Mungkinkah mereka sekadar dilihat mesra di luar, tetapi di dalam hati siapa yang tahu. Atau, pertemuan mereka perlu ditafsir dengan pemikiran yang jujur bahawa kedua-duanya adalah dua rakyat Malaysia yang mempunyai cita-cita yang sama. Gagasan 1Malaysia didebat secara rasmi di Parlimen hingga di warung kopi dan diungkapkan oleh ramai orang, daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hinggalah kepada setiap rakyat tanpa mengira kedudukan. Pengisian dua gagasan ini juga diperhati dan diteliti hingga ke Rumah Putih di Washington DC dan menjadi bahan pertanyaan daripada Presiden Barack Obama hinggalah setiap pemimpin dunia yang mempunyai kepentingan politik, ekonomi dan sosial dengan Malaysia apabila mereka bertemu dengan pemimpin Malaysia. Ia dicakap oleh mereka yang yakin dengan dua gagasan baru itu selain pengkritik yang sentiasa tidak puas hati dengan apa juga idea baru diperkenalkan oleh pemerintah.
Dalam sosiologi, kumpulan ini adalah golongan yang ‘lembab’ untuk menerima apa juga perubahan. Kalau pesawah padi, mereka ini adalah golongan yang masih menggunakan kerbau untuk menenggala sawah sedangkan orang lain sudah lama menggunakan jentera. Ketika enjin Kubota diperkenalkan, mereka tetap mahu menggunakan kerbau, manakala selepas model jentera sudah beberapa kali mengalami perubahan, kerbau masih dilihat bekerja di tengah-tengah sawah. Ini disebabkan pemiliknya tidak mahu berubah. Mereka mahu melihat kejayaan orang lain terlebih dulu sebelum menerima apa juga perubahan.
Kebanyakan mereka yang enggan berubah ini biasanya bukan kerana sesuatu gagasan itu tidak baik atau tidak boleh diperbaiki sekali pun ada kelemahan, tetapi semata-mata kerana alasan politik. Tetapi, jika melabur dalam skim cepat kaya, merekalah yang berada di barisan depan. Perkataan atau kata-kata yang pernah menjadi sebutan popular di negara ini sebelum ini antaranya ialah ‘reformasi’ yakni satu bentuk tindakan politik yang mendorong penentang kerajaan mengadakan demonstrasi jalanan atas matlamat yang salah pada penghujung 90-an. ‘Wawasan 2020’, ‘penerapan nilai-nilai Islam’ dan ‘penswastaan’ ketika negara dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, ‘anjakan paradigma’ ketika idea itu mula diperkenal dan digunakan setiap hari oleh sesiapa saja dalam ucapan dan tulisan untuk menunjukkan penuturnya mempunyai sentuhan intelektual dan responsif kepada perubahan dunia. ‘Modal insan’, ‘Islam Hadhari’ dan ‘koridor’ pula dibincang secara positif-negatif ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan lain-lain lagi. ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri pernah digembar-gembur dan diperkatakan secara positif-negatif di mana saja. Hari ini elemen negatif ISA kian tenggelam kerana rakyat yakin peruntukan undang-undang itu adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan negara daripada anasir yang mengancam keselamatan rakyat dan negara. Hanya politik pembangkang saja yang mengatakan ISA itu tidak baik dan perlu dihapuskan. Agak lama dulu ‘Revolusi Mental’ sentiasa bermain di fikiran rakyat supaya mereka berubah. Ungkapan 1Malaysia akan terus diperkata dan menjadi bahan dan isu utama negara apabila berlaku perdebatan politik terutama ketika diadakan pilihan raya kecil dan menjelang pilihan raya umum akan datang nanti.
Hakikatnya Gagasan 1Malaysia menjadi topik perbincangan politik dan akademik. Perbincangan mengenainya dibuat hingga ke luar negara supaya ia difahami sejelas-jelasnya. Hari ini, gagasan 1Malaysia memberi kesan yang menakutkan kepada pembangkang kerana kejayaan gagasan itu memaksa mereka membuat pelbagai spekulasi kononnya 1Malaysia adalah ilham Yahudi. Mereka yang mengkritik itu lupa bahawa Gagasan 1Malaysia meletakkan penekanan kepada ‘Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’ yang datangnya dari ilham dan pemikiran pimpinan negara yang melihat kepada realiti di negara ini. 1Malaysia menjadi satu gagasan yang kuat kerana ia memupuk jati diri bangsa Malaysia ke arah keharmonian dan kemakmuran rakyat dan negara.
Transformasi adalah perubahan yang dilakukan ke arah kebaikan. Walaupun perubahan sudah pun berlaku dari semasa ke semasa, transformasi adalah perubahan yang agak radikal yang melibatkan seluruh sistem dari manusia kepada institusi. Dalam tempoh singkat saja, kerajaan mencipta sesuatu yang baru yang diiktiraf sebagai transformasi menyeluruh. Kerajaan hari ini adalah kerajaan transformasi, manakala Najib akan menempa nama sebagai Bapa Transformasi Malaysia.
Kerajaan menjadikan transformasi untuk mengubah senario dan bentuk fizikal dan bukan fizikal di negara ini bermula dari pemikiran atau mentaliti rakyat, mengubah sistem yang tidak lagi sesuai yang masih diamalkan, cara berfikir dan bertindak dan seterusnya kepada cara membuat keputusan dan membangunkan rakyat dan negara, perlu melalui proses transformasi. Transformasi perlu dilakukan supaya kerajaan hari ini terus relevan. Sesuai dengan perkembangan individu, setiap orang secara tidak sedar atau sedar, sudah berubah. Jika dulu pakai kain, kemudian seluar pendek dan sekarang bergaya dengan tali leher dan kot, adalah perubahan penampilan diri. Mereka yang mahu berubah perlu berfikiran positif dan melakukan sesuatu yang baru. Jika sebelum ini terlalu taksub kepada kepercayaan karut, amalan itu ditinggalkan. Transformasi juga berlaku di kementerian, jabatan kerajaan, sektor swasta dan unit-unit di kilang yang meletakkan matlamat untuk meningkatkan imej, kualiti, produktiviti, pendapatan dan sebagainya.
Sesuai dengan makna transformasi untuk melakukan perubahan radikal, kerajaan sebenarnya mengambil keputusan berani dan mempertaruhkan masa depan politik negara kerana sedar setiap ruang digunakan pembangkang untuk mencari kesempatan politik. Setakat ini setiap lompong dalam pendekatan tidak popular kerajaan, berjaya ditampung dengan hujah yang bernas dan segala pandangan negatif dipatahkan satu persatu.
Pimpinan kerajaan tidak berganjak, malah tidak pernah mengaku kalah untuk memperjuangkan gagasan itu. Sekali melangkah, kerajaan tidak lagi menoleh ke belakang. Paling penting, apa yang digagaskan bukan berakhir dengan cakap-cakap dan janji kosong, tetapi diisi dengan program-program yang disusun rapi.
Gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kian diterima. Semangat ini ditunjukkan dalam apa juga perkembangan daripada menyambut kemenangan perlawanan bola sepak Piala Suzuki AFF selepas mengalahkan Indonesia hinggalah perayaan menyambut kedatangan Tahun Baru 2011 yang menunjukkan keceriaan semua rakyat Malaysia yang berbeza agama dan warna kulit, tetapi berdiri dengan satu cita-cita.
Dengan penerimaan rakyat yang luar biasa ini, pembangkang kian kehabisan modal untuk mencari kelemahan kerajaan. Pelbagai kajian membuktikan tidak semua perubahan membuahkan kejayaan dalam konteks manusia yang begitu sukar menerima perubahan. Perubahan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi umpamanya, juga sering dilihat dari aspek negatif. Memang ada baiknya mengintai keburukannya terlebih dahulu sebelum menemui kebaikannya, tetapi adakalanya ia dieksploitasi hingga membantutkan kelancaran pelaksanaannya. Pada peringkat awalnya, ramai yang bimbang dan mempersoalkan Gagasan 1Malaysia dan transformasi ini berasaskan kepada perspektif dan kepentingan masing-masing. Ia kian reda kerana rakyat sudah pun melihat bukti kebaikannya di depan mata.
Seperti perutusan Tahun Baru malam kelmarin, Perdana Menteri mengajak seluruh masyarakat Malaysia menunaikan tanggungjawab bagi mencorakkan masa depan yang lebih baik demi generasi akan datang.
Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
Berita Minggu
2 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan