Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Apa khabar adik-adik pelajar yang dikasihi? Cikgu Zul harap semuanya sihat dan sejahtera di samping keluarga yang tersayang, rakan-rakan yang tercinta, dan guru-guru yang bersemangat waja. Walau sesibuk mana pun, kesihatan dan keselamatan diri haruslah diutamakan kerana itulah kunci kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia ini. Namun begitu, sebagai pelajar, khususnya bagi yang bakal menduduki STPM di penghujung tahun 2011 ini nanti, persediaan haruslah dimulakan dengan lebih awal.
Adik-adik pelajar yang tersayang,
Ketidakmatangan diri kadang-kadang menerjah dan melonjakkan semangat untuk menonjolkan diri dalam kalangan rakan-rakan kita di sekolah. Senario ini seterusnya akan menjadikan kita angkuh, sombong, dan bangga dengan diri sendiri secara melampau. Kita akan rasa, kitalah yang terbaik dan tersohor dalam kalangan yang ada sehingga kita hilang rasa hormat kepada orang yang lebih tua daripada kita iaitu guru yang mendidik. Cikgu Zul dengan sukacitanya ingin mengingatkan, guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sewaktu proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Jika mahu membetulkan, betulkanlah dengan penuh hemah dan sopan. Sebagai golongan intelektual yang dikurniakan minda dan akal, kita kena pandai menjaga perasaan orang lain walaupun pahit untuk kita menerima tetapi percayalah jika semuanya terkawal, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
Dunia ini penuh dengan cabaran, rintangan, dugaan, dan cubaan, yang memerlukan kebijaksanaan kita untuk menghadapi dan melaluinya. Jika anda merupakan pelajar yang pintar dan dikagumi, pastikan hubungan anda dengan guru dan rakan-rakan di sekolah juga secemerlang kepintaran yang anda miliki. Barulah anda akan disayangi dan dikasihi oleh semua orang. Jangan terlalu bermegah-megah dan berlebih-lebihan kerana rasa kagum itu boleh bertukar menjadi benci. Kesederhanaan amat penting dalam kehidupan ini. Orang yang sentiasa bersikap bersederhana akan menyebabkan orang lain tunduk dan hormat kepadanya walaupun dia serba kekurangan dari segi fizikal mahu pun kewangan.
Kehidupan ini amat indah jika kita pandai mengindahkannya. Andainya hidup ini boleh dilukis di atas kertas lukisan, saya percaya kita semua pasti akan cuba sedaya upaya untuk menghasilkan lukisan yang terbaik dan terindah kerana lukisan itu bakal menggambarkan perjalanan hidup kita. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di Tingkatan Enam seperti anda semua, jika keputusan STPM 4A itu boleh tersembunyi di dasar Sungai Rejang, Cikgu Zul percaya semua orang sanggup menyelam ke dasar sungai yang dalam dan gelap semata-mata untuk mendapatkannya. Itulah ragam manusia dan cita-cita mereka.
Coretan daripada seorang guru.
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan