempatan yang terpilih akan dibimbing badan penyiar global mengenai kaedah pembikinan dokumentari mengikut piawaian antarabangsa. Selain itu, transaksi kepakaran dan teknologi jelas dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat produksi yang terpilih menjayakan program ini. 

Hasilnya, dua dokumentari yang diterbitkan FINAS menerusi pakatan strategik ini iaitu Amongst The Great Apes with Michelle Yeoh meraih Dokumentari Terbaik Kategori Hidupan Liar dan Fight Master Silat bagi anugerah Pengarah Dokumentari Terbaik di Asian Television Awards, Singapura baru-baru ini.  
Bagi memantapkan lagi penerbitan dokumentari negara, program khas Dokumentari Malaysia Ke Persada Dunia sudah diadakan dengan dana khas bagi membiayai projek itu. Bahagian Produksi FINAS turut terbabit menerbitkan siri dokumentari yang berkaitan dengan subjek budaya dan sejarah negara, selain penerbitan promosi yang memaparkan nilai 1Malaysia. Paling membanggakan, FINAS diberi kepercayaan menerbitkan dokumentari proses pembinaan Jabatan Pulau Pinang Kedua.  
Hasrat membawa industri ke tahap antarabangsa ini telah diterjemahkan menerusi usaha FINAS melengkapkan kemudahan peralatan perfileman dengan siapnya Studio Digital Mix Stage (SDM). Studio bernilai RM53 juta yang dibangunkan di bawah RMK-9 ini ternyata memudahkan pembikin filem melaksanakan kerja adunan muzik dengan kemudahan yang dikatakan tercanggih di rantau Asia. Pengwujudan SDM yang didirikan bersebelahan Dataran Karyawan FINAS diilhamkan sendiri oleh Dr Rais yang mahu penggiat filem tidak lagi ke luar negara menyiapkan produksi mereka.  
Langkah ini diambil selepas FINAS memperoleh peralatan seperti HD kamera, mesin penyuntingan Non-Linear dan mesin Kine Transfer. FINAS juga akan memastikan proses penambahbaikan perkhidmatan mahupun memperoleh peralatan terkini ditingkatkan bagi manfaat industri mengikut keperluan semasa. Antara filem tempatan yang menggunakan kemudahan SDM ialah Estet, Hooperz, Toyol Nakal, … Dalam Botol dan filem Senjakala. 

Filem Senjakala yang mendapat sentuhan Ahmad Idham meraih pujian media dalam pratonton filem itu. Ini jelas membuktikan kemampuan tenaga kerja SDM dalam memenuhi keperluan audio sesebuah filem. Kejayaan itu juga mematikan tanggapan negatif pihak tertentu yang melabelkan SDM sebagai projek ‘gajah putih’ dan menepis suara sumbang yang mempertikaikan keupayaan FINAS mengendalikan SDM.  
Dalam mempromosikan produk filem dan TV pula, FINAS secara konsisten bermula 2002 menyertai pasaran filem antarabangsa, MIPCOM dan MIPTV di Cannes selain Hong Kong Filmart dan Busan Filmart. Dengan kerjasama padu MATRADE dan MDeC, pengusaha filem dan drama tempatan berpeluang memasarkan produk mereka secara berkesan dan sistematik.  
Berdasarkan pemerhatian menerusi usaha pemasaran itu, filem animasi dan dokumentari Malaysia sememangnya mendapat perhatian pengedar rancangan antarabangsa. FINAS juga sudah diterima menjadi ahli Association of Film Commissioners International (AFCI) dan Asean Film Commissions Network (AFCNet) yang berjaya meletakkan profil industri filem Malaysia di peringkat global.  
Potensi industri filem Malaysia jelas diperakui sebagai kandungan kreatif yang mampu menjana pendapatan kepada ekonomi negara. Dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama (NKEA): Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur, kerajaan telah menggerakkan My Creative Content yang terkandung di dalamnya penubuhan Suruhanjaya Perfileman, Creative Content Assocation, Creative Content Development Agency dan banyak lagi. 

Dalam menjana industri kreatif negara, kerajaan telah menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta sebagai suntikan kewangan bagi merancakkan lagi sektor kandungan kreatif termasuk bidang perfileman.  
Pada tahun depan, filem yang bertaraf dunia bakal menemui penonton seperti filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Film dan filem Hanyut arahan pengarah tersohor U-Wei Haji Saari. Satu lagi petanda positif tahun ini, karyawan filem kita dilihat cuba lari dari genre komedi, seram dan aksi yang sering dihidangkan kepada penonton. Pembikin filem kita mula melebarkan kepompongnya dengan penghasilan filem berteraskan teknologi seperti Mantera dan Haq.  
Oleh yang demikian, pelbagai usaha dan perancangan sudah, sedang dan akan dilaksanakan FINAS demi kebaikan industri dan pengamalnya. Oleh itu, bersama-samalah kita mempertingkatkan kualiti kerja dan daya kreatif ke arah industri perfileman yang lebih gemilang dan berjaya pada tahun depan. Kepada penggiat filem hayati dan renungi petikan kata-kata Dr Rais ini, “Filem bukan sekadar bahan hiburan, malah memainkan peranan lebih daripada itu. Filem adalah cerminan bangsa dan jendela pemikiran kita, filem menggambarkan ketamadunan dan pencapaian sesebuah negara bangsa.” 



Oleh Mohd Mahyidin Mustakim

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 

BERITA MINGGU
2 JANUARI 2010




INFO 
Pembangunan modal insan dan usaha merakyatkan filem 


  • Sepanjang tahun lalu, Bahagian Latihan telah mengadakan 42 bengkel perfileman, lima bengkel Masterclass dengan 765 peserta merangkumi bidang penulisan skrip, lakonan, penyuntingan dan penerbitan dengan perbelanjaan lebih RM400,000. 


  • FINAS dengan kerjasama GAFIM dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) turut menggerakkan siri Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM) yang berlangsung pada 20 hingga 24 Oktober lalu. FFM adalah medan rasmi pengiktirafan kerajaan terhadap dunia perfileman tanah air. 


  • Portal perfileman sinemamalaysia.com.my telah dibangunkan sejak tiga tahun lalu dengan lebih 100,000 data seperti maklumat artis, filem, pasaran filem dan banyak lagi. Portal ini menerima kunjungan 53 juta ‘hits’ (sehingga 20 Disember 2010). Portal ini diakui amat bermanfaat sebagai rujukan media dan pengamal industri secara tepat, sahih dicapai dengan mudah dan cepat. 


  • Bahagian Modal dan Insentif FINAS melalui Dana Pinjaman Filem Cereka (DPFC) telah meluluskan pinjaman berjumlah RM52.7 juta kepada 50 filem (sehingga Oktober 2010) di samping RM663 ribu bantuan kepada 42 permohonan di bawah Dana Pembangunan Seni Filem dan Multimedia. 


  • Program Memasyarakatkan Filem (PMF) diadakan di Pawagam Coliseum, Jalan Tunku Abd Rahman setiap Sabtu minggu keempat saban bulan secara percuma. Penonton akan disajikan dengan filem terbaik mengikut era dan berpeluang menemui pelakon serta mengikuti diskusi ringkas yang diadakan. 


  • Lebih 400 penonton hadir pada setiap sesi tayangan PMF. FINAS juga memperkenalkan program bulanan, Malam Bersama Bintang sejak Januari 2009 dengan matlamat yang sama - untuk membentuk generasi pelapis komuniti filem Malaysia. 


  • Kelab Pencinta Filem telah ditubuhkan bermula di London pada Jun 2007 yang disempurnakan Dr Rais bersempena Minggu Malaysia di United Kingdom. Kelab ini sudah diperluaskan di seluruh negara dengan 71 Kelab di Sekolah Menengah dan sembilan IPTA/S dengan keahlian lebih 10,000 orang. 
  • Catat Ulasan
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...