JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Januari 2011

ISU FILEM : TEORI FILEM MENCELIKKAN KHALAYAK


Sebahagian besar daripada kita barangkali pernah mendengar kenyataan begini: "Eleh... orang akademik dan pengkritik filem hanya pandai teori saja, buat filem tak tau. Orang tak tau teori lagi bagus buat filem, kutip box office lagi." Kepada yang belum mendengar kenyataan "kurang cerdik" begini, ini adalah kebiasaan, bukan saja kalangan masyarakat malah pembuat filem sendiri. Mereka yang menggerakkan industri filem telah menjauhkan diri dengan ahli teori. Malah yang lebih buruk lagi apabila sesetengah pengarah seolah-olah memusuhi ahli teori. 

Mereka tidak melihat sumbangan teori realisme, formalisme, auteur, psikoanalisis atau marxisme sebagai satu medium wacana filem. Perdebatan atau menggunakan teropong teori-teori inilah yang menjadikan filem sebagai karya seni yang bernilai tinggi. Lebih manfaat lagi seni filem menjadi fenomena yang sihat. Perbezaan pandangan antara satu teori dengan yang lain boleh memberi alternatif kepada penonton untuk melihat dari laras teori yang menjadi pilihan mereka. Memang benar ahli teori tidak semestinya membuat filem, kerana yang membuat filem adalah pengarah. Tetapi tidak membuat filem atau tidak "pandai" membuat filem bukan bermakna tidak ada sumbangan. Di luar negara antara ahli teori dan pengarah filem saling berpaut antara satu dengan lain. Industri filem bukanlah boleh disamakan dengan kilang mengeluarkan sabun buku. Filem adalah sebuah karya seni, sama seperti muzik, lukisan dan pelbagai lagi yang memerlukan debat cerdik. 

Seni memerlukan wacana untuk meraikan kelahiran sesebuah karya. Teori adalah salah satu yang dimanfaatkan untuk meraikan filem dan melihat hubungannya dengan realiti masyarakat. Teori filem bukanlah untuk digunakan oleh pengarah membuat filem. Tetapi digunakan oleh ahli akademik atau pengkritik untuk menyelongkar nilai estetika, naratif dan hubungan karya itu dengan sosialisasi di luar filem. Ahli teori berperanan menyuburkan pemikiran kritis khalayak filem. Semua ini menyumbang kepada pembentukan budaya filem yang sihat. Semakin banyak khalayak membahaskan karya filem, kita akan mendapat semakin banyak khalayak yang berselera tinggi terhadap filem. Khalayak yang sihat pemikirannya akan menyumbang kepada penghasilan filem yang tinggi nilainya. Pengarah filem tidak semestinya tahu teori. Tetapi mengambil tahu teori filem menjadi nilai tambah kepada pengarah supaya mereka dapat melihat perlunya teori dalam konteks pembangunan budaya filem yang sihat. 

Seharusnya kehadiran ahli teori untuk merancakkan pembentukan budaya filem yang sihat tidak dilihat sebagai musuh. Mereka adalah penyumbang penghasilan filem yang baik sekiranya mampu meningkatkan selera khalayak kepada filem-filem bernilai tinggi. Tetapi khalayak filem negara ini sering diperbodohkan oleh produser dan pengarah dengan angka-angka. Mereka menjaja angka-angka kutipan. Mereka jenis ini tidak menjaja apa wacana pengkritik terhadap filem mereka. Menjaja angka-angka kutipan tentunya tidak menyumbang kepada satu budaya menghargai filem. Sebaliknya menjadikan penonton berselera rendah. Apa yang dilakukan oleh sesetengah produser dan pengarah negara ini adalah menutup mata fikir khalayak kepada wacana. Sebabnya mereka membangunkan industri filem tetapi bukan budaya filem. Kejayaan industri filem bermakna memberi hidangan fikir yang baik kepada khalayak. Apalah gunanya kutip berkarung-karung duit kalau itu eksploitasi ke atas khalayak berselera rendah.

Utusan Malaysia
13 Disember 2010

Tiada ulasan: